30 Ogos 2010

PENAAKULAN MANTIK: UMNO, JAIS DAN MAZHAB MALIKI

Oleh: Faizal Riduan

Premis 1: Umno dan Jais tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid.

Premis 2: Mazhab Syafie membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid sementara mazhab Maliki tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid.

Kesimpulan: Umno dan Jais bukan bermazhab Syafie tetapi bermazhab Maliki.

27 Ogos 2010

PUASA MUKJIZAT SAINTIFIK

Oleh: Faizal Riduan

Ibadah puasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam ketiga yang mensyariatkan menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Peri pentingnya muktamad maktub dalam dalam Surah Al-Baqarah ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa,” dan disambung dalam ayat 184“… dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu …”.

Selain dari sudut spiritual, puasa juga dikesan dari sudut fizikal dan mental iaitu sebagai terapi kesihatan dan perubatan berasaskan saintifik. Justeru puasa sebenarnya juga adalah satu proses dakwah yang intelektual dan empirikal, bukan taksub kepada dogmatis atau doktrinal. Islam tidak menanggapi puasa dari prinsip pengesahan melalui kepercayaan dalam bentuk ‘justi facti’ atau sebagai upacara kesucian dalam bentuk ‘ex operato’. Puasa sebagai mukjizat saintifik adalah proses proses iman yang dinamis, iaitu terbuka kepada ilmu, bukti dan data baru. Justeru kita berpuasa bukan kerana ianya adalah ‘akta agama’ tetapi kerana kesedaran Islam sebagai agama fitrah atau 'religio naturalis'.

Bagi Pengurus Klinik Syifa di Gelugor, Pulau Pinang dan pengamal perubatan, Dr Danial Zainal Abidin, puasa bukanlah perkara baru kerana puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. “Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi juga sering kali berpuasa,” tambahnya.

Sejarah panjang amalan puasa juga bukan terhad kepada manusia sahaja tetapi semua makhluk di dunia mempunyai fitrah berpuasa. Mengikut Dr Cindy Engles pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”

Ikan salmon berpuasa dengan menempuh perjalanan jauh sepanjang 1,500 km tanpa masa rehat dan makan untuk bertelur. Pakar zoologi berpendapat puasa membantu ikan-ikan itu menjadi lebih ringan, lincah, agresif dan mampu mengatasi gelombang lemak yang boleh mengakibatkan saiznya membesar. Beruang putih betina pula berpuasa sepanjang musim dingin dengan cara berselindung di bawah gumpalan salji yang tebal sambil melahirkan dan menyusukan anaknya.

“Puasa adalah kaedah perubatan pencegahan dan rawatan dari dalam,” hujah penulis buku ‘bestseller’ berkaitan Islam dan saintifik seperti Quran Saintifik, Perubatan Islam, Tip-tip Cemerlang Daripada Al-Quran, Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Minda Muslim Super dan 7 Formula Individu Cemerlang.

Seperti tulisan Dr Lonny J. Brown dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.”

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman, merasionalkan amalan puasa umat Islam dari sudut saintifik, “Puasa tidak memudaratkan. Kecuali bagi pesakit diabetis yang tidak terkawal dan memerlukan suntikan insulin. Waima penyakit gastrik tidak menjangkiti orang berpuasa kerana orang berpuasa tahu jangkaan bila dia akan berbuka berbeza dengan orang kelaparan yang mengharapkan makanan tetapi kempunan maka asid penghadaman di dalam perut akan merembes keluar sentiasa dan ianya memudaratkan.”

Baginya berpuasa dalam Islam adalah di dalam lingkungan masa yang pendek iaitu sekadar setengah hari. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij The Lancet disebutkan, "Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..."

Leon Chaitow, pensyarah kanan di Universiti Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, "Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat." Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan. Apabila badan seseorang berjaya dibersihkan dari racun dan toksin, ia seolah-olahnya seperti sebuah kenderaan yang baru diselenggara secara sempurna.

“Puasa sebenarnya ialah penjagaan pemakanan berjadual dan terapi merehatkan perut yang terkawal. Sebab itulah kita digalakkan melewatkan sahur dan mengawalkan berbuka. Ia signifikan dengan perubatan,” hujah pakar perubatan di Hospital Pakar An-Nur yang juga Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Sambil berkongsi dapatan yang memeranjatkan, “Punca utama kematian rakyat Malaysia sejak tahun 1980an sehingga sekarang adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan angin ahmar. Faktor penyebab ini dijangka kekal sehinga tahun 2020 dan rakyat Malaysia menghidap penyakit kronik ini 10 tahun lebih awal dari orang barat. Kedua-dua penyakit ini berpunca daripada penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, kandungan kolestrol yang tinggi, kegemukan dan merokok. Ajaibnya, kelima-lima penyakit ini boleh dikurangkan kesannya melalui amalan berpuasa.”

Pakar Barat Iktiraf


Dr Alexis Carrel, seorang pakar bedah dan ahli biologi Perancis yang juga penerima Anugerah Nobel dalam Fisiologi pada 1912 menyatakan dalam bukunya Man the Unknown, “Frekuensi, keteraturan dan kecukupan makan dapat menghentikan sebuah fungsi yang memainkan peranan besar dalam kelangsungan bangsa manusia iaitu fungsi adaptasi dengan kekurangan makanan. Oleh kerana itu, sesekali manusia mesti berpuasa.”

“Puasa memiliki kesan bak tongkat sakti yang menyembuhkan penyakit akibat gangguan fungsi pencernaan dan pesakit yang diterapi pun melihat keajaiban luar biasa. Jenis penyakit berikutnya yang paling efektif disembuhkan dengan puasa adalah penyakit darah, kemudian penyakit tulang seperti reumatik.”

Dr Edward Dewey berjaya mengubati penyakit pada perut, busung air dan sejumlah radang di samping kelemahan dan kegemburan tubuh melalui terapi puasa. Ludwick Carnaro seorang ilmuan dari kota Bunduqiyyah (Itali) pada abad Renaissance ketika itu berusia 83 tahun menulis beberapa naskhah manfaat puasa.

Di Jerman, Dr Frederick Hofmann menemukan bahawa puasa boleh membantu mengubati penyakit epilepsi, bisul, kanser darah, katarak, tumor gusi, gusi berdarah dan borok pada mata. Beliau juga menyarankan para pesakitnya yang menderita penyakit apa pun untuk tidak mengambil sebarang bentuk makanan.

Di Rusia, Dr Peterfinia Minovdari Universiti Moskow dalam sebuah tesis pada 1769 menganjurkan untuk meninggalkan makanan secara total selama masa sakit dengan alasannya, “Puasa memberikan masa tenang pada perut yang memungkinkan orang sakit untuk melakukan pencernaan dengan seimbang begitu ia sembuh dan makan lagi.” Dr B.J. Sbaskiy dari universiti yang sama merumuskan, “Puasa memberikan ruang terjadinya peningkatan pengubatan dari dalam tubuh, tanpa suntikan dari luar. Dan ini adalah ubat penyembuh pelbagai penyakit kronik.”

Pada 1984, Dr Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang di awal dan akhir Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar kortisol, testosterone, sodium, kalium, urea, glukosa, kolesterol dan asid lemak . Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang dan pemeriksaan darah dilakukan untuk mengukur kadar glukosa, bilirubin, kalsium, fosforus, protein, albumin, hormon perangsang folikel, hormon perangsang tiroid, testosterone, prolaktin, hormone luteinizing, tiroksin-4 dan tiroksin-3 dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan.

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Dr Shahid Athar dalam Islamic Perspectives in Medicine menjelaskan perubahan tersebut memberi kesan baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak.

Sebenarnya sudah lama manfaat puasa ditemui kerana rumusan doktor terkenal di zaman Rasulullah SAW, Al-Haris bin Kaldah apabila ditanya tentang esensi ubat terbaik dan jawapannya ialah diet berpuasa kerana perut adalah rumah bagi segala penyakit. Sebab itulah Ibnu Sina dalam Al Qanun Fi Al-Tibb juga mengesyorkan manusia mengelak daripada makan dengan kenyang sehingga tiada ruang untuk baki makanan lain di dalam perut. Ia sesuai dengan sabda baginda riwayat Bukhari dan Muslim, “Orang beriman makan dalam satu usus, sedangkan orang kafir makan dalam tujuh usus.”

Merehatkan Tubuh

Setelah tubuh digunakan sepenuhnya selama tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun, walaupun tidak digunakan berterusan selama 24 jam. Pengarang buku The Hygienic System Volume III: Fasting and Sun Bathing for Healing Disease, Herbert M. Shelton menyenaraikan manfaat berpuasa pertamanya kepada kerehatan fisiologi kepada semua anggota tubuh badan selain membuang toksik dan memperbaharui sel-sel tiru.

Buang Racun dan Toksik

Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses pembersihan atau detoksifikasi yang baik. Dr Mc Fedan seorang pakar perubatan antarabangsa menjelaskan, “Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekali pun dia tidak sakit; kerana toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan berkumpul di dalam badan lalu menjadikannya seperti orang sakit dan membebankannya, maka keaktifannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin tersebut dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak pernah dialami sebelum itu”.

Toksin masuk ke dalam tubuh manusia melalui pemakanan memandangkan kebanyakan makanan pada masa ini mempunyai toksin melalui bahan-bahan penambah perisa, pewarna, pengawet dan bahan kimia lain. Malah toksin juga terkandung dalam udara yang tercemar. Akhir sekali, toksin turut dihasilkan dari dalam tubuh iaitu sisa-sisa pembakaran melalui sel-sel yang mengalir dalam darah seperti gas karbon dioksida, urea, keratin, ammonia, sulfur, asid urik, sisa-sia makanan yang telah dihadam dan gas-gas beracun yang terhasil daripada penapaian dan pembusukkan makanan seperti indole, skatole dan fynole.

Malah ia melindungi tubuh dari pembentukkan batu karang dengan peningkatan kadar natrium dalam darah dan unsur polina dalam air kencing yang akan menghalang penghabluran garam-garam kalsium yang akan membentuk batu-batu kecil di saluran air kencing.

Pembaharuan Sel-Sel Tisu

Seorang saintis pakar, Upton Sinclair berkata, "Perkara terbesar yang diberikan kepada kita melalui berlapar, ialah satu peringkat kesihatan yang baru. Demikian itu kerana organ-organ akan diperbaharui secara menyeluruh yang mana tugas-tugasnya yang pelbagai akan menjadi bertambah baik seterusnya menjadi lebih aktif. Tubuh akan diberikan peluang terbaik untuk dibersihkan daripada timbunan toksik-toksik dan kumuhan-kumuhan di antara ruang-ruangnya serta pada teras tisu ototnya".

Carlson dan Kunde daripada Jabatan Fisiologi, Universiti Chicago dalam Journal of Metabolic Research telah membuktikan dalam eksperimennya bahawa berlapar untuk jangka masa seminggu memadai untuk pembaharuan sementara tisu-tisu di dalam tubuh seseorang manusia yang berumur 40 tahun dengan mengembalikan keadaan tisu-tisu tersebut kepada tugas (fisiologi) yang menyamai keadaan seseorang yang umurnya 17 tahun sementara berlapar dalam jangka masa 30 hingga 40 hari akan meningkatkan kadar metabolisme sebanyak lima hingga enam peratus.

Kecerdasan Mental dan Emosi

Apabila badan bebas daripada bahan-bahan toksik terutama di dalam darah maka kemampuan berfikir akan mampu ditingkatkan dan emosi menjadi lebih stabil. Tenaga yang tidak diperlukan oleh usus dalam proses penghadaman akan dihantar ke otak untuk proses berfikir semasa hari pertama hingga hari ketiga berpuasa. Daniel Golemen dalam bukunya Emotional Intelligence menulis tentang kajian seorang ahli psikologi terhadap sekumpulan kanak-kanak berumur empat tahun dan pemerhatian selepas 14 tahun kemudian iaitu semasa mereka tamat persekolahan menengah menunjukkan bahawa kebolehan menahan nafsu makan menjadikan mereka lebih pandai dalam pelajaran, mempunyai emosi yang stabil, dapat mengawal perasaan dalam keadaan tertekan, lebih berdikari dan disukai rakan.

Mencegah Penyakit Mental dan Jiwa

Puasa adalah suatu pencegahan daripada penyakit mental dan jiwa yang telah terbukti dalam menangani penyakit ‘split personality’. Dalam satu kajian terhadap 1,000 pesakit mental yang membiasakan diri berpuasa, pemeriksaan semula selepas enam tahun mendapati 65 peratus daripada mereka mengalami perubahan positif. Dr Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow menyimpulkan, “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada racun-racun dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan ‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan dalaman tanpa melalui proses pembedahan.”

Aktifkan Organ Reproduksi

Berdasarkan hasil kajian di laboratorium haiwan Lembaga Penelitian Ternak, Amerika Syarikat terhadap 846 ekor ayam telur yang produktivitinya telah menurun, terbukti bahawa 75 peratus ayam-ayam tersebut dapat kembali bertelur setelah diberikan terapi puasa selama 10 hari. Sebelumnya ayam-ayam tersebut telah menjalani masa bertelur antara 12 hingga 14 bulan.

Peningkatan fungsi organ reproduksi ini berkait dengan peremajaan sel yang membawa perubahan pada sel-sel urogenitalis dan jaringan-jaringan organ reproduksi wanita. Di masa inilah berlakunya perubahan metabolik terutama kelenjar-kelenjar endoktrin induk telur yang menghasilkan lebih banyak estrogen dan progesteron. Ketinggian kadar kedua elemen ini dapat meningkatkan fungsi organ reproduksi dan kesuburan.

Awet Muda

Majalah Britain, Nature telah mendedahkan satu kajian saintifik bahawa puasa yang terancang atau separa akan menyebabkan keaktifan pada gen-gen yang berfungsi untuk merembeskan hormon-hormon yang akan membantu sel-sel untuk melambatkan proses penuaan terhadap manusia dan juga hormon-hormon yang akan menambahkan keaktifan tubuh. Hasil-hasil daripada kajian ini telah mengenal pasti bahawa proses penyediaan makanan dan penghadaman akan menghasilkan bahan-bahan beracun yang akan merosakkan sel-sel. Manakala pengurangan kuantiti makanan disertai dengan melakukan pergerakan yang banyak untuk membakar tenaga akan meningkatkan kesihatan dan dapat menghentikan proses pemusnahan.

Ia kemudian akan merendahkan proses metabolisme, menghasilkan protein yang efektif, meransang sistem imun dan pertambahan penghasilan hormon menyebabkan proses rejuvenasi atau permudaan yang akan memberikan jangka hayat yang lebih lama.

Dr Otto Buchringer dalam kajiannya menunjukkan bahawa berpuasa meremajakan sel-sel tubuh yang menua seperti panduan teori zat sisa. Ia juga disokong oleh kajian Allan Cott dalam bukunya Why Fast dengan dapatan puasa mampu berikan kesan awet muda, membersihkan badan, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, mengembalikan libido, mengendurkan ketegangan urat, menajamkan pancaindera dan boleh melambatkan proses penuaan. Sarjana biokimia Rusia, Vladimir Nikitin menyimpulkan bahawa tanpa memperoleh makanan, proses ketuaan manusia boleh dilewatkan. Beliau kemudian menguji puasa ke atas tikus putih yang biasa hidup selama dua setengah tahun dan hasilnya tikus tersebut boleh hidup sehingga empat tahun.

Kulit Cantik

Pakar kulit dari Universiti Kaherah, Dr Muhammad Dawahiri menyatakan, “Hubungan antara makan dan penyakit-penyakit kulit erat sekali. Kerana itu, berpuasa untuk suatu masa dapat mengurangi kadar air pada tubuh dan darah. Seterusnya mengurangkan kadar air pada kulit sehingga kulit mempunyai pertahanan yang kuat menghadapi penyakit-penyakit kulit yang diakibatkan oleh bakteria (mikrobia).”

Dengan berpuasa seluruh sistem kulit dapat berehat dan membebaskan semua beban berat yang diisi selama setahun. Antara penyakit kulit yang boleh dirawat dengan amalan puasa ialah jerawat, artekaria dan eksim.

Akhirnya terbukti bahawa puasa bukan sekadar satu ritus ibadah tetapi satu terapi mukjizat untuk kesihatan dan kelestarian hidup manusia. Walaupun dengan penemuan kajian saintifik sebegitu banyak, manfaat berpuasa adalah lebih daripada itu seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 85, “Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja” dan umat Islam sewajarnya menyambut seruan dalam Surah Toha ayat 144, “Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu,” dengan bukan sahaja berpuasa di siang hari tetapi juga berpantang makan di malam hari dan berpuasa bukan sahaja 29 hari daripada 365 hari lainnya.

Untuk permulaan mungkin boleh bermula dengan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura, puasa tiga hari setiap bulan Qamariyah, puasa-puasa pada bulan Syaaban dan jika mahu lebih mencabar adalah puasa sunah Nabi Daud AS iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa secara berselang-seli.

BILA PUASA DAN TAK PUASA SAMA SAHAJA!


Oleh: Faizal Riduan

Yang mana satu frasa yang betul: kita hidup untuk makan atau kita makan untuk hidup? Makan sememangnya satu topik utama, kontroversi dan penting dalam kedupan seharian manusia seperti kata dalam buku The Truth About Food, “Makanan adalah asas utama untuk semua manusia, tetapi kita baru sahaja faham bagaimana ia bertindak balas pada badan-badan kita dan kenapa orang bertindak secara berbeza untuk makanan yang berbeza.”

Islam sebagai cara hidup telah memberikan panduan pemakanannya malah bulan puasa dikira sebagai satu terapi bagi kelestarian sistem penghadaman yang telah dibuktikan oleh fakta saintifik dan empirikal. Malangnya puasa hanya sempurna dalam mengisi masa 12 hingga 13 jam di siang hari untuk menahan perut, tatkala masa berbuka puasa nafsu selera kembali mengambil tempatnya dengan menjamah segala menu yang terhidang atas meja yang tidak cukup tampungnya. Hikmah puasa untuk merasa lapar dahaga derita orang miskin rupanya hanya untuk masa siang sahaja, ketika malam menjelang semua bertukar mengambil nikmat orang kaya-raya.

Bagai mahkluk karnivor yang menunggu masa meratah ‘rezeki’ di depan mata, akhirnya kita tewas dengan makanan yang tidak bersisa. Di bulan Ramadan yang mulia, sabda baginda hanya dipakai sebahagian iaitu “makan semasa lapar” dan “berhenti sebelum kenyang” seperti tidak pernah kedengaran.

Pakar pemakanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Norimah A Karim hanya mampu menggeleng kepala saat diaju bicara tentang puasa dan pemakanan rakyat Malaysia. Seperti kata pepatah, “Sekali air bah, sekali pantai berubah”
, budaya dan tabiat pemakanan dahulu dan sekarang baginya banyak berbeza.

“Budaya pemakanan rakyat Malaysia telah jauh berubah. Bazar ramadan di kaki lima dan bufet ramadan di hotel bagai berpesta 30 hari 30 malam. Kalau anda tengok mesti rambang mata, semua hendak dicuba rasa sebab hanya sebulan di bulan ramadan boleh ditemui menu istimewa dari seluruh negara,”

“Puasa sepatutnya memberikan manfaat kesihatan dengan menjadikan tubuh badan kita lebih ideal. Tetapi jika anda berbuka puasa dengan makan lebih dari kadar biasa seperti makan tengah hari yang sepatutnya ia tidak memberikan sebarang makna. Ditambah dengan sambungan pesta makan di rumah terbuka semasa hari raya, saya jamin selepas itu anda akan jadi lebih gemuk,” selorohnya selamba.

Baginya perubahan budaya pemakanan mesti bermula dari dalam rumah. Pengguna tidak boleh mengawal keghairahan ruang pamer peniaga sebaliknya mereka boleh mengawal diri sendiri dengan mendisiplinkan diri memakanan makanan yang perlu sahaja. Malah lebih menyihatkan dengan penyediaan ‘air tangan’ sendiri, selain manfaat dari sudut psikologi, kandungan makanan boleh disukat kawal.

“Untuk membekalkan tenaga bagi berpuasa bersahurlah dengan makanan bijiran seperti oat, roti susu penuh dan buah-buahan sementara berbuka dengan menu lebih berat tetapi masih denan diet seimbang,” syornya untuk mengekalkan kesihatan bagi berpuasa di siang hari dan menunaikan ibadah di malam hari.

Ketua Jabatan Perubatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sajaratulnisah Othman pula melihat bahawa puasa adalah terapi kesihatan terbaik untuk keluarga. Puasa bukan sahaja bulan mendidik kerohanian tetapi juga pendidikan kesihatan seisi rumah.

“Bagi bapa yang merokok, Ramadan seolah satu proses terapi anti ketagihan merokok. Jika mereka boleh berhenti merokok untuk 13 jam di siang hari mengapa tidak dilanjutkan untuk malam hari dan hari-hari berikutnya selepas bulan Ramadan?” ujarnya yang mencabar para bapa menjadi contoh tauladan kepada anak-anak.

"Faktor penentu adalah bukan hanya kepada perbuatan semasa berpuasa tetapi kepada apa yang dimakan semasa berbuka dan bersahur," tambahnya sambil mengingatkan bahaya tersalah makan boleh memudaratkan kesihatan.

"Dengan pemakanan yang betul, seseorang dapat menurunkan berat badan, kadar lemak dan gula di dalam darah serta tekanan darah. Berpuasa adalah satu pengalaman fizikal dan spiritual yang memerlukan persediaan. Jika seseorang tidak sihat, mereka boleh berbincang dengan doktor untuk melaraskan pengambilan ubat dengan kegiatan berpuasa."

Begitu juga dengan para ibu, inilah masa yang sesuai bagi menyusun semula pola pemakanan keluarga. Ia juga boleh menjadi contoh tauladan kepada anak-anak sebagai generasi mendatang dalam pengurusan rumah tangga. Dapatan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) III yang dijalankan di seluruh negara pada 2006 yang mendapati satu daripada lima kanak-kanak Malaysia mengalami masalah pemakanan iaitu berat badan dan ketinggian yang tidak sepadan dengan usia mereka.

Rencana “Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence” oleh Dr Janelle Coughlin dari Pusat Penyelidikan Rohani dan Jasmani, Universiti Johns Hopkins, yang menyenaraikan tiga faktor menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

“Pertamanya ibubapa perlu menyediakan pilihan alternatif makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, yogurt dan kismis. Kedua menyediakan sendiri makanan kegemaran anak-anak dengan pilihan bahan dan masakan yang lebih berkhasiat. Ketiga dengan berbuka dengan anak-anak dengan memberikanlah lebih masa berkualiti bersama mereka,”
ujarnya lagi.

Ia selaras dengan dapatan The American Academy of Peadiatrics yang mengesyorkan ibu bapa menyusun atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharia dengan menentukan apa yang dimakan, di mana dan bila.

Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), Tan Yoke Hwa Pengarah Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia melihat puasa sebagai satu disiplin bagi pesakit yang memerlukan kawalan makanan harian malah baik untuk pendekataan pencegahan sebagai perlindungan awal daripada penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis dan diabetis.

“20 tahun dahulu kita berhadapan dengan masalah kurang vitamin tetapi hari ini kita berhadapan dengan masalah kegemukan dari lebihan kalori. Orang dahulu makan seperti kita juga cumanya mereka kuat bekerja dengan fizikal jadi lebihan kalori akan terbakar dengan sendiri. Bayangkan dengan kita yang lebih banyak menonton televisyen hanya mampu membakar satu kalori untuk satu minit iaitu sama dengan apa yang berlaku ketika kita tidur,” tegurnya tentang masalah kesihatan rakyat Malaysia.

Hakikatnya tubuh manusia memerlukan kalori untuk berfungsi mengekalkan rentak jantung, mengepam darah dan melancar sistem pernafasan. Namun pengambilan kalori secara berlebihan tanpa membakarnya melalui aktiviti kecergasan fizikal hanya menepukannya dalam bentuk lemak yang akan menambahkan berat badan.

Baginya sebagai pengguna kita perlu lebih prihatin dengan fakta nutrisi setiap pemakanan yang diambil supaya menjadi diet yang sihat. Bukan sahaja nilai kandungannya tetapi juga nilai berubah dalam bentuk lain sepertri satu gram karbohidrat atau protein menghasilkan empat kalori sementara satu gram lemak mempunyai sembilan kalori.

“Ambil contoh telur. Telur rebus menghasilkan 70 kalori sementara telur goreng 205 kalori. Begitu juga dengan kolestrol hanya ada dalam bahagian kuning telur bukan bahagian putih. Tetapi masalahnya orang Melayu suka makanan makanan bergoreng. Jika boleh bulan puasa digunakan untuk mengubah cara penyediaan makanan. Kaedah masak secara rebus dan stim adalah lebih baik,” cadangnya.

“Sebenarnya tanpa puasa, badan masih boleh kekal sihat dengan pengambilan makanan berjadual, diet seimbang dan sihat. Kita makan sedikit mengikut kapasiti keperluan tubuh dan bukan mengikut selera. Bukan untuk bulan puasa sahaja, bulan-bulan berikutnya juga kita perlu lebih mendisiplinkan diri.”

Justeru bulan puasa sebenarnya bukan memerlukan kita berlapar dahaga sahaja pada siangnya tetapi juga perlu meneruskan disiplin dan adap makan untuk malam hari supaya kesan yang diharap dalam ibadah ketiga umat Islam itu mencapai sasarannya. Jadi jika kita sudah arif dengan ilmu berpuasa di siang hari, apa kata kita belajar ‘berpuasa’ ketika berbuka iaitu dengan mengambil makanan seminimum mungkin sekadar yang diperlukan oleh tubuh badan.

KENAPA KURMA?


Oleh: Faizal Riduan

Ingat Ramadan beerti ingat kurma dan ingat kurma beerti ingat Ramadan. Bulan Ramadan dan kurma antara dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Seakan menjadi unsur penyatu, kurma boleh ditemui di mana-mana sepanjang bulan puasa dari pasar-pasar tradisional sampai ke gedung beli-belah mewah. Malah kurma juga terdiri daripada pelbagai rencam jenisnya di seluruh dunia. Yang paling terkenal ialah Aabel dan Haleem dari Libya, Ajwah dan Barakah dari Arab Saudi, Amir Hajj dari Iraq, Hayany dari Mesir, Abid Rahim, Bireir dan Barakawi dari Sudan serta Deglet Noor dari Algeria, Tunisia atau Amerika Syarikat.

Terdapat 21 ayat dalam al-Quran dan tidak kurang dari 263 ayat dalam hadis yang menyebut tentang khasiat manfaat kurma. Maka menglokaliti kurma sebagai sunah Rasulullah SAW yang berbangsa Arab atau nilainya yang telah ketinggalan zaman adalah kurang tepat kerana buah seribu khasiat ini sudah dibuktikan pakar dalam bidang mereka. Keistimewaan kurma difirmankan Allah SWT dalam Surah al-Mukminah ayat 19, “Kemudian kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan.”

Riwayat Ahmad dan Tarmizi, “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (buah kurma segar dari pokok yang sudah masak tetapi belum dikeringkan) sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji kurma dan sekiranya tiada kurma, maka baginda minum beberapa teguk air.”

Namun sebelum kelahiran Baginda, khasiat kurma telah dirakam Allah SWT dalam bantuannya kepada Siti Maryam AS ketika hendak melahirkan Nabi Isa AS sebagaimana dalam firmannya di dalam Surah Maryam ayat 25 dan 26, “... Dan gegarkanlah ke arahmu batang kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.”

Kajian saintifik kemudiannya membuktikan bahawa kurma sememangnya baik untuk kaum ibu. Menurut Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam bukunya “Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangannya” menjelaskan jus kurma membantu cengkaman rahim sewaktu proses kelahiran, memperkuat urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan mempermudah proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan sistem organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi. Unsur zat besi dan kalsium di dalam kurma itu juga penting dalam pembentukkan kandungan susu ibu selain berperanan untuk pertumbuhan kanak-kanak damit, pembentukan darah dan sumsum tulang. Bahkan di dalam kurma terdapat semacam hormon (potuchsin) yang boleh menciutkan pembuluh darah dalam rahim sehingga boleh mencegah pendarahan rahim.

“Amalan Rasulullah SAW memakan kurma adalah baik kerana ia mengandungi karbohidrat tinggi dan asid amino seperti triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan,” hujah Dr Suriya Osman menyokong Surah Maryam ayat 26. Menyedari hakikat itu, Rasulullah SAW bersabda, ".... Beri makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah kurma tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang yang penyabar dan bersopan-santun, kerana makanan Siti Mariam AS ketika melahirkan nabi Isa AS adalah buah kurma. Sekiranya Allah ada menjadikan sesuatu buah yang lebih baik daripada kurma, sudah tentu Allah SAW telah memberi makan (kepada Siti Mariam A.S)."

Kurma sesungguhnya adalah antara buah terbaik yang diciptakan Allah SWT untuk seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan negara. Data Organisasi Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) pada tahun 2005 menunjukan 10 negara penghasil kurma terbesar dunia ialah Iraq, Arab Saudi, Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Pakistan, Sudan, Libya dan China. Dengan sejarah panjang sebagai makanan ruji masyarakat di Asia Barat sejak ribuan tahun lampau, kurma yang berasal dari tumbuhan liar di Teluk Parsi telah ditanam sejak zaman Mesopotamia ke prasejarah Mesir berkemungkinan seawal tahun 6,000 sebelum masihi dengan penemuan bukti arkaeologi pada penanaman kurma di Arabia Timur. Suku Arab kemudian menyebarkannya ke sekitar Asia Selatan dan Asia Tenggara, Afrika Utara dan Sepanyol. Ia turut diperkenalkan di Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada tahun 1765 iaitu semasa Misi San Ignacio.

Jean Carper dalam bukunya, “Food, Your Miracle Medicine” menyatakan bahawa kurma mempunyai kandungan salisilat atau aspirin semulajadinya yang tinggi. Ia adalah baik sebagai rawatan pencegahan dari mengubat kesan akibat penyakit. Buah kurma dikira sebagai sebahagian daripada makanan yang terkaya dengan gula glukosa. Jadi, ia adalah makanan terbaik yang diberikan kepada tubuh ketika itu. Dr Anwar El Mufti dari Mesir menjelaskan bahawa kurma mengandungi zat gula paling banyak iaitu 70 peratus. Dengan nisbah kandungan gula yang tinggi itu, glukosa membentuk 55 peratus manakala fruktosa sebanyak 45 peratus daripadanya, ditambah pula nisbah daripada protein-protein, lemak, sebahagian vitamin dan mineral. Fruktosa ini kemudian akan bertukar kepada glukosa dengan kadar segera dan kemudian diserap secara langsung daripada sistem penghadaman bagi menghilangkan keadaan terdesak tubuh yang memerlukan tenaga.

Kajian kimia dan fisiologi oleh Dr Ahmad Abdul Ra’ouf dan Dr Ali Ahmad Syahhat menunjukan bahawa kurma ialah makanan berserat tinggi, mengandungi kalsium, potassium, folate, vitamin A, B, B1, B2, B3, C dan E malah ia bebas lemak dan kolestrol. Ia juga amat membantu mencegah penyakit kronik seperti sakit jantung dan kencing manisa selain boleh mengurangkan kesan penyakit anemia dan pucat pada tubuh badan.

Menurut Pengarah Am Yayasan Pemakanan British, Dr David Conning, segelas air yang mengandung glukosa akan menyerap ke dalam tubuh antara 20 hingga 30 minit tetapi gula yang terkandung dalam kurma mengambil masa lebih lama iaitu dalam tempoh 45 hingga 60 minit. Oleh yang demikian, kurma bukan sahaja sesuai untuk berbuka tetapi juga untuk bersahur kerana buh kaya dengan serat ini boleh memberikan daya tahan kepada badan.

Pengambilan kurma sebanyak 65 gram atau lima biji sehari akan membekalkan 400 mg kalium yang boleh mengurangkan 40 peratus risiko serangan penyakit strok . Menurut pakar penyakit darah tinggi, Dr Louis Tobian dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat kandungan kalium ini membantu menurunkan tekanan darah dan membekalkan tenaga untuk mencegah strok secara langsung. Bagi membuktikan hipotesisnya, Dr Louis Tobian melakukan eksperimen kepada dua kelompok tikus yang terkena hipertensi dengan satu kelompok diberikan diet tinggi kalium sementara kelompok satu lagi diberikan diet kalium normal. Hasilnya tiada seekor tikus dalam kelompok tikus yang mendapat kalium tinggi mengalami pendarahan otak manakala 40 peratus kelompok tikus yang mendapat kalium normal mengidapi strok ringan melalui pendarahan otak.

Dengan sebegitu banyaknya manfaat khasiat kurma maka ia tidak wajar lagi dikunyahkan semasa bulan ramadan sahaja. Umat Islam perlu mentradisikan kurma sebagai ‘pencuci mulut’ semasa makan atau menggantikannya sebagai makanan ringan yang rata-rata sedia ada mengandungki karbohidrat, gula, garam, lemak, pewarna dan perasa tiruan yang boleh membawa pelbagai komplikasi penyakit. Peri penting kurma untuk seisi rumah ini diperihalkan oleh Rasulullah SAW, “Rumah yang tidak ada kurmanya seperti rumah yang tiada makanan.”

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.