Sebolehnya saya tidak mahu mengenang pengalaman lalu yang pahit apatahlagi peristiwa semasa zaman kanak-kanak yang telah dua dekad ditinggalkan. Saya mahu membuangnya jauh seolah-olah saya tidak pernah menjamahnya. Saya tidak mahu semungkin boleh untuk pancaindera saya bertindak balas pada rasa pahit yang merenyuk wajah. Sebagai orang muda saya hanya mahu mengingati pengalaman hidup yang manis-manis belaka seperti kegilaan saya pada coklat Tora dan Dindang semasa kecil!
Begitulah cara saya melupakan masa lalu yang tidak enak untuk dihadam semula setelah dimuntahkan. Namun tatkala membaca berita adik Nur Izzati Azahar dari Sekolah Convert Tarcision yang mendapat 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tetapi gagal mendapatkan slip peperiksaannya hanya kerana ibu bapanya seorang pekerja kilang dan pemandu lori masih berhutang yuran sekolah sebanyak RM57 cuma, ia memaksa saya menelan semula rasa pahit yang telah lama tidak bersisa.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," kata adik Nur Izzati dalam sebak tangis penuh motivasi benar-benar menyentak dan merobek hati kecil saya. Tiba-tiba pengalaman pahit yang telah saya lupakan rasa hempedunya datang meloyakan tekak.
Saya masih teringat betapa riangnya saya di hari graduasi Tadika Kemas Kampung Sungai Kertas pada penghujung tahun 1987. Waktu itu saya sedar yang saya tidak dibekalkan dengan jubah dan topi empat segi (mortar board) dari kain satin berwarna merah dan hitam seperti rakan sebaya yang lain. Sungguh! Saya redha untuk menaiki pentas graduasi dan mengambil sijil tadika tanpa pakaian rasmi serba indah dalam persalinan seragam serba merah hitam.
Saya insaf bahawa itu adalah hukuman terbaik untuk ‘kesalahan’ mak dan abah yang tidak membayar tungakkan yuran tadika selama tiga bulan namun saya juga tidak sampai hati menyalahkan mereka yang memilih untuk membeli sepot beras yang panas nasinya tidak boleh pula selera perut kami adik-beradik tangguhkan. Waktu itu, saya hanya tahu mengeja ‘hutang’ tanpa memahami maksud dan kesan akibat daripadanya. Yang saya tahu ialah majlis graduasi tadika adalah untuk meraikan tamat persekolahan tadika sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu di sekolah rendah – noktah! Dengan itu, saya tanpa rasa bersalah berseorangan ke majlis graduasi tanpa mak dan abah.
Namun tatkala melihat rakan sebaya lain beratur mengikut susunan abjad nama mereka, guru yang mengajar saya mengenal huruf dan angka rupanya mencicirkan nama saya tanpa nombor dari menyertai barisan yang menunggu giliran untuk naik ke atas pentas Dewan Orang Ramai yang dipinjamkan khas itu. Saat itu, saya dapat merasakan kecilnya jiwa dalam tubuh kerdil saya mungkin rasa yang sama dirasa adik Nur Izzati tempoh hari.
Bezanya sebagai seorang budak lelaki, saya dibesarkan untuk ‘kuat semangat’ dan melihat rakan sebaya bergraduasi dari tingkap kaca di sudut belakang luar dewan, sempat saya tersenyum sendiri membayangkan indahnya jikalau saya ditauliahkan sijil di atas pentas oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Tadika Kemas, sosok tokoh yang paling besar dalam hidup ketika itu. Tetapi hakikatnya, jauh terasing dari keriuhan di dalam dewan, hati saya mengesak tangis dan saya berlari pulang tanpa sebarang kata-kata – diam kadang kala umpama kesepian yang mendamaikan!
Hari ini saya meluahkan kisah hitam saya 22 tahun yang lalu bukan kepada mak dan abah yang tahu tetapi tidak pernah memberitahu mengenai lewat lembaran surat-surat peringatan yang dikirim tanpa belas ihsan sedangkan rumah Pengerusi Tadika Kemas hanya selang sebuah rumah daripada rumah kayu beratap zink tempat kami berteduh di atas tanah setinggan milik kerajaan untuk dia mengambil tahu jika mahu.
Sebab itu, sehingaa saat ini saya masih fobia dengan nama Cikgu Bainun, guru tadika saya yang tidak pernah berbuat apa-apa untuk menyelamatkan hak seorang murid tadika seperti saya untuk hanya naik ke atas pentas dan mendapat sijil tadika seperti rakan sebaya yang lain. Kesannya saya rasai semasa hari raya zaman kanak-kanak lagi, sayalah satu-satunya murid yang tidak ghairah untuk berlari ke rumah guru pertama saya itu.
Apabila membaca perumpamaan cikgu seperti ‘sebatang lilin yang membakar diri’, saya rasa ironis kerana tanggapan pertama saya kepadanya seperti ‘sebatang lampu kalimantang yang menyala apabila dipetik dengan bil elektriknya dibayar’! Malah saya menangis setiap kali membaca kata-kata Saidina Ali bahawa “aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarku walau satu huruf” kerana sesungguhnya “aku tidak bersedia untuk menjadi hamba kepada orang yang mengajarku berjiwa hamba” – maafkan saya Cikgu!
6 ulasan:
wah, tu gambar saya. huhu.
Cik Puan Nur Nana, maaf saya menggunakan gambar anda. Sebenarnya saya tiada gambar ketika Tadika KEMAS sebab tidak dibenarkan berkonvokesyen. Tetapi seingat saya gambar hiasan ini seperti yang saya pernah lihat satu ketika dahulu. Justeru mohon izin kreditkan ya.
sedey nyer..xtau lak kes ni..apepe pn t kite borak2 k
salam buat penulis. izinkan saya mencoret kata. Saya lahir pada 1985 dan skrg seorang guru lepasan univerisiti. dulu keluarga saya miskin, tidak berpeluang saya ke tadika. Gaji ayah saya, cuma rm215 sebulan waktu itu. Makan nasi dengan garam dan ikan bilis adalah lumrah. Tetapi ajaibnya, saya berjaya disekolahkan dan mendapat 5A UPSR, 8A PMR dan 10A SPM. Tiada yuran terhutang atas jasa beberapa guru spanjang saya bersekolah. Jasa guru mendidik saya membuatkan saya memilih guru sebagai profesion walaupun saya layak menceburi bidang lain yang gajinya lebih lumayan. JAnganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.salam hormat dari saya.
huhuhu...sedey akak dik. akak pun x dapat ke sekolah tadika..sebab keluarga x mampu. so mak lah yg jadi guru pertama mengajar mengenal abjad, nombor dan mengaji.tapi garangnya yaaa ampunnnnn...hehehe
Terima kasih banyak dari Maya ke Dr Ajayi kerana membantu saya memulihkan rumah saya yang rosak. Ketidakkonsistenan telah menjadi perintah hari di rumah dan perkahwinan saya. Suami saya mempunyai masalah dan koyak pada daging saya sejak kita mula mempunyai terlalu banyak salah faham. Beberapa hari, dia hanya pergi dan tidak pernah kembali sehingga minggu -minggu yang lalu. Saya telah hancur dan mencuba semua yang saya dapat untuk menyelesaikan masalah tetapi tidak berjaya. Saya terpaksa mencari bantuan dan saya diarahkan oleh rakan untuk menghubungi Dr Ajayi yang saya lakukan. Saya tidak pernah tahu ia mungkin kerana masalah telah berlama -lama selama dua tahun. Dr Ajayi meyakinkan saya dan hanya memberitahu saya untuk mempercayai dia dan percaya bahawa keinginan saya diberikan. Dia menetapkan perkahwinan saya dengan ikatan reuni cinta yang kuat dan rumah saya hebat sekali lagi dan suami saya bersama saya tidak akan pergi lagi. Hubungi dia juga dan percaya dia boleh membantu anda kerana dia tidak mempunyai rekod yang buruk. Cukup SMS HIM melalui WhatsApp +2347084887094 atau e -melnya melalui: drajayi1990@gmail.com
Catat Ulasan