17 April 2008

JENAYAH KEDOKTORAN PALSU



Pendedahan tentang kewujudan doktor-doktor palsu hanya memberikan limitasi kuasa untuk Kementerian Kesihatan bertindak kepada pemegang gelaran doktor perubatan palsu sahaja di bawah peruntukan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang boleh dijatuhkan hukuman denda sehingga RM 300,000 atau penjara enam tahun dan kedua-duanya. Pemegang gelaran doktor atau professor palsu dalam perubatan alternatif, Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) ternyata masih bebas dengan 'jenayah kedoktoran' mereka.

Masyarakat Malaysia yang dalam sebuah negara membangun ternyata mudah disogok dan gagal membezakan kelayakan setiap jenis ijazah kedoktoran. Jika di Belanda dan di Indonesia, doktor perubatan dan doktor falsafah untuk PhD dibezakan dengan gelaran 'dokter' (dieja Dr.) dan 'doktor' (dieja DR.). Yang lebih pelik, ramai di antara kita yang tidak tahu gelaran 'Master' adalah anak tangga sebelum sampai ke peringkat PhD. Lebih melucukan ada juga yang tidak tahu bahawa PhD itulah yang diperlukan untuk untuk mendapat gelaran 'Dr'. Gelaran Doktor Kehormat pula dianugerahkan bagi mengiktiraf sumbangan profesionalisme dalam bidang masing-masing yang telah dapat dibuktikan melalui piawaian dan standard kualiti yang tinggi.

Dalam catatan sejarah Indonesia semasa pemerintahan Gur Dur berlaku kontroversi skandal 'kedoktoran' menterinya melibatkan Menko Kesra dan Taskin Hamzah Haz. 'Harapkan pagar, pagar makan padi,' kemudiannya Menteri Pendidikan, Yahya Muhaimin pula dipertikaikan kedoktorannya kerana menciplak karya orang lain (plagiat). Tetapi cuba bandingkan dengan bekas Perdana Menteri Britain, John Major. Sungguhpun beliau tidak pernah menjejakan kakinya ke universiti, tetapi beliau tidak pernah berdusta tentang latar belakang akademiknya. Disebabkan beliau mempunyai bakat kepimpinan dan integriti moral yang tinggi, rakyat Britain tetap memilih beliau menjadi perdana menteri!

Bukan sahaja ahli politik bahkan artis cantik Indonesia , Maya Rumantir mencetuskan polemik apabila mendapat dua gelaran doktor sekaligus. Dua artis dangdut, Rama Aiphama dan Cici Paramida pula diiktiraf sebagai Doktor Kehormatan (honoris causa) oleh International Management Indonesia (IMI) yang mewakili American World University (AWU) di Amerika Syarikat. Malangnya gelaran tersebut tidak sah kerana universiti berkenaan tidak berkelayakan setelah diakreditasi dan ini melanggar Undang-Undang Sistem Pendidikan Nasional Indonesia.

Larisnya gelaran kesarjanaan bukan petunjuk masyarakat telah mencapai obsesi terhadap ilmu pengetahuan dalam kemuncak tamadun dan peradaban bangsa menjelang tahun 2020. Mereka yang membayar harga satu gelaran kedoktoran adalah orang yang tahu tentang nilai ekonomi sebuah komoditi dalam pasaran masyarakat industri. Pemegang gelaran Prof. dan Dr. palsu ini melihat gelaran sebagai satu lambang status sosial. Justeru yang dikejar bukan gelaran atau kehormatan itu sendiri, tetapi lebih kepada keuntungan ekonomi dan populariti. Dari sudut pandang demikian, ijazah kedoktoran palsu tidak ubah seperti wang palsu, kad kredit palsu atau cek kosong.

Tanpa Canselor dan Senat yang sah, penerima anugerah gelaran dan ijazah akan diraikan secara 'syok sendiri'. Mereka ini tanpa rasa segan, silu dan malu mengenakan Jubah dan 'Hunter's Hat' dalam protokol Majlis Konvokesyen yang diadakan di hotel berbintang-bintang bahkan sanggup diterbangkan sehingga ke luar negara untuk mendapat 'feel' graduasi. Pastinya sekeping ijazah dan beberapa keping gambar akan dijadikan bukti 'seumur hidup' tentang pengiktirafan akademik dan penganugerahan gelaran terhadap jasa dan sumbangan mereka yang 'dibuat-buat'.

Ijazah ekspres ini boleh diperolehi dalam tempoh beberapa hari sahaja tanpa perlu membayar yuran pengajian beribu-ribu ringgit, mengikuti pengajian bertahun-tahun, menduduki peperiksaan bersemester-semester atau menyiapkan tesis berhelai-helai. Tanpa pembiayaan geran, biasiswa dan pinjaman pendidikan, pembayaran seminimum ratusan ringgit sahaja melalui kad kredit di talian internet atau pemindahan wang ke bank secara on-line membolehkan mereka untuk membeli ijazah melalui pihak ketiga.

Mereka kemudiannya boleh memilih gelaran yang diingini sama ada Prof., Dr., Ir., Sir dengan kelayakan MM, MSc, MBA, BBA, PhD serta boleh terus mencantumkan dua atau lebih gelaran tersebut di depan atau dibelakang nama mereka. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila kebanyakan nama-nama universiti yang memberikan gelaran tersebut yang dieja dalam bahasa inggeris itu tidak wujud apabila di-google-kan atau di-yahoo-kan dalam enjin carian internet. Bahkan berselindung di balik universiti maya dan pendidikan jarak jauh, universiti tanpa kampus ini alamatnya pun menggunakan Post Box!

Di Malaysia belum ada undang-undang yang boleh mengheret pengguna kelayakan akademik samara seperti pangkat Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) tanpa kelayakan yang sah atau mereka yang memberikan gambaran palsu tentang kelayakan akademik mereka. Gelaran kedoktoran sewajarnya diberikan tempat tertinggi seperti gelaran anugerah diraja bahkan dilidungi dari penipuan dan penyalahgunaan. Jika tidak jangan terperanjat jika Prof. Ir. Dr. Sir. (PhD) didaftarkan sebagai nama identiti dalam kad pengenalan bermutu tinggi, MyKad!

Fenomena jenayah akademik dengan menggunakan gelaran kedoktoran palsu lebih ketara dalam bidang perubatan alternatif, produk kecantikan dan kesihatan berasaskan kaedah spiritual dan holistik, Multi Level Marketing (MLM), bidang pemasaran dan jualan, kewangan dan pelaburan, kekayaan dan kejutawanan malah bidang kaunselor, motivasi dan runding cara juga turut menyaksikan penglibatan aktif pakar-pakar kedoktoran palsu .

Kebanyakan penemuan dan hasil idea dari kajian dan penyelidikan pula tidak mengikut disiplin ilmu yang tulen, diformulasi oleh mereka yang mendakwa 'pakar' yang sebenarnya tiada latar belakang dan asas akademik yang konsensus, hanya berbekalkan sokongan pengiktirafan dari institusi dan pertubuhan yang diragui modus operandi dan kemujudannya di alam maya. Tanpa merit mereka mengunakan kredit kedoktoran untuk memasarkan kepercayaan karut yang belum terbukti kesahihannya.

Oleh itu tidaklah menghairankan apabila banyak pengamal perubatan alternatif mendakwa mereka berjaya menghasilkan produk yang ajaib lagi mujarab yang diperakui seluruh dunia sedangkan Kementerian Kesihatan sendiri tidak dimaklumkan tentang kewujudan 'formula rahsia' tersebut. Dalam bidang pemasaran pula, ada yang menggunakan gelaran doktor dengan tujuan melobi diri mereka sebagai pakar kewangan, pakar ekonomi, pakar internet, pakar MLM dan pakar kejutawanan sedangkan mereka 'makan gaji' dengan bahan sokongan dan yuran kursus yang dikenakan kepada peserta yang teruja dengan kedoktoran palsu mereka. Oleh yang demikian wajar mereka ini mendedahkan pernyata cukai pendapatan, Lembaga Hasil Dalam Negeri dalam membuktikan kesahihan kekayaan mereka dari hasil kegeniusan otak geliga mereka itu.

Lebih parah lagi terdapat beberapa pakar yang menggunakan 'kedoktoran segera' mereka untuk memberikan perkhidmatan motivasi, kaunseling dan runding cara. Ini sangat berbahaya kerana isi kandungannya tidak berdasarkan ilmu pengetahuan yang sahih dan kaedah yang belum terbukti keafdalannya. Dikhuatiri teori ilmu yang belum diuji dalam lapangan praktikaliti dunia prosefional akan memberikan gambaran dan maklumat salah tentang realiti penyelesaian sesuatu masalah.

Sebagai contoh teori 'Yakin Boleh' di Malaysia yang dimulakan oleh Allahyarham Megat Ismail, seorang penulis yang juga menulis lirik popular, 'Fikirkan Boleh'. Semangat tersebut telah diselewengkan menjadi satu mazhab pemikiran yang taksub dan fanatik sehingga beranggapan mereka akan benar-benar 'boleh' mencapai apa sahaja yang mereka mahu idamkan dengan hanya berangan-angan. Ia semacam magis lampu ajaib Aladdin dalam cerita ‘Seribu Satu Malam’!

Justeru, para pakar motivasi ini mengatakan dengan menukarkan keyakinan barulah kita dapat mengubah prestasi secara total. Mazhab kepercayaan ini juga menafikan faktor-faktor kritikal di sebalik setiap kejayaan iaitu peranan ilmu pengetahuan, maklumat, latar pendidikan, kemahiran, modal dan sumber teknikal sokongan yang lain. Mazhab yang dipelopori oleh Napolean Hill dan seorang paderi bernama Norman Vincent Peale ini asalnya sangat popular pada tahun 60an hinggalah 80an ini terus dicedok bulat-bulat dan disupkan ke mulut rakyat Malaysia yang dahagakan ilmu motivasi, psikologi, komunikasi intim, perhubungan interpersonal dan ilmu kejiwaan yang lain.

Malangnya kemunculan pakar pemasaran bernama Alries dan Jack Trout telah berjaya membuktikan doktrin berfikir positif sahaja sudah mati bersama pengasasnya. Dalam bukunya ‘Horse Sense’, mereka memberikan contoh bagaimana 'berfikir negatif' ― fikir sebaliknya jauh lebih baik dan berjaya. Terapi aplikasi teori ini, Levi Strauss yang mulanya kerugian apabila menjual kain kanvas untuk kegunaan khemah pendulang emas di West. Levi telah menukar pola berfikir negatif iaitu berfikir sebaliknya ― apa yang pendulang sangat perlukan ialah seluar dari kain kanvas yang tahan lasak dan poket yang dipaku (rivet) supaya tahan untuk menampung emas yang berat. Hasilnya Levis kini menjadi jenama jeans terkenal dan antara produk tiruan kesukaan ramai. Ia lebih laris dari buku-buku motivasi yang ideanya dicetak rompak dari luar negara.

Ini hanya sekadar beberapa contoh bagaimana formulasi pakar yang memanipulasikan kesarjanaan dan kedoktoran palsu yang sebenarnya memberikan gambaran dan harapan dengan menipu tentang realiti sebenar dunia hari ini. Jika doktor perubatan palsu mengancam nyawa pesakit secara lahiriah maka Doktor Falsafah dan Doktor Kehormat palsu ini lebih dari itu kerana akan meracun fikiran modal insan dari dalam. Memberikaan ilmu kejiwaan yang menimbulkan krisis kecelaruan antara amalan dan praktikaliti, sebab musabab dan kesan akibat. Kesannya seluruh kehidupan dan pandangan dunianya dilihat dari kaca mata sempit seorang profesor atau doktor yang membayar harga yang rendah untuk gelaran kedoktorannya.

Dengan fakta tersebut, jangan terkejut bahawa laporan MVD International Sdn Bhd (MVD International), sebuah syarikat yang menjalankan perkhidmatan penyiasatan dan risikan mengenai Gejala pemalsuan sijil akademik dan kokurikulum institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) tempatan serta luar negara mendapati daripada 20,000 kes pemalsuan dokumen dan kelayakan diri yang disiasat di seluruh negara sejak tahun 2000, kira-kira 10 peratus membabitkan kes pemalsuan sijil akademik.

Fungsi Lembaga Akreditasi Negara (LAN) yang ditubuhkan di bawah Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996, kini wajar dikaji semula untuk memperkasakan LAN melalui penguatkuasaan terhadap 'jenayah kedoktoran'. Bidang kuasa LAN harus diperluaskan bukan hanya dipertanggungjawabkan untuk menjalankan penilaian jaminan kualiti dan pengakreditan ke atas IPTS tempatan dan kursus-kursus pengajian institusi pengajian tinggi luar negara yang dijalankan secara kerjasama dengan IPTS tempatan yang berdaftar di bawah Akta IPTS 1996 (Akta 555) sahaja. Malah mampu mengakreditasikan pengiktirafan anugerah dan gelaran ijazah kedoktoran warganegara Malaysia yang sekarang banyak berkeliaran dalam pasaran pelbagai produk.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.