25 Februari 2013

CHANGSHAN DAN CHOPSTICK


Oleh: Faizal Riduan

Wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di kain rentang dengan segak berbaju Tangzhuang (versi panjang Changshan) dengan tangan tersimpul kemas mengucapkan “Gong Xi Fa Cai”. Sekali pandang oleh pelancong asing mereka mungkin tersangka yang Perdana Menteri Malaysia seorang Cina!

Sebelum ini, pada perayaan Thaipusam tahun lalu, Najib juga turut berbaju Kurta. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pada sambutan Pesta Ponggal tahun lalu juga turut memakai Kurta malah siap dengan Thalapadan Tilak serta menari ala Shah Rukh Khan!

Sayangnya dalam kedua-dua penampilan multi kaum ini Najib tetap menjadi bahan cemuhan. Pakaian tradisi Cina yang kini jarang dipakai tiba-tiba diamati dengan penuh minat tanpa cermat sehingga pakaian ‘panjang umur’ bersimbol kaligrafi Cina ‘Shou’ Najib disamakan dengan pakaian orang mati.

Mereka terlupa bahawa ornamen ‘Shou’ selain ‘Fu’ (kebahagian) dianggap sebagai tuah bukan setakat digunakan pada pakaian tetapi meluas sehingga ke atap rumah tradisional Cina. Pengkritik ‘pakaian orang mati’ Najib sebenarnya perlu menghayati kata pujangga Kung Fu Tze (Confucius) dalam Lun Yu (Analek), “Jika kita tidak mengenali kehidupan, bagaimana pula kita dapat mengenali kematian?”

"Memang benar baju tradisional Cina berwarna merah yang dipakai Perdana Menteri itu mengandungi perkataan ‘Shou’. Baju yang ada perkataan seumpama itu boleh dipakai oleh sesiapa sahaja yang membawa maksud panjang umur,” ulas pakar kebudayaan Cina, Lee Yung Chew menyakini niat baik Najib.

Amat malang kemudiannya dengan tindakan ‘mati akal’ Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan 678 kain rantang ucapan Selamat Tahun Baru Cina Perdana Menteri. Sebelum ini, jarang ucapan hari perayaan dipolitikkan atau dimajlis-bandarankan.



Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang juga anak tiri Tan Sri Dato’ Mohamad Khir Johari sepatutnya menasihati Lim Guang Eng dengan pepatah Cina, “Fu jing qing zui” yang bermaksud membawa ranting berduri di belakang badan tanpa memakai baju untuk meminta maaf. Tidak perlu mempolitikkan pemakaian baju berwarna hijau atau kuning bertamu di rumah terbuka Tahun Baru Cina yang serba merah. Itu tentunya bukan adap bertamu dalam masyarakat Cina tidak kisah mereka ahli DAP, Gerakan atau MCA. Warna-warni budaya perlu mengatasi warna baju parti dan warna kulit bangsa.

Najib menterjemahkan wawasan 1Malaysianya dengan mengakultasikan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua termasuk masyarakat Cina dan penduduk Pulau Pinang. Sebelum ini, beliau membuka akaun kelab peminat Facebook ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ dalam bahasa Mandarin dan sempat bersembang dengan peminatnya seorang pelajar Sekolah Menengah Yu Yuen dari Sandakan, Sabah, Esther Yap Yuk Lim tentang makanan Cina kegemarannya iaitu ikan kukus sos soya dan ketam masak cili masam manis.

Malah anak bongsunya Nor Ashman Najib yang boleh berbahasa Mandarin daripada lulusan Universiti Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) turut muncul berucap di sambutan Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina. Sebelum itu, Ashman pernah membuat kemunculan dengan menyanyi lagu Mandarin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bersiaran di rancangan Morning Kaki’s, Radio One FM iaitu sebuah stesen radio berbahasa Cina.

Bagi menjenamakan ‘transformasi’ pentadbirannya, selain menghadiahkan sampul ‘ang pau’ Najib turut memberikan perutusan Tahun Baru Cina dengan memetik kata-kata termasyhur bekas pemimpin Parti Komunis China, Deng Xiaoping(1904-1997)yang berperanan membuka ekonomi China kepada dunia, “Menyeberangi sungai sambil menyentuh batu” dengan justifikasi, “Ini adalah suatu motto kehidupan yang tepat, di mana perjalanan untuk melakukan perubahan memerlukan pelan jangka masa panjang dan langkah demi langkah.”

Ucapan berfalsafah penuh puitis tersebut seakan-akan menjawab perutusan berulang Tahun Baru Cina Anwar sejak tahun lalu yang menyeru masyarakat Cina membawa semangat perubahan mengharungi kesukaran sebagaimana pengalaman pendeta Buddha Dinasti Tang, Xuan Zang dalam sejarah epik China ‘Pengembaraan Ke Barat’ dari karya klasik Xi You Ji.

Arkultasi rentas kaum dan bangsa sebenarnya mampu memberikan pesona imej Najib untuk diterima rakyat majmuk seperti imej Lee Kuan Yew bersongkok di awal karier politiknya untuk memenangi hati orang Melayu semasa kempen di Kampung Tani, Singapura pada tahun 1965 sebaik keluar daripada Malaysia. Mantan Menteri Besar Perak, YB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, walau mewakili parti minoriti PAS di Perak juga ‘disukai’ oleh sebahagian ahli DAP kerana fasih berbahasa Mandarin dan Tamil.

Malah hari ini YB PKR Tian Chua dan YB DAP Ronnie Liu mendahului YB-YB daripada MCA dan Gerakan melanggar tabu perkauman dengan berbaju Melayu dan bersongkok pada Hari Raya. Ini tentunya berbeza dengan sikap 12 Adun DAP Sarawak yang tidak mahu memakai pakaian rasmi Dewan Undangan Negeri hanya semata-mata dipadankan dengan songkok atas alasan bertentang dengan hak kebebasan beragama.

“DAP tidak pernah dapat memahami bahawa memakai songkok itu selaras dengan ketertiban dan rasa hormat serta langsung tiada kaitan dengan hegemoni perkauman,’ ulas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha. Kritik bloggers Raja Petra Kamaruddin lebih berterus-terang, “Mengapa hanya Ronnie sahaja yang disalahkan bila memakai Baju Melayu pada hari raya? Kritikan pada Ronnie mengatakan dia sebagai pengkhianat kepada bangsa Cina kerana memakai Baju Melayu. Tidak hairanlah Hindraf mengatakan DAP adalah parti perkauman. Jika begitu, saya pun memakai pakaian Cina pada Tahun Baru Cina. Bagaimana pula ahli DAP menyatakan saya sangat comel? Mengapa ahli DAP tidak menyatakan saya sebagai pengkhianat bangsa Melayu?”

Memakai pakaian kebudayaan sesuatu kaum yang lain tanpa menghina kebudayaan kaum tersebut dan kebudayaan kaum sendiri bukanlah menjadi satu kesalahan malah sikap terpuji meraikan kemajmukan dan kepelbagaian budaya Malaysia. Sikap ketaksuban ‘promordial instict’ atau naluri asal wujud manusiawi melalui polarisasi berpakaian perlu ditentang. Seperti manusia yang hidup bermasyarakat, pakaian juga bermetamorphosis melalui asimilasi, akomodasi, akultasi dan amalgamasi.

Apapun penerimaan sosok multi kaum dan budaya ini, sememangnya lebih baik jika dibanding semasa Pilihanraya Umum 1969. Semasa itu, mantan Menteri Pelajaran pertama, Tan Sri Khir Johari menghantar kad ucapan Tahun Baru Cina dengan foto jenaka beliau dan isterinya, masing-masing berpakaian bangsawan Cina, yang diambil ketika melawat Hong Kong kepada kenalannya.



PAS telah menggunakan gambar tersebut untuk berkempen bahawa Khir Johari telah menjadi Cina atau alat orang Cina sehingga undi beliau merosot dengan teruk sekali. Begitu juga dengan gambar mantan Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman yang sedang makan dengan chopstick dimanipulasi dengan gambar hidangan anak babi dengan tuduhan Tunku berketurunan Siam dan beragama Buddha. Semasa itu hadis, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalam kalangan mereka” diulang sebut untuk mengkritik ‘kecinaan’ changshan Khir Johari dan chopstick Tuanku.

Hari ini mendekati bangsa dan kaum lain dilihat sebagai insklusif dan majmuk. Kebanyakan pemimpin politik Melayu termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat digambari menggunakan chopstick untuk menggaul Yee Sang setiap kali perayaan Tahun Baru Cina. Akan datang tidak mustahil, Nik Aziz akan memakai hanfu iaitu persalinan jubah tradisonal Cina.

Ucapan “Gong Xi Fa Cai” juga sudah menjadi terlalu umum malah banyak ucapan disusuli dengan “Xin nian jin bu, xin nian hao, nian nian hao” walau pengucapnya mungkin tidak tahu maksudnya. Jika pada zaman dahulu, ucapan-ucapan sebegini pastinya boleh mengundang fitnah sebagai menggugurkan kalimah syahadah!

Rupanya Pilihanraya Umum 2013 tidak banyak bezanya dengan Pilihanraya Umum 1969, iaitu masih seputar isu baju. Bezanya sudut pandang yang berubah 360 darjah walau objeknya sama – berbaju Changsan. Dulu pemimpin Melayu berchangsan dipersepsikan sebagai pro-Cina oleh pihak pembangkang untuk mereka mendapatkan undi Melayu. Kini, mereka memanfaatkannya untuk meraih undi Cina pula dengan menyifatkan pemakaian Changsan sebagai anti-Cina dan kononnya dipakai untuk tujuan menghina.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.