Setelah sekian lama diundang untuk menyaksikan 'gig' underground yang diangkat ke mainstream, Tilu oleh Asraf Dahari ayah kepada vokalisnya yang akhirnya melorongkan malam saya berpergian ke Cloth & Clef di Changkat, Bukit Bintang. Sebenarnya dalam usai pra dewasa yang membesar secara alami di pinggir bandar separa hutan belantara pengalaman 'gig' dalam gelap goyang gempita ini seakan menyentak deras aliran darah muda yang dahulunya unyai menyaluri urat nadi. Agak kekok dan canggung rasanya dikelilingi remaja yang pelbagai rencam latar hidupnya mengekpresikan pula gaya bebas mereka. Mereka juga di hujung ekor mata mungkin memandang saya dengan seribu tanda tanya - "Dia ini kaki gig juga ker?".
Begitulah magnetiknya Tilu menyebabkan saya yang asalnya mengempuki kerusi bangun berdiri di barisan hadapan sekali. Sengaja mahu mendengar garapan melodi dan senikata mereka menyusup dekat tangkap di hujung corong telinga. Rasanya KRU tidak kelu untuk memperakui kualiti Tilu dibawal label mereka. Uniknya ketika kebanyakan band selesa dengan pembawaan jaluran pop rock dan pop punk, Tilu hadir dengan jalur padu pop jazz, R&B dan dangdut yang terefleksi saat tiupan muzik berhantunya meremangkan bulu roma. Single ciptaan Edry KRU berjudul "Ku Bukan Aku" memberikan nafas segar tanpa menyesakan arus nafas. Tahniah untuk Amirah Asraf atau Mira (vokalis), Johar Lucas (dram), Puja Paska (bass), Reza Ramsey atau Bajai (keyboards), Kiki Rizky Rahadiyan atau Kibas (gitar), Firdaus Bohari atau Daus (trumpet), Fareed Aziz atau Fareed (flugelhorn), Jeff atau Jeffny Kamar (saksofon).
Jika anda pernah memberikan AF Undi yang merugikan kredit anda, apa kata anda membuat perkara yang sama untuk satu undi bertaraf akademik. Bermula esok 19 sehingga 28 Mac 2010 sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010, gerai Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) di Lot CO1-C03, C25-C30, C49-C51, Aras 3, Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) memberikan anda peluang untuk menjadi juri awam. Dengan setiap pembelian buku keluaran ITNM, anda akan diberikan peluang mengundi tiga ulasan buku terbaik dari 10 ulasan yang telah dipilih oleh juri. Undi awam pengunjung akan membentuk 70 peratus markah berbanding undi juri profesional sebanyak 30 peratus markah.
Menariknya kerana ulasan buku saya, "Adab Dialog Dalam Islam" telah terpilih dalam pencalonan 10 ulasan terbaik. Jika anda merasakan ulasan tersebut baik silalah undi dan jika merasakan ia belum cukup baik, jangan segan untuk mengundi ulasan buku yang lain!
Sebenarnya saya berhasrat untuk menghantar satu lagi pencalonan, "Menakhoda Zaman" sebuah buku Datuk Seri Najib Tun Razak yang saya kira lebih baik ulasannya. Namun kesuntukan masa membuatkan saya terlupa mengenainya. Namun saya bersyukur kerana dengan hanya satu pencalonan ia dipilih juri sebagai antara 10 ulasan terbaik sudah cukup memadai apatah lagi jika rezeki hadiah pertama, RM5,000 bertukar tangan - Amin. "Tuah ayam nampak di kaki, tuah pengulas buku siapa yang tahu?"
Akhirnya saya berjaya mendekati warga tertua, Pakcik Harun Yusof (gambar di atas), 95, yang kerana pengistiharan ‘Settlement for Lepers and Decrepit Persons’ pada tahun 1934 berdasarkan Enakmen Kusta 1926 telah meragut kebahagian keluarga dengan mengkuarantinkannya di atas tanah seluas 562 ekar di sini sejak tahun 1946. Walau penyakit berjangkit tersebut berjaya dikawal sepenuhnya pada awal tahun 1970-an dan mereka boleh kembali kepada keluarga, Pakcik Harun tanpa berfikir panjang terus memilih tinggal di sini dan melupakan harapan untuk menghabiskan sisa hidup di samping anak tersayang yang biasanya ‘panjang akal’ untuk menerima kehadirannya semula. Biarlah semua impiannya terlaksana di syurga tuhan doanya.
“Dahulu saya hanya dapat lihat anak semasa dia lahir itupun sekali sahaja pada tahun 1942. Bapa saudara saya yang panggil saya untuk qamatkan anak saya. Kemudian dia yang besarkan anak saya,” cerita Harun Yusof, 95, yang sebak mengenangkan anak dan isteri yang terpaksa diasingkan dalam kehidupannya yang sunyi.
“Bapa saudara saya juga memaksa menceraikan isteri. Isteripun tidak kisah. Dalam hukum agama bolehkah begitu?,” soalnya pula dengan mata berkaca mengingati saat dia terpaksa mentalakkan isteri dari ikatan perkahwinan atas dasar suka sama suka.
Seingatnya kini, anak perempuannya itu telah berusia dalam lingkungan 60 tahun. Walau tidak dapat memanjakan anak tunggalnya itu namun dia bahagia apabila dapat menunaikan tanggungjawab terakhir sebagai seorang bapa dengan menjadi wali perkahwinan dengan seorang pegawai polis. Hasil perkahwinan tersebut, dia mempunyai dua orang cucu dan seorang cicit walau panggilan ‘atuk’ bagai tidak pernah terngiang di cuping telinganya.
“Ada sekali anak pernah datang melawat. Kali terakhir kami bertemu semasa dia hendak menunaikan fardu haji. Itupun sudah lebih 10 tahun yang lalu,” tambahnya sayu betapa pertemuan mereka anak-beranak selama 67 tahun tidak pernah lebih daripada lima kali sambil membilang jari dengan sebelah tangan.
“Semasa datang dahulu dia ada ajak tinggal bersama. Tetapi menantu tidak bercakap apa-apa mengenainya. Saya faham-faham sendiri. Anak saya perempuan, suami dia yang tanggung. Tak kan hendak tanggung saya lagi nanti tambah beban dia. Saya tidak mahu sebab saya mereka suami isteri bergaduh dan berpecah belah. Biarlah mereka dengan kehidupan mereka yang penting mereka sihat dan selamat. Saya? Apa boleh buat,” tutup Pakcik Harun yang telah berputus harapan untuk kembali kepada kehidupan berkeluarga.
Namun jauh di sudut hati, dia redha dengan ujian ini sebagaimana sabarnya Nabi Ayub a.s menghadapi sakit kulit yang kronik dengan kudis dan nanah sehingga ditinggalkan anak dan isteri. Saya nyaris menumpahkan air mata tatkala teringat sabda baginda dalam Surah al-Anbiya “Sesungguhnya saya telah ditimpa penyakit dan Engkau adalah tuhan yang lebih mengasihi daripada segala yang mengasihi”. Saya perlu kuat di hadapan mereka namun jauh di dalam hati saya remuk rendam sesuatu yang telah lama mereka pendam.
Namun rupanya kunjungan saya bertemu Pakcik Harun hanya sekali. Walau sewaktu itu dia tampak sihat bercerita dengan pelbagai warna gaya, beberapa minggu kemudian saya dikejutkan dengan berita Pakcik Harun telah kembali ke rahmatullah – satu destinasi kuarantin yang kekal abadi. Saya menyesal sejenak kerana tidak menyusul dengan pertemuan berikutnya akibat kesibukan masa di dunia. Lebih hiba lagi perjalanan terakhirnya ke tanah perkuburan tidak diiringi oleh ahli keluarga tersayang! Insan kecil seperti Pakcik Harun pasti pemergiannya digelapkan berita dan ceritanya. Saya berharap tulisan ini sebagai satu dedikasi belangsukawa penghormatan pengembalian seorang hamba setelah lebih setengah abad melalui seorang diri ujian penciptanya yang maha hebat. Kepada kita yang sihat tanpa penyakit kusta, sebenarnya kita telah lama berdusta tentang rasa syukur dan berterima kasih kepada-Nya.
Adakah masih ada dialog dalam Islam? Kita tertanya sendiri tatkala melihat polemik berkaitan umat dan agama Islam apatah lagi yang mencabar status Qua Vadis ahli Sunnah Wal Jamaah, ulama dan pihak berautoriti agama. Anehnya di satu pihak kelihatan seperti katak yang duduk bergelap di bawah tempurung minda yang membutakan kebenaran sementara satu pihak lagi tidak ubah seperti ikan di dalam balang kaca yang sekadar luas pemandangan tetapi tidak boleh mengecap nikmat kebebasan bergerak dalam ruang awam. Dua situasi yang berbeza tetapi kesannya tetap sama – tidak membina!
Sebenarnya ada banyak buku cendekiawan Islam yang memperkatakan tentang adab berselisih pendapat dalam dialog dan muzakarah. Antara buku yang terbaik dalam kelas ini ialah “al-Kifayah fi fann al-Jidal” karya Imam al-Haramain, “al-Ma’unah fi al-Jidal” karya Syirazi, “Tarikh al-Jidal” karya Muhammad Abu Zahrah, “Adab al-Iktilaf” karya Dr Taha Jabir al-Alwani dan “Adab al-Hiwar” karya Dr Muhammad Sayyid Tantawi. Namun bagi yang tidak arif berbahahasa Arab, buku “Adab al-Hiwar” kini boleh dibaca setelah dialih bahasa oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tajuk “Adab Dialog Dalam Islam” setebal 602 muka surat.
Buku ini merupakan kajian tentang adab-adab berdialog dalam Islam yang diambil daripada inti pati al-Quran, al-Sunah al-Nabawiyyah dan kata-kata ulama muktabar. Ia menjelaskan bahawa syariat Islam membuka pintu perbahasan yang bijaksana berdasarkan mantik yang betul, adab yang tinggi dan kebebasan mengeluarkan pendapat dalam lingkungan ilmu yang berguna, kefahaman yang tajam, percakapan yang tinggi budi bahasa serta hati yang putih bersih daripada sifat riak, hasad, ego, mengikut nafsu, kepentingan peribadi dan prejudis tanpa sebab atau bukti yang munasabah.
Ia turut memaparkan bahawa secara semulajadinya, dialog sesama manusia adalah penting kerana manusia tidak terlepas daripada berdialog sesama mereka dalam hubungan sehari-hari dan dalam urusan yang berkait dengan makan, minum, pakaian, ubat-ubatan, hak dan kewajipan. Perbezaan pandangan antara manusia dari aspek tujuan, matlamat dan fikrahnya juga merupakan satu perkara yang penting. Perbezaan ini disebabkan beberapa faktor yang antaranya, terang nyata dan ada juga yang tersembunyi. Syariat Islam mengariskan beberapa prinsip dalam berbahas, berdebat ataupun berdialog agar ia berlaku dalam suasana yang membina dan hasil yang dicapai adalah baik.
Lebih indah lagi, rakaman beberapa bentuk dialog yang berlaku antara para rasul dengan kaum mereka, yang berkisar di sekitar keesaan Allah SWT, hari akhirat, hisab, dosa dan pahala serta dialog tentang al-Quran dan kata-kata yang diucapkan oleh orang yang bodoh sombong tentang hal ini serta jawapan terus dari Allah SWT ke atas mereka. Penyampaiannya sangat mendalam dengan melihat dari pelbagai sumber perawi yang diperjelaskan lagi oleh pengarangnya nyata memberikan kefahaman berbanding pemahaman secara harfiah dalam terjemahan Al-Quran.
Turut dirakamkan semula ialah beberapa contoh dialog yang berlaku antara ahli kitab secara amnya dan Bani Israel khususnya serta dialog dengan orang munafik yang mengucapkan apa yang tidak ada dalam hati mereka. Dialog dalam bentul soal jawab antara orang baik dengan orang jahat ataupun di kalangan orang jahat sesama mereka dan orang baik sesama mereka serta antara ahli syurga dengan ahli neraka turut dipaparkan secara dramatik sekali.
Tidak keterlaluan dikatakan buku ini terbit tepat pada masanya ketika kemuncak ketidakfahaman umat Islam tentang dialog yang menyihatkan, menyegarkan dan menjernihkan yang kelihatan dalam kecelaruan feminisme Sisters in Islam (SIS) yang selalu prejudis dengan lelaki muslim yang dipukul rata sebagai pembawaan Islam yang ideal, perbalahan tentang kebolahan orang bukan muslim memasuki masjid dan meraikan perayaan muslim, konftrantasi bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan ulama lainnya, penggantian istilah muzakarah kepada muqabalah dalam pertemuan dua parti Islam, Umno dan Pas serta terbaru perebutan nama Allah SWT oleh gereja Kristian.
Fenomena kehilangan adab seperti ini selalu dikupas oleh Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam bukunya “Islam and Secularism”. Malah pada tahun yang sama 1973, beliau mengingatkan umat Islam mengenai ilmu pengetahuan yang bersifat tidak bebas nilai dalam Risalah, “Kita harus mengetahui dan menyedari bahawa sebenarnya ilmu pengetahuan tidak bersifat neutral; bahawa setiap kebudayaan memiliki pemahaman yang berbeza-beza mengenainya meskipun di antaranya terdapat beberapa persamaan. Antara Islam dan kebudayaan Barat terbentang pemahaman yang berbeza mengenai ilmu, dan perbezaan itu begitu mendalam sehingga tidak boleh dipertemukan.”
Apa yang dapat dilihat dalam kenyataan berbalas pihak-pihak bercanggah pendapat lebih kepada memulangkan paku buah keras. Kenyataan balas biasanya bertindak dalam dua cara iaitu bersifat ofensif dan difensif secara serentak, di tahap ini di satu pihak berharap, pihak yang satu lagi akan kecundang di medan tempur hujah. Sifat tawaduk tunduk kepada kebenaran seperti yang dijelmakan dalam diri Balqis Ratu Saba, Hercules Raja Rom dan Najasyi Raja Habsyah bagaikan tidak tersirna walhal mereka ketika itu berada di tampuk teragung sebuah kerajaan yang besar.
Sifat ‘perasan bagus’ dan ‘syok sendiri’ ini memantangkan penuturnya dari dikritik sedangkan Allah SWT mengingatkan Nabi Musa yang mendakwa dirinya manusia yang paling berilmu apabila ditanya soalan tersebut oleh kaumnya. Inilah yang membawa kisah pertemuan Baginda dengan Nabi Khidir setelah direkemendasi oleh Allah SWT dalam firmannya, “Sesungguhnya Aku ada seorang hamba di Majma’ al-Bahrayn yang ilmunya lebih banyak daripada kamu”.
Namun sayangnya hari ini, ilmuan Islam juga terpalit dengan budaya berdialog menggunakan kerangka fikir Yunani melalui debat dialektis iaitu “membuktikan orang lain betul dengan cara membuktikan orang lain salah”. Obesesi debat seperti ini sebenarnya seputar menelanjangkan aib lawan untuk memperoleh kemenangan mutlak bukan dengan kekuatan sendiri sebaliknya atas manipulasi kelemahan pihak lawan. Justeru sepandai-pandai ahli falsafah Yunani pujaan golongan liberal rupanya mereka sekadar pandai membuktikan satu sama lain sebagai salah!
Lebih parah lagi, akar akal sebegini menjalar hingga mencecah lapisan tauhid sehingga timbul dialog yang sia-sia seperti, “Apakah al-Quran itu makhluk ataupun bukan makhluk?”, “Perlukah doa Qunut dalam solat Subuh?”, “Selawat Syifa bercanggah dengan akidah” dan “Bacaan talqin, tahlil, yasin sebagai satu bidaah”. Benarlah sabda Rasulullah SAW, “Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancuran”.
Soalan cepumas: berdasarkan gambar di atas, yang mana satukah Pengerusi Eksekutif SIS?
Oleh: Faizal Riduan
Kenyataan terbaru Sister in Islam (SIS) oleh Pengerusi Eksekutif barunya Dr Hamidah Merican membantah hukuman sebat syariah terhadap tiga pesalah wanita mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) tidaklah menarik sangat. SIS yang lebih disinonimkan dengan Zainah Anwar lebih dua dasawarsa yang lalu telah membuat banyak kenyataan yang jauh lebih panas dan hangat. Tidak perlu membaca jauh pandangan hidup Zainah Anwar selama lebih 20 tahun dalam SIS kerana fikiran singkatnya dapat dibaca sependek paragraf pertama rencana “Ending the Patriarchy” di dalam majalah Time edisi 10 Mac 2003.
Ini kerana hukuman sebat Syariah yang dikenakan selama ini lebih kepada ‘acah-acah’ untuk menguji sistem perundangan Syariah secara beransur tahap. Malah tidak ralat untuk dikatakan hukuman tersebut sebenarnya bersifat separuh masak kerana hukum sebat dalam Islam telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasulullah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Tetapi nisbah yang dikenakan terhadap pesalah Syariah setakat ini tidak sampai 10% dari kadar yang sebenar.
Saya lebih tertarik untuk mengulas kenyataan akhbar SIS terbaru ini apabila melihat muka baru ketuanya, Dr Hamidah Merican buat pertama kali. Mati-mati saya menyangka Dato Ambiga Sreenevasan membuat penampilan semula dalam persalinan bertudung sebagaimana fesyen yang melanda artis wanita tanah air. Saling tak tumpah bagai kembar seiras dan pelanduk dua serupa!
Ada dua sahaja perkara yang boleh dipuji Dr Hamidah Merican berbanding dengan Zainah Anwar iaitu beliau bertudung lengkap mengikut syariat mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dato Siti Nurhaliza Tarudin. Keduanya, latarbelakang pendidikan beliau sebagai pemegang ijazah kedoktoran. Namun dengan kesarjanaan dalam Pengurusan Berasaskan Nilai, apalah yang boleh diharapkan sangat dengan interprestasi Islam beliau jika dibandingkan dengan mentornya Prof Madya Dr Amina Wadud, sarjana Bahasa Arab dan Pengajian Islam yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia dan pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Hakikatnya pembawaan nama ‘Islam’ dalam akronim SIS adalah amat kontradiksi. Ia menyekat kemasukan pejuang wanita yang bukan Islam yang jauh lebih berkarisma seperti Dato Ambiga Sreenevasan, Irene Fernandez dan Sofia Lim Siu Ching. Jika mereka yang membuat kenyataan anti sebat Syariah, jujur saya masih boleh menerima kerana perbezaan agama dan pandangan hidup.
Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan. Malah isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa turut dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.
Saat ini barulah saya mengisafi lirik lagu Raihan, ‘Iman Mutiara’ - “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai”. Benarlah iman tidak juga semestinya datang dari NGO Islam dan pihak berkuasa Islam.
Iman sebenarnya boleh berada di mana-mana. Malah ia mungkin datang dari dalam gereja seperti keyakinan yang dizahirkan oleh tokoh besar Kristian Eropah, Dr Rowan Williams, Uskup Besar Canterbury England yang menyarankan bahagian-bahagian Undang-Undang Syariah Islam sebagai penyelesaian kesatuan sosial di United Kingdom dalam wawancaranya dengan Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008.
Malangnya nur yang sama tidak menerombos hati nurani Dilwar Husain seorang Muslim tokoh Yayasan Islam Eropah yang mempertahankan Undang-Undang British sekular yang didakwanya mesra masyarakat Islam sepertima mana dalam hujahnya, “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”.
Bagi SIS dan Majlis Peguam yang cakap berlapik di atas prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah, kini perlu mencari alasan lain yang lebih berfakta kerana kenyataan Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.
Sudah sampai masanya kerajaan, pihak berkuasa agama dan universiti menjalankan kajian dan penyelidikan serta tidak tercicir dalam retorik kertas kerja seperti dalam Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah tahun lalu. Sebaliknya perlu mengambil inisiatif proaktif sebagaimana satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.
Menurutnya berdasarkan kajian saintifik, sebatan di punggung mampus merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.
Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit RM342 bagi sesuatu rawatan biasa dan kini tidak menang tangan untuk merotan pesakitnya. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia.
Jadi dimanakah logiknya kenyataan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang turut mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.
Jika kita memerlukan sampel ujikaji sebagai testimonial maka calon terbaik, saya syorkan ialah Dr Hamidah Merican, Zainah Anwar atau Datuk Syed Abas Syed Ali itupun jika kesalahan menghina mahkamah ditambah dengan hukuman rotan dan tidak cukup sekadar peruntukkan denda dan penjara. Seperti kata orang sekarang, “Belum cuba belum tahu”.
Mengambil inpirasi iklan produk kecantikan Loreal, “Kerana dirimu begitu berharga” maka untuk pertama kali dalam sejarah hidup 29 tahun saya kini berasa jasad tubuh saya mempunyai cagaran sebagai galang ganti jika berlaku malapetaka yang tidak diingini. Saya tidak mahu sekadar ‘mati katak’ kerana sedar sukarnya mak dan abah membayar duit pengeras bidan yang menyambut kemunculan saya untuk pertama kalinya ke dunia pada 12 Julai 1981.
Tentunya dengan rasa insaf saya menyesali sepanjang membina kerjaya lima tahun ke belakangan ini, saya terlepas pandang tentang kedudukan saya sebagai sandaran keluarga yang sebelumnya telah membesarkan saya dengan bersakan habis dan bergadai golok. Dalam usia menginjak tiga dasawarsa, rambut memutih di ubun-ubun mak dan abah menyebabkan saya sebak setiap kali melihat mereka lena usai saya pulang ke rumah di penghujung malam. Dalam dengkur nyenyak entah apa mimpi mereka agaknya? Hakikatnya hari esok ketika mereka membuka mata mereka sendiri sukar menjangkakan apa-apa.
Sedetik itu, saya termenung menyiku dagu dengan penuh rasa ragu, “Apakah akan terjadi jika saya pergi dahulu sebelum sempat membalas jasa mereka?”, "Di manakah tempat untuk mereka bergantung harap nanti?" dan "Bagaimanakah kesudahan perjalanan sisa hidup mereka di penghujung usia?" Sedang kalau adapun hayat yang panjang entah bila akan terlunas segala hutang piutang biologi yang saya warisi. Oleh itu saya dedikasikan insurans 2 dalam 1 – ‘simpanan dan perlindungan’ kepada mak dan abah sebagai saguhati tanda kenang-kenangan saya di dunia untuk mereka.
Jika pendek umur, saya pergi mendahului mereka maka dapatlah sedikit pemberian ini mengubat rindu mereka persis mencium wajah saya di Hajar Aswad ketika menunaikan ibadah haji ke Makkah dan mereka boleh berlibur lancong setelah seumur hidup mereka mensyurgai rumah kami sekeluarga di Kampung Sungai Kertas, Batu Caves. Begitu juga dengan adik-beradik yang telah saya hibahkan bahagian mereka sebagai tanda kasih untuk saguhati duniawi.
Alhamdulillah awal tahun baru 2010 ini, Allah SWT mengangkat sedikit rezeki saya dengan harga dunianya RM100,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu Ratus Ribu sahaja). Sebenarnya harga diri kita tentunya lebih daripada itu! Duit sebanyak RM100,000.00 itu tentunya tidak setimpal untuk membayar segala nikmat kita di dunia yang dipinjam-pinjamkan.
Sebagai pemegang amanah saya berharap sang singa dalam logo korporat syarikat insuran ING akan sentiasa menjadi ‘hero’ saya sama seperti watak ‘Simba’ dalam “The Lion King” dan watak ‘Aslan’ dalam “The Chronicles of Narnia” atau paling tidak watak ‘Alex’ dalam “Madagascar”.
Bak kata pepatah pepitih, "rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari", saya bagaikan bermula dengan langkah kanan apabila diundang ke Majlis Makan Malam Bersama Datuk Mukriz Tun Dr Mahathir di restoran Khadijah'S Kichen, Petaling Jaya. Tragisnya beberapa bulan dahulu, saya kempunan dengan selera yang tidak kesampaian ala cerita Melayu klasik "Batu Belah Batu Bertangkup" yang menyaksikan sang ibu merana meliur telur ikan 'Tembakul'. Begitulah perasaan saya ketika itu tatkala sampai di muka pintu restoran berpapan tanda hijau putih di dapati ia ditutup pada hari berkenaan walhal saya memandu dari Batu Caves ke Petaling Jaya semata untuk merasa air tangan Dato' Khadijah Ibrahim. Saat itu rasanya seolah pinggan terhempas ke lantai, berderai kaca yang pecah seribu begitulah hancurnya hati saya!
Ah! Saya berazam selepas itu tidak mahu lagi menurut kehendak selera tekak saya yang rencam tidak menentu ini seperti kata orang-orang tua, "ikut hati mati, ikut rasa binasa" dengan tambahan sendiri "ikut selera lara". Namun rupaya Allah SWT ada kejutan-Nya sendiri dengan selang beberapa bulan kemudian saya diundang bertandang dalam jamuan makan malam khas yang ditutup pula pada orang awam. Malah ianya percuma ditaja oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Jerlun, Kedah! Bagaikan tidak percaya begitulah ajaibnya kuasa Illahi, ia datang tanpa dapat dibayangkan. Apapun terima kasih Datuk dan mereka yang Allah SWT bisikkan hatinya mengundang saya sekali. Murah rezeki Datuk jangan lupa pelawa lagi!
Kebetulan hari itu saya berpuasa jadi sememangnya saya menikmati setiap hidangan sehingga menjilat jari tanpa bersisa! Hampir semua menu saya mencuba dari lauk pauk sehingga ke pencuci mulut semua menyenakkan perut. Adap berbuka puasa cara Nabi SAW, "makan ketika lapar, berhenti sebelum kenyang" hilang ke mana dan pahala puasa tersebut entah ada entah tidak gamaknya. Walau dengan dekorasi restoran yang tampak mewah dan kontemporari tetapi saat menyua makanan di hujung mulut, lidah cepat menangkap keaslian citarasa dalam himpunan resepi tradisi yang diwarisi Dato' Khadijah dari kutub khanah pusakanya. Siapa kata artis hanya boleh memegang mikrofon sahaja? Datuk (baca Chef) Khadijah membuktikan tangan beliau tidak kekok beraksi dengan sudit, senduk dan belanga.
Malah sebagai menghargai jemputan tersebut, untuk pertama kalinya dalam seumur hidup, saya menyumbangkan suara 'emas' semasa sesi karaoke dengan lagu klise saya - "Kau Pergi Jua" nyayian Adam Ahmad. Namun yang paling mengujakan apabila mendengar nyayian Datuk Khadijah secara 'live' untuk pertama kali dengan lagu berhantunya, "Doa Buat Kekasih". Masih tidak berubah dengan suara asal beliau ketika merakamkan lagu ini hampir 20 tahun yang lalu! Bergetar bulu roma mendengar beliau mengalunkan bait pertama,
"Andainya aku bertanya,
Padamu tentang bahagia,
Di mana nilai setia,
Di manakah puncak cinta?"
Seakan menyambut di dalam hati, malam itu seolah roh Ramli Sarip menjelma meresap dalam batang tubuh. Saya menyambung bait tersebut dalam khayal minda separuh sedar,
"Mahukah engkau mengerti,
Harapan serupa mimpi,
Ianya dapat terjadi,
Atau hilang tak berganti."
Sebenarnya lagu ini bukan saya nyayikan di mulut tetapi lebih jauh di lubuk hati. Menghayati bait-bait seni katanya sedalam mungkin membuatkan saya bertanya sendiri, "Betulkah cinta, setia dan janji boleh terjadi seperti di dalam mimpi?" Saya menampar pipi sendiri untuk kembali melihat alam realiti. Rupanya umur saya telah menginjak ke 29 tahun untuk tahun baru 2010, saya masih di sini menanti tanpa pasti. "Saya mesti berubah hari ini untuk mencari penganti!", bisik saya di dalam hati.
‘Kasih ibu membawa ke syurga,’ begitulah indahnya kata fatwa pujangga seperti juga perumpamaan ‘syurga terletak di bawah telapak kaki ibu’. Malah tidak hairanlah hadis riwayat Bukhari dan Muslim merakam jawapan Rasulullah SAW menyebut nama “ibumu, ibumu, ibumu” pengulangan berganda tiga bagi soalan yang sama iaitu siapa yang paling berhak untuk dipatuhi?
Dalam hadis Rasulullah SAW yang lain baginda bersabda “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya” dan “Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua”. Begitu juga dalam Surah al-Baqarah ayat ke 83, Surah an-Nisak ayat ke 36 dan Surah al-Israk ayat ke 23 di mana Allah mengkehendaki hambanya mengesakan-Nya dan kemudian berbuat kebaktian kepada kedua orang tuanya. Justeru keberkatan ibu bapa saling tidak tumpah semulia syafaat nabi dan keredhaan Illahi.
Walaupun Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun, namun buku “Dahsyatnya Doa Ibu” tidaklah terlalu awal untuk diulas tatkala membaca tajuk muka depan akhbar kompak nombor satu – Metro, “Aksi Jijik Si Derhaka” pada 21 Disember 2009 yang melaporkan tentang kisah benar anak derhaka yang tergamak membuang ibu mereka ke rumah orang tua tetapi sanggup pula muncul di hari pengebumian ibunya semata untuk berebut harta pusaka!
Namun ini tidaklah bermakna buku ini disyorkan untuk anak-anak ala Si Tanggang. Sebenarnya buku ini sesuai untuk sesiapa juga yang merasakan mereka ‘beribu’ atau berhasrat menjadi ‘anak soleh’. Dalam kesibukkan mengejar dunia kadangkala tanpa sengaja kita meletakan prioriti lain dalam kehidupan, ibu entah tempat tercorot ke berapa dalam senarai terbawah? Buku ini mampu meletakkan semula kedudukan ibu di tempat yang selayaknya.
Ia menyingkap rahsia keberkatan doa ibu yang terus diangkat ke langit yang ke tujuh sampai ke arasy tuhan. Pembuktian dahsyatnya doa ibu seperti dalam kisah kelahiran Maryam ibu Nabi Isa AS di mana ibunya Hanah yang kepingin mengandung tatkala melihat kejadian seekor burung memberi makan kepada anaknya menggunakan paruhnya lantas berdoa “Ya Allah, kurniakanlah seorang anak kepadaku”. Tanyalah ibu anda pastinya kelahiran anda satu masa dahulu satu anugerah terindah mereka suami isteri.
Begitu juga dalam kisah fitnah Saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW berzina dengan Safwan yang menyebabkan baginda berdukacita keliru dalam diam diri. Doa dalam tangis ibu Saidatina Aisyah, Ummu Rumman “Ya Allah mudahkanlah cubaan ini ke atas puteriku. Engkau lepaskanlah tuduhan yang ditujukan kepadanya” disambut oleh Allah SWT melalui wahyunya dalam Surah an-Nur yang membebaskan Aisyah dari fitnah yang keji. Malah di akhir hayat ibu mertuanya, Baginda menyamakannya dengan wanita dari syurga.
Kisah lelaki panjang umur dan awet muda pula yang hidup 1,500 tahun di dalam kubah di dasar lautan yang dibina dari mutiara putih dengan empat pintunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batuan hijau berkatnya menjaga ayah yang lumpuh dan ibu yang buta selama tujuh tahun sehingga ke akhir hayat mereka. Nabi Sulaiman yang kagum melihat keajaiban Allah SWT memakhbulkan doa ibu pemuda tersebut “Ya Allah panjangkan umur anakku... Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat menganggunya”.
Nah! Tanpa hijab doa ibu terus berkomunikasi dengan tuhan bukan? Bukanlah susah untuk berbakti kepada orang tua sehingga sekadar memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang, Allah SWT memberikan ganjaran seperti beribadah haji mabrur kata Rasulullah SAW.
Kisah balasan menderhaka kepada ibu bapa dalam rakaman sejarah silam dapat dilihat dari kisah Alqamah yang tidak boleh mengucap dua kalimah syahadat, Juraij seorang rahib yang difitnah berzina, Malim Kundang yang disumpah menjadi batu, lelaki berkepala keldai keluar dari kubur dan mendengking, ahli perniagaan yang terpotong tangan, ulama kudung kedua-dua kaki dan tangan serta matanya dicungkil dan beberapa kisah benar dunia moden iaitu cerita Rosli mati berdiri dengan satu kaki, Salmah susah melahirkan anak, Saiful lumpuh, Shima meninggal dunia dilangkahi ibunya dan Budin meninggal dunia dengan perut keras membatu. Tiba-tiba bulu roma meremang terasa sayu dan kasihan membaca kesudahan hidup penderhaka ibu bapa namun dihujung cerita itulah ‘hukum karma’nya – padan muka!
Malah ketika membaca kisah tauladan para nabi yang memuliakan ibu bapa lewat pujian tuhan dalam Surah Maryam terhadap Nabi Yahya dan Nabi Isa yang berbakti kepada orang tuanya dan Surah Yusuf terhadap Nabi Yusuf yang menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Kata-kata Nabi Ismail sebagai pematuhan perintah Allah SWT kepada ayahnya Nabi Ibrahim, “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu kelak mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar” benar-benar meruntun hati bagaimana kisah ketaatan seorang anak. Terdetik di dalam hati jika kita mengambil tempat Nabi Ismail adakah kita terus bongkok berdiri atau telah memula seribu langkah mencabut lari?
Jadi ada baiknya buku ini menjadi koleksi bacaan wajib anak-anak anda. Jika anak anda masih berkelakuan melencong dari panduan buku tersebut, minta mereka membaca buku tersebut sekali lagi!
Apabila menyebut hukuman sebat dengan rotan secara reflek mengundang trauma terutama ketika melihat rakaman video yang tidak sampai hati untuk dihabiskan apatahlagi mendengar cerita khalayak yang menyaksikan dengan mata kepala sendiri sudah cukup mengerikan. Masakan tidak, kesan pendarahan dan kecederaan tersebut akan meninggalkan parut luka kepada pesalah yang hanya akan hilang selepas tempoh 2 tahun lamanya. Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan.
Bagi yang masih belum mengenali hukuman sebatan secara syariah menurut tuntutan syarak, amat mengerunkan apabila dikaitkan pelaksanaannya dengan tragedi hitam seorang remaja wanita di Lembah Swat, Pakistan yang disebat oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali pada awal bulan April 2008 hanya kerana menemui seorang lelaki yang bukan muhrimnya. Secara tidak sengaja kadangkala terdetik rasa tidak adil yang boleh menjadikan kita kufur apabila kita menyanggah ketetapan tuhan dengan logik akal dan emosi belas kasihan yang tidak bertempat.
Sebenarnya rasa trauma itu tidak lebih daripada polemik ketidakfahaman tentang pelaksanaan undang-undang berkaitan sebat yang dilaksanakan mengikut undang-undang Islam. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hukuman sebat syariah ini seringkali dipukulratakan dengan hukumanan sebat sivil sedangkan dari segi konsep dan pelaksanaan keduanya adalah berbeza.
Hukuman sebat di Mahkamah Sivil yang terpakai dalam Kanun Prosedur Jenayah 1998 sebenarnya bukanlah berakar umbi dari sejarah Islam. Sebaliknya ia diperkenalkan oleh British seawal pembentukan Negeri-Negeri Selat. Mahkamah Syariah telah dipinggirkan dengan merendahkan kedudukannya menjadi mahkamah terbawah di dalam hierarki sistem keadilan semasa pentadbiran British memperkenalkan Courts Ordinance dalam tahun 1948.
Di Malaysia, selepas pindaan Akta A612, Akta Perlimen 1965 Mahkamah Syariah (bidangkuasa jenayah) dan digazetkan kuatkuasanya pada 1 Januari 1986 barulah Mahkamah Syariah mendapat pemerkasaan semula dengan bidang kuasa sehingga boleh memenjarakan 3 tahun, dendan RM5000 dan 6 sebatan rotan bagi pesalah syariah.
Namun jika dilihat dari segi pelaksanaan di Malaysia, sehingga ke saat ini hukuman sebat syariah masih belum pernah dilaksanakan di mana-mana negeri melainkan negeri Kelantan. Manakala bagi hukuman sebat yang telah dijatuhkan di negeri Pahang, Perak dan Johor masih belum dilaksanakan kerana masih dalam proses rayuan. Justeru tidak ada sebab untuk sesiapa melatah tentang kesan dan akibat buruknya selagi belum terbukti secara testimoninya oleh bakal-bakal bekas pesalah rotan itu nanti.
Seperti kata pepatah ‘sudah terantuk baru tergadah’, apabila berlaku kes kanak-kanak bawah umur dirogol sehingga mati barulah masyarakat yang diwakili oleh 79 peratus daripada 1,978 orang responden mengartikulasikan sokongan hukuman sebat di khalayak ramai dalam satu kaji selidik oleh sebuah media pada tahun 2004. Lebih dashyat lagi, beberapa pertubuhan berasaskan wanita mengesyorkan pemangsa rakus berhati binatang ini dihukum kasi - sesuatu yang kelihatan kurang rasional dan bermotif membalas dendam.
Hukum sebat telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasullulah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Bagi kesalahan takzir sebagaimana hadis Rasullulah yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, “Janganlah disebat lebih sepuluh kali sebatan kecuali dalam kes had daripada had-had Allah”. Ianya jauh lebih adil berbanding pesalah sivil yang boleh dirotan sehingga 24 sebatan bagi lelaki dewasa.
Namun amat malang, kemuncak ketidakyakinan orang Islam terhadap hukuman rotan syariah dapat dilihat dari tindakan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.
Walaupun pengharaman arak di dalam Islam sudah ‘terang lagi bersuluh’ di dalam surah Al-Maaidah ayat 90 dan ditambah dengan sabda Rasullulah yang menyamakan peminum arak sebagai penyembah berhala dan solatnya tidak diterima selama 40 hari. Malah Rasullulah pernah menghukum peminum arak dengan 40 kali sebatan sama ada peminum itu mabuk atau pun tidak.
Akhbar Izvestia di Rusia pernah melaporkan pada tahun 2005, penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky mendakwa hukuman rotan ke atas pungung tanpa berlapik adalah penawar untuk setiap penyakit daripada tekanan perasaan dan ketagihan meminum arak. “Ia tidak kejam sekurang-kurangnya itu adalah anggapan masyarakat lalu, tetapi saya menyokong hukuman itu,” jelasnya menyokong hukuman yang pernah dikuatkusakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya sambil mengesyorkan sesi terapi sebanyak 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.
Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova yang kini mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit dengan harga RM342 bagi sesuatu rawatan biasa. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia yang terdiri daripada 50 orang pelaku sebat yang diberi kuatkuasa.
Jika disorot secara teliti, pendekatan Islam terhadap hukuman rotan adalah lebih baik berbanding dengan kaedah alatan dan cara sebatan rotan dalam kes-kes sivil. Riwayat oleh Malik dari Zaid bin Aslam membuktikan bagaimana Rasullulah menolak tongkat rotan yang pecah-pecah dan tongkat rotan dari dahan kayu yang baru dipotong sebaliknya baginda menerima tongkat rotan yang sederhana dan tidak keras bagi menyebat seorang lelaki yang mengaku berzina. Kitab al-Fiqhu 'alal Mazahib al- Arbaáh pula menambah perlunya rotan tersebut tidak berada dalam keadaan basah supaya ianya tidak melukakan.
Malah amalan Saidina Umar bin al-Khattab, Saidina Ali bin Abu Talib dan Ibn Mas’ud kepada penyebat-penyebat tidak membenarkan mereka menggangkat tangan sehingga menampakan ketiak atau melebihi kepalanya yang jika dimisalankan umpama mengepit buku di ketiak tanpa terjatuh apabila tangan diangkat untuk menghayunkan rotan.
Di dalam peruntukan syariah Malaysia, disyaratkan alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter. Ketika mengenakan satu sebatan, pelaku sebat hendaklah mengangkat alat sebatan itu ke atas dan tidak menariknya.
Dengan niat untuk mendidik pesalah dan bukan menyiksanya, hukuman rotan syariah lebih berperikemanusiaan dengan tidak membenarkan kesan rotan tersebut mendarahkan kulit pesalah. Ianya tidak boleh dijalankan secara terus menerus pada satu anggota badan sahaja sebaliknya hendaklah berpindah sebatan itu dari satu anggota ke satu anggota yang lain dengan pengecualian pada muka, kepala, dada, perut dan bahagian-bahagian sulit. Pelaksanaannya pula bukan sahaja mengambil kira keadaan kesihatan pesalah tetapi juga persekitarannya yang sesuai iaitu tidak di dalam keadaan cuaca yang sangat panas atau sejuk. Dalam kitab Al-Ahkam al-Fiqhiyah disebut pesalah lelaki tidak perlu menanggalkan pakaian semasa berdiri untuk dijatuhkan hukum kecuali bagi pakaian tebal semasa musim sejuk.
Bagi pesalah wanita, mereka hendaklah disebat dalam keadaan duduk, penanguhan diberikan kepada yang kedatangan nifas dan mengandung. Di sini dapat dilihat keadilan Islam terhadap jantina berbanding undang-undang sivil melalui Kod Prosedur Kriminal yang memberikan pengecualian hukuman sebat sivil terhadap wanita memandangkan kecederaannya yang amat ketara. Di bawah perundangan Islam, persamaan hak dan diskiminasi jantina sebagaimana yang diperjuangkan oleh pertubuhan wanita diletakan pada landasan yang betul dengan sesiapa yang terbukti bersalah untuk dihukum rotan tanpa mengira jantina tetapi menggunakan pendekatan yang mesra kondisi fizikal jantina itu sendiri.
Syarat penyaksian di dalam Surah Al-Nur ayat 2, “dan hendaklah pelaksana hukuman mereka disaksikan dari sekumpulan orang-orang yang beriman”, menurut pendapat Iman Syafie dan Imam Malik mesti terdiri sekurang-kurangnya 4 orang daripada kalangan orang-orang yang beriman. Maka isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa yang dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.
Dan kini, bagi mereka yang anti kepada undang-undang syariah dengan berselindung di sebalik prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan, mereka perlu mencari alasan lain kerana kenyataan Y.A. Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.
Saya telah diminta oleh seorang pelajar tahun akhir di Universiti Malaya untuk memberikan komentar terhadap resume beliau sebagai tugasan dalam salah satu subjek pengajiannya. Berikut saya muat naik beberapa komen saya sebagai penilai terhadap resume tersebut dengan berpandukan sedikit pengalaman sebagai seorang pengamal sumber manusia.
Gambar Gambar ukuran pasport sangat penting untuk sesebuah resume. Walaupun ada orang bertanya ada apa pada rupa? Tetapi kebiasaan wajah seseorang dapat memberikan gambaran tentang dirinya. Ia tentunya kelihatan tidak adil tetapi saya juga tidak mahu menjadi hipokrit dengan menafikan amalan yang dilakukan oleh kebanyakan penilai tanpa sedar. Hasil kajian mendapati bahawa individu yang memiliki wajah yang tampan dan jelita menjadi calon lebih popular dan mempunyai nasib yang lebih baik sedikit berbanding pesaingnya yang tidak mempunyai kelebihan rupa paras. Malah kajian pakar psikologi mendapati rupa paras mempengaruhi estim seseorang. Apa yang perlu anda ambil positif bukanlah dengan mengadakan pembedahan plastik atau bergambar persis model peragawan sebaliknya bergambarlah secara semulajadi dan pastikan hasil kerja, akhlak dan perbuatan anda setanding atau lebih cantik dari wajah anda!
Alamat E-mel Alamat mel elektronik adalah sangat penting kerana ia dapat memberikan gambaran tahap profesionalisme dan kematangan pemiliknya. Sebaik-baiknya gunakan nama sebenar saudari sebagai alamat emel. Jika nama saudari Nurul Aida, gunakan "nurulaida" atau “nurulaida88” sebagai nama emel saudari. Ia menampakkan saudari seorang yang berkeyakinan tinggi dengan karektor dan nama sendiri. Cuba saudari bayangkan apabila seorang pengurus menerima emel daripada pemohon yang menggunakan nama e-mel sweet_lollipop@xyz.com dan slight_pleasure@abc.com? Jika penerima tersebut seorang wanita tentunya dia akan membuang resume ini tanpa membacanya kerana bunyinya sahaja sudah memualkan dan jika penerimanya seorang lelaki yang tidak professional tentunya pemohon terdedah kepada diskriminasi seksual.
Penghormatan Tahniah anda adalah penerima biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam! Tetapi persoalannya adakah ini sesuatu yang boleh dibanggakan dan membantu permohonan saudari? Ya, jika saudari menghantar resume ini ke Suruhanjaya Perkhidmatan Awam atau organisasi kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan. Tetapi saudari perlu memikirkan sekali lagi apabila saudari mahu menghantar resume ini ke syarikat swasta. Prejudis biasiswa sebagai ‘subsidi’ dan budaya kerja perkhidmatan awam yang tidak memuaskan akan sentiasa menghantui penerimanya. Malah ianya sukar memancing simpati penilai kerana beranggapan pemohon lebih sesuai kerja sebagai penjawat awam atau biasiswa menyebabkan pemohon tiada tanggungan yang mendesak seperti peminjam Pinjaman Tabung Tinggi Pendidikan Nasional (PTPTN) yang kelihatan lebih memerlukan kerja.
Kemahiran & Keupayaan Kemahiran penggunaan kelengkapan pejabat seperti mesin fotokopi dan mesin faksimili agak jenaka untuk dimuatkan. Jika saudari rasa ada keperluan, lebih baik saudari sertakan sekali nama modelnya! Jika model tersebut agak ketinggalan zaman atau bukan model terbaru dalam kelasnya lebih baik saudari abaikan. Penggunaan alatan pejabat sebenarnya adalah banyak dan berbeza bagi setiap syarikat. Ianya tidak menjadi masalah untuk sesiapa belajar menggunakannya kerana ia bukan kelengkapan pakar yang perlu dihantar latihan simulasi sebelum penggunaan. Jika ini menjadi kreteria maka pemohon berpengalaman terpaksa menebalkan resume mereka dengan kemahiran penggunaan mesin perakam waktu, video litar tertutup, mesin pemusnah dokumen, mesin bainding dan pelbagai alatan mesin pejabat yang signifikan.
Sasaran Gaji Adalah salah meletakkan gaji permintaan di sebelah bawah seolah ia bukan prioriti anda! Lebih teruk lagi anda letakkan di bawah tajuk lain-lain?! Sasaran gaji adalah berupa satu target permintaan anda jadi logikkah penggunaan kata ‘dan ke atas’? Anda sepatutnya meletakkan satu kadar atau dua kadar di antara keduanya seperti ‘RM2,000 – RM2,500’. Dalam sesuatu hubungan industri, gaji adalah satu timbal balas yang setara sebagai balasan untuk satu proses kerja yang menggabungkan jalinan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman pemberi khidmat. Dalam kaedah penawaran dan permintaan sumber manusia ini, adakah faktor gaji perlu dipinggirkan atau diberikan sudut terpencil sedangkan ianya menjadi antara faktor motivasi terbesar dalam pembangunan kerjaya?
Biodata Bioadata juga adalah faktor terpenting dan sewajarnya diletakkan dibahagian hadapan sekali. Ini kerana pemohon sebenarnya umpama mahu menjual diri mereka kepada majikan yang bertindak sebagai pembeli. Dengan meletakan kelayakkan akademik di bahagian atas sekali, saudari sebenarnya tidak menjual diri saudari, sebaliknya saudari menjual kursus yang ditawarkan oleh universiti tempat saudari belajar. Walaupun ianya satu strategi pemasaran percuma untuk universiti saudari tetapi sebenarnya saudari gagal untuk memanfaatkan kesan pandangan pertama pembaca terhadap tarikan faktor peribadi atau personaliti saudari sendiri. Menurut kajian, pembacaan pertama dalam muka surat pertama lebih berjaya meninggalkan kesan emosi dan psikologi kepada pembacanya. Sebab itu jika saudari berada dalam industri pengiklanan dan penerbitan, saudari akan mendapati ruang iklan di bahagian hadapan sekali mempunyai harga yang beberapa kali ganda dari bahagian dalaman. Ruang biodata saudari pula dilihat terlalu ringkas dengan hanya menyertakan tarikh lahir, kewarganegaraan dan nombor kad pengenalan. Ianya seolah saudari mahu meyakinkan penilai bahawa saudari adalah layak diambil bekerja hanya kerana faktor peribadi yang saudari adalah seorang warganegara Malaysia dengan sokongan tarikh lahir di Malaysia dan juga kad pengenalan bermutu tinggi (Mykad) yang sah keluaran Jabatan Pendaftaran Negara. Sepatutnya alamat emel, nombor telefon dan alamat rumah boleh diletakkan sekali dalam bahagian ini. Malah adalah perlu untuk menyertakan sekali status, umur, bangsa dan agama.
Format Format resume sebenarnya adalah bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana format yang khusus. Namun bagi pekerja profesional adalah perlu untuk resume menampakkan sikap profesional. Format resume saudari didapati terlalu asas atau dalam bahasa pasar terlalu ‘koman’ atau ‘tangkap boleh’ atau ‘asal muat’. Di sini penilai boleh melihat bahawa pemberi resume ini adalah seorang yang simple, mudah, tidak formal, tidak protokol, hubungan personel juga tidak menarik dan tidak kreatif. Ini dapat dilihat dari sudut kemasan yang dipermudah seperti jarak perenggan yang terlalu melangkau dan susun atur huruf serta bingkai resume yang terlalu ringkas.
Sebolehnya saya tidak mahu mengenang pengalaman lalu yang pahit apatahlagi peristiwa semasa zaman kanak-kanak yang telah dua dekad ditinggalkan. Saya mahu membuangnya jauh seolah-olah saya tidak pernah menjamahnya. Saya tidak mahu semungkin boleh untuk pancaindera saya bertindak balas pada rasa pahit yang merenyuk wajah. Sebagai orang muda saya hanya mahu mengingati pengalaman hidup yang manis-manis belaka seperti kegilaan saya pada coklat Tora dan Dindang semasa kecil!
Begitulah cara saya melupakan masa lalu yang tidak enak untuk dihadam semula setelah dimuntahkan. Namun tatkala membaca berita adik Nur Izzati Azahar dari Sekolah Convert Tarcision yang mendapat 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tetapi gagal mendapatkan slip peperiksaannya hanya kerana ibu bapanya seorang pekerja kilang dan pemandu lori masih berhutang yuran sekolah sebanyak RM57 cuma, ia memaksa saya menelan semula rasa pahit yang telah lama tidak bersisa.
"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," kata adik Nur Izzati dalam sebak tangis penuh motivasi benar-benar menyentak dan merobek hati kecil saya. Tiba-tiba pengalaman pahit yang telah saya lupakan rasa hempedunya datang meloyakan tekak.
Saya masih teringat betapa riangnya saya di hari graduasi Tadika Kemas Kampung Sungai Kertas pada penghujung tahun 1987. Waktu itu saya sedar yang saya tidak dibekalkan dengan jubah dan topi empat segi (mortar board) dari kain satin berwarna merah dan hitam seperti rakan sebaya yang lain. Sungguh! Saya redha untuk menaiki pentas graduasi dan mengambil sijil tadika tanpa pakaian rasmi serba indah dalam persalinan seragam serba merah hitam.
Saya insaf bahawa itu adalah hukuman terbaik untuk ‘kesalahan’ mak dan abah yang tidak membayar tungakkan yuran tadika selama tiga bulan namun saya juga tidak sampai hati menyalahkan mereka yang memilih untuk membeli sepot beras yang panas nasinya tidak boleh pula selera perut kami adik-beradik tangguhkan. Waktu itu, saya hanya tahu mengeja ‘hutang’ tanpa memahami maksud dan kesan akibat daripadanya. Yang saya tahu ialah majlis graduasi tadika adalah untuk meraikan tamat persekolahan tadika sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu di sekolah rendah – noktah! Dengan itu, saya tanpa rasa bersalah berseorangan ke majlis graduasi tanpa mak dan abah.
Namun tatkala melihat rakan sebaya lain beratur mengikut susunan abjad nama mereka, guru yang mengajar saya mengenal huruf dan angka rupanya mencicirkan nama saya tanpa nombor dari menyertai barisan yang menunggu giliran untuk naik ke atas pentas Dewan Orang Ramai yang dipinjamkan khas itu. Saat itu, saya dapat merasakan kecilnya jiwa dalam tubuh kerdil saya mungkin rasa yang sama dirasa adik Nur Izzati tempoh hari.
Bezanya sebagai seorang budak lelaki, saya dibesarkan untuk ‘kuat semangat’ dan melihat rakan sebaya bergraduasi dari tingkap kaca di sudut belakang luar dewan, sempat saya tersenyum sendiri membayangkan indahnya jikalau saya ditauliahkan sijil di atas pentas oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Tadika Kemas, sosok tokoh yang paling besar dalam hidup ketika itu. Tetapi hakikatnya, jauh terasing dari keriuhan di dalam dewan, hati saya mengesak tangis dan saya berlari pulang tanpa sebarang kata-kata – diam kadang kala umpama kesepian yang mendamaikan!
Hari ini saya meluahkan kisah hitam saya 22 tahun yang lalu bukan kepada mak dan abah yang tahu tetapi tidak pernah memberitahu mengenai lewat lembaran surat-surat peringatan yang dikirim tanpa belas ihsan sedangkan rumah Pengerusi Tadika Kemas hanya selang sebuah rumah daripada rumah kayu beratap zink tempat kami berteduh di atas tanah setinggan milik kerajaan untuk dia mengambil tahu jika mahu.
Sebab itu, sehingaa saat ini saya masih fobia dengan nama Cikgu Bainun, guru tadika saya yang tidak pernah berbuat apa-apa untuk menyelamatkan hak seorang murid tadika seperti saya untuk hanya naik ke atas pentas dan mendapat sijil tadika seperti rakan sebaya yang lain. Kesannya saya rasai semasa hari raya zaman kanak-kanak lagi, sayalah satu-satunya murid yang tidak ghairah untuk berlari ke rumah guru pertama saya itu.
Apabila membaca perumpamaan cikgu seperti ‘sebatang lilin yang membakar diri’, saya rasa ironis kerana tanggapan pertama saya kepadanya seperti ‘sebatang lampu kalimantang yang menyala apabila dipetik dengan bil elektriknya dibayar’! Malah saya menangis setiap kali membaca kata-kata Saidina Ali bahawa “aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarku walau satu huruf” kerana sesungguhnya “aku tidak bersedia untuk menjadi hamba kepada orang yang mengajarku berjiwa hamba” – maafkan saya Cikgu!
Selepas setengah tahun menakhoda kerajaan dan menentukan layar tuju negara selepas tsunami politik yang nyaris menenggelamkan bahtera UMNO dan BN, pelancaran buku “Menakhoda Zaman - Helming The Time” bagaikan kena pada masanya sebagai satu dokumen penting merakam legasi perjuangan Najib lebih 33 tahun yang lalu. Pemilihan tajuk buku ini adalah berdasarkan kepada tajuk ucapan yang sama bagi perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Perhimpunan Agung UMNO ke 59 pada 29 Mac 2009 dan merupakan ucapan terakhir beliau atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malah pemilihan kata ‘menakhoda’ seolah proses imbas kembali mengingati peranan BN yang dahulunya dikenali melalui simbol kapal layar sebelum bertukar kepada simbol dacing.
Buku yang mengandungi 11 bab ini adalah pecahan daripada lima buah ucapan beliau sepanjang separuh dekad sebagai orang nombor dua dalam parti terbesar yang mewakili orang Melayu itu iaitu “Menakhoda Zaman” (2009), “Mengangkasa Tamadun Bangsa” (2007), “Memacu Minda Melayu” (2006), “Menjana Melayu Glokal” (2005) dan “Kesinambungan dan Perubahan” (2004). Jika anda mengharapkan menjumpai tema terbaru Perdana Menteri ke-enam itu, “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, maka anda perlu menunggu ia mungkin keluaran buku beliau yang akan datang. Tema pokok inti pati ucapan beliau ini dikekalkan dengan pengolahan semula bagi penyesuaian bentuk teks penerbitan yang lebih mesra khalayak pembaca.
Namun jika Prof Wan Hashim Wan Teh menyifatkan “Menakhoda Zaman” setaraf buku Tun Dr Mahathir Mohamad, “The Malay Dilemma”, sisi lain perlu dilihat ialah ketika mana “The Malay Dilemma” menyalahkan satu pihak lain di dalam parti, buku “Menakhoda Zaman” menunjukkan sifat rendah diri dan berjiwa besar dengan merakam pengakuan berani mati sebagai satu proses muhasabah yang jujur dan berterus terang. Di sisi ini, penulisnya dilihat sebagai mewakili campuran ciri-ciri mantan PM terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad dalam analisisnya terhadap dua krisis kepimpinan parti yang ditolak pada zaman dua zaman yang berbeza. Malah penerbitan buku ini dengan pendahuluan dalam bahasa Melayu menunjukan hakikat ia disasarkan kepada semua ahli parti itu secara inklusif sehingga 3,000 naskah diedar secara percuma kepada perwakilan Persidang Agung UMNO Ke-60.
Pendapat Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron bahawa buku ini adalah mencontohi buku “The Audacity of Hope” tulisan Barrack Obama masih boleh diterima walau perbezaannya masih ketara. Obama yang berjaya mengubah warna ‘white house’ sejak 232 tahun dengan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dari sudut konseptual ideanya mempunyai persamaan dengan tesis “Menakhoda Zaman” tetapi dari sudut penulisan ternyata masih jauh berbeza apabila tulisan Dato’ Seri Najib nyata lebih formal dengan kerangka rencana berat sedangkan tulisan Obama secara santai dan bersahaja. Malah perbezaan itu nampak ketara apabila buku Dato’ Seri Najib diilhamkan semasa beliau menjadi PM-in-Waiting sedangkan Obama masih bergelut untuk mencari sokongan yang asalnya mustahil baginya yang mewakili golongan minoriti kulit hitam di negara kuasa dunia itu.
Lebih kritis lagi, buku ini mengemukakan satu analisis bedah siasat kelemahan-kelemahan UMNO dan kemudian secara bertanggungjawab menampilkan pendekatan proaktif bagaimana UMNO perlu berubah menghadapi cabaran besar bagi kembali ke arus perdana lautan politik sebagai teras kepada perpaduan bangsa Malaysia. Tanpa melupakan sejarah masa silam orang Melayu dan kejayaan UMNO melakukan tranformasi sosial dalam sistem masyarakat tersebut, beliau masih sempat memberikan peringatan agar UMNO sentiasa merakyatkan perjuangannya supaya tidak ditolak rakyat sebagaimana terjadi kepada kebanyakkan parti politik pengasas kepimpinan negara di dunia yang tersungkur daripada kerusi pemerintahan. Maka padanlah buku ini dilancarkan beberapa hari sebelum pindaan perlembagaan UMNO bagi memastikan parti tertua itu kekal relevan dalam arus politik kebangsaan.
Jika Datuk Siti Nurhaliza sanggup berbaris beratur panjang untuk menjadi antara 100 orang pembeli buku pertama semasa pelancaran semata-mata untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib, mengapa tidak anda kerana buku yang diterbitkan 10,000 naskah ini membolehkan anda memahami kerangka pemikiran, wawasan dan mengenali sosok perjuangan penulisnya yang bernama Dato’ Seri Najib.
Ibadah haji secara teorikalnya telah dipelajari semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Bagi yang bakal menunaikan haji, kursus haji bersiri tentunya memberikan panduan dalam lapangan praktikaliti. Bagi yang masih belum berkemampuan menunaikan ibadah ke lima dalam Rukun Islam, suasana haji hanya dapat dirasa apabila menghantar jemaah haji ke tanah suci dan mendengar lambaian salam dari tanah suci di kaca televisyen atau corong radio.
Buku dengan penulisan ala novel, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang mengisahkan catatan pengalaman peribadi Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim bersama isteri dan dua adik beradik perempuannya memberikan dimensi lain yang lebih dinamik dan hidup kepada pembaca dalam memahami ibadah haji. Malah pembaca seakan diajak bersama untuk larut khusyuk bersama penulis dalam pengembaraan kerohanian menyahut seruan haji di Makkah al-Mukaramah.
Membaca petikan Surah Ali Imran, ayat 97 dalam sinopsis buku ini sahaja sudah cukup mengetarkan jiwa bagi diri yang ego bahawa ibadah haji masih jauh lagi untuk ditempuh, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah maha kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk.”
Coretan santai dan bersahaja penulisnya mengenai kisah ubat sakit tekak, kisah rokok, kisah golf, kisah beli-belah, kisah jubah mahal, kisah nampak dan tidak nampak kaabah, kisah malaikat dan wali Allah SWT, kisah isterinya kedatangan haid, kisah orang tidak menjaga kebersihan, kisah orang suka berebut, kisah mendapatkan saf berhampiran dengan imam dan kisah mencium hajar al-aswad seakan memberikan gambaran sebenar yang hidup untuk diimaginasikan oleh pembaca.
Sesekali pengalaman penulis yang menyentuh perasaan membuatkan air mata bergenang dan bulu roma meremang. Sungguh, buku ini punyai rohnya yang tersendiri! Pastikan sebelum membaca buku ini anda dibekalkan dengan tisu jika tidak mahu helaian-helaian muka suratnya kembang dek tumpahan air mata yang bercucuran! Penyampaian dari lubuk hati yang paling dalam berjaya meruntun jiwa dan menggugah emosi pembaca walau subjek meternya sudah banyak ditulis oleh penulis lain.
Buku ini bukan semata-mata catatan pengembaraan ketika menunaikan fardu haji yang merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman, tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui batas masa dan sempadan geografi.
Membaca buku ini sebenarnya seperti membaca sisi dalaman penulisnya, walau bergelar profesor perakaunan dan Pengarah Kampus Cawangan di UiTM, penulis dengan rendah diri dan jujur hati menukilkan pengalaman mula belajar mengaji al-Quran dan terjemahannya, bersembahyang solat taubat, tahajud dan dhuha, berpuasa sunat dan berkomunikasi intim dengan tuhan melalui doa yang tersendiri. Walau mengakui beliau seorang yang jahil namun cekal berazam untuk menjadi tetamu Allah SWT paling istimewa di tanah suci. Hasilnya antara anugerah terbaik sepanjang 44 hari berada di tanah suci ialah apabila penulis berjaya mengkhatamkan al-Quran di Masjidil Haram walau asalnya beliau seorang yang buta al-Quran.
Penulis turut mencoret cabaran setelah bergelar ‘haji’ dengan kemuncak perubahan utama ialah beliau dan anak-anak mengimarahkan surau di kondominium tempat mereka tinggal dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang sebelumnya diamalkan semasa di tanah suci. Malah penulisan beliau jika dibaca oleh bekas ‘haji’ dan ‘hajah’ akan memuhasabahi mereka dengan persoalan adakah ibadah haji yang pernah dilalui menjadikan mereka orang yang lebih baik atau orang yang sama seperti sebelumnya atau lebih malang lagi menjadi orang yang semakin teruk? Bagi yang bakal ‘haji’ dan ‘hajah’ pula anda boleh mengkoreksi diri tentang apa yang dikehendaki dari ibadah haji sebaik khatam buku ini.
Walau bukan mengaji di sekolah pondok dan memegang ijazah syariah di universiti Asia Barat, penulis berjaya menampilkan dirinya sebagai golongan profesional-ustaz (protaz) melalui dakwah penulisan yang mengesankan. Bagaikan tidak percaya penulis travelog yang santai ini juga adalah penulis buku-buku ilmiah seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia.
Buku yang tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009 dan telah diulang cetak sebanyak sembilan kali ini boleh menjadi inspirasi untuk anda mula membuka akaun di Tabung Haji atau mendaftar diri sebagai jemaah haji pada musim yang akan datang. Malah Travelog Haji ini boleh menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mereka yang belum menunaikan ibadah haji dan penanda aras kepada mereka yang telah menjejakkan kaki ke sana. Seperti kata penulisnya, setelah menunaikan fardhu haji, bukan bermakna berakhir pengabdian kita kepada Allah SWT tetapi bermulanya satu era baru yang lebih mencabar untuk mengekalkan tahap amal ibadah yang telah dilakukan semasa di Makkah.
Semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai tidak banyak tempat yang saya lawati dan singgahi. Rasanya kebanyakan graduan UTM mempunyai pengalaman selama empat tahun dengan 'lawatan sambil belajar' baik sedekat Pantai Lido di Johor Bahru hingga ke pesisir Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman dan Pantai Penyabong di Mersing. Sesiapa yang belajar di sana tanpa mengunjungi salah satu pantai tersebut, ada baiknya anda sekadar mengaku menuntut di Kampus UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur jika tidak mahu dikatakan 'buta alam'.
Semuanya bermula apabila mengenali junior bernama Fauziah Abdullah aka Ogy yang mengajak saya ke sini di terataknya di Endau, Mersing dan mengajar saya erti kehidupan kampung tradisi. Saya telah beberapa kali pergi ke sini ber-chalet-kan rumah Ogy sebagai asrama kedua di universiti bersama Ijan, Dino, Elly, Suhaila, Ana, Yaya, Faizah, Idris dan Palong malah beberapa kali saya pergi sendiri. Keluarga Ogy juga sudah menjadi seperti keluarga sendiri, kami pergi memancing sekali, berkelah dengan kudapan di sisi dan berkaraoke tanpa henti. Kereta Kancil WKJ 3*5* banyak menjadi saksi transaksi kenangan ini. Dahulu dari Skudai jauhnya sekadar 170km iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan. Kini dari Kuala Lumpur, saya terpaksa menempuh perjalanan selama 5 jam iaitu sejauh 390km.
Walau sebenarnya Pantai Teluk Kemang di Port Dickson adalah pantai pertama saya pijakkan kaki seawal tahun 1996 dalam satu rombongan kampung namun tiada tarikan untuk saya jejaki kembali. Ia sekadar zaman datang dan pergi yang tidak langsung membekas di lubuk sanubari. Zaman remaja dengan gelak ketawa tak kering gusi semuanya bagai hilang dalam memori. Bezanya cuma laut tak berdinding seluas mata memandang sedang dinding konkrit bilik air sesempit sedepa kepakan tangan dan air laut yang masin berbanding air paip yang tawar dengan klorin.
Namun semuanya lain di sini. Pantai Pasir Lanun jika dahulu kala menjadi sarang persembunyian lanun kini saya bagaikan penemu harta karunnya yang jauh tersembunyi. Ombaknya bukan sekadar menderu mencuit jari, pasirnya bukan sekadar hamparan lembut permaidani, terumbunya bukan sekadar berduri mencucuk kaki, nyiurnya bukan sekadar melambaikan rentak tari, batunya bukan sekadar tersergam unik mengarcai dan camarnya bukan sekadar melayang membelah langit tinggi. Segalanya lebih dari itu di sini.
Setelah lima tahun meninggalkan jejak kenangan di sini, sedari Mohd Azlan dan Mohd Azwan serendah peha saya kini setinggi pusat saya, dari mereka tinggal di teratak kayu hingga ke rumah batu, dari arwah 'busu'nya adik Aisyah yang girang sehingga dia pergi tanpa pesan dan dari 'Mak Dara'nya si Ogy bujang sehingga hilang daranya kerana telah berumah tangga. Segalanya telah jauh berubah tetapi saya tetap sama - seorangan dan berangan.
Jika diberi pilihan hadiah bercuti ke Pantai Kuta di Bali atau Pantai Waikiki di Hawaii, saya tetap memilih Pantai Pasir Lanun di Endau ini. Cumanya saya mungkin mengelak untuk berbulan madu di sini kerana saya tidak mahu keindahan bermalam bersamanya di sini menandingi kenangan bersama mereka yang terlebih dahulu mengajar saya erti kehidupan.
Berikut aku dedikasikan gambar kunjunganku terkini : Mencari harta karun kapal Portugis 'Flor De La Mar' Terkambus dibadi penunggu harta karun lanun. Jasad tanpa kapan dengan kubur tanpa nisan. Mohd Azlan bergambar di atas penderitaan orang lain. Mohd Azwan bertilam sementara aku bercadar bumi. Aksi ''Keliwon' bangkit dari kuburan
Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.