30 November 2009

GURU TIDAK BERSEKOLAH!


Sebolehnya saya tidak mahu mengenang pengalaman lalu yang pahit apatahlagi peristiwa semasa zaman kanak-kanak yang telah dua dekad ditinggalkan. Saya mahu membuangnya jauh seolah-olah saya tidak pernah menjamahnya. Saya tidak mahu semungkin boleh untuk pancaindera saya bertindak balas pada rasa pahit yang merenyuk wajah. Sebagai orang muda saya hanya mahu mengingati pengalaman hidup yang manis-manis belaka seperti kegilaan saya pada coklat Tora dan Dindang semasa kecil!

Begitulah cara saya melupakan masa lalu yang tidak enak untuk dihadam semula setelah dimuntahkan. Namun tatkala membaca berita adik Nur Izzati Azahar dari Sekolah Convert Tarcision yang mendapat 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tetapi gagal mendapatkan slip peperiksaannya hanya kerana ibu bapanya seorang pekerja kilang dan pemandu lori masih berhutang yuran sekolah sebanyak RM57 cuma, ia memaksa saya menelan semula rasa pahit yang telah lama tidak bersisa.

"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," kata adik Nur Izzati dalam sebak tangis penuh motivasi benar-benar menyentak dan merobek hati kecil saya. Tiba-tiba pengalaman pahit yang telah saya lupakan rasa hempedunya datang meloyakan tekak.

Saya masih teringat betapa riangnya saya di hari graduasi Tadika Kemas Kampung Sungai Kertas pada penghujung tahun 1987. Waktu itu saya sedar yang saya tidak dibekalkan dengan jubah dan topi empat segi (mortar board) dari kain satin berwarna merah dan hitam seperti rakan sebaya yang lain. Sungguh! Saya redha untuk menaiki pentas graduasi dan mengambil sijil tadika tanpa pakaian rasmi serba indah dalam persalinan seragam serba merah hitam.

Saya insaf bahawa itu adalah hukuman terbaik untuk ‘kesalahan’ mak dan abah yang tidak membayar tungakkan yuran tadika selama tiga bulan namun saya juga tidak sampai hati menyalahkan mereka yang memilih untuk membeli sepot beras yang panas nasinya tidak boleh pula selera perut kami adik-beradik tangguhkan. Waktu itu, saya hanya tahu mengeja ‘hutang’ tanpa memahami maksud dan kesan akibat daripadanya. Yang saya tahu ialah majlis graduasi tadika adalah untuk meraikan tamat persekolahan tadika sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu di sekolah rendah – noktah! Dengan itu, saya tanpa rasa bersalah berseorangan ke majlis graduasi tanpa mak dan abah.

Namun tatkala melihat rakan sebaya lain beratur mengikut susunan abjad nama mereka, guru yang mengajar saya mengenal huruf dan angka rupanya mencicirkan nama saya tanpa nombor dari menyertai barisan yang menunggu giliran untuk naik ke atas pentas Dewan Orang Ramai yang dipinjamkan khas itu. Saat itu, saya dapat merasakan kecilnya jiwa dalam tubuh kerdil saya mungkin rasa yang sama dirasa adik Nur Izzati tempoh hari.

Bezanya sebagai seorang budak lelaki, saya dibesarkan untuk ‘kuat semangat’ dan melihat rakan sebaya bergraduasi dari tingkap kaca di sudut belakang luar dewan, sempat saya tersenyum sendiri membayangkan indahnya jikalau saya ditauliahkan sijil di atas pentas oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Tadika Kemas, sosok tokoh yang paling besar dalam hidup ketika itu. Tetapi hakikatnya, jauh terasing dari keriuhan di dalam dewan, hati saya mengesak tangis dan saya berlari pulang tanpa sebarang kata-kata – diam kadang kala umpama kesepian yang mendamaikan!

Hari ini saya meluahkan kisah hitam saya 22 tahun yang lalu bukan kepada mak dan abah yang tahu tetapi tidak pernah memberitahu mengenai lewat lembaran surat-surat peringatan yang dikirim tanpa belas ihsan sedangkan rumah Pengerusi Tadika Kemas hanya selang sebuah rumah daripada rumah kayu beratap zink tempat kami berteduh di atas tanah setinggan milik kerajaan untuk dia mengambil tahu jika mahu.

Sebab itu, sehingaa saat ini saya masih fobia dengan nama Cikgu Bainun, guru tadika saya yang tidak pernah berbuat apa-apa untuk menyelamatkan hak seorang murid tadika seperti saya untuk hanya naik ke atas pentas dan mendapat sijil tadika seperti rakan sebaya yang lain. Kesannya saya rasai semasa hari raya zaman kanak-kanak lagi, sayalah satu-satunya murid yang tidak ghairah untuk berlari ke rumah guru pertama saya itu.

Apabila membaca perumpamaan cikgu seperti ‘sebatang lilin yang membakar diri’, saya rasa ironis kerana tanggapan pertama saya kepadanya seperti ‘sebatang lampu kalimantang yang menyala apabila dipetik dengan bil elektriknya dibayar’! Malah saya menangis setiap kali membaca kata-kata Saidina Ali bahawa “aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarku walau satu huruf” kerana sesungguhnya “aku tidak bersedia untuk menjadi hamba kepada orang yang mengajarku berjiwa hamba” – maafkan saya Cikgu!

18 November 2009

RESENSI : MENAKHODA ZAMAN BERSAMA BAHTERA NAJIB TUN RAZAK



Oleh: Faizal Riduan

Selepas setengah tahun menakhoda kerajaan dan menentukan layar tuju negara selepas tsunami politik yang nyaris menenggelamkan bahtera UMNO dan BN, pelancaran buku “Menakhoda Zaman - Helming The Time” bagaikan kena pada masanya sebagai satu dokumen penting merakam legasi perjuangan Najib lebih 33 tahun yang lalu. Pemilihan tajuk buku ini adalah berdasarkan kepada tajuk ucapan yang sama bagi perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Perhimpunan Agung UMNO ke 59 pada 29 Mac 2009 dan merupakan ucapan terakhir beliau atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malah pemilihan kata ‘menakhoda’ seolah proses imbas kembali mengingati peranan BN yang dahulunya dikenali melalui simbol kapal layar sebelum bertukar kepada simbol dacing.

Buku yang mengandungi 11 bab ini adalah pecahan daripada lima buah ucapan beliau sepanjang separuh dekad sebagai orang nombor dua dalam parti terbesar yang mewakili orang Melayu itu iaitu “Menakhoda Zaman” (2009), “Mengangkasa Tamadun Bangsa” (2007), “Memacu Minda Melayu” (2006), “Menjana Melayu Glokal” (2005) dan “Kesinambungan dan Perubahan” (2004). Jika anda mengharapkan menjumpai tema terbaru Perdana Menteri ke-enam itu, “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, maka anda perlu menunggu ia mungkin keluaran buku beliau yang akan datang. Tema pokok inti pati ucapan beliau ini dikekalkan dengan pengolahan semula bagi penyesuaian bentuk teks penerbitan yang lebih mesra khalayak pembaca.

Namun jika Prof Wan Hashim Wan Teh menyifatkan “Menakhoda Zaman” setaraf buku Tun Dr Mahathir Mohamad, “The Malay Dilemma”, sisi lain perlu dilihat ialah ketika mana “The Malay Dilemma” menyalahkan satu pihak lain di dalam parti, buku “Menakhoda Zaman” menunjukkan sifat rendah diri dan berjiwa besar dengan merakam pengakuan berani mati sebagai satu proses muhasabah yang jujur dan berterus terang. Di sisi ini, penulisnya dilihat sebagai mewakili campuran ciri-ciri mantan PM terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad dalam analisisnya terhadap dua krisis kepimpinan parti yang ditolak pada zaman dua zaman yang berbeza. Malah penerbitan buku ini dengan pendahuluan dalam bahasa Melayu menunjukan hakikat ia disasarkan kepada semua ahli parti itu secara inklusif sehingga 3,000 naskah diedar secara percuma kepada perwakilan Persidang Agung UMNO Ke-60.

Pendapat Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron bahawa buku ini adalah mencontohi buku “The Audacity of Hope” tulisan Barrack Obama masih boleh diterima walau perbezaannya masih ketara. Obama yang berjaya mengubah warna ‘white house’ sejak 232 tahun dengan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dari sudut konseptual ideanya mempunyai persamaan dengan tesis “Menakhoda Zaman” tetapi dari sudut penulisan ternyata masih jauh berbeza apabila tulisan Dato’ Seri Najib nyata lebih formal dengan kerangka rencana berat sedangkan tulisan Obama secara santai dan bersahaja. Malah perbezaan itu nampak ketara apabila buku Dato’ Seri Najib diilhamkan semasa beliau menjadi PM-in-Waiting sedangkan Obama masih bergelut untuk mencari sokongan yang asalnya mustahil baginya yang mewakili golongan minoriti kulit hitam di negara kuasa dunia itu.

Lebih kritis lagi, buku ini mengemukakan satu analisis bedah siasat kelemahan-kelemahan UMNO dan kemudian secara bertanggungjawab menampilkan pendekatan proaktif bagaimana UMNO perlu berubah menghadapi cabaran besar bagi kembali ke arus perdana lautan politik sebagai teras kepada perpaduan bangsa Malaysia. Tanpa melupakan sejarah masa silam orang Melayu dan kejayaan UMNO melakukan tranformasi sosial dalam sistem masyarakat tersebut, beliau masih sempat memberikan peringatan agar UMNO sentiasa merakyatkan perjuangannya supaya tidak ditolak rakyat sebagaimana terjadi kepada kebanyakkan parti politik pengasas kepimpinan negara di dunia yang tersungkur daripada kerusi pemerintahan. Maka padanlah buku ini dilancarkan beberapa hari sebelum pindaan perlembagaan UMNO bagi memastikan parti tertua itu kekal relevan dalam arus politik kebangsaan.

Jika Datuk Siti Nurhaliza sanggup berbaris beratur panjang untuk menjadi antara 100 orang pembeli buku pertama semasa pelancaran semata-mata untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib, mengapa tidak anda kerana buku yang diterbitkan 10,000 naskah ini membolehkan anda memahami kerangka pemikiran, wawasan dan mengenali sosok perjuangan penulisnya yang bernama Dato’ Seri Najib.

09 November 2009

APRESIASI : TENTANG BULAN



Oleh: Faizal Riduan

Bulat bulan di awangan,
Beradu diam atas kayangan,
Terang dalam kelam malam,
Timbul dalam tenggelam hitam,

Dalam kerdipan tak terbilang bintang,
Satu bulan cukup menyinar alam,

Mengapa perlu aku menunggu malam?
Disumpah lena kesiangan kau hilang,
Kujejak subuh di mana kau tenggelam?
Kususur senja kau timbul dari belakang,

Kau tetap sang bulan yang rupawan,
Sedang aku si pungguk liar di hutan.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.