10 Oktober 2008

PERANG SAUDARA NAJIB - ANWAR


Oleh: Faizal Riduan

Najib dan Anwar dari kacamata saya sejak dahulu dan kini masih mempunyai banyak persamaan. Mereka bersama-sama naik dalam politik dalam satu pasukan ‘Team Wawasan’ yang akhirnya tenggelam dalam parti berbanding ‘Team B’ yang lenyap di luar parti. Mereka juga mendapat mentor terbaik ketika itu iaitu Tun Mahathir yang memberikan laluan mudah untuk mereka berdua dengan lampu hijau sepanjang jalan tanpa sekatan dan halangan.

Jika Tun Mahathir tidak lupa, mereka juga antara penyelamat kerusi Presiden dan ‘Team A’ dalam krisis UMNO 1987. Persamaan terkini ialah mereka berdua bakal menjadi Perdana Menteri (PM) mengikut pelan peralihan yang dibuat oleh arkitek parti masing-masing. Bezanya cuma Najib mewakili kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan Anwar mewakili kerangka PKR dan Pakatan Rakyat (PR) itu sahaja.

Sebenarnya baik Najib mahupun Anwar sendiri, pelan peralihan ini mempunyai kesan signifikan sebagai talian hayat dalam kerjaya politik masing-masing. Najib ingin mengabsahkan dengan mengikut tradisi pelan peralihan maka takhta PM adalah miliknya sementara Anwar ingin mengabsahkan dengan melalui ‘pintu belakang’ istana maka takhta PM adalah miliknya. Namun hakikatnya di dunia ini, sesebuah negara hanya memerlukan seorang PM dalam sesuatu masa!

Najib dalam ucapan di Persidangan Agung UMNO 2004 pernah berkata kepada Abdullah, “Saya tidak akan menikam dari belakang”. Namun Najib perlu berhati-hati dalam bersaksi sumpah dan berikrar janji kerana waima bai’ah pujangga, Anwar kepada Tun Mahathir sempena ulangtahun ke-15 sebagai PM, “Angkut-angkut terbang ke langit, Sampai di langit dimakan merbah, Biar tertangkup bumi dan langit, Setia saya takkan berubah”, walau semanis madu pantun dilagu tetapi akhirnya dibalas dengan sepahit hempedu.

Anwar yang terlebih dahulu menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri telah sampai ke tahap memangku jawatan PM dan kini sebagai Ketua Pembangkang dan ketua de facto PR sementara Najib yang terkini dengan kedudukan strategik sebagai Menteri Kewangan I dan Timbalan Perdana Menteri. Tentunya keduanya kini digelar sebagai ‘Prime Minister-in-waiting’ atau dalam idiom diraja dimasyhurkan sebagai ‘Putera Mahkota’ yang bakal bersemayam di ‘Istana Putrajaya’ oleh penyokong dan parti masing-masing.

Ironisnya tidak semua putera mahkota akan menjadi raja seperti Putera Hassan Talal yang telah menanti selama 34 tahun sebagai Putera Mahkota Jordan namun akhirnya Putera Abdullah Hussein, anak saudaranya dimahkotakan sebagai raja sebelum Al-Malek Hussein mangkat.

Najib harus maklum bahawa wasiat kepimpinan tidak beerti yang namanya dihitamkan atas kertas putih akan mendapat semuanya dan yang namanya diputihkan atas kertas putih akan hilang segalanya. Dan tidak lupa bahawa yang berkuasa masih bernyawa bersemayam di atas takhta maka surat wasiat bukan lagi tauliah pertabalan diraja! Sekalipun Najib telah dinamakan sebagai waris tunggal PM tetapi sebagai anak jati Pahang, perlu melihat sejarah wasiat pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali supaya putera sulungnya Wan Mutahir ditabalkan sebagai Bendahara Pahang sementara putera bongsunya Wan Ahmad dianugerahkan daerah Endau dan Kuantan.

Selepas Wan Mutakhir menjadi Bendahara Pahang pada 1857 dengan kemangkatan ayahandanya, mula tamak mahu menguasai seluruh muka langit dan bumi jajahan takluk Pahang sehingga mengingkari wasiat untuk menyerahkan dua daerah tersebut kepada adindanya. Wan Ahmad akhirnya menyerang Pahang dengan bantuan Tok Gajah dan Dato' Bahaman sehingga baginda berjaya menakluk pahang dan menjadi Bendahara pemerintah pada tahun 1863 dengan gelaran Sultan Ahmad.

Sebaliknya, jika sekalipun Anwar berjaya merampas bakal ‘mahkota’ Najib, Anwar sebagai bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) perlu insaf dengan sejarah Raja Muda Abdullah yang tidak ditabalkan menjadi sultan sebaliknya diganti dengan Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan Perak tetapi baginda berjaya kembali semula dengan gelaran Sultan Abdullah Muhammad Shah. Namun kemudiannya baginda menyesal kerana membawa kepada campurtangan British melalui Sir Andrew Clarke dan menebus dosanya dengan pakatan menumpahkan darah J.W.W . Birch di Pasir Salak sehingga baginda dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.

Walaupun hakikatnya, Abdullah telah bersetuju untuk penyegeraan pelan peralihan pada tanggal Mac 2009, ini tidak beerti Najib akan mendapat sokongan ‘sebulat air di pembentongan’. Satu masa dahulu karismatik Anwar memuncak dalam UMNO pada tahun 1993 dengan 95 peratus sokongan sehingga berjaya menumbangkan veteran UMNO Tun Ghafar yang lama berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman yang dimalukan dengan 7 pencalon sahaja bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden berbanding Anwar yang menerima sebanyak 137 daripada 145 pencalonan.

Menyedari momentum itu akan berulang, Tun Mahathir bertindak pantas menggunakan kuasa veto Presiden dan Majlis Tertinggi untuk memecat Anwar pada tahun 1998 bagi menyekat kemaraan Anwar yang dikhuatiri akan mencabar jawatan Presiden pada kemudian hari.

Begitu juga apabila berhadapan dengan kekuatan ‘Team B’ yang berjaya mendapat sokongan daripada 5 menteri dan 4 timbalan menteri. Tun Mahathir yang dicalonkan oleh 89 bahagian hanya berpuas hati dengan kelebihan 43 undi apabila mendapat 761 undi berbanding Tengku Razaleigh yang hanya mendapat kurang setengah iaitu sekadar 37 pencalonan tetapi berganda menjadi 699 undi.

Tun Musa Hitam yang untuk dua kalinya berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan mengalahkan Tengku Razaleigh namun apabila bergabung menjadi regu Tengku Razalegih, Tun Musa Hitam dikalahkan oleh Tun Ghafar iaitu regu Tun Mahathir yang mencuba untuk pertama kali. Akhirnya apabila UMNO diharamkan maka ‘Team B’ terpaksa menjelmakan dirinya menjadi Parti Semangat 46 apabila Tun Mahathir mengasaskan kembali parti UMNO Baru.

Dalam dua krisis kritikal ini, jelas kelihatan bagaimana Presiden/PM dengan kuasa-kuasa yang ada padanya boleh bertindak dengan menyelesaikan masalah melalui penyingkiran dan pembuangan. Walau sekuat mana pengaruh seseorang individu atau kumpulan tetapi Presiden/PM mempunyai satu butang penyelamat yang akan menyambung talian hayatnya dan memberikan kesan kemusnahan besar-besaran kepada musuh politiknya.

Kini Najib perlu mentakrif semulanya dirinya adakah beliau setanding dengan kredebiliti dan karismatik Anwar dan Tengku Razaleigh? Adakah kumpulannya setanding dengan kekuatan pasukan ‘Team B’ dan ‘Team Wawasan’? Adakah UMNO kini kukuh untuk menghadapi krisis kali ke-3 dengan UMNO mengalami krisis kepimpinan dalam dan luar yang terburuk dalam sejarah.

Anwar pula sememangnya mempunyai banyak kelebihan pada masa ini, jika jawatan PM diundi secara terus oleh rakyat Malaysia seperti amalan dalam pemilihan Presiden Amerika dijangka Anwar akan menang mudah. Anwar pernah menjadi ‘Tuah’ dan ‘Jebat’ dalam sejarah politik Melayu, pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sewajarnya mengajar Anwar untuk menjadi pemimpin kepada semua. Namun untuk percubaan pertama kali menaiki takhta melalui istiadat yang berbeza, Anwar perlu lebih cermat dan tertib apatahlagi ianya akan menjadi sebahagian daripada nilai-nilai demokrasi ala Malaysia.

Bagi kedua-dua ‘Putera Mahkota’ ini, apakah penyelesaian untuk mewarisi takhta sebagai PM tanpa rakyat jelata menjadi taruhannya? Adakah mereka memilih untuk menghormati tradisi parlimen berperlembagaan atau bertelingkah dalam perang saudara yang entah bila surutnya? Jika itu pilihan mereka maka kita akan melihat benarkah kata para leluhur ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’?.

Sehingga kini saya masih mengharap keajaiban pengorbanan agung seperti kisah Sultan Muhammad Syah mengorbankan kedudukannya sendiri sebagai Sultan Perak agar Perak bersatu semula di bawah satu pemerintahan dengan seorang sultan sahaja dengan kekandanya Sultan Muzaffar Syah sebagaimana yang tertulis dalam sejarah klasik Misa Melayu yang dikarang pada tahun 1908. Kini setelah genap 100 tahun masih adakah pemimpin Melayu semulia itu lagi?.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

"kedua-duanya ada karisma tersendiri dalam memartabatkan negara dan melayu, kedua-duanya ada fitnah dan gosip yang bahaya, adakalanya seorang bersikap berdiam diri (safety First) seorang lagi bersifat provokasi. Tapi masalahnya siapa yang putuskan untuk jadi PM. adakah rakyat? (Demo Cratos) atau UMNO dan PR."

melayuangkat berkata...

Assalamualaikum Faizal,

Terima Kasih kerana singgah ke blog Mak Cik dan dengan komen yang diberi.

Mak Cik tertarik dengan Profile Faizal. Sejuk hati Mak Cik baca satu persatu dan dapat bayangkan betapa Bangganya ibu bapa Faizal kerana mempunyai anak macam Faizal.
Syukur Alhamdulillah dan inilah yang kita Orang Melayu harap harapkan dan sentiasa mahukan, generai angkatan Muda Melayu yang macam kamu.

Mak Cik doakan kamu akan terus meniti kejayaan demi kejayaan dan jangan putus asa dalam mengejar cita cita. Hidup memang penuh dengan dugaan dan kita mesti bijak mencari jalan terbaik mengatasinya, sentiasa bersabar dan berdoa akan pertolongan dari yang Esa. InsyaAllah, everything will be fine.

Good Luck and Wish you all the best.

Unknown berkata...

Walaikumsalam Mak Cik.

Terima kasih Mak Cik tetapi kaget saya Mak Cik terlampau banyak memuji sehingga saya malu sendiri.

Insyallah saya akan ingat nasihat Mak Cik itu nanti. Dan semoga Allah sentiasa memberikan laluan mudah kepada orang yang meletakan agama, bangsa dan negara sebagai pendahulu dan prioriti dalam kehidupannya.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.