25 Januari 2010

KERANA DIRIKU BEGITU BERHARGA

Mengambil inpirasi iklan produk kecantikan Loreal, “Kerana dirimu begitu berharga” maka untuk pertama kali dalam sejarah hidup 29 tahun saya kini berasa jasad tubuh saya mempunyai cagaran sebagai galang ganti jika berlaku malapetaka yang tidak diingini. Saya tidak mahu sekadar ‘mati katak’ kerana sedar sukarnya mak dan abah membayar duit pengeras bidan yang menyambut kemunculan saya untuk pertama kalinya ke dunia pada 12 Julai 1981.

Tentunya dengan rasa insaf saya menyesali sepanjang membina kerjaya lima tahun ke belakangan ini, saya terlepas pandang tentang kedudukan saya sebagai sandaran keluarga yang sebelumnya telah membesarkan saya dengan bersakan habis dan bergadai golok. Dalam usia menginjak tiga dasawarsa, rambut memutih di ubun-ubun mak dan abah menyebabkan saya sebak setiap kali melihat mereka lena usai saya pulang ke rumah di penghujung malam. Dalam dengkur nyenyak entah apa mimpi mereka agaknya? Hakikatnya hari esok ketika mereka membuka mata mereka sendiri sukar menjangkakan apa-apa.

Sedetik itu, saya termenung menyiku dagu dengan penuh rasa ragu, “Apakah akan terjadi jika saya pergi dahulu sebelum sempat membalas jasa mereka?”, "Di manakah tempat untuk mereka bergantung harap nanti?" dan "Bagaimanakah kesudahan perjalanan sisa hidup mereka di penghujung usia?" Sedang kalau adapun hayat yang panjang entah bila akan terlunas segala hutang piutang biologi yang saya warisi. Oleh itu saya dedikasikan insurans 2 dalam 1 – ‘simpanan dan perlindungan’ kepada mak dan abah sebagai saguhati tanda kenang-kenangan saya di dunia untuk mereka.

Jika pendek umur, saya pergi mendahului mereka maka dapatlah sedikit pemberian ini mengubat rindu mereka persis mencium wajah saya di Hajar Aswad ketika menunaikan ibadah haji ke Makkah dan mereka boleh berlibur lancong setelah seumur hidup mereka mensyurgai rumah kami sekeluarga di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. Begitu juga dengan adik-beradik yang telah saya hibahkan bahagian mereka sebagai tanda kasih untuk saguhati duniawi.

Alhamdulillah awal tahun baru 2010 ini, Allah SWT mengangkat sedikit rezeki saya dengan harga dunianya RM100,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Ribu sahaja). Sebenarnya harga diri kita tentunya lebih daripada itu! Duit sebanyak RM100,000.00 itu tentunya tidak setimpal untuk membayar segala nikmat kita di dunia yang dipinjam-pinjamkan.

Sebagai pemegang amanah saya berharap sang singa dalam logo korporat syarikat insuran ING akan sentiasa menjadi ‘hero’ saya sama seperti watak ‘Simba’ dalam “The Lion King” dan watak ‘Aslan’ dalam “The Chronicles of Narnia” atau paling tidak watak ‘Alex’ dalam “Madagascar”.

12 Januari 2010

AIR TANGAN KHADIJAH'S KITCHEN

Bak kata pepatah pepitih, "rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari", saya bagaikan bermula dengan langkah kanan apabila diundang ke Majlis Makan Malam Bersama Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir di restoran Khadijah'S Kichen, Petaling Jaya. Tragisnya beberapa bulan dahulu, saya kempunan dengan selera yang tidak kesampaian ala cerita Melayu klasik "Batu Belah Batu Bertangkup" yang menyaksikan sang ibu merana meliur telur ikan 'Tembakul'. Begitulah perasaan saya ketika itu tatkala sampai di muka pintu restoran berpapan tanda hijau putih di dapati ia ditutup pada hari berkenaan walhal saya memandu dari Batu Caves ke Petaling Jaya semata untuk merasa air tangan Dato' Khadijah Ibrahim. Saat itu rasanya seolah pinggan terhempas ke lantai, berderai kaca yang pecah seribu begitulah hancurnya hati saya!

Ah! Saya berazam selepas itu tidak mahu lagi menurut kehendak selera tekak saya yang rencam tidak menentu ini seperti kata orang-orang tua, "ikut hati mati, ikut rasa binasa" dengan tambahan sendiri "ikut selera lara". Namun rupaya Allah SWT ada kejutan-Nya sendiri dengan selang beberapa bulan kemudian saya diundang bertandang dalam jamuan makan malam khas yang ditutup pula pada orang awam. Malah ianya percuma ditaja oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Kedah! Bagaikan tidak percaya begitulah ajaibnya kuasa Illahi, ia datang tanpa dapat dibayangkan. Apapun terima kasih Datuk dan mereka yang Allah SWT bisikkan hatinya mengundang saya sekali. Murah rezeki Datuk jangan lupa pelawa lagi!

Kebetulan hari itu saya berpuasa jadi sememangnya saya menikmati setiap hidangan sehingga menjilat jari tanpa bersisa! Hampir semua menu saya mencuba dari lauk pauk sehingga ke pencuci mulut semua menyenakkan perut. Adap berbuka puasa cara Nabi SAW, "makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang" hilang ke mana dan pahala puasa tersebut entah ada entah tidak gamaknya. Walau dengan dekorasi restoran yang tampak mewah dan kontemporari tetapi saat menyua makanan di hujung mulut, lidah cepat menangkap keaslian citarasa dalam himpunan resepi tradisi yang diwarisi Dato' Khadijah dari kutub khanah pusakanya. Siapa kata artis hanya boleh memegang mikrofon sahaja? Datuk (baca Chef) Khadijah membuktikan tangan beliau tidak kekok beraksi dengan sudit, senduk dan belanga.

Malah sebagai menghargai jemputan tersebut, untuk pertama kalinya dalam seumur hidup, saya menyumbangkan suara 'emas' semasa sesi karaoke dengan lagu klise saya - "Kau Pergi Jua" nyayian Adam Ahmad. Namun yang paling mengujakan apabila mendengar nyayian Datuk Khadijah secara 'live' untuk pertama kali dengan lagu berhantunya, "Doa Buat Kekasih". Masih tidak berubah dengan suara asal beliau ketika merakamkan lagu ini hampir 20 tahun yang lalu! Bergetar bulu roma mendengar beliau mengalunkan bait pertama,

"Andainya aku bertanya,
Padamu tentang bahagia,
Di mana nilai setia,
Di manakah puncak cinta?"

Seakan menyambut di dalam hati, malam itu seolah roh Ramli Sarip menjelma meresap dalam batang tubuh. Saya menyambung bait tersebut dalam khayal minda separuh sedar,
"Mahukah engkau mengerti,
Harapan serupa mimpi,
Ianya dapat terjadi,
Atau hilang tak berganti."

Sebenarnya lagu ini bukan saya nyayikan di mulut tetapi lebih jauh di lubuk hati. Menghayati bait-bait seni katanya sedalam mungkin membuatkan saya bertanya sendiri, "Betulkah cinta, setia dan janji boleh terjadi seperti di dalam mimpi?" Saya menampar pipi sendiri untuk kembali melihat alam realiti. Rupanya umur saya telah menginjak ke 29 tahun untuk tahun baru 2010, saya masih di sini menanti tanpa pasti. "Saya mesti berubah hari ini untuk mencari penganti!", bisik saya di dalam hati.

09 Januari 2010

RESENSI: MASINNYA MULUT IBU


Oleh: Faizal Riduan

‘Kasih ibu membawa ke syurga,’ begitulah indahnya kata fatwa pujangga seperti juga perumpamaan ‘syurga terletak di bawah telapak kaki ibu’. Malah tidak hairanlah hadis riwayat Bukhari dan Muslim merakam jawapan Rasulullah SAW menyebut nama “ibumu, ibumu, ibumu” pengulangan berganda tiga bagi soalan yang sama iaitu siapa yang paling berhak untuk dipatuhi?

Dalam hadis Rasulullah SAW yang lain baginda bersabda “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya” dan “Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua”. Begitu juga dalam Surah al-Baqarah ayat ke 83, Surah an-Nisak ayat ke 36 dan Surah al-Israk ayat ke 23 di mana Allah mengkehendaki hambanya mengesakan-Nya dan kemudian berbuat kebaktian kepada kedua orang tuanya. Justeru keberkatan ibu bapa saling tidak tumpah semulia syafaat nabi dan keredhaan Illahi.

Walaupun Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun, namun buku “Dahsyatnya Doa Ibu” tidaklah terlalu awal untuk diulas tatkala membaca tajuk muka depan akhbar kompak nombor satu – Metro, “Aksi Jijik Si Derhaka” pada 21 Disember 2009 yang melaporkan tentang kisah benar anak derhaka yang tergamak membuang ibu mereka ke rumah orang tua tetapi sanggup pula muncul di hari pengebumian ibunya semata untuk berebut harta pusaka!

Namun ini tidaklah bermakna buku ini disyorkan untuk anak-anak ala Si Tanggang. Sebenarnya buku ini sesuai untuk sesiapa juga yang merasakan mereka ‘beribu’ atau berhasrat menjadi ‘anak soleh’. Dalam kesibukkan mengejar dunia kadangkala tanpa sengaja kita meletakan prioriti lain dalam kehidupan, ibu entah tempat tercorot ke berapa dalam senarai terbawah? Buku ini mampu meletakkan semula kedudukan ibu di tempat yang selayaknya.

Ia menyingkap rahsia keberkatan doa ibu yang terus diangkat ke langit yang ke tujuh sampai ke arasy tuhan. Pembuktian dahsyatnya doa ibu seperti dalam kisah kelahiran Maryam ibu Nabi Isa AS di mana ibunya Hanah yang kepingin mengandung tatkala melihat kejadian seekor burung memberi makan kepada anaknya menggunakan paruhnya lantas berdoa “Ya Allah, kurniakanlah seorang anak kepadaku”. Tanyalah ibu anda pastinya kelahiran anda satu masa dahulu satu anugerah terindah mereka suami isteri.

Begitu juga dalam kisah fitnah Saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW berzina dengan Safwan yang menyebabkan baginda berdukacita keliru dalam diam diri. Doa dalam tangis ibu Saidatina Aisyah, Ummu Rumman “Ya Allah mudahkanlah cubaan ini ke atas puteriku. Engkau lepaskanlah tuduhan yang ditujukan kepadanya” disambut oleh Allah SWT melalui wahyunya dalam Surah an-Nur yang membebaskan Aisyah dari fitnah yang keji. Malah di akhir hayat ibu mertuanya, Baginda menyamakannya dengan wanita dari syurga.

Kisah lelaki panjang umur dan awet muda pula yang hidup 1,500 tahun di dalam kubah di dasar lautan yang dibina dari mutiara putih dengan empat pintunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batuan hijau berkatnya menjaga ayah yang lumpuh dan ibu yang buta selama tujuh tahun sehingga ke akhir hayat mereka. Nabi Sulaiman yang kagum melihat keajaiban Allah SWT memakhbulkan doa ibu pemuda tersebut “Ya Allah panjangkan umur anakku... Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat menganggunya”.

Nah! Tanpa hijab doa ibu terus berkomunikasi dengan tuhan bukan? Bukanlah susah untuk berbakti kepada orang tua sehingga sekadar memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang, Allah SWT memberikan ganjaran seperti beribadah haji mabrur kata Rasulullah SAW.

Kisah balasan menderhaka kepada ibu bapa dalam rakaman sejarah silam dapat dilihat dari kisah Alqamah yang tidak boleh mengucap dua kalimah syahadat, Juraij seorang rahib yang difitnah berzina, Malim Kundang yang disumpah menjadi batu, lelaki berkepala keldai keluar dari kubur dan mendengking, ahli perniagaan yang terpotong tangan, ulama kudung kedua-dua kaki dan tangan serta matanya dicungkil dan beberapa kisah benar dunia moden iaitu cerita Rosli mati berdiri dengan satu kaki, Salmah susah melahirkan anak, Saiful lumpuh, Shima meninggal dunia dilangkahi ibunya dan Budin meninggal dunia dengan perut keras membatu. Tiba-tiba bulu roma meremang terasa sayu dan kasihan membaca kesudahan hidup penderhaka ibu bapa namun dihujung cerita itulah ‘hukum karma’nya – padan muka!

Malah ketika membaca kisah tauladan para nabi yang memuliakan ibu bapa lewat pujian tuhan dalam Surah Maryam terhadap Nabi Yahya dan Nabi Isa yang berbakti kepada orang tuanya dan Surah Yusuf terhadap Nabi Yusuf yang menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Kata-kata Nabi Ismail sebagai pematuhan perintah Allah SWT kepada ayahnya Nabi Ibrahim, “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu kelak mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar” benar-benar meruntun hati bagaimana kisah ketaatan seorang anak. Terdetik di dalam hati jika kita mengambil tempat Nabi Ismail adakah kita terus bongkok berdiri atau telah memula seribu langkah mencabut lari?

Jadi ada baiknya buku ini menjadi koleksi bacaan wajib anak-anak anda. Jika anak anda masih berkelakuan melencong dari panduan buku tersebut, minta mereka membaca buku tersebut sekali lagi!

07 Januari 2010

SEBAT SYARIAH TIDAK SAMA SEBAT SIVIL


Oleh: Faizal Riduan

Apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara reflek mengundang trauma terutama ketika melihat rakaman video yang tidak sampai hati untuk dihabiskan apatahlagi mendengar cerita khalayak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri sudah cukup mengerikan. Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut luka kepada pesalah yang hanya akan hilang selepas tempoh 2 tahun lamanya. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.

Bagi yang masih belum mengenali hukuman sebatan secara syariah menurut tuntutan syarak, amat mengerunkan apabila dikaitkan pelaksanaannya dengan tragedi hitam seorang remaja wanita di Lembah Swat, Pakistan yang disebat oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali pada awal bulan April 2008 hanya kerana menemui seorang lelaki yang bukan muhrimnya. Secara tidak sengaja kadangkala terdetik rasa tidak adil yang boleh menjadikan kita kufur apabila kita menyanggah ketetapan tuhan dengan logik akal dan emosi belas kasihan yang tidak bertempat.

Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat syariah ini seringkali dipukulratakan dengan hukumanan sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.

Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan oleh British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance dalam tahun 1948.

Di Malaysia, selepas pindaan Akta A612, Akta Perlimen 1965 Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) dan digazetkan kuatkuasanya pada 1 Januari 1986 barulah Mahkamah Syariah mendapat pemerkasaan semula dengan bidang kuasa sehingga boleh memenjarakan 3 tahun, dendan RM5000 dan 6 sebatan rotan bagi pesalah syariah.

Namun jika dilihat dari segi pelaksanaan di Malaysia, sehingga ke saat ini hukuman sebat syariah masih belum pernah dilaksanakan di mana-mana negeri melainkan negeri Kelantan. Manakala bagi hukuman sebat yang telah dijatuhkan di negeri Pahang, Perak dan Johor masih belum dilaksanakan kerana masih dalam proses rayuan. Justeru tidak ada sebab untuk sesiapa melatah tentang kesan dan akibat buruknya selagi belum terbukti secara testimoninya oleh bakal-bakal bekas pesalah rotan itu nanti.

Seperti kata pepatah ‘sudah terantuk baru tergadah’, apabila berlaku kes kanak-kanak bawah umur dirogol sehingga mati barulah masyarakat yang diwakili oleh 79 peratus daripada 1,978 orang responden mengartikulasikan sokongan hukuman sebat di khalayak ramai dalam satu kaji selidik oleh sebuah media pada tahun 2004. Lebih dashyat lagi, beberapa pertubuhan berasaskan wanita mengesyorkan pemangsa rakus berhati binatang ini dihukum kasi - sesuatu yang kelihatan kurang rasional dan bermotif membalas dendam.

Hukum sebat telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasullulah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Bagi kesalahan takzir sebagaimana hadis Rasullulah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Janganlah disebat lebih sepuluh kali sebatan kecuali dalam kes had daripada had-had Allah”. Ianya jauh lebih adil berbanding pesalah sivil yang boleh dirotan sehingga 24 sebatan bagi lelaki dewasa.

Namun amat malang, kemuncak ketidakyakinan orang Islam terhadap hukuman rotan syariah dapat dilihat dari tindakan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Walaupun pengharaman arak di dalam Islam sudah ‘terang lagi bersuluh’ di dalam surah Al-Maaidah ayat 90 dan ditambah dengan sabda Rasullulah yang menyamakan peminum arak sebagai penyembah berhala dan solatnya tidak diterima selama 40 hari. Malah Rasullulah pernah menghukum peminum arak dengan 40 kali sebatan sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.

Akhbar Izvestia di Rusia pernah melaporkan pada tahun 2005, penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky mendakwa hukuman rotan ke atas pungung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan dan ketagihan meminum arak. “Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu,” jelasnya menyokong hukuman yang pernah dikuatkusakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya sambil mengesyorkan sesi terapi sebanyak 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova yang kini mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit dengan harga RM342 bagi sesuatu rawatan biasa. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia yang terdiri daripada 50 orang pelaku sebat yang diberi kuatkuasa.

Jika disorot secara teliti, pendekatan Islam terhadap hukuman rotan adalah lebih baik berbanding dengan kaedah alatan dan cara sebatan rotan dalam kes-kes sivil. Riwayat oleh Malik dari Zaid bin Aslam membuktikan bagaimana Rasullulah menolak tongkat rotan yang pecah-pecah dan tongkat rotan dari dahan kayu yang baru dipotong sebaliknya baginda menerima tongkat rotan yang sederhana dan tidak keras bagi menyebat seorang lelaki yang mengaku berzina. Kitab al-Fiqhu 'alal Mazahib al- Arbaáh pula menambah perlunya rotan tersebut tidak berada dalam keadaan basah supaya ianya tidak melukakan.

Malah amalan Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas’ud kepada penyebat-penyebat tidak membenarkan mereka menggangkat tangan sehingga menampakan ketiak atau melebihi kepalanya yang jika dimisalankan umpama mengepit buku di ketiak tanpa terjatuh apabila tangan diangkat untuk menghayunkan rotan.

Di dalam peruntukan syariah Malaysia, disyaratkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Ketika mengenakan satu sebatan, pelaku sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

Dengan niat untuk mendidik pesalah dan bukan menyiksanya, hukuman rotan syariah lebih berperikemanusiaan dengan tidak membenarkan kesan rotan tersebut mendarahkan kulit pesalah. Ianya tidak boleh dijalankan secara terus menerus pada satu anggota badan sahaja sebaliknya hendaklah berpindah sebatan itu dari satu anggota ke satu anggota yang lain dengan pengecualian pada muka, kepala, dada, perut dan bahagian-bahagian sulit. Pelaksanaannya pula bukan sahaja mengambil kira keadaan kesihatan pesalah tetapi juga persekitarannya yang sesuai iaitu tidak di dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk. Dalam kitab Al-Ahkam al-Fiqhiyah disebut pesalah lelaki tidak perlu menanggalkan pakaian semasa berdiri untuk dijatuhkan hukum kecuali bagi pakaian tebal semasa musim sejuk.

Bagi pesalah wanita, mereka hendaklah disebat dalam keadaan duduk, penanguhan diberikan kepada yang kedatangan nifas dan mengandung. Di sini dapat dilihat keadilan Islam terhadap jantina berbanding undang-undang sivil melalui Kod Prosedur Kriminal yang memberikan pengecualian hukuman sebat sivil terhadap wanita memandangkan kecederaannya yang amat ketara. Di bawah perundangan Islam, persamaan hak dan diskiminasi jantina sebagaimana yang diperjuangkan oleh pertubuhan wanita diletakan pada landasan yang betul dengan sesiapa yang terbukti bersalah untuk dihukum rotan tanpa mengira jantina tetapi menggunakan pendekatan yang mesra kondisi fizikal jantina itu sendiri.

Syarat penyaksian di dalam Surah Al-Nur ayat 2, “dan hendaklah pelaksana hukuman mereka disaksikan dari sekumpulan orang-orang yang beriman”, menurut pendapat Iman Syafie dan Imam Malik mesti terdiri sekurang-kurangnya 4 orang daripada kalangan orang-orang yang beriman. Maka isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa yang dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Dan kini, bagi mereka yang anti kepada undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan, mereka perlu mencari alasan lain kerana kenyataan Y.A. Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

05 Januari 2010

KOMENTAR RESUME




Saya telah diminta oleh seorang pelajar tahun akhir di Universiti Malaya untuk memberikan komentar terhadap resume beliau sebagai tugasan dalam salah satu subjek pengajiannya. Berikut saya muat naik beberapa komen saya sebagai penilai terhadap resume tersebut dengan berpandukan sedikit pengalaman sebagai seorang pengamal sumber manusia.

Gambar
Gambar ukuran pasport sangat penting untuk sesebuah resume. Walaupun ada orang bertanya ada apa pada rupa? Tetapi kebiasaan wajah seseorang dapat memberikan gambaran tentang dirinya. Ia tentunya kelihatan tidak adil tetapi saya juga tidak mahu menjadi hipokrit dengan menafikan amalan yang dilakukan oleh kebanyakan penilai tanpa sedar. Hasil kajian mendapati bahawa individu yang memiliki wajah yang tampan dan jelita menjadi calon lebih popular dan mempunyai nasib yang lebih baik sedikit berbanding pesaingnya yang tidak mempunyai kelebihan rupa paras. Malah kajian pakar psikologi mendapati rupa paras mempengaruhi estim seseorang. Apa yang perlu anda ambil positif bukanlah dengan mengadakan pembedahan plastik atau bergambar persis model peragawan sebaliknya bergambarlah secara semulajadi dan pastikan hasil kerja, akhlak dan perbuatan anda setanding atau lebih cantik dari wajah anda!

Alamat E-mel
Alamat mel elektronik adalah sangat penting kerana ia dapat memberikan gambaran tahap profesionalisme dan kematangan pemiliknya. Sebaik-baiknya gunakan nama sebenar saudari sebagai alamat emel. Jika nama saudari Nurul Aida, gunakan "nurulaida" atau “nurulaida88” sebagai nama emel saudari. Ia menampakkan saudari seorang yang berkeyakinan tinggi dengan karektor dan nama sendiri. Cuba saudari bayangkan apabila seorang pengurus menerima emel daripada pemohon yang menggunakan nama e-mel sweet_lollipop@xyz.com dan slight_pleasure@abc.com? Jika penerima tersebut seorang wanita tentunya dia akan membuang resume ini tanpa membacanya kerana bunyinya sahaja sudah memualkan dan jika penerimanya seorang lelaki yang tidak professional tentunya pemohon terdedah kepada diskriminasi seksual.

Penghormatan
Tahniah anda adalah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam! Tetapi persoalannya adakah ini sesuatu yang boleh dibanggakan dan membantu permohonan saudari? Ya, jika saudari menghantar resume ini ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau organisasi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan. Tetapi saudari perlu memikirkan sekali lagi apabila saudari mahu menghantar resume ini ke syarikat swasta. Prejudis biasiswa sebagai ‘subsidi’ dan budaya kerja perkhidmatan awam yang tidak memuaskan akan sentiasa menghantui penerimanya. Malah ianya sukar memancing simpati penilai kerana beranggapan pemohon lebih sesuai kerja sebagai penjawat awam atau biasiswa menyebabkan pemohon tiada tanggungan yang mendesak seperti peminjam Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) yang kelihatan lebih memerlukan kerja.

Kemahiran & Keupayaan
Kemahiran penggunaan kelengkapan pejabat seperti mesin fotokopi dan mesin faksimili agak jenaka untuk dimuatkan. Jika saudari rasa ada keperluan, lebih baik saudari sertakan sekali nama modelnya! Jika model tersebut agak ketinggalan zaman atau bukan model terbaru dalam kelasnya lebih baik saudari abaikan. Penggunaan alatan pejabat sebenarnya adalah banyak dan berbeza bagi setiap syarikat. Ianya tidak menjadi masalah untuk sesiapa belajar menggunakannya kerana ia bukan kelengkapan pakar yang perlu dihantar latihan simulasi sebelum penggunaan. Jika ini menjadi kreteria maka pemohon berpengalaman terpaksa menebalkan resume mereka dengan kemahiran penggunaan mesin perakam waktu, video litar tertutup, mesin pemusnah dokumen, mesin bainding dan pelbagai alatan mesin pejabat yang signifikan.

Sasaran Gaji
Adalah salah meletakkan gaji permintaan di sebelah bawah seolah ia bukan prioriti anda! Lebih teruk lagi anda letakkan di bawah tajuk lain-lain?! Sasaran gaji adalah berupa satu target permintaan anda jadi logikkah penggunaan kata ‘dan ke atas’? Anda sepatutnya meletakkan satu kadar atau dua kadar di antara keduanya seperti ‘RM2,000 – RM2,500’. Dalam sesuatu hubungan industri, gaji adalah satu timbal balas yang setara sebagai balasan untuk satu proses kerja yang menggabungkan jalinan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pemberi khidmat. Dalam kaedah penawaran dan permintaan sumber manusia ini, adakah faktor gaji perlu dipinggirkan atau diberikan sudut terpencil sedangkan ianya menjadi antara faktor motivasi terbesar dalam pembangunan kerjaya?

Biodata
Bioadata juga adalah faktor terpenting dan sewajarnya diletakkan dibahagian hadapan sekali. Ini kerana pemohon sebenarnya umpama mahu menjual diri mereka kepada majikan yang bertindak sebagai pembeli. Dengan meletakan kelayakkan akademik di bahagian atas sekali, saudari sebenarnya tidak menjual diri saudari, sebaliknya saudari menjual kursus yang ditawarkan oleh universiti tempat saudari belajar. Walaupun ianya satu strategi pemasaran percuma untuk universiti saudari tetapi sebenarnya saudari gagal untuk memanfaatkan kesan pandangan pertama pembaca terhadap tarikan faktor peribadi atau personaliti saudari sendiri. Menurut kajian, pembacaan pertama dalam muka surat pertama lebih berjaya meninggalkan kesan emosi dan psikologi kepada pembacanya. Sebab itu jika saudari berada dalam industri pengiklanan dan penerbitan, saudari akan mendapati ruang iklan di bahagian hadapan sekali mempunyai harga yang beberapa kali ganda dari bahagian dalaman. Ruang biodata saudari pula dilihat terlalu ringkas dengan hanya menyertakan tarikh lahir, kewarganegaraan dan nombor kad pengenalan. Ianya seolah saudari mahu meyakinkan penilai bahawa saudari adalah layak diambil bekerja hanya kerana faktor peribadi yang saudari adalah seorang warganegara Malaysia dengan sokongan tarikh lahir di Malaysia dan juga kad pengenalan bermutu tinggi (Mykad) yang sah keluaran Jabatan Pendaftaran Negara. Sepatutnya alamat emel, nombor telefon dan alamat rumah boleh diletakkan sekali dalam bahagian ini. Malah adalah perlu untuk menyertakan sekali status, umur, bangsa dan agama.

Format
Format resume sebenarnya adalah bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana format yang khusus. Namun bagi pekerja profesional adalah perlu untuk resume menampakkan sikap profesional. Format resume saudari didapati terlalu asas atau dalam bahasa pasar terlalu ‘koman’ atau ‘tangkap boleh’ atau ‘asal muat’. Di sini penilai boleh melihat bahawa pemberi resume ini adalah seorang yang simple, mudah, tidak formal, tidak protokol, hubungan personel juga tidak menarik dan tidak kreatif. Ini dapat dilihat dari sudut kemasan yang dipermudah seperti jarak perenggan yang terlalu melangkau dan susun atur huruf serta bingkai resume yang terlalu ringkas.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.