Oleh: Faizal Riduan
Selepas setengah tahun menakhoda kerajaan dan menentukan layar tuju negara selepas tsunami politik yang nyaris menenggelamkan bahtera UMNO dan BN, pelancaran buku “Menakhoda Zaman - Helming The Time” bagaikan kena pada masanya sebagai satu dokumen penting merakam legasi perjuangan Najib lebih 33 tahun yang lalu. Pemilihan tajuk buku ini adalah berdasarkan kepada tajuk ucapan yang sama bagi perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Perhimpunan Agung UMNO ke 59 pada 29 Mac 2009 dan merupakan ucapan terakhir beliau atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malah pemilihan kata ‘menakhoda’ seolah proses imbas kembali mengingati peranan BN yang dahulunya dikenali melalui simbol kapal layar sebelum bertukar kepada simbol dacing.
Buku yang mengandungi 11 bab ini adalah pecahan daripada lima buah ucapan beliau sepanjang separuh dekad sebagai orang nombor dua dalam parti terbesar yang mewakili orang Melayu itu iaitu “Menakhoda Zaman” (2009), “Mengangkasa Tamadun Bangsa” (2007), “Memacu Minda Melayu” (2006), “Menjana Melayu Glokal” (2005) dan “Kesinambungan dan Perubahan” (2004). Jika anda mengharapkan menjumpai tema terbaru Perdana Menteri ke-enam itu, “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, maka anda perlu menunggu ia mungkin keluaran buku beliau yang akan datang. Tema pokok inti pati ucapan beliau ini dikekalkan dengan pengolahan semula bagi penyesuaian bentuk teks penerbitan yang lebih mesra khalayak pembaca.
Namun jika Prof Wan Hashim Wan Teh menyifatkan “Menakhoda Zaman” setaraf buku Tun Dr Mahathir Mohamad, “The Malay Dilemma”, sisi lain perlu dilihat ialah ketika mana “The Malay Dilemma” menyalahkan satu pihak lain di dalam parti, buku “Menakhoda Zaman” menunjukkan sifat rendah diri dan berjiwa besar dengan merakam pengakuan berani mati sebagai satu proses muhasabah yang jujur dan berterus terang. Di sisi ini, penulisnya dilihat sebagai mewakili campuran ciri-ciri mantan PM terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad dalam analisisnya terhadap dua krisis kepimpinan parti yang ditolak pada zaman dua zaman yang berbeza. Malah penerbitan buku ini dengan pendahuluan dalam bahasa Melayu menunjukan hakikat ia disasarkan kepada semua ahli parti itu secara inklusif sehingga 3,000 naskah diedar secara percuma kepada perwakilan Persidang Agung UMNO Ke-60.
Pendapat Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron bahawa buku ini adalah mencontohi buku “The Audacity of Hope” tulisan Barrack Obama masih boleh diterima walau perbezaannya masih ketara. Obama yang berjaya mengubah warna ‘white house’ sejak 232 tahun dengan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dari sudut konseptual ideanya mempunyai persamaan dengan tesis “Menakhoda Zaman” tetapi dari sudut penulisan ternyata masih jauh berbeza apabila tulisan Dato’ Seri Najib nyata lebih formal dengan kerangka rencana berat sedangkan tulisan Obama secara santai dan bersahaja. Malah perbezaan itu nampak ketara apabila buku Dato’ Seri Najib diilhamkan semasa beliau menjadi PM-in-Waiting sedangkan Obama masih bergelut untuk mencari sokongan yang asalnya mustahil baginya yang mewakili golongan minoriti kulit hitam di negara kuasa dunia itu.
Lebih kritis lagi, buku ini mengemukakan satu analisis bedah siasat kelemahan-kelemahan UMNO dan kemudian secara bertanggungjawab menampilkan pendekatan proaktif bagaimana UMNO perlu berubah menghadapi cabaran besar bagi kembali ke arus perdana lautan politik sebagai teras kepada perpaduan bangsa Malaysia. Tanpa melupakan sejarah masa silam orang Melayu dan kejayaan UMNO melakukan tranformasi sosial dalam sistem masyarakat tersebut, beliau masih sempat memberikan peringatan agar UMNO sentiasa merakyatkan perjuangannya supaya tidak ditolak rakyat sebagaimana terjadi kepada kebanyakkan parti politik pengasas kepimpinan negara di dunia yang tersungkur daripada kerusi pemerintahan. Maka padanlah buku ini dilancarkan beberapa hari sebelum pindaan perlembagaan UMNO bagi memastikan parti tertua itu kekal relevan dalam arus politik kebangsaan.
Jika Datuk Siti Nurhaliza sanggup berbaris beratur panjang untuk menjadi antara 100 orang pembeli buku pertama semasa pelancaran semata-mata untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib, mengapa tidak anda kerana buku yang diterbitkan 10,000 naskah ini membolehkan anda memahami kerangka pemikiran, wawasan dan mengenali sosok perjuangan penulisnya yang bernama Dato’ Seri Najib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan