29 Oktober 2009

RESENSI : TRANSFORMASI IMAN DI TANAH SUCI


Oleh: Faizal Riduan

Ibadah haji secara teorikalnya telah dipelajari semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Bagi yang bakal menunaikan haji, kursus haji bersiri tentunya memberikan panduan dalam lapangan praktikaliti. Bagi yang masih belum berkemampuan menunaikan ibadah ke lima dalam Rukun Islam, suasana haji hanya dapat dirasa apabila menghantar jemaah haji ke tanah suci dan mendengar lambaian salam dari tanah suci di kaca televisyen atau corong radio.

Buku dengan penulisan ala novel, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang mengisahkan catatan pengalaman peribadi Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim bersama isteri dan dua adik beradik perempuannya memberikan dimensi lain yang lebih dinamik dan hidup kepada pembaca dalam memahami ibadah haji. Malah pembaca seakan diajak bersama untuk larut khusyuk bersama penulis dalam pengembaraan kerohanian menyahut seruan haji di Makkah al-Mukaramah.

Membaca petikan Surah Ali Imran, ayat 97 dalam sinopsis buku ini sahaja sudah cukup mengetarkan jiwa bagi diri yang ego bahawa ibadah haji masih jauh lagi untuk ditempuh, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah maha kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk.”

Coretan santai dan bersahaja penulisnya mengenai kisah ubat sakit tekak, kisah rokok, kisah golf, kisah beli-belah, kisah jubah mahal, kisah nampak dan tidak nampak kaabah, kisah malaikat dan wali Allah SWT, kisah isterinya kedatangan haid, kisah orang tidak menjaga kebersihan, kisah orang suka berebut, kisah mendapatkan saf berhampiran dengan imam dan kisah mencium hajar al-aswad seakan memberikan gambaran sebenar yang hidup untuk diimaginasikan oleh pembaca.

Sesekali pengalaman penulis yang menyentuh perasaan membuatkan air mata bergenang dan bulu roma meremang. Sungguh, buku ini punyai rohnya yang tersendiri! Pastikan sebelum membaca buku ini anda dibekalkan dengan tisu jika tidak mahu helaian-helaian muka suratnya kembang dek tumpahan air mata yang bercucuran! Penyampaian dari lubuk hati yang paling dalam berjaya meruntun jiwa dan menggugah emosi pembaca walau subjek meternya sudah banyak ditulis oleh penulis lain.

Buku ini bukan semata-mata catatan pengembaraan ketika menunaikan fardu haji yang merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman, tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui batas masa dan sempadan geografi.

Membaca buku ini sebenarnya seperti membaca sisi dalaman penulisnya, walau bergelar profesor perakaunan dan Pengarah Kampus Cawangan di UiTM, penulis dengan rendah diri dan jujur hati menukilkan pengalaman mula belajar mengaji al-Quran dan terjemahannya, bersembahyang solat taubat, tahajud dan dhuha, berpuasa sunat dan berkomunikasi intim dengan tuhan melalui doa yang tersendiri. Walau mengakui beliau seorang yang jahil namun cekal berazam untuk menjadi tetamu Allah SWT paling istimewa di tanah suci. Hasilnya antara anugerah terbaik sepanjang 44 hari berada di tanah suci ialah apabila penulis berjaya mengkhatamkan al-Quran di Masjidil Haram walau asalnya beliau seorang yang buta al-Quran.

Penulis turut mencoret cabaran setelah bergelar ‘haji’ dengan kemuncak perubahan utama ialah beliau dan anak-anak mengimarahkan surau di kondominium tempat mereka tinggal dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang sebelumnya diamalkan semasa di tanah suci. Malah penulisan beliau jika dibaca oleh bekas ‘haji’ dan ‘hajah’ akan memuhasabahi mereka dengan persoalan adakah ibadah haji yang pernah dilalui menjadikan mereka orang yang lebih baik atau orang yang sama seperti sebelumnya atau lebih malang lagi menjadi orang yang semakin teruk? Bagi yang bakal ‘haji’ dan ‘hajah’ pula anda boleh mengkoreksi diri tentang apa yang dikehendaki dari ibadah haji sebaik khatam buku ini.

Walau bukan mengaji di sekolah pondok dan memegang ijazah syariah di universiti Asia Barat, penulis berjaya menampilkan dirinya sebagai golongan profesional-ustaz (protaz) melalui dakwah penulisan yang mengesankan. Bagaikan tidak percaya penulis travelog yang santai ini juga adalah penulis buku-buku ilmiah seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia.

Buku yang tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009 dan telah diulang cetak sebanyak sembilan kali ini boleh menjadi inspirasi untuk anda mula membuka akaun di Tabung Haji atau mendaftar diri sebagai jemaah haji pada musim yang akan datang. Malah Travelog Haji ini boleh menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mereka yang belum menunaikan ibadah haji dan penanda aras kepada mereka yang telah menjejakkan kaki ke sana. Seperti kata penulisnya, setelah menunaikan fardhu haji, bukan bermakna berakhir pengabdian kita kepada Allah SWT tetapi bermulanya satu era baru yang lebih mencabar untuk mengekalkan tahap amal ibadah yang telah dilakukan semasa di Makkah.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.