22 Mac 2010

TIRU TILU

Setelah sekian lama diundang untuk menyaksikan 'gig' underground yang diangkat ke mainstream, Tilu oleh Asraf Dahari ayah kepada vokalisnya yang akhirnya melorongkan malam saya berpergian ke Cloth & Clef di Changkat, Bukit Bintang. Sebenarnya dalam usai pra dewasa yang membesar secara alami di pinggir bandar separa hutan belantara pengalaman 'gig' dalam gelap goyang gempita ini seakan menyentak deras aliran darah muda yang dahulunya unyai menyaluri urat nadi. Agak kekok dan canggung rasanya dikelilingi remaja yang pelbagai rencam latar hidupnya mengekpresikan pula gaya bebas mereka. Mereka juga di hujung ekor mata mungkin memandang saya dengan seribu tanda tanya - "Dia ini kaki gig juga ker?".

Begitulah magnetiknya Tilu menyebabkan saya yang asalnya mengempuki kerusi bangun berdiri di barisan hadapan sekali. Sengaja mahu mendengar garapan melodi dan senikata mereka menyusup dekat tangkap di hujung corong telinga. Rasanya KRU tidak kelu untuk memperakui kualiti Tilu dibawal label mereka. Uniknya ketika kebanyakan band selesa dengan pembawaan jaluran pop rock dan pop punk, Tilu hadir dengan jalur padu pop jazz, R&B dan dangdut yang terefleksi saat tiupan muzik berhantunya meremangkan bulu roma. Single ciptaan Edry KRU berjudul "Ku Bukan Aku" memberikan nafas segar tanpa menyesakan arus nafas. Tahniah untuk Amirah Asraf atau Mira (vokalis), Johar Lucas (dram), Puja Paska (bass), Reza Ramsey atau Bajai (keyboards), Kiki Rizky Rahadiyan atau Kibas (gitar), Firdaus Bohari atau Daus (trumpet), Fareed Aziz atau Fareed (flugelhorn), Jeff atau Jeffny Kamar (saksofon).

18 Mac 2010

ITNM UNDI

Jika anda pernah memberikan AF Undi yang merugikan kredit anda, apa kata anda membuat perkara yang sama untuk satu undi bertaraf akademik. Bermula esok 19 sehingga 28 Mac 2010 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Lot CO1-C03, C25-C30, C49-C51, Aras 3, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memberikan anda peluang untuk menjadi juri awam. Dengan setiap pembelian buku keluaran ITNM, anda akan diberikan peluang mengundi tiga ulasan buku terbaik dari 10 ulasan yang telah dipilih oleh juri. Undi awam pengunjung akan membentuk 70 peratus markah berbanding undi juri profesional sebanyak 30 peratus markah.

Menariknya kerana ulasan buku saya, "Adab Dialog Dalam Islam" telah terpilih dalam pencalonan 10 ulasan terbaik. Jika anda merasakan ulasan tersebut baik silalah undi dan jika merasakan ia belum cukup baik, jangan segan untuk mengundi ulasan buku yang lain!

Sebenarnya saya berhasrat untuk menghantar satu lagi pencalonan, "Menakhoda Zaman" sebuah buku Datuk Seri Najib Tun Razak yang saya kira lebih baik ulasannya. Namun kesuntukan masa membuatkan saya terlupa mengenainya. Namun saya bersyukur kerana dengan hanya satu pencalonan ia dipilih juri sebagai antara 10 ulasan terbaik sudah cukup memadai apatah lagi jika rezeki hadiah pertama, RM5,000 bertukar tangan - Amin. "Tuah ayam nampak di kaki, tuah pengulas buku siapa yang tahu?"

14 Mac 2010

KUSTA DAN DUSTA

Oleh: Faizal Riduan

Kusta yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen berikutan penemuaan saintifiknya oleh Dr Armauer Hansen dari Nowmay pada tahun 1873 sebenarnya bukanlah penyakit baru. Ini kerana sejarah panjangnya sebagai penyakit kuno yang dikesan sejak 600 tahun sebelum Masihi yang pernah menjangkiti mati penduduk China, Mesir dan India. Kini sejak penemuan penyembuhan pada tahun 1981, 16 juta pesakit telah dipulih-putihkan dan program penghapusan kusta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dilancarkan pada tahun 1991 dengan sasaran kurang daripada satu kes bagi 10,000 penduduk yang berjaya dicapai pada tahun 2000.

Di Malaysia, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN) atau sinonim sebagai ‘Lembah Harapan’ yang diduduki di atas tanah seluas 562 ekar yang dibuka pada tahun 1926 adalah ‘syurga dan neraka’ pesakit kusta sejak diasing-tinggalkan di sini. Pusat ini mungkin tidak semeriah dahulu yang mempunyai sejumlah 2,000 orang penghuni dalam satu masa berbanding kini hanya sekitar 253 orang, itupun sebahagian besarnya telah sembuh dan menghabiskan sisa hidup sebatang kara kerana keluarga terpaksa menisankan kewujudan mereka di sini.

Jaraknya hanya 20 km dari rumah saya di Batu Caves dengan perjalanan mengambil masa 30 minit. Sedari kecil saya melihat Sungai Buloh dan pesakit kusta sebagai ‘isi dan kulit’ dan saya percaya mereka yang tinggal di sana tentu lali dengan streotaip sebegini. Malah walau tahun 1970-an yang menyaksikan pesakit kusta tidak lagi perlu diorang-asingkan dari komuniti setempat namun asosiasi Sungai Buloh dan pesakit kusta masih kuat melekit-lekat dalam minda parokial saya. Namun itu tidaklah bermakna saya terperangkap dalam stigma dan diskriminasi terhadap pesakit kusta sebagaimana rayuan dalam resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jun 2008.

Hari ini mungkin ramai anak muda yang lahir jauh dari Sungai Buloh tidak mengenal langsung penyakit kronik yang diakibatkan oleh bakteria basilus dipanggil Mycobacterium leprae. Bagi mencabar diri saya membuang tabu pada kusta maka saya mengikuti Datin Norlaini Othman atau lebih mesra dengan panggilan Umi Nola, sukarelawan di PKKN sehingga dijadikan ‘ibu angkat’ oleh pesakit-pesakit kusta. Saya kagum melihat semangat seorang wanita yang berusia 67 tahun menghabiskan usia emasnya hampir suku abad untuk berbakti kepada warga ‘tersorok’ di pinggir kota ini.

Entah mengapa perasaan takut asalnya bertukar menjadi terharu dan sedih melihat kehidupan pesakit kusta yang teruja menyambut kedatangan saya dari lirik ekor matanya. Umi Nola benar-benar ikon di sini apabila saya sendiri terpana tempias kehangatan emosi penghuni tatkala melihat mereka mendampinginya dengan tamah ramah sambil menceritakan masalah mereka yang terkarang sejak lama di kepala. Barulah saya tahu bahawa selama ini Umi Nola selalu memberikan ‘air tangan’nya untuk disuapkan ke selera mereka yang dahulunya hampir tiada bercitarasa dan memberikan kelengkapan elektrik. Saya turut menyantuni mereka sehingga tanpa sedar saya akrab memegang mereka. Benarlah sentuhan lima saat lebih bermakna dari kata-kata lima minit!

Akhirnya saya berjaya mendekati warga tertua, Pakcik Harun Yusof (gambar di atas), 95, yang kerana pengistiharan ‘Settlement for Lepers and Decrepit Persons’ pada tahun 1934 berdasarkan Enakmen Kusta 1926 telah meragut kebahagian keluarga dengan mengkuarantinkannya di atas tanah seluas 562 ekar di sini sejak tahun 1946. Walau penyakit berjangkit tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada awal tahun 1970-an dan mereka boleh kembali kepada keluarga, Pakcik Harun tanpa berfikir panjang terus memilih tinggal di sini dan melupakan harapan untuk menghabiskan sisa hidup di samping anak tersayang yang biasanya ‘panjang akal’ untuk menerima kehadirannya semula. Biarlah semua impiannya terlaksana di syurga tuhan doanya.

“Dahulu saya hanya dapat lihat anak semasa dia lahir itupun sekali sahaja pada tahun 1942. Bapa saudara saya yang panggil saya untuk qamatkan anak saya. Kemudian dia yang besarkan anak saya,” cerita Harun Yusof, 95, yang sebak mengenangkan anak dan isteri yang terpaksa diasingkan dalam kehidupannya yang sunyi.

“Bapa saudara saya juga memaksa menceraikan isteri. Isteripun tidak kisah. Dalam hukum agama bolehkah begitu?,” soalnya pula dengan mata berkaca mengingati saat dia terpaksa mentalakkan isteri dari ikatan perkahwinan atas dasar suka sama suka.

Seingatnya kini, anak perempuannya itu telah berusia dalam lingkungan 60 tahun. Walau tidak dapat memanjakan anak tunggalnya itu namun dia bahagia apabila dapat menunaikan tanggungjawab terakhir sebagai seorang bapa dengan menjadi wali perkahwinan dengan seorang pegawai polis. Hasil perkahwinan tersebut, dia mempunyai dua orang cucu dan seorang cicit walau panggilan ‘atuk’ bagai tidak pernah terngiang di cuping telinganya.

“Ada sekali anak pernah datang melawat. Kali terakhir kami bertemu semasa dia hendak menunaikan fardu haji. Itupun sudah lebih 10 tahun yang lalu,”
tambahnya sayu betapa pertemuan mereka anak-beranak selama 67 tahun tidak pernah lebih daripada lima kali sambil membilang jari dengan sebelah tangan.

“Semasa datang dahulu dia ada ajak tinggal bersama. Tetapi menantu tidak bercakap apa-apa mengenainya. Saya faham-faham sendiri. Anak saya perempuan, suami dia yang tanggung. Tak kan hendak tanggung saya lagi nanti tambah beban dia. Saya tidak mahu sebab saya mereka suami isteri bergaduh dan berpecah belah. Biarlah mereka dengan kehidupan mereka yang penting mereka sihat dan selamat. Saya? Apa boleh buat,” tutup Pakcik Harun yang telah berputus harapan untuk kembali kepada kehidupan berkeluarga.

Namun jauh di sudut hati, dia redha dengan ujian ini sebagaimana sabarnya Nabi Ayub a.s menghadapi sakit kulit yang kronik dengan kudis dan nanah sehingga ditinggalkan anak dan isteri. Saya nyaris menumpahkan air mata tatkala teringat sabda baginda dalam Surah al-Anbiya “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi”. Saya perlu kuat di hadapan mereka namun jauh di dalam hati saya remuk rendam sesuatu yang telah lama mereka pendam.

Namun rupanya kunjungan saya bertemu Pakcik Harun hanya sekali. Walau sewaktu itu dia tampak sihat bercerita dengan pelbagai warna gaya, beberapa minggu kemudian saya dikejutkan dengan berita Pakcik Harun telah kembali ke rahmatullah – satu destinasi kuarantin yang kekal abadi. Saya menyesal sejenak kerana tidak menyusul dengan pertemuan berikutnya akibat kesibukan masa di dunia. Lebih hiba lagi perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan tidak diiringi oleh ahli keluarga tersayang! Insan kecil seperti Pakcik Harun pasti pemergiannya digelapkan berita dan ceritanya. Saya berharap tulisan ini sebagai satu dedikasi belangsukawa penghormatan pengembalian seorang hamba setelah lebih setengah abad melalui seorang diri ujian penciptanya yang maha hebat. Kepada kita yang sihat tanpa penyakit kusta, sebenarnya kita telah lama berdusta tentang rasa syukur dan berterima kasih kepada-Nya.

04 Mac 2010

RESENSI: ADAP DIALOG DALAM ISLAM

Oleh: Faizal Riduan

Adakah masih ada dialog dalam Islam? Kita tertanya sendiri tatkala melihat polemik berkaitan umat dan agama Islam apatah lagi yang mencabar status Qua Vadis ahli Sunnah Wal Jamaah, ulama dan pihak berautoriti agama. Anehnya di satu pihak kelihatan seperti katak yang duduk bergelap di bawah tempurung minda yang membutakan kebenaran sementara satu pihak lagi tidak ubah seperti ikan di dalam balang kaca yang sekadar luas pemandangan tetapi tidak boleh mengecap nikmat kebebasan bergerak dalam ruang awam. Dua situasi yang berbeza tetapi kesannya tetap sama – tidak membina!

Sebenarnya ada banyak buku cendekiawan Islam yang memperkatakan tentang adab berselisih pendapat dalam dialog dan muzakarah. Antara buku yang terbaik dalam kelas ini ialah “al-Kifayah fi fann al-Jidal” karya Imam al-Haramain, “al-Ma’unah fi al-Jidal” karya Syirazi, “Tarikh al-Jidal” karya Muhammad Abu Zahrah, “Adab al-Iktilaf” karya Dr Taha Jabir al-Alwani dan “Adab al-Hiwar” karya Dr Muhammad Sayyid Tantawi. Namun bagi yang tidak arif berbahahasa Arab, buku “Adab al-Hiwar” kini boleh dibaca setelah dialih bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tajuk “Adab Dialog Dalam Islam” setebal 602 muka surat.

Buku ini merupakan kajian tentang adab-adab berdialog dalam Islam yang diambil daripada inti pati al-Quran, al-Sunah al-Nabawiyyah dan kata-kata ulama muktabar. Ia menjelaskan bahawa syariat Islam membuka pintu perbahasan yang bijaksana berdasarkan mantik yang betul, adab yang tinggi dan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam lingkungan ilmu yang berguna, kefahaman yang tajam, percakapan yang tinggi budi bahasa serta hati yang putih bersih daripada sifat riak, hasad, ego, mengikut nafsu, kepentingan peribadi dan prejudis tanpa sebab atau bukti yang munasabah.

Ia turut memaparkan bahawa secara semulajadinya, dialog sesama manusia adalah penting kerana manusia tidak terlepas daripada berdialog sesama mereka dalam hubungan sehari-hari dan dalam urusan yang berkait dengan makan, minum, pakaian, ubat-ubatan, hak dan kewajipan. Perbezaan pandangan antara manusia dari aspek tujuan, matlamat dan fikrahnya juga merupakan satu perkara yang penting. Perbezaan ini disebabkan beberapa faktor yang antaranya, terang nyata dan ada juga yang tersembunyi. Syariat Islam mengariskan beberapa prinsip dalam berbahas, berdebat ataupun berdialog agar ia berlaku dalam suasana yang membina dan hasil yang dicapai adalah baik.

Lebih indah lagi, rakaman beberapa bentuk dialog yang berlaku antara para rasul dengan kaum mereka, yang berkisar di sekitar keesaan Allah SWT, hari akhirat, hisab, dosa dan pahala serta dialog tentang al-Quran dan kata-kata yang diucapkan oleh orang yang bodoh sombong tentang hal ini serta jawapan terus dari Allah SWT ke atas mereka. Penyampaiannya sangat mendalam dengan melihat dari pelbagai sumber perawi yang diperjelaskan lagi oleh pengarangnya nyata memberikan kefahaman berbanding pemahaman secara harfiah dalam terjemahan Al-Quran.

Turut dirakamkan semula ialah beberapa contoh dialog yang berlaku antara ahli kitab secara amnya dan Bani Israel khususnya serta dialog dengan orang munafik yang mengucapkan apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dialog dalam bentul soal jawab antara orang baik dengan orang jahat ataupun di kalangan orang jahat sesama mereka dan orang baik sesama mereka serta antara ahli syurga dengan ahli neraka turut dipaparkan secara dramatik sekali.

Tidak keterlaluan dikatakan buku ini terbit tepat pada masanya ketika kemuncak ketidakfahaman umat Islam tentang dialog yang menyihatkan, menyegarkan dan menjernihkan yang kelihatan dalam kecelaruan feminisme Sisters in Islam (SIS) yang selalu prejudis dengan lelaki muslim yang dipukul rata sebagai pembawaan Islam yang ideal, perbalahan tentang kebolahan orang bukan muslim memasuki masjid dan meraikan perayaan muslim, konftrantasi bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan ulama lainnya, penggantian istilah muzakarah kepada muqabalah dalam pertemuan dua parti Islam, Umno dan Pas serta terbaru perebutan nama Allah SWT oleh gereja Kristian.

Fenomena kehilangan adab seperti ini selalu dikupas oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism”. Malah pada tahun yang sama 1973, beliau mengingatkan umat Islam mengenai ilmu pengetahuan yang bersifat tidak bebas nilai dalam Risalah, “Kita harus mengetahui dan menyedari bahawa sebenarnya ilmu pengetahuan tidak bersifat neutral; bahawa setiap kebudayaan memiliki pemahaman yang berbeza-beza mengenainya meskipun di antaranya terdapat beberapa persamaan. Antara Islam dan kebudayaan Barat terbentang pemahaman yang berbeza mengenai ilmu, dan perbezaan itu begitu mendalam sehingga tidak boleh dipertemukan.”

Apa yang dapat dilihat dalam kenyataan berbalas pihak-pihak bercanggah pendapat lebih kepada memulangkan paku buah keras. Kenyataan balas biasanya bertindak dalam dua cara iaitu bersifat ofensif dan difensif secara serentak, di tahap ini di satu pihak berharap, pihak yang satu lagi akan kecundang di medan tempur hujah. Sifat tawaduk tunduk kepada kebenaran seperti yang dijelmakan dalam diri Balqis Ratu Saba, Hercules Raja Rom dan Najasyi Raja Habsyah bagaikan tidak tersirna walhal mereka ketika itu berada di tampuk teragung sebuah kerajaan yang besar.

Sifat ‘perasan bagus’ dan ‘syok sendiri’ ini memantangkan penuturnya dari dikritik sedangkan Allah SWT mengingatkan Nabi Musa yang mendakwa dirinya manusia yang paling berilmu apabila ditanya soalan tersebut oleh kaumnya. Inilah yang membawa kisah pertemuan Baginda dengan Nabi Khidir setelah direkemendasi oleh Allah SWT dalam firmannya, “Sesungguhnya Aku ada seorang hamba di Majma’ al-Bahrayn yang ilmunya lebih banyak daripada kamu”.

Namun sayangnya hari ini, ilmuan Islam juga terpalit dengan budaya berdialog menggunakan kerangka fikir Yunani melalui debat dialektis iaitu “membuktikan orang lain betul dengan cara membuktikan orang lain salah”. Obesesi debat seperti ini sebenarnya seputar menelanjangkan aib lawan untuk memperoleh kemenangan mutlak bukan dengan kekuatan sendiri sebaliknya atas manipulasi kelemahan pihak lawan. Justeru sepandai-pandai ahli falsafah Yunani pujaan golongan liberal rupanya mereka sekadar pandai membuktikan satu sama lain sebagai salah!

Lebih parah lagi, akar akal sebegini menjalar hingga mencecah lapisan tauhid sehingga timbul dialog yang sia-sia seperti, “Apakah al-Quran itu makhluk ataupun bukan makhluk?”, “Perlukah doa Qunut dalam solat Subuh?”, “Selawat Syifa bercanggah dengan akidah” dan “Bacaan talqin, tahlil, yasin sebagai satu bidaah”. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.