26 Mei 2011

TENGGELAM TIMBUL DI SUNGAI MELAKA

Oleh: Faizal Riduan

Sungai dan manusia bagaikan ‘aur dengan tebing’. Simbiosis mutualisme ini dapat dilihat pada kelahiran bandar purba yang tumbuh hidup di muara-muara sungai. Penempatan bandar pertama dalam sejarah tamadun manusia seperti Uruk, Eridu dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu di Mesopotamia dan Babylon di lembangan yang disaliri Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Dahulu kala sungai adalah segalanya sebagai denyut nadi kehidupan, dari hulu ke hilir bukan sahaja sebagai sumber minuman tetapi juga tempat ‘cari makan’ bagi nelayan dan pedagang. Namun hari ini, kecanggihan sistem perbandaran dengan air ditemui mudah di hujung kepala paip menjadikan mentaliti sebahagian dari kita menanggapi sungai tidak lebih sebagai longkang pembentungan yang meloya-mualkan.

Apatah lagi sungai di dalam bandar, airnya mengalir suram dan suam. Sebagai orang bandar, setiap hari saya dihidangkan dengan panorama air berpewarna ‘teh tarik’ di Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Baru-baru ini keinginan saya untuk mengemudi susur sungai dalam bandar tercapai di Sungai Melaka yang kini menjadi destinasi pelancongan baru Melaka. Sungai Melaka, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pada satu masa dahulu dimasyhur gelar “Venice of the East” adalah sumber terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dari tahun 1402 ke 1511, sesesak sarat sebagai pusat pertemuan pedagang timur dan barat serta transaksi rempah ratus dunia. Kiri kanannya merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan dan pelabuhan sejak zaman bahari. Berhadapan Selat Melaka, sungai pusaka ini setia walau tebingnya sudah banyak berubah dengan darah tertumpah apabila kuasa besar seperti Portugal, Belanda, Inggeris dan Jepun merebut Melaka dari tangan warganya.

Sungai Melaka yang sepanjang 40km dari Kampung Gadek menghilir alir ke Selat Melaka adalah ibu kepada anak sungai utama iaitu Sungai Putat, Sungai Cheng, Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah. Namun perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) hanya sepanjang 4.5km dari Taman Rempah ke muaranya di Dataran Sungai Melaka. Tidak lengkap ke Melaka sekadar menggunakan laluan darat, Sungai Melaka yang mengalir di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia memberikan nilai sentimental dan romantis. Sedikit masa lagi, pengunjung berpeluang menyusur Sungai Melaka dari ‘atas’ dengan menaiki pengangkutan Aerorail dengan kapasiti 24 orang di laluan landasan pendek 1.6km dari Stesen Jebat di Taman Rempah ke Stesen Tuah berhampiran Eye On Melaka. Saya agak terkilan di atas kelewatan beroperasi pada tarikh yang dijadualkan untuk melengkapkan pengalaman saya sebelumnya menaiki Rapid KL, KTM Komuter, KL Monorail dan ERL KLIA.

Dengan azam menjadikan Sungai Melaka setaraf Sungai Venice di Itali dan Sungai St Antonio di Texas, kerajaan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka telah menubuhkan MRC yang dirasmikan pada 11 November 2005. Awalnya RMC sekadar mempunyai dua buah bot tetapi kini 40 buah bot menanti dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 malam pada setiap hari untuk dinaiki dari jeti Taman Rempah Ratus, Medan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Padang Nyiru atau Muara Sungai Melaka. Tahun lalu 591,000 orang telah menyusur Sungai Melaka dan lebih 40,000 orang lagi mengunjunginya setiap bulan dan anda tentunya mahu menjadi sebahagian dari statsitik tersebut. Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit di laluan sepanjang 9km turut menyediakan khidmat penerangan bagi setiap destinasi. Hanya semurah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, sejarah Melaka boleh dilawati tanpa peluh berjalan kaki!

Di senjakala itu, saya melihat Sungai Melaka telah dihidupkan dari sumpahan perbandaran selama ratusan tahun. Masih baru tetapi telah tampak bakal jelmaan San Francisco Waterfront dan Seattle Waterfront di Amerika Syarikat, North Vancouver Waterfront di Kanada dan Auckland Waterfront di New Zealand yang terkenal dengan kegiatan ekonomi didaratkan deretan restoran, hotel dan aneka kedai. Jika tebing sungai lebih lebar dari dinding bangunan konkrit tentunya boleh diperindah sebagai kawasan alam semulajadi dan rekreasi sebagaimana di San Antonio, Bronx dan Chicago di Amerika Syarikat. Malah Sungai Melaka masih bernuansa marhaen dan tidak berubah wajah seperti California Utara di Amerika Syarikat, Ontario dan Vancouver Utara di Kanada dan Batam di Indonesia yang mengkomersilkan tebingan sungainya dengan kediaman mewah.

Di mana-mana, pembangunan akan mengubah lanskap alam yang dipaksa korban sebagai tebus gantinya. Sungai Melaka tidak terkecuali, berdasarkan analisis kualiti air dari 1976 hingga ke 1995, Sungai Melaka adalah antara yang tercemar teruk selain Sungai Kelang, Sungai Juru dan Sungai Skudai. Teringat keluh-kesah mantan Perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, “Dulu ada ikan dan udang (dalam sungai) tetapi sekarang dua minit sahaja anak buaya pun boleh mati.”

Siapa sangka dari sebatang sungai digenangi kelodok dan lumpur hitam yang bercampur sampah sarap, biawak yang berenang di permukaan, dibuntutkan kedai dan rumah yang cantik di hadapan tetapi lain di belakang kini bagai mengakhiri sumpahan berubah menjadi laluan sungai yang bersih dan indah dengan perbelanjaan RM380 juta bermula dari fasa pertama pada 2002. Malah usaha lebih awal melalui memorandum persefahaman dengan kerajaan Denmark telah ditandatangi pada 1997. Ini bukan masa dan harga yang sedikit, jika sejak dahulu kita menjaga sungai sebagai warisan sudah tentu wang ratusan juta tidak terbuang ke dalamnya.

Saya bermonolog sendiri sambil menunggu RMC, mencangkung di jeti bot Taman Rempah sambil melihat dasar sungai yang kelam dalam gelap malam. Mungkin beberapa tahun lagi airnya akan jernih lagi sehingga sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Sengaja saya memilih malam tanpa kesesakan orang, terasa damai.

Kini Sungai Melaka telah kembali dimudik antara hulu dan hilir, bukan dengan usungan jala tetapi sisipan kamera. Sayangnya saya datang terlewat bulan. Jika seawal bulan Jun yang lalu pasti meriah dengan sebulan perayaan Pesta Sungai Melaka kali keempat dengan sejumlah 33 acara. Yang paling menarik menurut pemandu bot merangkap pemandu pelancong ialah pertandingan perahu naga, pertandingan bot berhias, perarakan kenderaan antik dan sukan air.

Orang Melaka kini boleh berbangga dengan Sungai Melaka yang bertaraf dunia. Bagi orang Melaka dan tetamu dari luar Melaka, kita masih perlu beringat bahawa pendidikan sivik mesti ada jika tidak sistem kejuruteraan apapun tidak akan bersatu dengan alam. Tidak cukup sekadar fasiliti kelas pertama, minda kita juga perlu menjadi mentaliti kelas pertama. Jika tidak entah beratus juta lagi perlu dibayar untuk memulih air percuma dari tuhan.

Waktu malam, selain bersaksikan keindahan cahaya bulan dan bintang, suluhan lampu limpah dan cahaya lampu jurai dari konkrit bangunan dan rimbunan pohon menjadikan kegelapan malam nampak berseri. Tanpa kelip-kelip, saya tidak sesat menyusur Sungai Melaka kerana simbahan cahaya pada rumah tradiosional sampai ke atas gentingnya sekali, kerlipan multi warna Taman Lanun dengan melihatan pusingan Eye on Melaka yang berlampu, bangunan berlampu di Jalan Munshi Abdullah, Jambatan Station Bas Lama dan Jalan Laksamana. Puas melihat keindahan Sungai Melaka tanpa silau cahaya matahari. Mata masih terang benderang tak berkelipan. Saya berlalu pulang ke rumah tumpangan bajet di pinggir Sungai Melaka sambil melihat keluar tingkap. Bertenangan air sungai diam tanpa usikan. Permukaannya bertukar seperti cermin yang memantulkan bayang-bayang bewarna dari lampu seribu cahaya. Tidak pasti selepas itu sama ada lampu cahaya atau mata saya yang terpadam dahulu. Apa pun perjalanan satu malam di Sungai Melaka benar-benar menjadi azimat nikmat seperti dalam Hikayat Seribu Satu Malam.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.