28 Mac 2013

BANGKANG DAN MULUT LONGKANG




Oleh: Faizal Riduan


“Undilah, tuan dan puan,
Julai dua puluh tujuh hari bulan,
Pilihan raya yang pertama,
Pergilah, undilah bersama-sama”


Bait rangkap pertama lagu nyanyian Zainal Alam, penyampai radio popular di Radio Malaya pada ketika itu. Kempen  terbuka pilihan raya pertama yang turut mempertontonkan wayang pacak filem Tarzan and His Mate. Hari ini, program khidmat masyarakat sebegini dijalankan secara formal-formalan dan rasmi-rasmian yang membosankan bagi orang muda.


Lagu “Undilah” daripada video klip pesanan khidmat awam arahan Pete Teoh yang tri-bahasa gubahan Afdlin Shauki dalam bahasa Melayu, Namewee dalam bahasa Mandarin dan Sassi Thran Rajoo dalam bahasa Tamil menemukan rentak mensenikan kempen mengundi supaya dekat di hati bakal pemilih muda.


Pete yang disenaraikan antara 135 orang yang mencuri tumpuan di Asia pada 2010 oleh CNN Go, turut menghasilkan projek video sosio-politik “Here In My Home” dan “15Malaysia” yang ditonton jutaan rakyat Malaysia.


Lebih 160 personaliti menjayakan secara sukarela yang terdiri daripada selebriti Bront Palarae, Chelsia Ng, Daphne Iking, Jehan Miskin, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Reza Salleh, Baki Zainal, Wardina Safiyyah, Reshmonu, Yasmin Yusuf, Rina Omar, Aizat; blogger Aisehman dan Johan Farid Khairuddin; serta ahli politik Nuruh Izzah Anwar, Tengku Razaleigh Hamzah, Tony Pua, Nik Nazmi dan Wee Ka Siong.


Sayangnya video ‘catchy’ berdurasi 4.38 minit yang dilancarkan sempena Hari Malaysia tahun 2011 bagi menyeru rakyat untuk keluar mengundi ditarik balik penyiarannya di televisyen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan alasan belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.


Bulan lalu klip video komedi gelap “Bangkang Dari Longkang” (BDL) bertajuk “Buku Jingga” lakonan Nabil Ahmad (Raja Lawak) dan Salih Yaacob pula mencetuskan kontroversi kerana menyindir Pakatan Rakyat (PR). Penyokong PR kemudian bertindak balas dengan mengecam 2 ikon pelawak tersebut di laman sosial peribadi mereka, halaman kelab peminat dan stesen media berkepentingan. Beberapa akaun halaman Facebook yang memboikot juga telah didaftarkan dan hanya disertai oleh kira-kira 10 ribu pelayar.


Klip video yang pertama kali disiarkan di YouTube oleh pemilik akaun dengan nama serupa Bangkang Dari Longkang pada 20 Februari lalu hanya ditonton 39,182 orang tetapi kemudian meletup apabila dimuat naik semula oleh akaun SuaraKeramat112 pada 25 Februari dengan 401,054 penonton dan 5,018 komentar setakat pagi tadi.
Namun pemilik akaun pro pembangkang itu yang menyeru penonton untuk “Klik butang dislike beb!” hanya mampu mendapat sokongan 8,140 orang iaitu hanya 2 peratus sahaja. Jika dikira bersama 10 salinan klip video serupa yang mencatat rating keseluruhan 566,041 penonton didapati hanya 1.8 peratus mengklik tidak suka (dislike) dan 0.4% lagi suka (like).


Sebelum ini Salih Yaacob pernah meniru gaya percakapan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mencatat 500,000 hit di YouTube ketika mengacarakan Anugerah Bintang Popular 2004 tanpa sebarang palitan kontroversi. Salih Yaacob yang mengambil keputusan untuk bersara sebenarnya merugikan industri seni, “Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada peminat. Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat di dalam bidang hiburan selepas ini.”


Video komedi parodi BDL ini sebenarnya mempunyai hampir 20 siri dan telah dimuatnaik sejak bulan Mei 2012. Turut membintanginya ialah pelawak Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Shahira, Harith Iskander, Dee (sitkom Jangan Ketawa) Douglas Lim, Sathiya dan Johan (Raja Lawak).


Sehingga kini siri video BDL telah dilanggan (subscribe) 4 ribu orang dan ditonton 1.2 juta orang.
Bermula dengan video “Esok Nak Demo Ni” dengan 277,777 penonton (2,182 suka dan 4,638 tidak suka), “Demo Anti Demo” 171,894 (1,992 suka dan 2,406 tidak suka), “Bila Pilihan Raya” 143,335 (1,488 suka dan 1,438 tidak suka), “Special Offer” 77,327 (766 suka dan 363 tidak suka), “Dulu Lain Sekarang Lain” 62,515 penonton (565 suka dan 155 tidak suka), “Jurulatih 3 Kepala” 42,371 (539 suka dan 162 tidak suka), “Urut Macam-Macam” 41,571 (276 suka dan 90 tidak suka), “Cakap Tak Serupa Bikin” 40,703 (439 suka dan 130 tidak suka), “Semua Saudara” 50,784 (432 suka dan 289 tidak suka), “Jual Terbalik” 30,542 (272 suka dan 82 tidak suka), “Jarang-Jarang Ada” 26,038 (206 suka dan 517 tidak suka) dan “Gusti Team Gabungan” 24,260 (242 suka dan 105 tidak suka).


Untuk tahun ini, sejak Februari lalu 6 video lagi dimuatnaik untuk menghangatkan bahang pilihan raya yang dijangka April ini. “Parking Putrajaya” mencatat 27,720 penonton (rekod suka dan tidak suka dilumpuhkan), “Penjual DVD Haram” 14,156 (183 suka dan 90 tidak suka), “Gaji Minimum” 43,693 (66 suka dan 125 tidak suka), “Ceramah Ramadan” 31,793 (90 suka dan 132 tidak suka) dan “Pendidikan Tinggi Percuma” 86,247 (435 suka dan 1,485 tidak suka).


Usai menonton kesemua siri klip video BDL, saya sebenarnya menjadi lebih sinikal selepas terbau hanyir ‘mulut longkang’ penonton partisan dan berempati dengan pelakon irasan. Penonton yang buta seni ini adalah minoriti dengan tidak sampai 2 peratus sedangkan lebih 97 peratus lagi masih menjuri sehingga ke hari mengundi.


Luahan hati Afdlin Shauki tanpa apologetik ada lokus standi, “Saya rasa apa orang malaysia tidak boleh buat adalah mentertawakan diri sendiri. Setiap sesuatu perlu ada fakta dan tiada kekaburan. Apa yang saya dengar kalau kamu UMNO, kamu adalah orang yang teruk. Dan sebahagian orang UMNO berkata perkara yang sama pada orang pembangkang. Saya percaya ada orang baik di kedua-dua pihak dan ada juga orang tidak berapa baik juga tetapi akhirnya siapa kita untuk mengadili mereka. Bukankah itu kerja Tuhan?”


Memang sakit mata apabila membaca komen-komen fanatik peminat yang menilai baju politik daripada kulit seni artis. Mereka sepatutnya mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” dengan meraikan perbezaan latar sebagaimana kita menerima mereka yang berlainan negeri, agama, bangsa, budaya dan citarasa.


Satu masa dahulu mereka yang melaungkan hak kebebasan dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, “Setiap rakyat mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan berekspresi” tetapi kini bertindak menyergah balas apabila artis-artis menggunakan hak ucap suara mereka. Malah ugut paksa untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik semula kata-kata dilihat tidak lebih daripada cekupan untuk menutup mulut.


Ketika mereka menyokong kebebasan media, dalam masa yang sama mereka mengongkong media sosial seperti Facebook dan YouTube berkaitan artis dengan komentar berbaur kecaman dan makian. Bukankah ini juga satu diskriminasi dalam talian?


Ancaman boikot yang berlarutan terhadap karya seni artis seperti terbaru filem Lawak Ke Der 2 pada 7 Mac ini tidak ubah seperti salah guna kuasa ‘menggam’ sebagaimana amalan pemain industri, media dan pihak berkuasa. Kita tidak perlu mendiskriminasi seseorang disebabkan parti dokongan selagi mereka bertatalaku secara profesional dan beretika.
Tidak salah untuk Amy Search, Jamal Abdillah dan Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin mendokong UMNO sebagaimana tidak menjadi kesalahan untuk Aishah Ariffin, Ito Blues Gang dan Radzi Melissa menyokong PAS serta Yasin Brothers dan Dayangku Intan menyokong PKR.
Figura politikus seperti hero filem banyak kali Joseph Estrada yang diangkat sebagai Presiden Filipina dan hero filem pertama kali Love Is on The Air, Ronald Reagan yang menjadi Presiden Amerika Syarikat serta Gabenor California, Arnold Schwarzenegger daripada layar panggung The Terminator boleh dijadikan penanda aras artis Malaysia.


Tanpa melihat kepada peribadi dokongan politik mereka, saya menilai karya seni Nabil Ahmad dan Salih Yaacob ini adalah lebih artistik dan estetik daripada pembawa watak ‘Leftenan Adnan’ dan Inspektor Aliza. Adalah lebih bermanfaat untuk ‘pengalaman’ dalam pasukan keselamatan Hairie Othman dan Abby Abadi digunakan untuk klip video versi pembangkang untuk tragedi Bukit Kepung atau terbaru Lahad Datu.


Malah lakonan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik adalah lebih realistik berbanding lakonan spastik Bok Lokman dan Leman (Raja Lawak). Jika tidak, dialog ceramah mereka akan menjadi bahan ketawa seperti pecahnya telinga apabila mendengar Azwan Ali ingin bertanding dalam PRU-13 nanti. Apa pun saya menyokong Azwan Ali jika dia bertanding satu lawan satu dengan Presiden Seniman, Zed Zaidi!

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.