17 Mei 2010

DUNIA SENYAP DASAR LAUT

Oleh: Faizal Riduan

Kehidupan di dalam laut adalah dunia yang sunyi sepi, tenang di dasar walau permukaannya bergelora ombak dan gelombang yang kejam. Sungguh tepat sekali apabila Jacques Yves Costeau, seorang ahli oseanografi dan ahli selam terkemuka dari Perancis menamakan alam bawah laut itu sebagai “Dunia Senyap” untuk tajuk buku dan dokumentari yang merakam rahsia penemuan pengembaraan dan penerokaannya yang pertama kali dalam rekod dunia, masing-masing diterbitkan pada tahun 1953 dan 1956. Jika tidak sudah tentu dunia dasar laut yang penuh warna-warni ini dilihat sekadar statik berwarna biru yang sedikit berbeza dari ton latar belakang awan.

Walaupun manusia adalah mahkluk ‘daratan’ tetapi tetap tidak dapat dipisahkan dengan lautan. Lihat sahaja habitat 800 spesis terumbu karang yang didiami oleh lebih 4,000 spesis ikan yang menyumbang pendapatan dunia lebih RM1.34 trillion sebagai sumber makanan dan produk pelancongan.

Hari ini warisan dasar laut terbaik boleh ditemui di Taman Laut Terumbu Sawar Besar iaitu Taman Laut terbesar di dunia terletak di Queensland, Australia yang diiktiraf sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Semulajadi Dunia dan Tapak Warisan Dunia.Gugusan terumbu karang ini adalah struktur terbesar organisma hidup yang terdiri daripada berbilion-bilion polip sehingga boleh dilihat dari angkasa lepas. Ia mengandungi 2,900 batu karang dan sekitar 900 pulau yang terbentang luas sepanjang 2,600 km dengan luas permukaan sekitar 344,400 km².

Sungguh Malaysia bukanlah negara kepulauan sepenuhnya seperti Queensland, setidak-tidaknya kita masih boleh berbangga kerana masih tersenarai dalam 12 buah negara mega biodiversiti dunia. Kira-kira 80 peratus spesis batu karang di dunia dan lebih 4,000 spesis ikan mendiami dasar laut negara dengan bahagia aman sentosa. Tidak hairanlah, Pulau Tioman dipilih sebagai antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970.

Cabaran menanti pengembara selam skuba ialah untuk menjejaki peta navigasi flora dan fauna marin seperti batu karang, mamalia marin, ikan dan invertebrata yang senyap mendiami wilayah perairan negara di Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi. Panaroma lebih fantasi tetapi alami dari sekadar melihat pameran fotografi “Malaysia In 24Hrs Beautiful Destination - Underwater Sceneries of Malaysia” karya 42 penyelam dan jurugambar bawah laut di Balai Seni Lukis Negara yang akan berakhir 6 April ini. Namun bagi yang mabuk laut, jika anda trauma apabila teringat filem Jaws atau Open Water, ada baiknya anda meneutralkan minda anda dengan menonton Teater Muzikal Gamat di Istana Budaya dan lihatlah betapa ramah mesranya makhluk marin ini.

Apapun jumlah Taman Laut di Malaysia sebenarnya masih satu angka yang kecil untuk keseluruhan khazanah biodiversiti dan ekosistem marin negara. Ini kerana negara mempunyai warisan 882 buah pulau dan hanya 42 buah pulau diwartakan sebagai Taman Laut, dua buah pulau di Sarawak diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sementara 11 buah pulau lagi di Sabah diwarakan sebagai Taman Negeri. Rumusnya hanya 55 buah pulau iaitu sekitar 6.2 peratus sahaja yang dilindungi. Penambahan bakal 32 buah pulau Taman Laut masih tidak mencecah 10 peratus. Begitu juga dengan liputan batu karang di perairan negara sejumlah 614,000 km² tetapi hanya 2,300 km² dipelihara sebagai Taman-Taman Laut iaitu hanya 0.37 peratus.

Sama seperti Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang bermula tahun 2007 yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Timor Leste dan Kepulauan Solomon yang hanya mewakili dua peratus kawasan laut dunia namun signifikan kerana hampir 75 peratus jenis terumbu karang dan 40 peratus jenis ikan-ikan karang menetap tinggal di sini.

Kini kita hanya tinggal baki sisa karun laut. Pulau Tioman hari ini walau dikatakan masih cantik tetapi tidak secantik yang dilihat oleh editor majalah Time pada tahun 1970 apatah lagi dari kaca mata Dr Kaempfer pada tahun 1690 dan William Jansz pada tahun 1602 yang lebih mengenalinya sebagai Pulo Timao.

Jika khazanah ini tidak dapat diwarisi, ia hanya akan menjadi lagenda dan mitos. Itulah yang mungkin berlaku kepada Pulau Galapagos yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1978. Kepulauan volkano itu telah dijejaki oleh Charles Darwin pada 15 September 1835 semasa pelayaran Beagle yang kemudian melalui spesimen-spesimen kajian penyelidikan membawanya kepada penemuan teori evolusi yang kontroversi. Terbaru pada tahun 2007, pulau yang diduduki oleh 23,000 penduduk ini diklasifikasikan sebagai 'Warisan Dunia Dalam Bahaya'!

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) sebagai penguasa perlu diperkasa. Tidak cukup bagi sebuah jabatan yang dinaik taraf dari satu seksyen di Jabatan Perikanan pada 16 Julai 2007 itu mengekalkan penggunaan Akta Perikanan 1985 yang sekadar membawa hukuman maksimum RM20,000 atau dua tahun penjara. Tanpa peruntukan khas seperti Akta Taman Laut, JTLM tidak ubah seperti jerung tanpa gigi dan rahang yang hanya sesuai di Aquaria, KLCC dari mitologi Hawaii sebagai penjaga samudera. Malah tidak keterlaluan jika JTML dijadikan seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), pasukan elit keselamatan kawasan perairan dengan bot laju, motor selam mini dan Subskimmer iaitu kenderaan selam penyusupan dalam air tanpa kesan serta pasukan yang dilengkapi senjata MP5A5 dengan pejera Optik Taktikal CompM2 dan lampu suluh Surefire. Apa bezanya penceroboh hidupan laut dengan lanun?

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.