17 Mei 2010

DUNIA SENYAP DASAR LAUT

Oleh: Faizal Riduan

Kehidupan di dalam laut adalah dunia yang sunyi sepi, tenang di dasar walau permukaannya bergelora ombak dan gelombang yang kejam. Sungguh tepat sekali apabila Jacques Yves Costeau, seorang ahli oseanografi dan ahli selam terkemuka dari Perancis menamakan alam bawah laut itu sebagai “Dunia Senyap” untuk tajuk buku dan dokumentari yang merakam rahsia penemuan pengembaraan dan penerokaannya yang pertama kali dalam rekod dunia, masing-masing diterbitkan pada tahun 1953 dan 1956. Jika tidak sudah tentu dunia dasar laut yang penuh warna-warni ini dilihat sekadar statik berwarna biru yang sedikit berbeza dari ton latar belakang awan.

Walaupun manusia adalah mahkluk ‘daratan’ tetapi tetap tidak dapat dipisahkan dengan lautan. Lihat sahaja habitat 800 spesis terumbu karang yang didiami oleh lebih 4,000 spesis ikan yang menyumbang pendapatan dunia lebih RM1.34 trillion sebagai sumber makanan dan produk pelancongan.

Hari ini warisan dasar laut terbaik boleh ditemui di Taman Laut Terumbu Sawar Besar iaitu Taman Laut terbesar di dunia terletak di Queensland, Australia yang diiktiraf sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Semulajadi Dunia dan Tapak Warisan Dunia.Gugusan terumbu karang ini adalah struktur terbesar organisma hidup yang terdiri daripada berbilion-bilion polip sehingga boleh dilihat dari angkasa lepas. Ia mengandungi 2,900 batu karang dan sekitar 900 pulau yang terbentang luas sepanjang 2,600 km dengan luas permukaan sekitar 344,400 km².

Sungguh Malaysia bukanlah negara kepulauan sepenuhnya seperti Queensland, setidak-tidaknya kita masih boleh berbangga kerana masih tersenarai dalam 12 buah negara mega biodiversiti dunia. Kira-kira 80 peratus spesis batu karang di dunia dan lebih 4,000 spesis ikan mendiami dasar laut negara dengan bahagia aman sentosa. Tidak hairanlah, Pulau Tioman dipilih sebagai antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970.

Cabaran menanti pengembara selam skuba ialah untuk menjejaki peta navigasi flora dan fauna marin seperti batu karang, mamalia marin, ikan dan invertebrata yang senyap mendiami wilayah perairan negara di Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi. Panaroma lebih fantasi tetapi alami dari sekadar melihat pameran fotografi “Malaysia In 24Hrs Beautiful Destination - Underwater Sceneries of Malaysia” karya 42 penyelam dan jurugambar bawah laut di Balai Seni Lukis Negara yang akan berakhir 6 April ini. Namun bagi yang mabuk laut, jika anda trauma apabila teringat filem Jaws atau Open Water, ada baiknya anda meneutralkan minda anda dengan menonton Teater Muzikal Gamat di Istana Budaya dan lihatlah betapa ramah mesranya makhluk marin ini.

Apapun jumlah Taman Laut di Malaysia sebenarnya masih satu angka yang kecil untuk keseluruhan khazanah biodiversiti dan ekosistem marin negara. Ini kerana negara mempunyai warisan 882 buah pulau dan hanya 42 buah pulau diwartakan sebagai Taman Laut, dua buah pulau di Sarawak diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sementara 11 buah pulau lagi di Sabah diwarakan sebagai Taman Negeri. Rumusnya hanya 55 buah pulau iaitu sekitar 6.2 peratus sahaja yang dilindungi. Penambahan bakal 32 buah pulau Taman Laut masih tidak mencecah 10 peratus. Begitu juga dengan liputan batu karang di perairan negara sejumlah 614,000 km² tetapi hanya 2,300 km² dipelihara sebagai Taman-Taman Laut iaitu hanya 0.37 peratus.

Sama seperti Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang bermula tahun 2007 yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Timor Leste dan Kepulauan Solomon yang hanya mewakili dua peratus kawasan laut dunia namun signifikan kerana hampir 75 peratus jenis terumbu karang dan 40 peratus jenis ikan-ikan karang menetap tinggal di sini.

Kini kita hanya tinggal baki sisa karun laut. Pulau Tioman hari ini walau dikatakan masih cantik tetapi tidak secantik yang dilihat oleh editor majalah Time pada tahun 1970 apatah lagi dari kaca mata Dr Kaempfer pada tahun 1690 dan William Jansz pada tahun 1602 yang lebih mengenalinya sebagai Pulo Timao.

Jika khazanah ini tidak dapat diwarisi, ia hanya akan menjadi lagenda dan mitos. Itulah yang mungkin berlaku kepada Pulau Galapagos yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1978. Kepulauan volkano itu telah dijejaki oleh Charles Darwin pada 15 September 1835 semasa pelayaran Beagle yang kemudian melalui spesimen-spesimen kajian penyelidikan membawanya kepada penemuan teori evolusi yang kontroversi. Terbaru pada tahun 2007, pulau yang diduduki oleh 23,000 penduduk ini diklasifikasikan sebagai 'Warisan Dunia Dalam Bahaya'!

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) sebagai penguasa perlu diperkasa. Tidak cukup bagi sebuah jabatan yang dinaik taraf dari satu seksyen di Jabatan Perikanan pada 16 Julai 2007 itu mengekalkan penggunaan Akta Perikanan 1985 yang sekadar membawa hukuman maksimum RM20,000 atau dua tahun penjara. Tanpa peruntukan khas seperti Akta Taman Laut, JTLM tidak ubah seperti jerung tanpa gigi dan rahang yang hanya sesuai di Aquaria, KLCC dari mitologi Hawaii sebagai penjaga samudera. Malah tidak keterlaluan jika JTML dijadikan seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), pasukan elit keselamatan kawasan perairan dengan bot laju, motor selam mini dan Subskimmer iaitu kenderaan selam penyusupan dalam air tanpa kesan serta pasukan yang dilengkapi senjata MP5A5 dengan pejera Optik Taktikal CompM2 dan lampu suluh Surefire. Apa bezanya penceroboh hidupan laut dengan lanun?

10 Mei 2010

TEMU TERUMBU DI TIOMAN

Oleh: Faizal Riduan

Sebagai rakyat Malaysia pemilihan Pulau Tioman antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970 sememangnya membanggakan. Lebih awal dari itu, ia telah terpilih menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, South Pacific pada tahun 1959. Saya tidak dapat membayangkan keindahan karya tuhan ini kerana saya hanya dilahirkan pada tahun 1981.

Izinkan saya mulakan cerita dongeng asal usul Pulau Tioman dengan gaya sang panglipurlara. Menurutnya ceritera hikayat dahulu kala, Pulau Tioman berasal dari kisah sepasang naga suami isteri yang meninggalkan Tasik Chini ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan kepergian, naga itu tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, ketika itu ayam telah berkokok dan ia adalah melanggar pantang menyebabkan naga bertina disumpah menjadi pulau sementara naga jantan bertukar menjadi Gunung Nenek Semukut. Saya terfikir alangkah larisnya jika Tioman ada menjual kain ‘cindai naga’ sebagai tanda mata lagenda turun temurun itu.

Walau telah bertaraf dunia, majoriti pengunjungnya adalalah bukan warganegara Malaysia yang lebih mesra dengan dasar liberalisasi ‘tambang murah’ kapal terbang RM9.90. Barangkali mereka lebih ‘gila’ ke Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia. Berbeza dengan saya yang sukakan ‘hujan batu’ di negara sendiri, undangan ke Pulau Tioman untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu benar-benar satu rahmat.

Mujur kepergian menaiki pesawat folker Berjaya Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hanya mengambil ‘angin’ 45 minit berbanding laluan darat tambah laluan laut yang memanaskan punggung selama enam jam. Setelah lima tahun tidak berada di awan biru, melihat Pulau Tioman dari udara sungguh mengasyikkan dengan keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar serta 20 batu di luar pesisir pantai di bahagian tenggara negeri Pahang Darul Makmur. Badan rasa bergetar saat menjejakkan kaki di bumi yang berkedudukan antara 104° 5’ hingga 104° 15’ longitud dan 2° 40’ hingga 2° 55’ latitud di dalam peta dunia.

Pulau Tioman adalah pulau terbesar di dalam gugusan sembilan pulau selainnya iaitu Pulau Tulai, Pulau Labas, Pulau Sepoi, Pulau Seri Buat, Pulau Tokong Bahara, Pulau Gut, Pulau Cebeh dan Pulau Sembilang. Paling indah kunjungan saya kali ini akan menyelongkar rahsia alam di seluruh penjuru ceruk yang terdiri daripada sembilan buah perkampungan seolah menjejaki usaha pakar geologi J H Bean pada 1967 sebelum peta rasmi diterbitkan pada 1973. Malah kedatangan saya ke sini bukan sahaja sebagai pelancong tetapi sebagai pemerhati ala pengkaji kerana turut bersama ialah sepasukan pakar dari Unit Perundingan Universiti Malaya (Upum).

Sebetulnya ketika ini adalah musim angin monsun timur laut yang bertiup kencang dengan kelajuan maksimum mencecah 20 m/s dan ombak meninggi mencecah 5 meter dikira sebagai musim senyap pelancong iaitu antara bulan Disember hingga Februari memberikan saya privasi. Jika tidak sudah tentu saya rasa terpencil di negara sendiri kerana Pulau Tioman menarik 30,000 hingga 50,000 pelancong sebulan yang kebanyakkan dari negara Eropah.

Setiap kampung di Pulau Tioman mempunyai variasi yang unik dan tersendiri. Bagi yang berfikir Pulau Tioman adalah pulau 'sekankang kera', anda perlu berfikir sekali lagi! Kampung Tekek nampak seperti mempunyai sejarah dengan lagu “ikan kekek mak iloi-iloi” adalah kampung terbesar nampak moden dengan kemudahan infrastruktur dari marina sehingga ke Pusat Taman Laut. Semua perkhidmatan utama Pulau Tioman berpusat di Kampung Tekek. Namun hanya ada satu bank iaitu Bank Simpanan Nasional. Itupun milik kerajaan. Jadi ada baiknya percutian anda dibekali dengan wang yang mencukupi tanpa perlu memenuhi poket kerana tiada barang identiti tempatan yang menanti untuk dibeli. Apalah maknanya anda membeli makanan kering laut dari Pulau Pangkor atau produk kraftangan dari Bali di Pulau Tioman?

Dominasi kumpulan Berjaya boleh dilihat di lapangan terbang dan Berjaya Resort yang nampak mewah dan ekslusif dengan 268 buah bilik. Bilalah agaknya syarikat kapal terbang tambang murah dan hotel milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) hendak beroperasi di pulau yang 99.9 peratus penghuninya adalah Melayu?

Menyelusuri sepanjang pantai Kampung Tekek dengan memalingkan wajah ke hujung laut begitu mendamaikan disapu angin bayu. Namun sebalik berpaling ke atas daratan, mata sedikit sakit melihat rumah kayu beratap zink penduduk yang usang. Hati terdetik meragui sejauh mana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara memberikan pulangan kepada penduduk asal yang seolah sekadar memerhati orang luar datang dan pergi tanpa apa-apa erti.

Kampung Salang adalah tempat paling meriah tumpuan utama pelancong yang mempunyai tiga buah resort yang diusahakan oleh penduduk kampung iaitu Salang Indah Tioman, Salang Sayang Resort dan Salang Pusaka Resort yang menyaksikan penguasaan masyarakat setempat dalam ekonomi. Nama-nama menu juga ditulis baca dalam bahasa Inggeris, jadi kepada yang belum fasih kepada bahasa antarabangsa ini ada baiknya anda dibekalkan dengan kamus. Namun kejutan budaya jelas apabila pemuda bernama Mikail dipanggil Michael sementara Zainal dipanggil Zack.

Kampung Air Batang menawarkan percutian perkampungan yang ideal. Walau kekurangan fasiliti namun kedudukan strategiknya bersebelahan dengan Kampung Tekek dan Kampung Salang yang boleh dihubungkan melalui laluan darat untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal bertukar menjadi satu kelebihan.

Kampung Paya dan Genting pula nampak mewah dengan chalet esklusif seolah anda berada di dunia yang lain. Ia sesuai untuk percutian dalam bentuk kumpulan yang tidak memerlukan orang lain dalam dunia mereka. Kebanyakannya dimiliki oleh orang Singapura yang memajak sewa tanah milik penduduk untuk dijadikan pulau kedua mereka.

Sebenarnya rupa bentuk Pulau Tioman yang hampir 80 peratus berbukit dan bertebing tinggi dengan formasi batu granit dan bukit bukau beralun ini menjadi daya tarikan untuk sukan ekstrem mendaki bukit dan memanjat tebing cerun suram. Selain Gunung Nenek Semukut, Batu Sirau (747 m), Gunung Seperuk (958 m) dan Gunung Kajang iaitu gunung tertinggi (1,038 m) menjadi pilihan si kaki gunung untuk dipijaki.

Kampung Mukut agak lengang dengan pelancong disebabkan perkhidmatan feri yang telah ditamatkan sejak setahun yang lalu. Menyakitkan kaki menyusur pantainya yang sempit dan berbatu. Dalam perjalanan, semasa melalui Gunung Nenek Semukut, mualim bot meluruskan telunjuk pada arcaran banjar gunang-ganang yang tegak meninggi sambil menterjemahkan tonjolan bongkah granit yang menegak 695 m sebagai mitos ‘tanduk naga’.

Jika tidak puas mandi air masin, apa kata anda bilas air laut dengan air terjun Bukit Asah. Sebenarnya kampung Mukut memberikan pilihan terbaik untuk kaki pancing laut dalam berkampung. Tempat ini yang masih belum dikomersilkan secara besar-besaran menjanjikan kehidupan desa yang permai dan mendamaikan. Lupakan sebentar cara hidup percutian serba mewah, di sini anda boleh kembali kepada kehidupan tradisi warga peribumi. Sang pengail boleh ke tengah laut untuk merasa penangan bertarung dengan mayung, bagak, tenggiri, tongkol, kerapu dan ketarap yang mudah mengena umpan.

Kampung Juara agak tersorok dan tersembunyi kerana kedudukan tunggalnya di sebelah belakang mengadap Laut China Selatan. Mujurlah ada laluan darat jalan berturap yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu, jika tidak kecantikan kampung ini akan terus tenggelam dalam malar belukar dara. Laluan jalan yang cerun berliku dan berbukit ini memerlukan 45 minit perjalanan dengan aksi pemanduan yang sangat berhati-hati menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang boleh didapati di Kampung Tekek. Namun bagi yang sukakan cabaran, laluan alternatif dari Kampung Tekek ke Kampung Juara boleh diredahi secara rentas denai sepanjang tujuh kilometer yang mengambil masa selama dua jam.

Pembukaan Santuari Penyu Tengku Arif Temenggung (TAT) di kampung ini menjadikannya pusat pendaratan dan penetasan kedua di Pahang selepas Cherating dan ke-15 di Malaysia. Di sini juga terdapat satu kubur keramat Datuk Bukit dengan pesanan kepada sang pemuja nombor ekor, lebih baik berlibur di sini bagi memastikan kunjungan anda berbaloi.

Apapun Pulau Tioman tetap syurga dasar laut. Anda boleh menyelam melihat karang lembut Gorgonian, Staghorn dan nudibranch sambil berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers. Malah kini, penyu agar dan penyu karah menjadi penghuni baru di pulau ini.


Saya tidak melepaskan peluang berenang sambil bersnokeling di jeti Pusat Taman Laut bersama ikan jinak yang makan ditangan. Berbekalkan roti sudah cukup untuk menggoda ikan-ikan ini berlumba mengejarnya. Tidak tahan dengan cerita orang-orang di sini, saya menyambung aktiviti lebih mencabar di Pulau Rengis namun hajat meneruskan ekspedisi eksplorasi marin saya untuk ke Pulau Tulai yang terkenal sebagai Pulau Batu Karang tidak kesampaian disebabkan angin ribut yang mencemburui.

Namun satu masa dahulu ia juga menjadi destinasi penyu belimbing dan gamatnya juga bertaburan di persisi pantai. Indikator ini patut dilihat bahawa pemakaian gelar pulau tercantik di dunia itu mungkin telah lama berlalu iaitu 40 tahun dahulu. Pulau volkanik ini mungkin merosot kualiti hidupan marinnya untuk tempoh 10 tahun lagi jika perancangan pembangunan mensasarkan pembinaan 5,500 bilik sehingga tahun 2020 berbanding 1,750 bilik pada masa kini. Ianya adalah satu peningkatan pelancong yang mendadak sejak resort pertama dibuka pada tahun 1975. Dianggarkan populasi juga meningkat sehingga 25,000 org berbanding 3,200 orang sekarang. Justeru besarlah harap agar status gazet sebagai Taman Laut pada 1994 mampu melestarikan kehidupan penyatuan dengan alam sekitar yang simbiosos dan harmonis.

Sebenarnya setelah genap 40 dasawarsa alam marin Pulau Tioman diteroka pelancong komersil, alam hutan hujan tropikanya masih dara dengan keluasan kira-kira 12,383 hektar yang telah diwartakan sebagai rizab negara sejak 28 September 1972. Antara hidupan liar yang dilindungi di zoo semulajadi ini ialah kucing hutan, tupai, monyet, pelanduk dan landak. Dianggarkan 45 spesies dan 138 spesies burung hidup meliar.

Berlatar belakang hutan bakau, pinggiran pantai, dusun perkampungan, hutan tanah pamah dan hutan sub-montane yang sesetengahnya dipengaruhi ciri-ciri hutan Pulau Borneo sehingga menemukan pokok bunga pakma (Rafflesia). Malah paku pakis seperti Cyathea oosara dan Cyathea tripinnata yang juga terdapat di Gunung Kinabalu dan tidak terdapat di tanah besar semenanjung boleh ditemui Pulau Tioman. Ajaib bukan?!

Sudah sampai masanya pelancong melihat kutub khanah khazanah malar ini di depan mata sebagaimana yang dialami krew dokumentari National Geographic satu masa dahulu. Tidak cukup di kaca televisyen. Saya yang takutkan ‘pacat’ mengimpikan menara pandang dan titian silara seperti di Taman Negara supaya tanah hutan ini boleh dipusakai turun temurun.

Hakikat sebenarnya, keindahan Pulau Tioman bukanlah baru. Sejak seribu tahun dahulu walau bertaraf sebuah pulau kecil ia menjadi tempat besar di Laut China Selatan bagi transit dan persinggahan pelayar dan pedagang dari China, Arab dan Eropah untuk mendapatkan sumber air mentah dan kayu-kayan menurut buku Arab “Akbar as Sin wa'l Hind”. Ia dapat dilihat dengan penemuan peralatan seramik dari dinasti Song Utara, China pada abad ke 11.

Pada Mei 1690, keindahan Pulau Tioman untuk pertama kalinya dicatatkan oleh seorang pengembara, Dr Kaempfer yang singgah dalam perjalanannya dari Batavia (Jakarta) ke Ayuthia (Thailand) walaupun terdahulu dari itu William Jansz turut melawat Pulau Tioman pada 1602 iaitu ketika belayar dari China melalui Patani ke Bantam. Oleh yang demikian tidak hairan apabila Pulau Tioman yang dahulunya dikenali sebagai Pulo Timao telah berada dalam peta dunia yang dibuat oleh pengembara Belanda, Jan Van Doetichum pada abad ke 17.

Barangkali inilah yang dicari oleh pakar arkeologi, J Collin lewat penemuannya dengan seramik purba di Kampung Juara dan Teluk Nipah berhampiran dengan Kampung Mukut. Malangnya semua ini tidak akan anda temui. Pulau Tioman hanya dikenali sebagai pulau marin sedang susur galur sejarahnya lebih panjang lagi. Kita masih memijak Pulau Tioman yang sama dipijak pelayar dan pelaut seribu tahun dahulu. Tetapi sayangnya kita kehilangan jejak bertapak estetika itu.

22 Mac 2010

TIRU TILU

Setelah sekian lama diundang untuk menyaksikan 'gig' underground yang diangkat ke mainstream, Tilu oleh Asraf Dahari ayah kepada vokalisnya yang akhirnya melorongkan malam saya berpergian ke Cloth & Clef di Changkat, Bukit Bintang. Sebenarnya dalam usai pra dewasa yang membesar secara alami di pinggir bandar separa hutan belantara pengalaman 'gig' dalam gelap goyang gempita ini seakan menyentak deras aliran darah muda yang dahulunya unyai menyaluri urat nadi. Agak kekok dan canggung rasanya dikelilingi remaja yang pelbagai rencam latar hidupnya mengekpresikan pula gaya bebas mereka. Mereka juga di hujung ekor mata mungkin memandang saya dengan seribu tanda tanya - "Dia ini kaki gig juga ker?".

Begitulah magnetiknya Tilu menyebabkan saya yang asalnya mengempuki kerusi bangun berdiri di barisan hadapan sekali. Sengaja mahu mendengar garapan melodi dan senikata mereka menyusup dekat tangkap di hujung corong telinga. Rasanya KRU tidak kelu untuk memperakui kualiti Tilu dibawal label mereka. Uniknya ketika kebanyakan band selesa dengan pembawaan jaluran pop rock dan pop punk, Tilu hadir dengan jalur padu pop jazz, R&B dan dangdut yang terefleksi saat tiupan muzik berhantunya meremangkan bulu roma. Single ciptaan Edry KRU berjudul "Ku Bukan Aku" memberikan nafas segar tanpa menyesakan arus nafas. Tahniah untuk Amirah Asraf atau Mira (vokalis), Johar Lucas (dram), Puja Paska (bass), Reza Ramsey atau Bajai (keyboards), Kiki Rizky Rahadiyan atau Kibas (gitar), Firdaus Bohari atau Daus (trumpet), Fareed Aziz atau Fareed (flugelhorn), Jeff atau Jeffny Kamar (saksofon).

18 Mac 2010

ITNM UNDI

Jika anda pernah memberikan AF Undi yang merugikan kredit anda, apa kata anda membuat perkara yang sama untuk satu undi bertaraf akademik. Bermula esok 19 sehingga 28 Mac 2010 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Lot CO1-C03, C25-C30, C49-C51, Aras 3, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memberikan anda peluang untuk menjadi juri awam. Dengan setiap pembelian buku keluaran ITNM, anda akan diberikan peluang mengundi tiga ulasan buku terbaik dari 10 ulasan yang telah dipilih oleh juri. Undi awam pengunjung akan membentuk 70 peratus markah berbanding undi juri profesional sebanyak 30 peratus markah.

Menariknya kerana ulasan buku saya, "Adab Dialog Dalam Islam" telah terpilih dalam pencalonan 10 ulasan terbaik. Jika anda merasakan ulasan tersebut baik silalah undi dan jika merasakan ia belum cukup baik, jangan segan untuk mengundi ulasan buku yang lain!

Sebenarnya saya berhasrat untuk menghantar satu lagi pencalonan, "Menakhoda Zaman" sebuah buku Datuk Seri Najib Tun Razak yang saya kira lebih baik ulasannya. Namun kesuntukan masa membuatkan saya terlupa mengenainya. Namun saya bersyukur kerana dengan hanya satu pencalonan ia dipilih juri sebagai antara 10 ulasan terbaik sudah cukup memadai apatah lagi jika rezeki hadiah pertama, RM5,000 bertukar tangan - Amin. "Tuah ayam nampak di kaki, tuah pengulas buku siapa yang tahu?"

14 Mac 2010

KUSTA DAN DUSTA

Oleh: Faizal Riduan

Kusta yang juga dikenali sebagai penyakit Hansen berikutan penemuaan saintifiknya oleh Dr Armauer Hansen dari Nowmay pada tahun 1873 sebenarnya bukanlah penyakit baru. Ini kerana sejarah panjangnya sebagai penyakit kuno yang dikesan sejak 600 tahun sebelum Masihi yang pernah menjangkiti mati penduduk China, Mesir dan India. Kini sejak penemuan penyembuhan pada tahun 1981, 16 juta pesakit telah dipulih-putihkan dan program penghapusan kusta oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dilancarkan pada tahun 1991 dengan sasaran kurang daripada satu kes bagi 10,000 penduduk yang berjaya dicapai pada tahun 2000.

Di Malaysia, Pusat Kawalan Kusta Negara (PKNN) atau sinonim sebagai ‘Lembah Harapan’ yang diduduki di atas tanah seluas 562 ekar yang dibuka pada tahun 1926 adalah ‘syurga dan neraka’ pesakit kusta sejak diasing-tinggalkan di sini. Pusat ini mungkin tidak semeriah dahulu yang mempunyai sejumlah 2,000 orang penghuni dalam satu masa berbanding kini hanya sekitar 253 orang, itupun sebahagian besarnya telah sembuh dan menghabiskan sisa hidup sebatang kara kerana keluarga terpaksa menisankan kewujudan mereka di sini.

Jaraknya hanya 20 km dari rumah saya di Batu Caves dengan perjalanan mengambil masa 30 minit. Sedari kecil saya melihat Sungai Buloh dan pesakit kusta sebagai ‘isi dan kulit’ dan saya percaya mereka yang tinggal di sana tentu lali dengan streotaip sebegini. Malah walau tahun 1970-an yang menyaksikan pesakit kusta tidak lagi perlu diorang-asingkan dari komuniti setempat namun asosiasi Sungai Buloh dan pesakit kusta masih kuat melekit-lekat dalam minda parokial saya. Namun itu tidaklah bermakna saya terperangkap dalam stigma dan diskriminasi terhadap pesakit kusta sebagaimana rayuan dalam resolusi Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jun 2008.

Hari ini mungkin ramai anak muda yang lahir jauh dari Sungai Buloh tidak mengenal langsung penyakit kronik yang diakibatkan oleh bakteria basilus dipanggil Mycobacterium leprae. Bagi mencabar diri saya membuang tabu pada kusta maka saya mengikuti Datin Norlaini Othman atau lebih mesra dengan panggilan Umi Nola, sukarelawan di PKKN sehingga dijadikan ‘ibu angkat’ oleh pesakit-pesakit kusta. Saya kagum melihat semangat seorang wanita yang berusia 67 tahun menghabiskan usia emasnya hampir suku abad untuk berbakti kepada warga ‘tersorok’ di pinggir kota ini.

Entah mengapa perasaan takut asalnya bertukar menjadi terharu dan sedih melihat kehidupan pesakit kusta yang teruja menyambut kedatangan saya dari lirik ekor matanya. Umi Nola benar-benar ikon di sini apabila saya sendiri terpana tempias kehangatan emosi penghuni tatkala melihat mereka mendampinginya dengan tamah ramah sambil menceritakan masalah mereka yang terkarang sejak lama di kepala. Barulah saya tahu bahawa selama ini Umi Nola selalu memberikan ‘air tangan’nya untuk disuapkan ke selera mereka yang dahulunya hampir tiada bercitarasa dan memberikan kelengkapan elektrik. Saya turut menyantuni mereka sehingga tanpa sedar saya akrab memegang mereka. Benarlah sentuhan lima saat lebih bermakna dari kata-kata lima minit!

Akhirnya saya berjaya mendekati warga tertua, Pakcik Harun Yusof (gambar di atas), 95, yang kerana pengistiharan ‘Settlement for Lepers and Decrepit Persons’ pada tahun 1934 berdasarkan Enakmen Kusta 1926 telah meragut kebahagian keluarga dengan mengkuarantinkannya di atas tanah seluas 562 ekar di sini sejak tahun 1946. Walau penyakit berjangkit tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada awal tahun 1970-an dan mereka boleh kembali kepada keluarga, Pakcik Harun tanpa berfikir panjang terus memilih tinggal di sini dan melupakan harapan untuk menghabiskan sisa hidup di samping anak tersayang yang biasanya ‘panjang akal’ untuk menerima kehadirannya semula. Biarlah semua impiannya terlaksana di syurga tuhan doanya.

“Dahulu saya hanya dapat lihat anak semasa dia lahir itupun sekali sahaja pada tahun 1942. Bapa saudara saya yang panggil saya untuk qamatkan anak saya. Kemudian dia yang besarkan anak saya,” cerita Harun Yusof, 95, yang sebak mengenangkan anak dan isteri yang terpaksa diasingkan dalam kehidupannya yang sunyi.

“Bapa saudara saya juga memaksa menceraikan isteri. Isteripun tidak kisah. Dalam hukum agama bolehkah begitu?,” soalnya pula dengan mata berkaca mengingati saat dia terpaksa mentalakkan isteri dari ikatan perkahwinan atas dasar suka sama suka.

Seingatnya kini, anak perempuannya itu telah berusia dalam lingkungan 60 tahun. Walau tidak dapat memanjakan anak tunggalnya itu namun dia bahagia apabila dapat menunaikan tanggungjawab terakhir sebagai seorang bapa dengan menjadi wali perkahwinan dengan seorang pegawai polis. Hasil perkahwinan tersebut, dia mempunyai dua orang cucu dan seorang cicit walau panggilan ‘atuk’ bagai tidak pernah terngiang di cuping telinganya.

“Ada sekali anak pernah datang melawat. Kali terakhir kami bertemu semasa dia hendak menunaikan fardu haji. Itupun sudah lebih 10 tahun yang lalu,”
tambahnya sayu betapa pertemuan mereka anak-beranak selama 67 tahun tidak pernah lebih daripada lima kali sambil membilang jari dengan sebelah tangan.

“Semasa datang dahulu dia ada ajak tinggal bersama. Tetapi menantu tidak bercakap apa-apa mengenainya. Saya faham-faham sendiri. Anak saya perempuan, suami dia yang tanggung. Tak kan hendak tanggung saya lagi nanti tambah beban dia. Saya tidak mahu sebab saya mereka suami isteri bergaduh dan berpecah belah. Biarlah mereka dengan kehidupan mereka yang penting mereka sihat dan selamat. Saya? Apa boleh buat,” tutup Pakcik Harun yang telah berputus harapan untuk kembali kepada kehidupan berkeluarga.

Namun jauh di sudut hati, dia redha dengan ujian ini sebagaimana sabarnya Nabi Ayub a.s menghadapi sakit kulit yang kronik dengan kudis dan nanah sehingga ditinggalkan anak dan isteri. Saya nyaris menumpahkan air mata tatkala teringat sabda baginda dalam Surah al-Anbiya “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi”. Saya perlu kuat di hadapan mereka namun jauh di dalam hati saya remuk rendam sesuatu yang telah lama mereka pendam.

Namun rupanya kunjungan saya bertemu Pakcik Harun hanya sekali. Walau sewaktu itu dia tampak sihat bercerita dengan pelbagai warna gaya, beberapa minggu kemudian saya dikejutkan dengan berita Pakcik Harun telah kembali ke rahmatullah – satu destinasi kuarantin yang kekal abadi. Saya menyesal sejenak kerana tidak menyusul dengan pertemuan berikutnya akibat kesibukan masa di dunia. Lebih hiba lagi perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan tidak diiringi oleh ahli keluarga tersayang! Insan kecil seperti Pakcik Harun pasti pemergiannya digelapkan berita dan ceritanya. Saya berharap tulisan ini sebagai satu dedikasi belangsukawa penghormatan pengembalian seorang hamba setelah lebih setengah abad melalui seorang diri ujian penciptanya yang maha hebat. Kepada kita yang sihat tanpa penyakit kusta, sebenarnya kita telah lama berdusta tentang rasa syukur dan berterima kasih kepada-Nya.

04 Mac 2010

RESENSI: ADAP DIALOG DALAM ISLAM

Oleh: Faizal Riduan

Adakah masih ada dialog dalam Islam? Kita tertanya sendiri tatkala melihat polemik berkaitan umat dan agama Islam apatah lagi yang mencabar status Qua Vadis ahli Sunnah Wal Jamaah, ulama dan pihak berautoriti agama. Anehnya di satu pihak kelihatan seperti katak yang duduk bergelap di bawah tempurung minda yang membutakan kebenaran sementara satu pihak lagi tidak ubah seperti ikan di dalam balang kaca yang sekadar luas pemandangan tetapi tidak boleh mengecap nikmat kebebasan bergerak dalam ruang awam. Dua situasi yang berbeza tetapi kesannya tetap sama – tidak membina!

Sebenarnya ada banyak buku cendekiawan Islam yang memperkatakan tentang adab berselisih pendapat dalam dialog dan muzakarah. Antara buku yang terbaik dalam kelas ini ialah “al-Kifayah fi fann al-Jidal” karya Imam al-Haramain, “al-Ma’unah fi al-Jidal” karya Syirazi, “Tarikh al-Jidal” karya Muhammad Abu Zahrah, “Adab al-Iktilaf” karya Dr Taha Jabir al-Alwani dan “Adab al-Hiwar” karya Dr Muhammad Sayyid Tantawi. Namun bagi yang tidak arif berbahahasa Arab, buku “Adab al-Hiwar” kini boleh dibaca setelah dialih bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tajuk “Adab Dialog Dalam Islam” setebal 602 muka surat.

Buku ini merupakan kajian tentang adab-adab berdialog dalam Islam yang diambil daripada inti pati al-Quran, al-Sunah al-Nabawiyyah dan kata-kata ulama muktabar. Ia menjelaskan bahawa syariat Islam membuka pintu perbahasan yang bijaksana berdasarkan mantik yang betul, adab yang tinggi dan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam lingkungan ilmu yang berguna, kefahaman yang tajam, percakapan yang tinggi budi bahasa serta hati yang putih bersih daripada sifat riak, hasad, ego, mengikut nafsu, kepentingan peribadi dan prejudis tanpa sebab atau bukti yang munasabah.

Ia turut memaparkan bahawa secara semulajadinya, dialog sesama manusia adalah penting kerana manusia tidak terlepas daripada berdialog sesama mereka dalam hubungan sehari-hari dan dalam urusan yang berkait dengan makan, minum, pakaian, ubat-ubatan, hak dan kewajipan. Perbezaan pandangan antara manusia dari aspek tujuan, matlamat dan fikrahnya juga merupakan satu perkara yang penting. Perbezaan ini disebabkan beberapa faktor yang antaranya, terang nyata dan ada juga yang tersembunyi. Syariat Islam mengariskan beberapa prinsip dalam berbahas, berdebat ataupun berdialog agar ia berlaku dalam suasana yang membina dan hasil yang dicapai adalah baik.

Lebih indah lagi, rakaman beberapa bentuk dialog yang berlaku antara para rasul dengan kaum mereka, yang berkisar di sekitar keesaan Allah SWT, hari akhirat, hisab, dosa dan pahala serta dialog tentang al-Quran dan kata-kata yang diucapkan oleh orang yang bodoh sombong tentang hal ini serta jawapan terus dari Allah SWT ke atas mereka. Penyampaiannya sangat mendalam dengan melihat dari pelbagai sumber perawi yang diperjelaskan lagi oleh pengarangnya nyata memberikan kefahaman berbanding pemahaman secara harfiah dalam terjemahan Al-Quran.

Turut dirakamkan semula ialah beberapa contoh dialog yang berlaku antara ahli kitab secara amnya dan Bani Israel khususnya serta dialog dengan orang munafik yang mengucapkan apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dialog dalam bentul soal jawab antara orang baik dengan orang jahat ataupun di kalangan orang jahat sesama mereka dan orang baik sesama mereka serta antara ahli syurga dengan ahli neraka turut dipaparkan secara dramatik sekali.

Tidak keterlaluan dikatakan buku ini terbit tepat pada masanya ketika kemuncak ketidakfahaman umat Islam tentang dialog yang menyihatkan, menyegarkan dan menjernihkan yang kelihatan dalam kecelaruan feminisme Sisters in Islam (SIS) yang selalu prejudis dengan lelaki muslim yang dipukul rata sebagai pembawaan Islam yang ideal, perbalahan tentang kebolahan orang bukan muslim memasuki masjid dan meraikan perayaan muslim, konftrantasi bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan ulama lainnya, penggantian istilah muzakarah kepada muqabalah dalam pertemuan dua parti Islam, Umno dan Pas serta terbaru perebutan nama Allah SWT oleh gereja Kristian.

Fenomena kehilangan adab seperti ini selalu dikupas oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism”. Malah pada tahun yang sama 1973, beliau mengingatkan umat Islam mengenai ilmu pengetahuan yang bersifat tidak bebas nilai dalam Risalah, “Kita harus mengetahui dan menyedari bahawa sebenarnya ilmu pengetahuan tidak bersifat neutral; bahawa setiap kebudayaan memiliki pemahaman yang berbeza-beza mengenainya meskipun di antaranya terdapat beberapa persamaan. Antara Islam dan kebudayaan Barat terbentang pemahaman yang berbeza mengenai ilmu, dan perbezaan itu begitu mendalam sehingga tidak boleh dipertemukan.”

Apa yang dapat dilihat dalam kenyataan berbalas pihak-pihak bercanggah pendapat lebih kepada memulangkan paku buah keras. Kenyataan balas biasanya bertindak dalam dua cara iaitu bersifat ofensif dan difensif secara serentak, di tahap ini di satu pihak berharap, pihak yang satu lagi akan kecundang di medan tempur hujah. Sifat tawaduk tunduk kepada kebenaran seperti yang dijelmakan dalam diri Balqis Ratu Saba, Hercules Raja Rom dan Najasyi Raja Habsyah bagaikan tidak tersirna walhal mereka ketika itu berada di tampuk teragung sebuah kerajaan yang besar.

Sifat ‘perasan bagus’ dan ‘syok sendiri’ ini memantangkan penuturnya dari dikritik sedangkan Allah SWT mengingatkan Nabi Musa yang mendakwa dirinya manusia yang paling berilmu apabila ditanya soalan tersebut oleh kaumnya. Inilah yang membawa kisah pertemuan Baginda dengan Nabi Khidir setelah direkemendasi oleh Allah SWT dalam firmannya, “Sesungguhnya Aku ada seorang hamba di Majma’ al-Bahrayn yang ilmunya lebih banyak daripada kamu”.

Namun sayangnya hari ini, ilmuan Islam juga terpalit dengan budaya berdialog menggunakan kerangka fikir Yunani melalui debat dialektis iaitu “membuktikan orang lain betul dengan cara membuktikan orang lain salah”. Obesesi debat seperti ini sebenarnya seputar menelanjangkan aib lawan untuk memperoleh kemenangan mutlak bukan dengan kekuatan sendiri sebaliknya atas manipulasi kelemahan pihak lawan. Justeru sepandai-pandai ahli falsafah Yunani pujaan golongan liberal rupanya mereka sekadar pandai membuktikan satu sama lain sebagai salah!

Lebih parah lagi, akar akal sebegini menjalar hingga mencecah lapisan tauhid sehingga timbul dialog yang sia-sia seperti, “Apakah al-Quran itu makhluk ataupun bukan makhluk?”, “Perlukah doa Qunut dalam solat Subuh?”, “Selawat Syifa bercanggah dengan akidah” dan “Bacaan talqin, tahlil, yasin sebagai satu bidaah”. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”.

19 Februari 2010

SEBAT SYARIAH DAN KRISIS PERSEPSI SIS

Soalan cepumas: berdasarkan gambar di atas, yang mana satukah Pengerusi Eksekutif SIS?

Oleh: Faizal Riduan

Kenyataan terbaru Sister in Islam (SIS) oleh Pengerusi Eksekutif barunya Dr Hamidah Merican membantah hukuman sebat syariah terhadap tiga pesalah wanita mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) tidaklah menarik sangat. SIS yang lebih disinonimkan dengan Zainah Anwar lebih dua dasawarsa yang lalu telah membuat banyak kenyataan yang jauh lebih panas dan hangat. Tidak perlu membaca jauh pandangan hidup Zainah Anwar selama lebih 20 tahun dalam SIS kerana fikiran singkatnya dapat dibaca sependek paragraf pertama rencana “Ending the Patriarchy” di dalam majalah Time edisi 10 Mac 2003.

Ini kerana hukuman sebat Syariah yang dikenakan selama ini lebih kepada ‘acah-acah’ untuk menguji sistem perundangan Syariah secara beransur tahap. Malah tidak ralat untuk dikatakan hukuman tersebut sebenarnya bersifat separuh masak kerana hukum sebat dalam Islam telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasulullah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Tetapi nisbah yang dikenakan terhadap pesalah Syariah setakat ini tidak sampai 10% dari kadar yang sebenar.

Saya lebih tertarik untuk mengulas kenyataan akhbar SIS terbaru ini apabila melihat muka baru ketuanya, Dr Hamidah Merican buat pertama kali. Mati-mati saya menyangka Dato Ambiga Sreenevasan membuat penampilan semula dalam persalinan bertudung sebagaimana fesyen yang melanda artis wanita tanah air. Saling tak tumpah bagai kembar seiras dan pelanduk dua serupa!

Ada dua sahaja perkara yang boleh dipuji Dr Hamidah Merican berbanding dengan Zainah Anwar iaitu beliau bertudung lengkap mengikut syariat mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dato Siti Nurhaliza Tarudin. Keduanya, latarbelakang pendidikan beliau sebagai pemegang ijazah kedoktoran. Namun dengan kesarjanaan dalam Pengurusan Berasaskan Nilai, apalah yang boleh diharapkan sangat dengan interprestasi Islam beliau jika dibandingkan dengan mentornya Prof Madya Dr Amina Wadud, sarjana Bahasa Arab dan Pengajian Islam yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia dan pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Hakikatnya pembawaan nama ‘Islam’ dalam akronim SIS adalah amat kontradiksi. Ia menyekat kemasukan pejuang wanita yang bukan Islam yang jauh lebih berkarisma seperti Dato Ambiga Sreenevasan, Irene Fernandez dan Sofia Lim Siu Ching. Jika mereka yang membuat kenyataan anti sebat Syariah, jujur saya masih boleh menerima kerana perbezaan agama dan pandangan hidup.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan. Malah isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa turut dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Saat ini barulah saya mengisafi lirik lagu Raihan, ‘Iman Mutiara’ - “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai”. Benarlah iman tidak juga semestinya datang dari NGO Islam dan pihak berkuasa Islam.

Iman sebenarnya boleh berada di mana-mana. Malah ia mungkin datang dari dalam gereja seperti keyakinan yang dizahirkan oleh tokoh besar Kristian Eropah, Dr Rowan Williams, Uskup Besar Canterbury England yang menyarankan bahagian-bahagian Undang-Undang Syariah Islam sebagai penyelesaian kesatuan sosial di United Kingdom dalam wawancaranya dengan Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008.

Malangnya nur yang sama tidak menerombos hati nurani Dilwar Husain seorang Muslim tokoh Yayasan Islam Eropah yang mempertahankan Undang-Undang British sekular yang didakwanya mesra masyarakat Islam sepertima mana dalam hujahnya, “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”.

Bagi SIS dan Majlis Peguam yang cakap berlapik di atas prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah, kini perlu mencari alasan lain yang lebih berfakta kerana kenyataan Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

Sudah sampai masanya kerajaan, pihak berkuasa agama dan universiti menjalankan kajian dan penyelidikan serta tidak tercicir dalam retorik kertas kerja seperti dalam Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah tahun lalu. Sebaliknya perlu mengambil inisiatif proaktif sebagaimana satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Menurutnya berdasarkan kajian saintifik, sebatan di punggung mampus merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit RM342 bagi sesuatu rawatan biasa dan kini tidak menang tangan untuk merotan pesakitnya. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia.

Jadi dimanakah logiknya kenyataan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang turut mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Jika kita memerlukan sampel ujikaji sebagai testimonial maka calon terbaik, saya syorkan ialah Dr Hamidah Merican, Zainah Anwar atau Datuk Syed Abas Syed Ali itupun jika kesalahan menghina mahkamah ditambah dengan hukuman rotan dan tidak cukup sekadar peruntukkan denda dan penjara. Seperti kata orang sekarang, “Belum cuba belum tahu”.

25 Januari 2010

KERANA DIRIKU BEGITU BERHARGA

Mengambil inpirasi iklan produk kecantikan Loreal, “Kerana dirimu begitu berharga” maka untuk pertama kali dalam sejarah hidup 29 tahun saya kini berasa jasad tubuh saya mempunyai cagaran sebagai galang ganti jika berlaku malapetaka yang tidak diingini. Saya tidak mahu sekadar ‘mati katak’ kerana sedar sukarnya mak dan abah membayar duit pengeras bidan yang menyambut kemunculan saya untuk pertama kalinya ke dunia pada 12 Julai 1981.

Tentunya dengan rasa insaf saya menyesali sepanjang membina kerjaya lima tahun ke belakangan ini, saya terlepas pandang tentang kedudukan saya sebagai sandaran keluarga yang sebelumnya telah membesarkan saya dengan bersakan habis dan bergadai golok. Dalam usia menginjak tiga dasawarsa, rambut memutih di ubun-ubun mak dan abah menyebabkan saya sebak setiap kali melihat mereka lena usai saya pulang ke rumah di penghujung malam. Dalam dengkur nyenyak entah apa mimpi mereka agaknya? Hakikatnya hari esok ketika mereka membuka mata mereka sendiri sukar menjangkakan apa-apa.

Sedetik itu, saya termenung menyiku dagu dengan penuh rasa ragu, “Apakah akan terjadi jika saya pergi dahulu sebelum sempat membalas jasa mereka?”, "Di manakah tempat untuk mereka bergantung harap nanti?" dan "Bagaimanakah kesudahan perjalanan sisa hidup mereka di penghujung usia?" Sedang kalau adapun hayat yang panjang entah bila akan terlunas segala hutang piutang biologi yang saya warisi. Oleh itu saya dedikasikan insurans 2 dalam 1 – ‘simpanan dan perlindungan’ kepada mak dan abah sebagai saguhati tanda kenang-kenangan saya di dunia untuk mereka.

Jika pendek umur, saya pergi mendahului mereka maka dapatlah sedikit pemberian ini mengubat rindu mereka persis mencium wajah saya di Hajar Aswad ketika menunaikan ibadah haji ke Makkah dan mereka boleh berlibur lancong setelah seumur hidup mereka mensyurgai rumah kami sekeluarga di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. Begitu juga dengan adik-beradik yang telah saya hibahkan bahagian mereka sebagai tanda kasih untuk saguhati duniawi.

Alhamdulillah awal tahun baru 2010 ini, Allah SWT mengangkat sedikit rezeki saya dengan harga dunianya RM100,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Ribu sahaja). Sebenarnya harga diri kita tentunya lebih daripada itu! Duit sebanyak RM100,000.00 itu tentunya tidak setimpal untuk membayar segala nikmat kita di dunia yang dipinjam-pinjamkan.

Sebagai pemegang amanah saya berharap sang singa dalam logo korporat syarikat insuran ING akan sentiasa menjadi ‘hero’ saya sama seperti watak ‘Simba’ dalam “The Lion King” dan watak ‘Aslan’ dalam “The Chronicles of Narnia” atau paling tidak watak ‘Alex’ dalam “Madagascar”.

12 Januari 2010

AIR TANGAN KHADIJAH'S KITCHEN

Bak kata pepatah pepitih, "rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari", saya bagaikan bermula dengan langkah kanan apabila diundang ke Majlis Makan Malam Bersama Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir di restoran Khadijah'S Kichen, Petaling Jaya. Tragisnya beberapa bulan dahulu, saya kempunan dengan selera yang tidak kesampaian ala cerita Melayu klasik "Batu Belah Batu Bertangkup" yang menyaksikan sang ibu merana meliur telur ikan 'Tembakul'. Begitulah perasaan saya ketika itu tatkala sampai di muka pintu restoran berpapan tanda hijau putih di dapati ia ditutup pada hari berkenaan walhal saya memandu dari Batu Caves ke Petaling Jaya semata untuk merasa air tangan Dato' Khadijah Ibrahim. Saat itu rasanya seolah pinggan terhempas ke lantai, berderai kaca yang pecah seribu begitulah hancurnya hati saya!

Ah! Saya berazam selepas itu tidak mahu lagi menurut kehendak selera tekak saya yang rencam tidak menentu ini seperti kata orang-orang tua, "ikut hati mati, ikut rasa binasa" dengan tambahan sendiri "ikut selera lara". Namun rupaya Allah SWT ada kejutan-Nya sendiri dengan selang beberapa bulan kemudian saya diundang bertandang dalam jamuan makan malam khas yang ditutup pula pada orang awam. Malah ianya percuma ditaja oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Kedah! Bagaikan tidak percaya begitulah ajaibnya kuasa Illahi, ia datang tanpa dapat dibayangkan. Apapun terima kasih Datuk dan mereka yang Allah SWT bisikkan hatinya mengundang saya sekali. Murah rezeki Datuk jangan lupa pelawa lagi!

Kebetulan hari itu saya berpuasa jadi sememangnya saya menikmati setiap hidangan sehingga menjilat jari tanpa bersisa! Hampir semua menu saya mencuba dari lauk pauk sehingga ke pencuci mulut semua menyenakkan perut. Adap berbuka puasa cara Nabi SAW, "makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang" hilang ke mana dan pahala puasa tersebut entah ada entah tidak gamaknya. Walau dengan dekorasi restoran yang tampak mewah dan kontemporari tetapi saat menyua makanan di hujung mulut, lidah cepat menangkap keaslian citarasa dalam himpunan resepi tradisi yang diwarisi Dato' Khadijah dari kutub khanah pusakanya. Siapa kata artis hanya boleh memegang mikrofon sahaja? Datuk (baca Chef) Khadijah membuktikan tangan beliau tidak kekok beraksi dengan sudit, senduk dan belanga.

Malah sebagai menghargai jemputan tersebut, untuk pertama kalinya dalam seumur hidup, saya menyumbangkan suara 'emas' semasa sesi karaoke dengan lagu klise saya - "Kau Pergi Jua" nyayian Adam Ahmad. Namun yang paling mengujakan apabila mendengar nyayian Datuk Khadijah secara 'live' untuk pertama kali dengan lagu berhantunya, "Doa Buat Kekasih". Masih tidak berubah dengan suara asal beliau ketika merakamkan lagu ini hampir 20 tahun yang lalu! Bergetar bulu roma mendengar beliau mengalunkan bait pertama,

"Andainya aku bertanya,
Padamu tentang bahagia,
Di mana nilai setia,
Di manakah puncak cinta?"

Seakan menyambut di dalam hati, malam itu seolah roh Ramli Sarip menjelma meresap dalam batang tubuh. Saya menyambung bait tersebut dalam khayal minda separuh sedar,
"Mahukah engkau mengerti,
Harapan serupa mimpi,
Ianya dapat terjadi,
Atau hilang tak berganti."

Sebenarnya lagu ini bukan saya nyayikan di mulut tetapi lebih jauh di lubuk hati. Menghayati bait-bait seni katanya sedalam mungkin membuatkan saya bertanya sendiri, "Betulkah cinta, setia dan janji boleh terjadi seperti di dalam mimpi?" Saya menampar pipi sendiri untuk kembali melihat alam realiti. Rupanya umur saya telah menginjak ke 29 tahun untuk tahun baru 2010, saya masih di sini menanti tanpa pasti. "Saya mesti berubah hari ini untuk mencari penganti!", bisik saya di dalam hati.

09 Januari 2010

RESENSI: MASINNYA MULUT IBU


Oleh: Faizal Riduan

‘Kasih ibu membawa ke syurga,’ begitulah indahnya kata fatwa pujangga seperti juga perumpamaan ‘syurga terletak di bawah telapak kaki ibu’. Malah tidak hairanlah hadis riwayat Bukhari dan Muslim merakam jawapan Rasulullah SAW menyebut nama “ibumu, ibumu, ibumu” pengulangan berganda tiga bagi soalan yang sama iaitu siapa yang paling berhak untuk dipatuhi?

Dalam hadis Rasulullah SAW yang lain baginda bersabda “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya” dan “Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua”. Begitu juga dalam Surah al-Baqarah ayat ke 83, Surah an-Nisak ayat ke 36 dan Surah al-Israk ayat ke 23 di mana Allah mengkehendaki hambanya mengesakan-Nya dan kemudian berbuat kebaktian kepada kedua orang tuanya. Justeru keberkatan ibu bapa saling tidak tumpah semulia syafaat nabi dan keredhaan Illahi.

Walaupun Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun, namun buku “Dahsyatnya Doa Ibu” tidaklah terlalu awal untuk diulas tatkala membaca tajuk muka depan akhbar kompak nombor satu – Metro, “Aksi Jijik Si Derhaka” pada 21 Disember 2009 yang melaporkan tentang kisah benar anak derhaka yang tergamak membuang ibu mereka ke rumah orang tua tetapi sanggup pula muncul di hari pengebumian ibunya semata untuk berebut harta pusaka!

Namun ini tidaklah bermakna buku ini disyorkan untuk anak-anak ala Si Tanggang. Sebenarnya buku ini sesuai untuk sesiapa juga yang merasakan mereka ‘beribu’ atau berhasrat menjadi ‘anak soleh’. Dalam kesibukkan mengejar dunia kadangkala tanpa sengaja kita meletakan prioriti lain dalam kehidupan, ibu entah tempat tercorot ke berapa dalam senarai terbawah? Buku ini mampu meletakkan semula kedudukan ibu di tempat yang selayaknya.

Ia menyingkap rahsia keberkatan doa ibu yang terus diangkat ke langit yang ke tujuh sampai ke arasy tuhan. Pembuktian dahsyatnya doa ibu seperti dalam kisah kelahiran Maryam ibu Nabi Isa AS di mana ibunya Hanah yang kepingin mengandung tatkala melihat kejadian seekor burung memberi makan kepada anaknya menggunakan paruhnya lantas berdoa “Ya Allah, kurniakanlah seorang anak kepadaku”. Tanyalah ibu anda pastinya kelahiran anda satu masa dahulu satu anugerah terindah mereka suami isteri.

Begitu juga dalam kisah fitnah Saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW berzina dengan Safwan yang menyebabkan baginda berdukacita keliru dalam diam diri. Doa dalam tangis ibu Saidatina Aisyah, Ummu Rumman “Ya Allah mudahkanlah cubaan ini ke atas puteriku. Engkau lepaskanlah tuduhan yang ditujukan kepadanya” disambut oleh Allah SWT melalui wahyunya dalam Surah an-Nur yang membebaskan Aisyah dari fitnah yang keji. Malah di akhir hayat ibu mertuanya, Baginda menyamakannya dengan wanita dari syurga.

Kisah lelaki panjang umur dan awet muda pula yang hidup 1,500 tahun di dalam kubah di dasar lautan yang dibina dari mutiara putih dengan empat pintunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batuan hijau berkatnya menjaga ayah yang lumpuh dan ibu yang buta selama tujuh tahun sehingga ke akhir hayat mereka. Nabi Sulaiman yang kagum melihat keajaiban Allah SWT memakhbulkan doa ibu pemuda tersebut “Ya Allah panjangkan umur anakku... Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat menganggunya”.

Nah! Tanpa hijab doa ibu terus berkomunikasi dengan tuhan bukan? Bukanlah susah untuk berbakti kepada orang tua sehingga sekadar memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang, Allah SWT memberikan ganjaran seperti beribadah haji mabrur kata Rasulullah SAW.

Kisah balasan menderhaka kepada ibu bapa dalam rakaman sejarah silam dapat dilihat dari kisah Alqamah yang tidak boleh mengucap dua kalimah syahadat, Juraij seorang rahib yang difitnah berzina, Malim Kundang yang disumpah menjadi batu, lelaki berkepala keldai keluar dari kubur dan mendengking, ahli perniagaan yang terpotong tangan, ulama kudung kedua-dua kaki dan tangan serta matanya dicungkil dan beberapa kisah benar dunia moden iaitu cerita Rosli mati berdiri dengan satu kaki, Salmah susah melahirkan anak, Saiful lumpuh, Shima meninggal dunia dilangkahi ibunya dan Budin meninggal dunia dengan perut keras membatu. Tiba-tiba bulu roma meremang terasa sayu dan kasihan membaca kesudahan hidup penderhaka ibu bapa namun dihujung cerita itulah ‘hukum karma’nya – padan muka!

Malah ketika membaca kisah tauladan para nabi yang memuliakan ibu bapa lewat pujian tuhan dalam Surah Maryam terhadap Nabi Yahya dan Nabi Isa yang berbakti kepada orang tuanya dan Surah Yusuf terhadap Nabi Yusuf yang menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Kata-kata Nabi Ismail sebagai pematuhan perintah Allah SWT kepada ayahnya Nabi Ibrahim, “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu kelak mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar” benar-benar meruntun hati bagaimana kisah ketaatan seorang anak. Terdetik di dalam hati jika kita mengambil tempat Nabi Ismail adakah kita terus bongkok berdiri atau telah memula seribu langkah mencabut lari?

Jadi ada baiknya buku ini menjadi koleksi bacaan wajib anak-anak anda. Jika anak anda masih berkelakuan melencong dari panduan buku tersebut, minta mereka membaca buku tersebut sekali lagi!

07 Januari 2010

SEBAT SYARIAH TIDAK SAMA SEBAT SIVIL


Oleh: Faizal Riduan

Apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara reflek mengundang trauma terutama ketika melihat rakaman video yang tidak sampai hati untuk dihabiskan apatahlagi mendengar cerita khalayak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri sudah cukup mengerikan. Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut luka kepada pesalah yang hanya akan hilang selepas tempoh 2 tahun lamanya. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.

Bagi yang masih belum mengenali hukuman sebatan secara syariah menurut tuntutan syarak, amat mengerunkan apabila dikaitkan pelaksanaannya dengan tragedi hitam seorang remaja wanita di Lembah Swat, Pakistan yang disebat oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali pada awal bulan April 2008 hanya kerana menemui seorang lelaki yang bukan muhrimnya. Secara tidak sengaja kadangkala terdetik rasa tidak adil yang boleh menjadikan kita kufur apabila kita menyanggah ketetapan tuhan dengan logik akal dan emosi belas kasihan yang tidak bertempat.

Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat syariah ini seringkali dipukulratakan dengan hukumanan sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.

Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan oleh British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance dalam tahun 1948.

Di Malaysia, selepas pindaan Akta A612, Akta Perlimen 1965 Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) dan digazetkan kuatkuasanya pada 1 Januari 1986 barulah Mahkamah Syariah mendapat pemerkasaan semula dengan bidang kuasa sehingga boleh memenjarakan 3 tahun, dendan RM5000 dan 6 sebatan rotan bagi pesalah syariah.

Namun jika dilihat dari segi pelaksanaan di Malaysia, sehingga ke saat ini hukuman sebat syariah masih belum pernah dilaksanakan di mana-mana negeri melainkan negeri Kelantan. Manakala bagi hukuman sebat yang telah dijatuhkan di negeri Pahang, Perak dan Johor masih belum dilaksanakan kerana masih dalam proses rayuan. Justeru tidak ada sebab untuk sesiapa melatah tentang kesan dan akibat buruknya selagi belum terbukti secara testimoninya oleh bakal-bakal bekas pesalah rotan itu nanti.

Seperti kata pepatah ‘sudah terantuk baru tergadah’, apabila berlaku kes kanak-kanak bawah umur dirogol sehingga mati barulah masyarakat yang diwakili oleh 79 peratus daripada 1,978 orang responden mengartikulasikan sokongan hukuman sebat di khalayak ramai dalam satu kaji selidik oleh sebuah media pada tahun 2004. Lebih dashyat lagi, beberapa pertubuhan berasaskan wanita mengesyorkan pemangsa rakus berhati binatang ini dihukum kasi - sesuatu yang kelihatan kurang rasional dan bermotif membalas dendam.

Hukum sebat telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasullulah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Bagi kesalahan takzir sebagaimana hadis Rasullulah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Janganlah disebat lebih sepuluh kali sebatan kecuali dalam kes had daripada had-had Allah”. Ianya jauh lebih adil berbanding pesalah sivil yang boleh dirotan sehingga 24 sebatan bagi lelaki dewasa.

Namun amat malang, kemuncak ketidakyakinan orang Islam terhadap hukuman rotan syariah dapat dilihat dari tindakan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Walaupun pengharaman arak di dalam Islam sudah ‘terang lagi bersuluh’ di dalam surah Al-Maaidah ayat 90 dan ditambah dengan sabda Rasullulah yang menyamakan peminum arak sebagai penyembah berhala dan solatnya tidak diterima selama 40 hari. Malah Rasullulah pernah menghukum peminum arak dengan 40 kali sebatan sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.

Akhbar Izvestia di Rusia pernah melaporkan pada tahun 2005, penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky mendakwa hukuman rotan ke atas pungung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan dan ketagihan meminum arak. “Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu,” jelasnya menyokong hukuman yang pernah dikuatkusakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya sambil mengesyorkan sesi terapi sebanyak 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova yang kini mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit dengan harga RM342 bagi sesuatu rawatan biasa. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia yang terdiri daripada 50 orang pelaku sebat yang diberi kuatkuasa.

Jika disorot secara teliti, pendekatan Islam terhadap hukuman rotan adalah lebih baik berbanding dengan kaedah alatan dan cara sebatan rotan dalam kes-kes sivil. Riwayat oleh Malik dari Zaid bin Aslam membuktikan bagaimana Rasullulah menolak tongkat rotan yang pecah-pecah dan tongkat rotan dari dahan kayu yang baru dipotong sebaliknya baginda menerima tongkat rotan yang sederhana dan tidak keras bagi menyebat seorang lelaki yang mengaku berzina. Kitab al-Fiqhu 'alal Mazahib al- Arbaáh pula menambah perlunya rotan tersebut tidak berada dalam keadaan basah supaya ianya tidak melukakan.

Malah amalan Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas’ud kepada penyebat-penyebat tidak membenarkan mereka menggangkat tangan sehingga menampakan ketiak atau melebihi kepalanya yang jika dimisalankan umpama mengepit buku di ketiak tanpa terjatuh apabila tangan diangkat untuk menghayunkan rotan.

Di dalam peruntukan syariah Malaysia, disyaratkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Ketika mengenakan satu sebatan, pelaku sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.

Dengan niat untuk mendidik pesalah dan bukan menyiksanya, hukuman rotan syariah lebih berperikemanusiaan dengan tidak membenarkan kesan rotan tersebut mendarahkan kulit pesalah. Ianya tidak boleh dijalankan secara terus menerus pada satu anggota badan sahaja sebaliknya hendaklah berpindah sebatan itu dari satu anggota ke satu anggota yang lain dengan pengecualian pada muka, kepala, dada, perut dan bahagian-bahagian sulit. Pelaksanaannya pula bukan sahaja mengambil kira keadaan kesihatan pesalah tetapi juga persekitarannya yang sesuai iaitu tidak di dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk. Dalam kitab Al-Ahkam al-Fiqhiyah disebut pesalah lelaki tidak perlu menanggalkan pakaian semasa berdiri untuk dijatuhkan hukum kecuali bagi pakaian tebal semasa musim sejuk.

Bagi pesalah wanita, mereka hendaklah disebat dalam keadaan duduk, penanguhan diberikan kepada yang kedatangan nifas dan mengandung. Di sini dapat dilihat keadilan Islam terhadap jantina berbanding undang-undang sivil melalui Kod Prosedur Kriminal yang memberikan pengecualian hukuman sebat sivil terhadap wanita memandangkan kecederaannya yang amat ketara. Di bawah perundangan Islam, persamaan hak dan diskiminasi jantina sebagaimana yang diperjuangkan oleh pertubuhan wanita diletakan pada landasan yang betul dengan sesiapa yang terbukti bersalah untuk dihukum rotan tanpa mengira jantina tetapi menggunakan pendekatan yang mesra kondisi fizikal jantina itu sendiri.

Syarat penyaksian di dalam Surah Al-Nur ayat 2, “dan hendaklah pelaksana hukuman mereka disaksikan dari sekumpulan orang-orang yang beriman”, menurut pendapat Iman Syafie dan Imam Malik mesti terdiri sekurang-kurangnya 4 orang daripada kalangan orang-orang yang beriman. Maka isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa yang dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Dan kini, bagi mereka yang anti kepada undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan, mereka perlu mencari alasan lain kerana kenyataan Y.A. Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.