07 Januari 2010

SEBAT SYARIAH TIDAK SAMA SEBAT SIVIL


Oleh: Faizal Riduan

Apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara reflek mengundang trauma terutama ketika melihat rakaman video yang tidak sampai hati untuk dihabiskan apatahlagi mendengar cerita khalayak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri sudah cukup mengerikan. Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut luka kepada pesalah yang hanya akan hilang selepas tempoh 2 tahun lamanya. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.

Bagi yang masih belum mengenali hukuman sebatan secara syariah menurut tuntutan syarak, amat mengerunkan apabila dikaitkan pelaksanaannya dengan tragedi hitam seorang remaja wanita di Lembah Swat, Pakistan yang disebat oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali pada awal bulan April 2008 hanya kerana menemui seorang lelaki yang bukan muhrimnya. Secara tidak sengaja kadangkala terdetik rasa tidak adil yang boleh menjadikan kita kufur apabila kita menyanggah ketetapan tuhan dengan logik akal dan emosi belas kasihan yang tidak bertempat.

Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat syariah ini seringkali dipukulratakan dengan hukumanan sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.

Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan oleh British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance dalam tahun 1948.

Di Malaysia, selepas pindaan Akta A612, Akta Perlimen 1965 Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) dan digazetkan kuatkuasanya pada 1 Januari 1986 barulah Mahkamah Syariah mendapat pemerkasaan semula dengan bidang kuasa sehingga boleh memenjarakan 3 tahun, dendan RM5000 dan 6 sebatan rotan bagi pesalah syariah.

Namun jika dilihat dari segi pelaksanaan di Malaysia, sehingga ke saat ini hukuman sebat syariah masih belum pernah dilaksanakan di mana-mana negeri melainkan negeri Kelantan. Manakala bagi hukuman sebat yang telah dijatuhkan di negeri Pahang, Perak dan Johor masih belum dilaksanakan kerana masih dalam proses rayuan. Justeru tidak ada sebab untuk sesiapa melatah tentang kesan dan akibat buruknya selagi belum terbukti secara testimoninya oleh bakal-bakal bekas pesalah rotan itu nanti.

Seperti kata pepatah ‘sudah terantuk baru tergadah’, apabila berlaku kes kanak-kanak bawah umur dirogol sehingga mati barulah masyarakat yang diwakili oleh 79 peratus daripada 1,978 orang responden mengartikulasikan sokongan hukuman sebat di khalayak ramai dalam satu kaji selidik oleh sebuah media pada tahun 2004. Lebih dashyat lagi, beberapa pertubuhan berasaskan wanita mengesyorkan pemangsa rakus berhati binatang ini dihukum kasi - sesuatu yang kelihatan kurang rasional dan bermotif membalas dendam.

Hukum sebat telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasullulah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Bagi kesalahan takzir sebagaimana hadis Rasullulah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Janganlah disebat lebih sepuluh kali sebatan kecuali dalam kes had daripada had-had Allah”. Ianya jauh lebih adil berbanding pesalah sivil yang boleh dirotan sehingga 24 sebatan bagi lelaki dewasa.

Namun amat malang, kemuncak ketidakyakinan orang Islam terhadap hukuman rotan syariah dapat dilihat dari tindakan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Walaupun pengharaman arak di dalam Islam sudah ‘terang lagi bersuluh’ di dalam surah Al-Maaidah ayat 90 dan ditambah dengan sabda Rasullulah yang menyamakan peminum arak sebagai penyembah berhala dan solatnya tidak diterima selama 40 hari. Malah Rasullulah pernah menghukum peminum arak dengan 40 kali sebatan sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.

Akhbar Izvestia di Rusia pernah melaporkan pada tahun 2005, penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky mendakwa hukuman rotan ke atas pungung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan dan ketagihan meminum arak. “Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu,” jelasnya menyokong hukuman yang pernah dikuatkusakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya sambil mengesyorkan sesi terapi sebanyak 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova yang kini mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit dengan harga RM342 bagi sesuatu rawatan biasa. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia yang terdiri daripada 50 orang pelaku sebat yang diberi kuatkuasa.

Jika disorot secara teliti, pendekatan Islam terhadap hukuman rotan adalah lebih baik berbanding dengan kaedah alatan dan cara sebatan rotan dalam kes-kes sivil. Riwayat oleh Malik dari Zaid bin Aslam membuktikan bagaimana Rasullulah menolak tongkat rotan yang pecah-pecah dan tongkat rotan dari dahan kayu yang baru dipotong sebaliknya baginda menerima tongkat rotan yang sederhana dan tidak keras bagi menyebat seorang lelaki yang mengaku berzina. Kitab al-Fiqhu 'alal Mazahib al- Arbaáh pula menambah perlunya rotan tersebut tidak berada dalam keadaan basah supaya ianya tidak melukakan.

Malah amalan Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas’ud kepada penyebat-penyebat tidak membenarkan mereka menggangkat tangan sehingga menampakan ketiak atau melebihi kepalanya yang jika dimisalankan umpama mengepit buku di ketiak tanpa terjatuh apabila tangan diangkat untuk menghayunkan rotan.

Di dalam peruntukan syariah Malaysia, disyaratkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Ketika mengenakan satu sebatan, pelaku sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

Dengan niat untuk mendidik pesalah dan bukan menyiksanya, hukuman rotan syariah lebih berperikemanusiaan dengan tidak membenarkan kesan rotan tersebut mendarahkan kulit pesalah. Ianya tidak boleh dijalankan secara terus menerus pada satu anggota badan sahaja sebaliknya hendaklah berpindah sebatan itu dari satu anggota ke satu anggota yang lain dengan pengecualian pada muka, kepala, dada, perut dan bahagian-bahagian sulit. Pelaksanaannya pula bukan sahaja mengambil kira keadaan kesihatan pesalah tetapi juga persekitarannya yang sesuai iaitu tidak di dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk. Dalam kitab Al-Ahkam al-Fiqhiyah disebut pesalah lelaki tidak perlu menanggalkan pakaian semasa berdiri untuk dijatuhkan hukum kecuali bagi pakaian tebal semasa musim sejuk.

Bagi pesalah wanita, mereka hendaklah disebat dalam keadaan duduk, penanguhan diberikan kepada yang kedatangan nifas dan mengandung. Di sini dapat dilihat keadilan Islam terhadap jantina berbanding undang-undang sivil melalui Kod Prosedur Kriminal yang memberikan pengecualian hukuman sebat sivil terhadap wanita memandangkan kecederaannya yang amat ketara. Di bawah perundangan Islam, persamaan hak dan diskiminasi jantina sebagaimana yang diperjuangkan oleh pertubuhan wanita diletakan pada landasan yang betul dengan sesiapa yang terbukti bersalah untuk dihukum rotan tanpa mengira jantina tetapi menggunakan pendekatan yang mesra kondisi fizikal jantina itu sendiri.

Syarat penyaksian di dalam Surah Al-Nur ayat 2, “dan hendaklah pelaksana hukuman mereka disaksikan dari sekumpulan orang-orang yang beriman”, menurut pendapat Iman Syafie dan Imam Malik mesti terdiri sekurang-kurangnya 4 orang daripada kalangan orang-orang yang beriman. Maka isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa yang dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Dan kini, bagi mereka yang anti kepada undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan, mereka perlu mencari alasan lain kerana kenyataan Y.A. Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.