06 Mac 2013

BN 42%, PR 37% DAN ATAS PAGAR 21%


Oleh: Faizal Riduan

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu, Barisan Nasional (BN) memperolehi 50.28% undi popular berbanding Pakatan Rakyat (PR) dengan 49.71%. Perbezaan sekitar 290,000 undi iaitu BN dengan 4.08 juta undi dan PR dengan 3.79 juta undi telah menafikan kerajaan majoriti 2/3 BN di Parlimen untuk pertama kali dalam sejarah sejak PRU pra kemerdekaan. Namun dengan kelebihan geopolitik PRU berasaskan sistem ‘First Past The Post’, BN kekal menjadi kerajaan dengan majoriti mudah 63% setelah memenangi 140 daripada 222 kawasan parlimen.

Momentum yang sama dijangka berulang menurut dapatan terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berdasarkan survei terhadap 1,409 responden pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013. Ini adalah edisi keempat kajian serupa yang dijalankan kali pertama sejak Disember 2011.

“Setakat ini BN masih mendahului dengan sokongan 42% berbanding PR dengan sokongan 37% responden yang berdaftar sebagai pemilih. Namun terdapat 21% responden masih belum membuat keputusan dan mereka akan menentukan siapa yang akan menang dalam PRU-13,” kata Pengarah UMCEDEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Jika dilihat kepada edisi kajian sebelumnya sebenarnya BN masih mempunyai kelebihan dari segi mengekalkan sokongan sedia ada iaitu 44% pada September 2012, 49% pada April 2012 dan 43% pada Disember 2011.

Walau pun sokongan kepada PR dilihat meningkat berbanding 30%, 21% dan 18% pada tempoh masa sama tetapi ia sebenarnya ditampung oleh pemilih atas pagar yang semakin berkurangan daripada 26%, 30% dan 39%. Dalam erti kata lain BN mempunyai kelebihan daripada penyokong tegar meraka berbanding PR dengan penyokong berubah-ubah.

Kajian terbaru ini juga mengubah pola sokongan pemilih kepada calon iaitu 48% berbanding parti 47%. Sebelum ini label parti lebih menguasai iaitu 52% berbanding calon 40% (September 2012), 51% berbanding 37% (April 2012) dan 54% berbanding 40% (Disember 2011).

Ini bermakna bahawa selagi BN dan PR belum memuktamadkan senarai calon mereka maka kedudukan hampir seri itu belum boleh disahkan dalam bentuk undi. Malah jika PR tersalah meletak calon tidak mustahil mereka akan mengulangi kesilapan BN yang menang besar pada PRU-11 tetapi kalah teruk pada PRU-12 berikutnya. Kedua-duanya menjadi rekod bersejarah BN.

Faktor kekuatan calon dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010. BN yang berani menggugurkan bekas penyandang selama empat penggal sejak 1990, Datuk Palanivel Govindasamy yang ketika itu adalah Timbalan Presiden MIC kemudian berjaya merampas semula kerusi yang terlepas ke tangan PKR pada PRU 2008 melalui Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Allahyarham Dr Zainal Abidin adalah merupakan bekas Ketua UMNO Hulu Langat selama 14 tahun dan Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999. PKR yang kemudian menurunkan calon daripada pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang baru 10 bulan melompat parti daripada UMNO nyata tidak dapat menyambung penggal berbaki 3 tahun itu. Zaid adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kota Bharu.

Najib atau Anwar?


Amalan tradisi BN meletakkan penyandang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memperbaharui mandat sebagai Perdana Menteri (PM) dan PR pula telah memuktamadkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM jika memenangi PRU kali ini.

Ia adalah signifikan apabila pesaing mereka dalam gabungan parti masing-masing iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin sekadar menjadi calon popular kepada 22% dan tidak popular kepada 42% manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang popular 26% dan tidak popular 46%.

Justeru, calon pilihan PM pasca PRU-2013 hanya ada dua iaitu sama ada Najib dari BN atau Anwar dari PR. Tiada pesaing yang lain. Ini bukan bermakna bahawa Muhyiddin dan Abdul Hadi ditolak sebagai PM tetapi pemilih mahu PRU kali ini menjadi medan pertarungan pengaruh antara Najib dan Anwar.

Sebagai Perdana Menteri sudah tentunya Najib terdedah dengan lebih banyak kritikan dan berdepan dengan ‘pasang surut’ sokongan kerana polisi dan dasar kerajaan dari semasa ke semasa. Sebagai penyandang Najib masih mendahului dengan populariti 43% berbanding pencabarnya Anwar dengan 42%.

Sungguh pun populariti kedua-dua tokoh politik ini hampir sama dengan perbezaan 1% tetapi jumlah ketidak-popularan mereka berbeza 8%. Anwar nyata lebih tidak disukai oleh 30% berbanding Najib oleh 22%. Namun 35% dan 29% lagi masih belum membuat keputusan sama ada Najib atau Anwar menjadi pilihan mereka.

Jika profil responden diperinci maka Najib disokong sebagai PM oleh kaum Melayu dan golongan wanita sementara Anwar disokong oleh kaum Cina dan generasi muda. 46% Melayu menyokong Najib berbanding Anwar 34% sementara 61% Cina menyokong Anwar berbanding Najib 35%. Bagi pemilih yang bakal mengundi kali pertama, Anwar disokong 52% berbanding Najib 30%.

Menyedari hakikat ini, maka tidak ralat apabila melihat Najib menjadi Perdana Menteri pertama mengunjungi sambutan Tahun Baru Cina kumpulan pendesak pendidikan Cina, Dong Jiao Zong sementara Anwar pula memperkenalkan Agenda Wanita Malaysia (AWM).

Isu Main Peranan

Kajian terkini UMCEDEL ini juga mengesahkan bahawa rakyat Malaysia masih tertarik dengan tawaran material terus kepada rakyat daripada kedua-dua belah pihak. 75% bersetuju bahawa pemberian bantuan secara berkala seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M ) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). Malah Bajet 2013 yang memanfaatkan rakyat turut mencatat persetujuan 55%.

Begitu juga dengan PR yang menjanjikan penurunan harga minyak dipersetujui 57%, pemansuhan PTPTN 60% dan penurunan harga kereta 50%. Dijangka menjelang bulan terakhir PRU lebih banyak tawaran lumayan termasuk terbaru pendapatan isi rumah minimum RM4,000 oleh PR dan kenaikan BR1M kepada RM1,000 oleh BN.

Inisiatif program transformasi kerajaan seperti Klinik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia didapati meningkatkan sokongan sehingga 73% kepada BN. Kejayaan BN menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur sejak kemerdekaan pula mencatat darjah persetujuan 61% sementara janji PR untuk mewujudkan kerajaan baru yang bersih dan amanah mendapat sokongan 57%.

Sungguh begitu, 78% percaya bahawa isu integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN, 62% isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), 61% isu Loji Pemprosesan Nadir Bumi (LYNAS), 51% kegagalan mengurangkan kadar jenayah dan 55% isu sudah terlalu lama memerintah Malaysia antara isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada BN.

Bagi PR pula, 59% percaya bahawa percanggahan pendapat di kalangan pemimpin dan 44% kelemahan pentadbiran negeri boleh menjejaskan peluang PR. “Bagi BN isunya ialah integriti seperti skandal Deepak Jaikishan dan NFC sementara PR isunya ialah perbalahan seperti Hudud, nama Allah dan pembahagian kerusi. Walau mereka memiliki pandangan berbeza terhadap BN dan PR tetapi menekankan perkara pokok yang sama iaitu tadbir urus,” ulas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu.

Undi Atas Pagar Penentu

Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan wajar diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Walau pun angkubah ini adalah kuasa ketiga dan kelompok minoriti berbanding partisan 42% dan 37% tetapi tokok tambah undi atas pagar ini mampu menentukan kemenangan melalui majoriti mudah.

“Parti yang menguasai golongan 21% ini akan berpeluang untuk memenangi PRU kali ini. Kami telah menjejak undi senyap ini dan mendapati profil mereka terdiri daripada 53% orang Cina, 49% siswazah universiti, 51% berumur antara 21 hingga 30 tahun dan 48% pemilih yang bakal mengundi pertama kali,” ujar pensyarah terbaik UM untuk 11 tahun berturut-turut itu.

Melihat hakikat ini maka tidaklah memeranjatkan apabila BN dan PR masing-masing menjadikan 4 kelompok pemilih ini sebagai kumpulan sasaran utama mereka. Tawaran BN dengan Skim Rumah Pertamaku, rebet telefon pintar 3G dan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) sementara PR menjanjikan penubuhan Sekolah Janaan Rakyat, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) Sekolah Menengah Swasta Cina, pengurangan kadar cukai individu dan harga kereta serendah RM25,000 untuk memenangi hati kumpulan berisiko ini.

Hakikatnya baik BN atau PR, dasar kerajaan pasca PRU-13 sewajarnya dipandu untuk kepentingan keseluruhan 100% rakyat Malaysia. Bukan untuk 42% atau 37%, apatah lagi 21%.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.