17 April 2008

RELEVENSI DI SEBALIK CUTI UMUM

Pengumuman perayaan Thaipusam sebagai cuti umum bagi Wilayah Persekutuan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadikannya negeri keenam menjadikan perayaan itu sebagai cuti umum selepas Selangor, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan dan Johor. Ianya sangat signifikan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai Ibu Negara dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang menempatkan penjawat awam bagi majikan terbesar di Malaysia. Kedua-duanya berada di pertengahan Pantai Barat Semenanjung Malaysia melengkapkan jajaran populasi geografi dan demografi dari Selatan, Pantai Barat membawa ke sebahagian Utara.

Meluaskan cuti umum Thaipusam ke seluruh negara mungkin tidak signifikan dan memerlukan penilaian lebih teliti memandangkan Sabah dan Sarawak yang terpisah dari semenanjung sementara sebahagian Utara dan Pantai Timur mempunyai populasi masyarakat India yang rawak dan kecil. Malah masih terdapat banyak hari perayaan keagamaan yang tidak kurang pentingnya namun tidak ‘dicutiumumkan’ seperti Hari Cap Goh Mei dan Hari Kuih Bulan bagi penganut Buddha; Hari Thaiponggol dan Hari Durga Puja bagi penganut Hindu; Hari Ahad Easter bagi penganut Kristian; Hari Vaisaki bagi penganut Sikh; Hari San Padro bagi penganut berketurunan Portugis; dan pelbagai hari keagamaan entik lain bagi Sabah dan Sarawak.

Thaipusam dirayakan pada bulan 'Thai' bulan kesepuluh dalam kalender Tamil bagi masyarakat India di seluruh dunia bagi menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramania. Di Malaysia sambutan secara besar-besaran yang diraikan oleh lebih 1.86 juta penganut agama Hindu yang membentuk populasi 7.5 peratus dari keseluruhan rakyat Malaysia dengan tumpuan utama di Kuil Sri Subramaniyar, Batu Caves. Ia bermula dengan perarakan arca Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli serta Devi Theivanai di atas pedati perak setinggi 7 meter dari Kuil Mahamariaman di Jalan Tun Hs Lee, Kuala Lumpur ke Kuil Sri Subramaniyar di Batu Caves.

Isu Cuti Umum

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, isu peruntukan cuti umum yang berlebihan dikhuatiri boleh menjejaskan daya pengeluaran dan produktiviti negara hangat diperdebatkan. Pembahas utamanya ialah Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). Tahun lepas sahaja, Cuepacs memulakan usul paradok untuk mengkaji semula peruntukan cuti umum yang didakwa semakin banyak sedangkan enam bulan sebelumnya iaitu pada bulan Oktober 2006 menyokong usul menambah satu hari cuti umum bagi selang masa satu hari antara cuti umum Deepavali dan Aidilfitri. Dengan hujah retorik bagi mengubah pandangan negatif masyarakat terhadap kakitangan awam bukanlah satu jawapan bernas bagi menjawab isu-isu kualiti dalam perkhidmatan awam selama ini.

Namun sehinga kini, belum ada bukti-bukti saintifik bagi mengesahkan jumlah peruntukan cuti umum mempunyai kaitan dengan kualiti dan produktiviti kerja apatahlagi dengan pendapatan perkapita dan Keluaran Dalam Negara Kasar sesebuah negara. Adalah tidak adil bagi membuat perbandingan dengan jiran terdekat Singapura yang mempunyai 11 hari cuti umum iaitu kurang 3 hari dari Malaysia tetapi mempunyai pendapatan perkapita rakyatnya pada tahun 2005 iaitu kira-kira AS$28,000 setahun berbanding rakyat Malaysia yang hanya kira-kira AS$5,000.

Adakah dengan mengurangkan 3 hari dari cuti umum maka pendapatan perkapita rakyat Malaysia akan menjadi sama dengan Singapura? Sudah tentu tidak bahkan dengan mengurangkan cuti umum menjadi 2 hari sahaja iaitu kurang 6 kali ganda juga tidak mampu meningkatkan 6 kali ganda pendapatan perkapita rakyat Malaysia untuk menjadi sama apatahlagi lebih tinggi daripada Singapura.

Lambakan Cuti

Di kalangan negara-negara Asia, Korea Selatan, Hong Kong, Jepun dan Taiwan masing-masing mempunyai 15, 17, 19 dan 22 hari cuti umum setahun namun masih mampu menjadi kuasa ekonomi dan industri. Manakala negara-negara maju seperti Perancis dan Jerman memberikan 14 dan 16 hari cuti umum setahun namun status kemajuan mereka tidak terjejas langsung.

Masalah sebenar cuti umum di Malaysia bukanlah berpunca daripada kadar peruntukan cuti umum tetapi adalah kerana tarikh-tarikh cuti umum yang berubah dan cuti tambahan yang diperlukan bagi selang masa satu hari antara dua hari cuti umum atau antara satu hari cuti umum dan satu hari cuti am. Bagi cuti-cuti umum bersifat keagamaan masing-masing menggunakan takwim kalendar agama sendiri sama ada kalendar Islam, Cina atau Hindu kecuali Krismas yang menggunakan takwim kalendar Gregorian sama seperti cuti umum bagi Hari Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan dan Raja, Hari Tahun Baru, Hari Pekerja, Hari Kebangsaan dan Hari Wilayah Persekutuan.

Oleh yang demikian pada tahun-tahun tertentu akan berlaku pertindihan tarikh-tarikh cuti umum tersebut apabila dialihkan ke kalender Gregorian. Bila berlaku pertindihan maka hari berikutnya juga dikira sebagai cuti umum. Soal untuk menghadkan cuti tersebut menjadi satu hari tentunya tidak wajar untuk ditimbulkan. Setelah cuti umum diberikan sebagai satu tanda penghormatan dan pengiktirafan kepada sesuatu peristiwa penting dalam sejarah tamadun bangsa, agama dan negara, menghadkannya pula seolah-olah menarik balik pemberian tersebut dan boleh menimbulkan polemik tentang hari cuti umum mana yang lebih penting?.

Contohnya pertindihan cuti Hari Pekerja dan Hari Wesak pada tahun lalu tentunya tidak seserius menghadkan satu hari cuti umum jika berlaku pertindihan antara dua hari cuti perayaan terbesar. Maka cadangan menghadkannya dua hari cuti umum yang bertindih menjadi satu hari adalah satu tindakan paling tidak konsisten yang akan menjejaskan matlamat Kerajaan untuk membina satu bangsa Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk yang berkongsi perayaan melalui konsep 'Rumah Terbuka'.

Hari Penganti Tarikh

Cadangan untuk menganjak tarikh cuti umum pada sehari sebelum atau selepas cuti am untuk mengelak kebanyakan pekerja mengambil cuti tahunan pada tarikh yang sama juga menarik untuk diperhalusi. Terlalu banyak anjakan yang berubah-ubah pula pada setiap tahun mungkin kelihatan tidak 'catchy'. Adalah lebih sinonim menjadikan hari tertentu sebagai cuti umum bukan pada tarikh tertentu.

Antara negara contoh yang menggunakan hari tertentu sebagai cuti umum ialah Amerika Syarikat dengan hari Isnin ketiga dalam bulan Januari adalah Hari Memperingati Dr. Martin Lurther King, hari Isnin ketiga dalam bulan Februari adalah Hari Presiden, hari Isnin terakhir dalam bulan Mei adalah Hari Pahlawan, hari Isnin pertama di bulan September adalah Hari Pekerja (juga cuti umum di Kanada) dan hari Isnin kedua di bulan Oktober adalah Hari Columbus.

Negara Jepun juga menjadikan hari Isnin kedua dalam bulan Januari sebagai Hari Dewasa, hari Isnin ketiga dalam bulan Julai sebagai hari Laut, hari Isnin ketiga dalam bulan September sebagai Hari Warga Tua dan hari Isnin kedua dalam bulan Oktober sebagai Hari Kesihatan. Jamaika pula yang menyambut Hari Kebangsaan pada Isnin pertama bulan Ogos bagi memperingati kemerdekaan daripada Britain pada 6 Ogos 1962 iaitu Isnin pertama bulan Ogos tahun tersebut.

Dalam konteks Malaysia contohnya Hari Pekerja sesuai untuk diharikan dan bukan ditarikhkan dengan melihat latar belakang sejarah pergerakan kaum buruh dalam negara dan tidak semestinya tertakluk dengan sejarah buruh dunia pada tarikh 1 Mei, sama seperti di Kanada, Amerika Syarikat, Australia, dan New Zealand yang meraikan Hari Buruh pada tarikh lain.

Cuti Bank

Konsep Cuti Bank pula adalah tambahan satu hari cuti umum pada hari di pertengahan antara dua hari cuti umum atau di antara satu hari cuti umum (terutamanya cuti perayaan terbesar) dan satu hari cuti am juga perlu dilihat sebagai satu tanggungjawab sosial. Ianya sebagai peneguhan kepada institusi kekeluargaan bagi meraikan cuti tersebut bersama keluarga, saudara mara dan kaum kerabat di kampung halaman ataupun bercuti bersama keluarga yang sekaligus menyahut seruan Kempen ‘Cuti-cuti Malaysia’, “Bercutilah dalam negara, semuanya ada di Malaysia”.

Negara Jepun sebenarnya adalah contoh terbaik apabila memberikan cuti umum hampir seminggu berterusan yang dinamakan 'Golden Week' dengan 29 April sebagai Hari Peringatan Maharaja Showa, 3 Mei sebagai Hari Warganegara, 4 Mei sebagai Hari Kehijauan (Cuti Bank sejak 1985) dan 5 Mei sebagai Hari Kanak-kanak. Cuti umum berterusan turut dikenali sebagai 'Spring Week' (Republik Rakyat Cina), 'Picnic Week' (Poland) dan 'Holy Week' (Ireland).

Pada masa itu industri pelancongan dalam negara akan menjadi lebih agresif dengan tempahan penggangkutan dan penginapan meningkat walaupun harga lebih tinggi pada minggu tersebut. Dari sudut produktiviti pada jangkamasa panjang, cuti umum yang berterusan mampu meningkatkan motivasi, menguatkan stamina, mengurangkan tekanan, membahagiakan emosi dan memperkukuhkan institusi kekeluargaan iaitu bahan asas dalam kerangka sesebuah negara.

Contohnya cuti umum Thaipusam memberikan sentimen pelancongan antarabangsa lebih kurang seperti penganjuran Formula One, Le Tour De Langkawi dan Monsun Cup walaupun tanpa melibatkan kos penganjuran yang besar.

Kajian Semula

Sekiranya masih terdapat usaha untuk mengkaji semula peruntukan cuti tahunan maka Hari Wilayah Persekutuan, Hari Pekerja dan Hari Tahun Baru mungkin wajar dipertimbangkan. Hari Wilayah Persekutuan adalah hari cuti umum yang baru diwartakan pada tahun lalu namun sebagai mewakili imej Ibu Negara dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta sebagai pusat bandar, pusat perdagangan dan perindustrian maka cuti rehat tersebut sedikit mencalarkan dari sudut produktiviti malah hanya Malaysia sahaja yang mempunyai Hari Wilayahnya di dunia.

Hari Pekerja pada 1 Mei pula sebenarnya tidak memberikan gambaran tepat tentang pergerakan susur galur perjuangan kaum buruh di Malaysia. Kerajaan Malaysia yang toleran dan prihatin sehingga kemuncaknya kakitangan perkhidmatan awam hanya bekerja 5 hari seminggu tentunya tidak sesukar perjuangan kaum buruh di luar negara untuk menganjurkan mogok, piket, demonstrasi dan rusuhan kesan pertentangan kelas sosial dan krisis industri antara pekerja dan majikan. Mungkin Hari Pekerja boleh diraikan seperti di Jepun hanya sebagai hari penghargaan istimewa tanpa bercuti umum sebagaimana halnya dengan Hari Guru, Hari Wanita, Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Seniman iaitu hari peringatan terbaru yang diumumkan kerajaan.

Sementara Cuti Tahun Baru yang lebih kebaratan dan menyumbang kepada masalah sosial tentunya menjejaskan kualiti modal insan sebagai entiti asas dalam pembentukan masyarakat dan sumber manusia dalam industri. Cukup sekadar Cuti Tahun Baru Cina dan Awal Muharam yang bersifat keagamaan tentunya hari cuti umum tersebut lebih bermanfaat dan bermakna untuk diraikan.

Realiti di Sebalik Cuti Umum

Isu yang lebih penting sebenarnya bukanlah kuantiti tetapi kualiti cuti umum itu sendiri. Ini kerana setiap cuti umum yang diisytiharkan mempunyai singnifikan yang tersendiri kepada latarbelakang bangsa, agama dan negara itu sendiri.

Malaysia sebagai semua negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang berkongsi identiti sebagai bangsa Malaysia tentunya mempunyai jawapan sendiri bagi cuti-cuti umum yang diwartakan. Sebenarnya di sinilah keunikan Malaysia dari segi kuantiti dan kualiti cuti umum yang banyak mewakili kesatuan dalam kepelbagaian latar belakang bangsa, agama dan kepercayaan.

Sementara negara-negara lain mewartakan cuti-cuti umum pada hari 'biasa' (yang sebenarnya tiada latar belakang sejarah bangsa, agama dan negara) seperti Hari Belia, Hari Wanita, Hari Pendamaian, Hari Muhibbah dan Hari Hak Asasi Manusia di Argentina dan Hari Dewasa, Hari Kanak-Kanak, Hari Warga Tua, Hari Musim Luruh, Hari Kesihatan, Hari Budaya dan Hari Laut di Jepun. Malah Rusia antara negara yang mempunyai cuti umum paling sedikit sebanyak 7 hari yang salah satunya adalah Hari Wanita.

Di Malaysia kebanyakan hari cuti umum mempunyai sejarah latar belakang yang terbukti membangunkan tamadun bangsa, agama dan negara. Sungguhpun Kerajaan tidak mengisytiharkan hari-hari istimewa seperti Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Alam Sekitar, Hari Media, Hari Seniman dan Hari Guru tersebut sebagai hari cuti umum tetapi ianya tetap diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang lebih bermakna melalui budaya dan pendekatan yang lebih praktikal.

Jika difikirkan secara logik, kita lebih berhak meraikan pendaratan Parameswara yang kemudiannya mengasaskan Kerajaan Melayu Melaka berbanding Hari Colombus yang memperingati pendaratan pertama pelayar dari Itali, Christopher Colombus di dunia barat yang menindas kaum peribumi asli yang dinafikan hak menjadi etnik minoriti.

Kita juga lebih berhak bagi meraikan Hari Pahlawan bagi memperingati Mat Kilau, Dato Bahaman, Tok Gajah, Dato Maharaja Lela, Dol Said dan Rentap berbanding Britain dan Amerika yang meraikan Hari Patriotik bagi memperingati askar yang terkorban dalam misi menjajah dan melanggar kedaulatan negara-negara kecil. Kita juga tidak kurang tokoh kemerdekaan dan nasionalisme seperti Dato' Onn Jaafar, Abdul Rahim Kajai, Pendeta Za'ba dan Pak Sako untuk diharikan seperti Hari Jose Rizal di Filipina, Hari Jeneral Jose de San Martin di Argentina dan Hari Dr. Martin Lurther King di Amerika.

Kita juga lebih berhak meraikan 8 Februari sebagai Hari Perdana Menteri untuk memperingati Bapa Malaysia dan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman seperti Hari Presiden di kebanyakan buah negara walaupun tidak sehebat memperingati Presiden Kim II-Sung di Korea Utara yang memberikan cuti umum selama dua hari bagi tarikh kelahiran dan kematiannya.

Kita bahkan lebih berhak meraikan banyak peristiwa kemerdekaan selain 31 Ogos 1957 sebagai Tarikh Kemerdekaan iaitu tanggal 16 September 1963 sebagai hari penubuhan Malaysia (Sebelumnya dikenali sebagai Tanah Melayu) dengan kemasukan Sabah dan Sarawak seperti Pakistan yang mempunyai lebih dari 1 Hari Kebangsaan dan Hari Bendera di Argentina.

Tetapi kita perlu menjadi lebih relevan dengan memperingati dan mengiktiraf tokoh, peristiwa atau golongan tertentu bukan sekadar melalui hari-hari tertentu iaitu hanya satu hari dari 365 hari yang lainnya. Apa yang lebih penting adalah menginsafi dan muhasabah diri adakah kita telah mencapai kualiti yang diinspirasikan dari tokoh dan peristiwa bersejarah tersebut. Jika tidak, sungguhpun telah diberikan cuti umum ia hanya sekadar cuti seperti cuti am, cuti tahunan dan cuti sakit. Tiada perubahan paradigma, kualiti dan produktiviti.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MANTAPPPPPPPPPPPPPPPP : Org2 UMNO kene BACA dan FAHAM!!!

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.