31 Mei 2012

RESENSI: SENGKETA DI SEBALIK SAINS


Oleh: Faizal Riduan

Dahulu ketika di sekolah menengah asalnya saya adalah dari aliran sains dan sukarela menukar ke aliran sastera. Saya lebih sukakan buku sastera yang lebih puitis dengan rangkai kata yang tersusun indah digubah. Semasa itu saya melihat aliran sains terlalu berat, rigid dan serius wataknya. Tiada banyak buku berkaitan sains yang mempunyai plot jalan cerita yang menarik kecuali buku-buku kulit keras dokumentari sains dan teknologi di perpustakaan sekolah yang kebiasaannya mempunyai lebih banyak gambar berwarna-warni dari teks berwarna hitam.

Sebagai manusia yang menemukan dunia lewat lembaran buku, dalam diam saya menyalahkan kutub khanah sekolah yang tidak banyak menyediakan buku-buku yang meransang motivasi dan semangat inkuiri terhadap dunia sains. Bila dewasa barulah saya menemui banyak buku sains sebagai karya dialektik yang lari dari stigma buku sains sama seperti buku teks. Sains yang mudah, santai dan releven dalam kehidupan seharian kita. Buku ini sewajarnya didedahkan kepada anak-anak sejak di bangku sekolah supaya meransang minat mereka kepada sains sebagai satu ilmu yang menarik.

Walau kita cuba meremehi sains sebagai dunia terasing yang penuh elitis, ironisnya kesan tinggal ahli sains sebenarnya benar-benar mempengaruhi kehidupan kita sehari-hari. Malangnya kesilapan yang berlaku dalam sains mungkin mendatangkan kecelakaan malapetaka yang maha besar seperti dalam insiden kebocoran yang melibatkan merkuri metil, dioksin dan PCB atau kemalangan nuklear seperti di Three Mile Island dan Chernobyl. Media seringkali melaporkan kes hitam sebegini sebagai kesilapan teknologi dan bukan kesilapan sains, mereka hakikatnya tidak dapat membezakan antara kedua-duanya. Kesannya orang awam seperti kita tidak nampak sebarang laluan salah yang sering dijejaki ahli sains.

Jika sesuatu idea sains yang digembar-gemburkan itu salah sekalipun, ia akan terkambus tanpa pengetahuan umum. Sebaliknya jika ideanya betul, ia dilabel sebagai penemuan baru dan idea lama terus dilabel sebagai bahan lupus tempoh. Dalam jurnal sains sekalipun, laporan tentang keputusan negatif jarang dibedah dedahkan walaupun ia mungkin dapat membantu memberikan akses kepada ahli dalam bidang sains berikutnya. Dunia sains juga ada hipokrasinya sendiri.

Sebagai generasi baru yang merasai aplikasi sains dan teknologi, semua teori dan fakta tentang sains telah menjadi sejarah. Membaca buku ini seolah-olah membawa kita ke masa lalu, merasai sendiri kehangatan perdebatan ahli sains seolah-olah kita dari latar zaman yang sama. Jika boleh kita juga mahu terlibat dalam perdebatan tersebut dengan penemuan kita sendiri, malangnya saya sendiri tidak tahu di mana patut kita bermula sebagai ahli sains. Namun kejayaan awal penulis ialah mengundur masa kebelakang dengan mengembalikan suasana neoklasik yang membawanya menjejaki sendiri kediaman ahli-ahli sains tersebut seperti rumah Darwin di Downe, kuarters Newton di Cambridge dan II Galileo tempat Galileo menghabiskan duka sisa usianya.

Malah buku ini tegak berdiri dengan rujukan tertinggi dari maklumat yang sukar ditemui seperti “John Turberville Needham and His Impact on the French Enlightenment” karya Rachel H Westbrook, “Philosophers at War. The Quarrel between Newton and Leibniz” karya A Rupert Hall dan “The Fossil Feud between E D Cope and O C Marsh” karya Elizabeth Noble Shor. Lebih mengkagum untuk satu bab “Derek Freeman lawan Margaret Mead” setebal 18 muka surat, penulisnya merujuk lima buah buku yang signifikan. Menjimatkan bukan? Dengan membaca sebuah buku ini anda seolah-olah telah membaca 373 bahan rujukan bibliografi penulisnya!

Ahli sains di sebalik sikap objektif dan analisis juga adalah seorang manusia yang mempunyai perasaan. Begitulah dalam proses penemuan sains biasanya ia penuh dengan emosi. Idea baru menuntut seseorang ahli sains menolak idea ahli sains lain sebelumnya. Sementara mereka yang berpegang pada idea terdahulu tentunya tidak dapat menerima kenyataan mudah yang teori pegangannya disanggah dan keabadianya terhakis.

Mereka yang kalah tanpa alah akan terus berbantahan dalam pertelingkahan sains seperti perbalahan selama suku abad antara Thomas Hobbes dengan ahli matematik John Wallis. Puncanya Hobbes yang taksub degan geometri menafikan kelebihan algebra Wallis sebagai “penuh dengan simbol yang kelihatan seperti keruping” dan seperti “dikais ayam”.

Persoalan tentang siapakah yang membuat sesuatu penemuan terlebih dahulu juga menjadi satu konflik apabila dua atau lebih ahli sains mengemukakan idea yang sama dan dalam tempoh masa yang agak sama. Penemuan serentak ini walaupun mengagumkan realiti ia adalah perkara biasa. Inilah yang berlaku kepada Newton dengan Leibniz tentang kalkulus, Faraday dengan Henry tentang arus elektromagnet, Adams dengan Leverrier tentang penemuan Neptun, Darwin dengan Wallace tentang teori evolusi dan Heisenberg dengan Schrodinger tentang mekanik kuantum.

Kebiasaanya mereka tidak didorong oleh sebab kewangan sebalik adalah klimaks kepuasan lewat penemuan mengagumkan dan mempelajari perkara baru tentang dunia yang tersembunyi. Mereka berharap dunia akan mengetahui hasil titik peluh mereka dan gambaran Hadiah Nobel terbayang di mata.

Adakalanya persoalan sains tidak menemui jawapan seperti Voltaire lawan Needham dalam persoalan bilakah gumpalan tisu yang berkembang dalam uterus wanita menjadi manusia? Sebalik sisi bukan sains yang terdedah. Voltaire melabel Needham, ahli alamiah Inggeris yang terkenal sebagai “pemikir biologi yang berbahaya” dan menyerang peribadinya dengan tuduhan pengamal homoseksual. Reaksi balas penuh dengan dendam kesumat, Needham pula mendedahkan beberapa kisah cinta Voltaire yang terakhir dengan anak saudaranya sendiri walhal dia sebelumnya beria-ia mengaku bujang.

Persaingan sengit antara dua pemburu fosil yang hebat, Edward Drinker Cope dengan Othniel Charles Marsh menjadi lagenda dengan segala tipu daya dan helah muslihat yang mengejutkan tetapi hasil positifnya menyebabkan keghairahan terhadap haiwan purba dinasaur disebut-sebut sehingga bidang paleontologi berjaya menarik minat khalayak mendalaminya.

Buku ini adalah rangkuman 10 kisah hebat tentang perbalahan paling buruk tetapi menarik dari abad ke-17 hingga abad ke-20. Perbalahan sains iaitu ilmu yang penuh disiplin bukan sahaja direngangkan oleh percanggahan cendekiawan tetapi juga oleh sifat-sifat tidak berdispilin pengamalnya dengan resmi manusia yang percaya dirinya sahaja yang betul dan orang lain adalah salah! Realitinya penulis buku ini berjaya menunjukkan bahawa ahli sains adalah sama seperti kita, manusia biasa. Mereka terdorong oleh rasa bangga, tamak, permusuhan, iri hati, asad dengki, cita tinggi, inspirasi keagamaan dan kebangsaan serta mereka juga kenal rasa kecewa, buta hati, keras kepala, politiking dan perasaan yang remeh temeh sama seperti yang kita alami. Hasilnya, inilah kisah mereka yang menang dan kalah.

Jika penulisnya Hal Hellman mengorak langkah awal menyiapkan buku 260 muka surat ini selama dasawarsa, mengilhami kuliah Shirley A Roe bertajuk “Voltaire lawan Needham: Pewujudan Spontan dan Sifat Keajaiban” di Akademi Sains New York pada 2 Disember 1981 maka mengulati konflik karya ini juga mampu mencambah minat terhadap sains. Jika karya sebegini masih dianggap berat, ada baiknya anda bermula dengan buku “100 Perkara Kamu Patut Tahun Tentang Sains” karya Steve Parker juga dengan alih bahasa oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.