14 Mac 2010

KUSTA DAN DUSTA

Oleh: Faizal Riduan

Kusta yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen berikutan penemuaan saintifiknya oleh Dr Armauer Hansen dari Nowmay pada tahun 1873 sebenarnya bukanlah penyakit baru. Ini kerana sejarah panjangnya sebagai penyakit kuno yang dikesan sejak 600 tahun sebelum Masihi yang pernah menjangkiti mati penduduk China, Mesir dan India. Kini sejak penemuan penyembuhan pada tahun 1981, 16 juta pesakit telah dipulih-putihkan dan program penghapusan kusta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dilancarkan pada tahun 1991 dengan sasaran kurang daripada satu kes bagi 10,000 penduduk yang berjaya dicapai pada tahun 2000.

Di Malaysia, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN) atau sinonim sebagai ‘Lembah Harapan’ yang diduduki di atas tanah seluas 562 ekar yang dibuka pada tahun 1926 adalah ‘syurga dan neraka’ pesakit kusta sejak diasing-tinggalkan di sini. Pusat ini mungkin tidak semeriah dahulu yang mempunyai sejumlah 2,000 orang penghuni dalam satu masa berbanding kini hanya sekitar 253 orang, itupun sebahagian besarnya telah sembuh dan menghabiskan sisa hidup sebatang kara kerana keluarga terpaksa menisankan kewujudan mereka di sini.

Jaraknya hanya 20 km dari rumah saya di Batu Caves dengan perjalanan mengambil masa 30 minit. Sedari kecil saya melihat Sungai Buloh dan pesakit kusta sebagai ‘isi dan kulit’ dan saya percaya mereka yang tinggal di sana tentu lali dengan streotaip sebegini. Malah walau tahun 1970-an yang menyaksikan pesakit kusta tidak lagi perlu diorang-asingkan dari komuniti setempat namun asosiasi Sungai Buloh dan pesakit kusta masih kuat melekit-lekat dalam minda parokial saya. Namun itu tidaklah bermakna saya terperangkap dalam stigma dan diskriminasi terhadap pesakit kusta sebagaimana rayuan dalam resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jun 2008.

Hari ini mungkin ramai anak muda yang lahir jauh dari Sungai Buloh tidak mengenal langsung penyakit kronik yang diakibatkan oleh bakteria basilus dipanggil Mycobacterium leprae. Bagi mencabar diri saya membuang tabu pada kusta maka saya mengikuti Datin Norlaini Othman atau lebih mesra dengan panggilan Umi Nola, sukarelawan di PKKN sehingga dijadikan ‘ibu angkat’ oleh pesakit-pesakit kusta. Saya kagum melihat semangat seorang wanita yang berusia 67 tahun menghabiskan usia emasnya hampir suku abad untuk berbakti kepada warga ‘tersorok’ di pinggir kota ini.

Entah mengapa perasaan takut asalnya bertukar menjadi terharu dan sedih melihat kehidupan pesakit kusta yang teruja menyambut kedatangan saya dari lirik ekor matanya. Umi Nola benar-benar ikon di sini apabila saya sendiri terpana tempias kehangatan emosi penghuni tatkala melihat mereka mendampinginya dengan tamah ramah sambil menceritakan masalah mereka yang terkarang sejak lama di kepala. Barulah saya tahu bahawa selama ini Umi Nola selalu memberikan ‘air tangan’nya untuk disuapkan ke selera mereka yang dahulunya hampir tiada bercitarasa dan memberikan kelengkapan elektrik. Saya turut menyantuni mereka sehingga tanpa sedar saya akrab memegang mereka. Benarlah sentuhan lima saat lebih bermakna dari kata-kata lima minit!

Akhirnya saya berjaya mendekati warga tertua, Pakcik Harun Yusof (gambar di atas), 95, yang kerana pengistiharan ‘Settlement for Lepers and Decrepit Persons’ pada tahun 1934 berdasarkan Enakmen Kusta 1926 telah meragut kebahagian keluarga dengan mengkuarantinkannya di atas tanah seluas 562 ekar di sini sejak tahun 1946. Walau penyakit berjangkit tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada awal tahun 1970-an dan mereka boleh kembali kepada keluarga, Pakcik Harun tanpa berfikir panjang terus memilih tinggal di sini dan melupakan harapan untuk menghabiskan sisa hidup di samping anak tersayang yang biasanya ‘panjang akal’ untuk menerima kehadirannya semula. Biarlah semua impiannya terlaksana di syurga tuhan doanya.

“Dahulu saya hanya dapat lihat anak semasa dia lahir itupun sekali sahaja pada tahun 1942. Bapa saudara saya yang panggil saya untuk qamatkan anak saya. Kemudian dia yang besarkan anak saya,” cerita Harun Yusof, 95, yang sebak mengenangkan anak dan isteri yang terpaksa diasingkan dalam kehidupannya yang sunyi.

“Bapa saudara saya juga memaksa menceraikan isteri. Isteripun tidak kisah. Dalam hukum agama bolehkah begitu?,” soalnya pula dengan mata berkaca mengingati saat dia terpaksa mentalakkan isteri dari ikatan perkahwinan atas dasar suka sama suka.

Seingatnya kini, anak perempuannya itu telah berusia dalam lingkungan 60 tahun. Walau tidak dapat memanjakan anak tunggalnya itu namun dia bahagia apabila dapat menunaikan tanggungjawab terakhir sebagai seorang bapa dengan menjadi wali perkahwinan dengan seorang pegawai polis. Hasil perkahwinan tersebut, dia mempunyai dua orang cucu dan seorang cicit walau panggilan ‘atuk’ bagai tidak pernah terngiang di cuping telinganya.

“Ada sekali anak pernah datang melawat. Kali terakhir kami bertemu semasa dia hendak menunaikan fardu haji. Itupun sudah lebih 10 tahun yang lalu,”
tambahnya sayu betapa pertemuan mereka anak-beranak selama 67 tahun tidak pernah lebih daripada lima kali sambil membilang jari dengan sebelah tangan.

“Semasa datang dahulu dia ada ajak tinggal bersama. Tetapi menantu tidak bercakap apa-apa mengenainya. Saya faham-faham sendiri. Anak saya perempuan, suami dia yang tanggung. Tak kan hendak tanggung saya lagi nanti tambah beban dia. Saya tidak mahu sebab saya mereka suami isteri bergaduh dan berpecah belah. Biarlah mereka dengan kehidupan mereka yang penting mereka sihat dan selamat. Saya? Apa boleh buat,” tutup Pakcik Harun yang telah berputus harapan untuk kembali kepada kehidupan berkeluarga.

Namun jauh di sudut hati, dia redha dengan ujian ini sebagaimana sabarnya Nabi Ayub a.s menghadapi sakit kulit yang kronik dengan kudis dan nanah sehingga ditinggalkan anak dan isteri. Saya nyaris menumpahkan air mata tatkala teringat sabda baginda dalam Surah al-Anbiya “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi”. Saya perlu kuat di hadapan mereka namun jauh di dalam hati saya remuk rendam sesuatu yang telah lama mereka pendam.

Namun rupanya kunjungan saya bertemu Pakcik Harun hanya sekali. Walau sewaktu itu dia tampak sihat bercerita dengan pelbagai warna gaya, beberapa minggu kemudian saya dikejutkan dengan berita Pakcik Harun telah kembali ke rahmatullah – satu destinasi kuarantin yang kekal abadi. Saya menyesal sejenak kerana tidak menyusul dengan pertemuan berikutnya akibat kesibukan masa di dunia. Lebih hiba lagi perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan tidak diiringi oleh ahli keluarga tersayang! Insan kecil seperti Pakcik Harun pasti pemergiannya digelapkan berita dan ceritanya. Saya berharap tulisan ini sebagai satu dedikasi belangsukawa penghormatan pengembalian seorang hamba setelah lebih setengah abad melalui seorang diri ujian penciptanya yang maha hebat. Kepada kita yang sihat tanpa penyakit kusta, sebenarnya kita telah lama berdusta tentang rasa syukur dan berterima kasih kepada-Nya.

2 ulasan:

Ariyatna Adri berkata...

"Berdusta tentang rasa syukur"..saya bersetuju dengan saudara.

Tanpa Nama berkata...

i cried for a moment..

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.