28 Mac 2013

BANGKANG DAN MULUT LONGKANG




Oleh: Faizal Riduan


“Undilah, tuan dan puan,
Julai dua puluh tujuh hari bulan,
Pilihan raya yang pertama,
Pergilah, undilah bersama-sama”


Bait rangkap pertama lagu nyanyian Zainal Alam, penyampai radio popular di Radio Malaya pada ketika itu. Kempen  terbuka pilihan raya pertama yang turut mempertontonkan wayang pacak filem Tarzan and His Mate. Hari ini, program khidmat masyarakat sebegini dijalankan secara formal-formalan dan rasmi-rasmian yang membosankan bagi orang muda.


Lagu “Undilah” daripada video klip pesanan khidmat awam arahan Pete Teoh yang tri-bahasa gubahan Afdlin Shauki dalam bahasa Melayu, Namewee dalam bahasa Mandarin dan Sassi Thran Rajoo dalam bahasa Tamil menemukan rentak mensenikan kempen mengundi supaya dekat di hati bakal pemilih muda.


Pete yang disenaraikan antara 135 orang yang mencuri tumpuan di Asia pada 2010 oleh CNN Go, turut menghasilkan projek video sosio-politik “Here In My Home” dan “15Malaysia” yang ditonton jutaan rakyat Malaysia.


Lebih 160 personaliti menjayakan secara sukarela yang terdiri daripada selebriti Bront Palarae, Chelsia Ng, Daphne Iking, Jehan Miskin, Sharifah Amani, Sazzy Falak, Reza Salleh, Baki Zainal, Wardina Safiyyah, Reshmonu, Yasmin Yusuf, Rina Omar, Aizat; blogger Aisehman dan Johan Farid Khairuddin; serta ahli politik Nuruh Izzah Anwar, Tengku Razaleigh Hamzah, Tony Pua, Nik Nazmi dan Wee Ka Siong.


Sayangnya video ‘catchy’ berdurasi 4.38 minit yang dilancarkan sempena Hari Malaysia tahun 2011 bagi menyeru rakyat untuk keluar mengundi ditarik balik penyiarannya di televisyen oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan alasan belum mendapat kelulusan Lembaga Penapisan Filem.


Bulan lalu klip video komedi gelap “Bangkang Dari Longkang” (BDL) bertajuk “Buku Jingga” lakonan Nabil Ahmad (Raja Lawak) dan Salih Yaacob pula mencetuskan kontroversi kerana menyindir Pakatan Rakyat (PR). Penyokong PR kemudian bertindak balas dengan mengecam 2 ikon pelawak tersebut di laman sosial peribadi mereka, halaman kelab peminat dan stesen media berkepentingan. Beberapa akaun halaman Facebook yang memboikot juga telah didaftarkan dan hanya disertai oleh kira-kira 10 ribu pelayar.


Klip video yang pertama kali disiarkan di YouTube oleh pemilik akaun dengan nama serupa Bangkang Dari Longkang pada 20 Februari lalu hanya ditonton 39,182 orang tetapi kemudian meletup apabila dimuat naik semula oleh akaun SuaraKeramat112 pada 25 Februari dengan 401,054 penonton dan 5,018 komentar setakat pagi tadi.
Namun pemilik akaun pro pembangkang itu yang menyeru penonton untuk “Klik butang dislike beb!” hanya mampu mendapat sokongan 8,140 orang iaitu hanya 2 peratus sahaja. Jika dikira bersama 10 salinan klip video serupa yang mencatat rating keseluruhan 566,041 penonton didapati hanya 1.8 peratus mengklik tidak suka (dislike) dan 0.4% lagi suka (like).


Sebelum ini Salih Yaacob pernah meniru gaya percakapan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mencatat 500,000 hit di YouTube ketika mengacarakan Anugerah Bintang Popular 2004 tanpa sebarang palitan kontroversi. Salih Yaacob yang mengambil keputusan untuk bersara sebenarnya merugikan industri seni, “Saya sangat kecewa dan meminta maaf kepada peminat. Saya mengambil keputusan untuk tidak lagi terlibat di dalam bidang hiburan selepas ini.”


Video komedi parodi BDL ini sebenarnya mempunyai hampir 20 siri dan telah dimuatnaik sejak bulan Mei 2012. Turut membintanginya ialah pelawak Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Adlin Aman Ramlie, Sharifah Shahira, Harith Iskander, Dee (sitkom Jangan Ketawa) Douglas Lim, Sathiya dan Johan (Raja Lawak).


Sehingga kini siri video BDL telah dilanggan (subscribe) 4 ribu orang dan ditonton 1.2 juta orang.
Bermula dengan video “Esok Nak Demo Ni” dengan 277,777 penonton (2,182 suka dan 4,638 tidak suka), “Demo Anti Demo” 171,894 (1,992 suka dan 2,406 tidak suka), “Bila Pilihan Raya” 143,335 (1,488 suka dan 1,438 tidak suka), “Special Offer” 77,327 (766 suka dan 363 tidak suka), “Dulu Lain Sekarang Lain” 62,515 penonton (565 suka dan 155 tidak suka), “Jurulatih 3 Kepala” 42,371 (539 suka dan 162 tidak suka), “Urut Macam-Macam” 41,571 (276 suka dan 90 tidak suka), “Cakap Tak Serupa Bikin” 40,703 (439 suka dan 130 tidak suka), “Semua Saudara” 50,784 (432 suka dan 289 tidak suka), “Jual Terbalik” 30,542 (272 suka dan 82 tidak suka), “Jarang-Jarang Ada” 26,038 (206 suka dan 517 tidak suka) dan “Gusti Team Gabungan” 24,260 (242 suka dan 105 tidak suka).


Untuk tahun ini, sejak Februari lalu 6 video lagi dimuatnaik untuk menghangatkan bahang pilihan raya yang dijangka April ini. “Parking Putrajaya” mencatat 27,720 penonton (rekod suka dan tidak suka dilumpuhkan), “Penjual DVD Haram” 14,156 (183 suka dan 90 tidak suka), “Gaji Minimum” 43,693 (66 suka dan 125 tidak suka), “Ceramah Ramadan” 31,793 (90 suka dan 132 tidak suka) dan “Pendidikan Tinggi Percuma” 86,247 (435 suka dan 1,485 tidak suka).


Usai menonton kesemua siri klip video BDL, saya sebenarnya menjadi lebih sinikal selepas terbau hanyir ‘mulut longkang’ penonton partisan dan berempati dengan pelakon irasan. Penonton yang buta seni ini adalah minoriti dengan tidak sampai 2 peratus sedangkan lebih 97 peratus lagi masih menjuri sehingga ke hari mengundi.


Luahan hati Afdlin Shauki tanpa apologetik ada lokus standi, “Saya rasa apa orang malaysia tidak boleh buat adalah mentertawakan diri sendiri. Setiap sesuatu perlu ada fakta dan tiada kekaburan. Apa yang saya dengar kalau kamu UMNO, kamu adalah orang yang teruk. Dan sebahagian orang UMNO berkata perkara yang sama pada orang pembangkang. Saya percaya ada orang baik di kedua-dua pihak dan ada juga orang tidak berapa baik juga tetapi akhirnya siapa kita untuk mengadili mereka. Bukankah itu kerja Tuhan?”


Memang sakit mata apabila membaca komen-komen fanatik peminat yang menilai baju politik daripada kulit seni artis. Mereka sepatutnya mengamalkan prinsip “bersetuju untuk tidak bersetuju” dengan meraikan perbezaan latar sebagaimana kita menerima mereka yang berlainan negeri, agama, bangsa, budaya dan citarasa.


Satu masa dahulu mereka yang melaungkan hak kebebasan dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan, “Setiap rakyat mempunyai hak kepada kebebasan bersuara dan berekspresi” tetapi kini bertindak menyergah balas apabila artis-artis menggunakan hak ucap suara mereka. Malah ugut paksa untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik semula kata-kata dilihat tidak lebih daripada cekupan untuk menutup mulut.


Ketika mereka menyokong kebebasan media, dalam masa yang sama mereka mengongkong media sosial seperti Facebook dan YouTube berkaitan artis dengan komentar berbaur kecaman dan makian. Bukankah ini juga satu diskriminasi dalam talian?


Ancaman boikot yang berlarutan terhadap karya seni artis seperti terbaru filem Lawak Ke Der 2 pada 7 Mac ini tidak ubah seperti salah guna kuasa ‘menggam’ sebagaimana amalan pemain industri, media dan pihak berkuasa. Kita tidak perlu mendiskriminasi seseorang disebabkan parti dokongan selagi mereka bertatalaku secara profesional dan beretika.
Tidak salah untuk Amy Search, Jamal Abdillah dan Dato’ Siti Nurhaliza Tarudin mendokong UMNO sebagaimana tidak menjadi kesalahan untuk Aishah Ariffin, Ito Blues Gang dan Radzi Melissa menyokong PAS serta Yasin Brothers dan Dayangku Intan menyokong PKR.
Figura politikus seperti hero filem banyak kali Joseph Estrada yang diangkat sebagai Presiden Filipina dan hero filem pertama kali Love Is on The Air, Ronald Reagan yang menjadi Presiden Amerika Syarikat serta Gabenor California, Arnold Schwarzenegger daripada layar panggung The Terminator boleh dijadikan penanda aras artis Malaysia.


Tanpa melihat kepada peribadi dokongan politik mereka, saya menilai karya seni Nabil Ahmad dan Salih Yaacob ini adalah lebih artistik dan estetik daripada pembawa watak ‘Leftenan Adnan’ dan Inspektor Aliza. Adalah lebih bermanfaat untuk ‘pengalaman’ dalam pasukan keselamatan Hairie Othman dan Abby Abadi digunakan untuk klip video versi pembangkang untuk tragedi Bukit Kepung atau terbaru Lahad Datu.


Malah lakonan Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik adalah lebih realistik berbanding lakonan spastik Bok Lokman dan Leman (Raja Lawak). Jika tidak, dialog ceramah mereka akan menjadi bahan ketawa seperti pecahnya telinga apabila mendengar Azwan Ali ingin bertanding dalam PRU-13 nanti. Apa pun saya menyokong Azwan Ali jika dia bertanding satu lawan satu dengan Presiden Seniman, Zed Zaidi!

06 Mac 2013

BN 42%, PR 37% DAN ATAS PAGAR 21%


Oleh: Faizal Riduan

Dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 lalu, Barisan Nasional (BN) memperolehi 50.28% undi popular berbanding Pakatan Rakyat (PR) dengan 49.71%. Perbezaan sekitar 290,000 undi iaitu BN dengan 4.08 juta undi dan PR dengan 3.79 juta undi telah menafikan kerajaan majoriti 2/3 BN di Parlimen untuk pertama kali dalam sejarah sejak PRU pra kemerdekaan. Namun dengan kelebihan geopolitik PRU berasaskan sistem ‘First Past The Post’, BN kekal menjadi kerajaan dengan majoriti mudah 63% setelah memenangi 140 daripada 222 kawasan parlimen.

Momentum yang sama dijangka berulang menurut dapatan terbaru Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) berdasarkan survei terhadap 1,409 responden pada 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013. Ini adalah edisi keempat kajian serupa yang dijalankan kali pertama sejak Disember 2011.

“Setakat ini BN masih mendahului dengan sokongan 42% berbanding PR dengan sokongan 37% responden yang berdaftar sebagai pemilih. Namun terdapat 21% responden masih belum membuat keputusan dan mereka akan menentukan siapa yang akan menang dalam PRU-13,” kata Pengarah UMCEDEL, Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Jika dilihat kepada edisi kajian sebelumnya sebenarnya BN masih mempunyai kelebihan dari segi mengekalkan sokongan sedia ada iaitu 44% pada September 2012, 49% pada April 2012 dan 43% pada Disember 2011.

Walau pun sokongan kepada PR dilihat meningkat berbanding 30%, 21% dan 18% pada tempoh masa sama tetapi ia sebenarnya ditampung oleh pemilih atas pagar yang semakin berkurangan daripada 26%, 30% dan 39%. Dalam erti kata lain BN mempunyai kelebihan daripada penyokong tegar meraka berbanding PR dengan penyokong berubah-ubah.

Kajian terbaru ini juga mengubah pola sokongan pemilih kepada calon iaitu 48% berbanding parti 47%. Sebelum ini label parti lebih menguasai iaitu 52% berbanding calon 40% (September 2012), 51% berbanding 37% (April 2012) dan 54% berbanding 40% (Disember 2011).

Ini bermakna bahawa selagi BN dan PR belum memuktamadkan senarai calon mereka maka kedudukan hampir seri itu belum boleh disahkan dalam bentuk undi. Malah jika PR tersalah meletak calon tidak mustahil mereka akan mengulangi kesilapan BN yang menang besar pada PRU-11 tetapi kalah teruk pada PRU-12 berikutnya. Kedua-duanya menjadi rekod bersejarah BN.

Faktor kekuatan calon dapat dilihat dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada 2010. BN yang berani menggugurkan bekas penyandang selama empat penggal sejak 1990, Datuk Palanivel Govindasamy yang ketika itu adalah Timbalan Presiden MIC kemudian berjaya merampas semula kerusi yang terlepas ke tangan PKR pada PRU 2008 melalui Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad.

Allahyarham Dr Zainal Abidin adalah merupakan bekas Ketua UMNO Hulu Langat selama 14 tahun dan Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999. PKR yang kemudian menurunkan calon daripada pusat, Datuk Zaid Ibrahim yang baru 10 bulan melompat parti daripada UMNO nyata tidak dapat menyambung penggal berbaki 3 tahun itu. Zaid adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Kota Bharu.

Najib atau Anwar?


Amalan tradisi BN meletakkan penyandang Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memperbaharui mandat sebagai Perdana Menteri (PM) dan PR pula telah memuktamadkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM jika memenangi PRU kali ini.

Ia adalah signifikan apabila pesaing mereka dalam gabungan parti masing-masing iaitu Tan Sri Muhyiddin Yasin sekadar menjadi calon popular kepada 22% dan tidak popular kepada 42% manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang popular 26% dan tidak popular 46%.

Justeru, calon pilihan PM pasca PRU-2013 hanya ada dua iaitu sama ada Najib dari BN atau Anwar dari PR. Tiada pesaing yang lain. Ini bukan bermakna bahawa Muhyiddin dan Abdul Hadi ditolak sebagai PM tetapi pemilih mahu PRU kali ini menjadi medan pertarungan pengaruh antara Najib dan Anwar.

Sebagai Perdana Menteri sudah tentunya Najib terdedah dengan lebih banyak kritikan dan berdepan dengan ‘pasang surut’ sokongan kerana polisi dan dasar kerajaan dari semasa ke semasa. Sebagai penyandang Najib masih mendahului dengan populariti 43% berbanding pencabarnya Anwar dengan 42%.

Sungguh pun populariti kedua-dua tokoh politik ini hampir sama dengan perbezaan 1% tetapi jumlah ketidak-popularan mereka berbeza 8%. Anwar nyata lebih tidak disukai oleh 30% berbanding Najib oleh 22%. Namun 35% dan 29% lagi masih belum membuat keputusan sama ada Najib atau Anwar menjadi pilihan mereka.

Jika profil responden diperinci maka Najib disokong sebagai PM oleh kaum Melayu dan golongan wanita sementara Anwar disokong oleh kaum Cina dan generasi muda. 46% Melayu menyokong Najib berbanding Anwar 34% sementara 61% Cina menyokong Anwar berbanding Najib 35%. Bagi pemilih yang bakal mengundi kali pertama, Anwar disokong 52% berbanding Najib 30%.

Menyedari hakikat ini, maka tidak ralat apabila melihat Najib menjadi Perdana Menteri pertama mengunjungi sambutan Tahun Baru Cina kumpulan pendesak pendidikan Cina, Dong Jiao Zong sementara Anwar pula memperkenalkan Agenda Wanita Malaysia (AWM).

Isu Main Peranan

Kajian terkini UMCEDEL ini juga mengesahkan bahawa rakyat Malaysia masih tertarik dengan tawaran material terus kepada rakyat daripada kedua-dua belah pihak. 75% bersetuju bahawa pemberian bantuan secara berkala seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1M ) dan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M). Malah Bajet 2013 yang memanfaatkan rakyat turut mencatat persetujuan 55%.

Begitu juga dengan PR yang menjanjikan penurunan harga minyak dipersetujui 57%, pemansuhan PTPTN 60% dan penurunan harga kereta 50%. Dijangka menjelang bulan terakhir PRU lebih banyak tawaran lumayan termasuk terbaru pendapatan isi rumah minimum RM4,000 oleh PR dan kenaikan BR1M kepada RM1,000 oleh BN.

Inisiatif program transformasi kerajaan seperti Klinik 1Malaysia dan Kedai 1Malaysia didapati meningkatkan sokongan sehingga 73% kepada BN. Kejayaan BN menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan makmur sejak kemerdekaan pula mencatat darjah persetujuan 61% sementara janji PR untuk mewujudkan kerajaan baru yang bersih dan amanah mendapat sokongan 57%.

Sungguh begitu, 78% percaya bahawa isu integriti dan penyalahgunaan kuasa pemimpin BN, 62% isu Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), 61% isu Loji Pemprosesan Nadir Bumi (LYNAS), 51% kegagalan mengurangkan kadar jenayah dan 55% isu sudah terlalu lama memerintah Malaysia antara isu yang boleh menjejaskan sokongan kepada BN.

Bagi PR pula, 59% percaya bahawa percanggahan pendapat di kalangan pemimpin dan 44% kelemahan pentadbiran negeri boleh menjejaskan peluang PR. “Bagi BN isunya ialah integriti seperti skandal Deepak Jaikishan dan NFC sementara PR isunya ialah perbalahan seperti Hudud, nama Allah dan pembahagian kerusi. Walau mereka memiliki pandangan berbeza terhadap BN dan PR tetapi menekankan perkara pokok yang sama iaitu tadbir urus,” ulas Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya itu.

Undi Atas Pagar Penentu

Dalam suasana yang nampak seimbang, iaitu kekuatan BN dan Pakatan hampir setara, tumpuan wajar diberikan kepada kelompok 21 peratus yang masih belum membuat keputusan. Walau pun angkubah ini adalah kuasa ketiga dan kelompok minoriti berbanding partisan 42% dan 37% tetapi tokok tambah undi atas pagar ini mampu menentukan kemenangan melalui majoriti mudah.

“Parti yang menguasai golongan 21% ini akan berpeluang untuk memenangi PRU kali ini. Kami telah menjejak undi senyap ini dan mendapati profil mereka terdiri daripada 53% orang Cina, 49% siswazah universiti, 51% berumur antara 21 hingga 30 tahun dan 48% pemilih yang bakal mengundi pertama kali,” ujar pensyarah terbaik UM untuk 11 tahun berturut-turut itu.

Melihat hakikat ini maka tidaklah memeranjatkan apabila BN dan PR masing-masing menjadikan 4 kelompok pemilih ini sebagai kumpulan sasaran utama mereka. Tawaran BN dengan Skim Rumah Pertamaku, rebet telefon pintar 3G dan Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M) sementara PR menjanjikan penubuhan Sekolah Janaan Rakyat, pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) Sekolah Menengah Swasta Cina, pengurangan kadar cukai individu dan harga kereta serendah RM25,000 untuk memenangi hati kumpulan berisiko ini.

Hakikatnya baik BN atau PR, dasar kerajaan pasca PRU-13 sewajarnya dipandu untuk kepentingan keseluruhan 100% rakyat Malaysia. Bukan untuk 42% atau 37%, apatah lagi 21%.

25 Februari 2013

CHANGSHAN DAN CHOPSTICK


Oleh: Faizal Riduan

Wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak muncul di kain rentang dengan segak berbaju Tangzhuang (versi panjang Changshan) dengan tangan tersimpul kemas mengucapkan “Gong Xi Fa Cai”. Sekali pandang oleh pelancong asing mereka mungkin tersangka yang Perdana Menteri Malaysia seorang Cina!

Sebelum ini, pada perayaan Thaipusam tahun lalu, Najib juga turut berbaju Kurta. Datuk Seri Anwar Ibrahim pula pada sambutan Pesta Ponggal tahun lalu juga turut memakai Kurta malah siap dengan Thalapadan Tilak serta menari ala Shah Rukh Khan!

Sayangnya dalam kedua-dua penampilan multi kaum ini Najib tetap menjadi bahan cemuhan. Pakaian tradisi Cina yang kini jarang dipakai tiba-tiba diamati dengan penuh minat tanpa cermat sehingga pakaian ‘panjang umur’ bersimbol kaligrafi Cina ‘Shou’ Najib disamakan dengan pakaian orang mati.

Mereka terlupa bahawa ornamen ‘Shou’ selain ‘Fu’ (kebahagian) dianggap sebagai tuah bukan setakat digunakan pada pakaian tetapi meluas sehingga ke atap rumah tradisional Cina. Pengkritik ‘pakaian orang mati’ Najib sebenarnya perlu menghayati kata pujangga Kung Fu Tze (Confucius) dalam Lun Yu (Analek), “Jika kita tidak mengenali kehidupan, bagaimana pula kita dapat mengenali kematian?”

"Memang benar baju tradisional Cina berwarna merah yang dipakai Perdana Menteri itu mengandungi perkataan ‘Shou’. Baju yang ada perkataan seumpama itu boleh dipakai oleh sesiapa sahaja yang membawa maksud panjang umur,” ulas pakar kebudayaan Cina, Lee Yung Chew menyakini niat baik Najib.

Amat malang kemudiannya dengan tindakan ‘mati akal’ Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan 678 kain rantang ucapan Selamat Tahun Baru Cina Perdana Menteri. Sebelum ini, jarang ucapan hari perayaan dipolitikkan atau dimajlis-bandarankan.



Setiausaha Politik Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari yang juga anak tiri Tan Sri Dato’ Mohamad Khir Johari sepatutnya menasihati Lim Guang Eng dengan pepatah Cina, “Fu jing qing zui” yang bermaksud membawa ranting berduri di belakang badan tanpa memakai baju untuk meminta maaf. Tidak perlu mempolitikkan pemakaian baju berwarna hijau atau kuning bertamu di rumah terbuka Tahun Baru Cina yang serba merah. Itu tentunya bukan adap bertamu dalam masyarakat Cina tidak kisah mereka ahli DAP, Gerakan atau MCA. Warna-warni budaya perlu mengatasi warna baju parti dan warna kulit bangsa.

Najib menterjemahkan wawasan 1Malaysianya dengan mengakultasikan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk semua termasuk masyarakat Cina dan penduduk Pulau Pinang. Sebelum ini, beliau membuka akaun kelab peminat Facebook ‘Ah Jib Gor’ yang bermaksud ‘Abang Najib’ dalam bahasa Mandarin dan sempat bersembang dengan peminatnya seorang pelajar Sekolah Menengah Yu Yuen dari Sandakan, Sabah, Esther Yap Yuk Lim tentang makanan Cina kegemarannya iaitu ikan kukus sos soya dan ketam masak cili masam manis.

Malah anak bongsunya Nor Ashman Najib yang boleh berbahasa Mandarin daripada lulusan Universiti Bahasa-Bahasa Asing Beijing (BFSU) turut muncul berucap di sambutan Rumah Terbuka 1Malaysia Tahun Baru Cina. Sebelum itu, Ashman pernah membuat kemunculan dengan menyanyi lagu Mandarin di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan bersiaran di rancangan Morning Kaki’s, Radio One FM iaitu sebuah stesen radio berbahasa Cina.

Bagi menjenamakan ‘transformasi’ pentadbirannya, selain menghadiahkan sampul ‘ang pau’ Najib turut memberikan perutusan Tahun Baru Cina dengan memetik kata-kata termasyhur bekas pemimpin Parti Komunis China, Deng Xiaoping(1904-1997)yang berperanan membuka ekonomi China kepada dunia, “Menyeberangi sungai sambil menyentuh batu” dengan justifikasi, “Ini adalah suatu motto kehidupan yang tepat, di mana perjalanan untuk melakukan perubahan memerlukan pelan jangka masa panjang dan langkah demi langkah.”

Ucapan berfalsafah penuh puitis tersebut seakan-akan menjawab perutusan berulang Tahun Baru Cina Anwar sejak tahun lalu yang menyeru masyarakat Cina membawa semangat perubahan mengharungi kesukaran sebagaimana pengalaman pendeta Buddha Dinasti Tang, Xuan Zang dalam sejarah epik China ‘Pengembaraan Ke Barat’ dari karya klasik Xi You Ji.

Arkultasi rentas kaum dan bangsa sebenarnya mampu memberikan pesona imej Najib untuk diterima rakyat majmuk seperti imej Lee Kuan Yew bersongkok di awal karier politiknya untuk memenangi hati orang Melayu semasa kempen di Kampung Tani, Singapura pada tahun 1965 sebaik keluar daripada Malaysia. Mantan Menteri Besar Perak, YB Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, walau mewakili parti minoriti PAS di Perak juga ‘disukai’ oleh sebahagian ahli DAP kerana fasih berbahasa Mandarin dan Tamil.

Malah hari ini YB PKR Tian Chua dan YB DAP Ronnie Liu mendahului YB-YB daripada MCA dan Gerakan melanggar tabu perkauman dengan berbaju Melayu dan bersongkok pada Hari Raya. Ini tentunya berbeza dengan sikap 12 Adun DAP Sarawak yang tidak mahu memakai pakaian rasmi Dewan Undangan Negeri hanya semata-mata dipadankan dengan songkok atas alasan bertentang dengan hak kebebasan beragama.

“DAP tidak pernah dapat memahami bahawa memakai songkok itu selaras dengan ketertiban dan rasa hormat serta langsung tiada kaitan dengan hegemoni perkauman,’ ulas Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha. Kritik bloggers Raja Petra Kamaruddin lebih berterus-terang, “Mengapa hanya Ronnie sahaja yang disalahkan bila memakai Baju Melayu pada hari raya? Kritikan pada Ronnie mengatakan dia sebagai pengkhianat kepada bangsa Cina kerana memakai Baju Melayu. Tidak hairanlah Hindraf mengatakan DAP adalah parti perkauman. Jika begitu, saya pun memakai pakaian Cina pada Tahun Baru Cina. Bagaimana pula ahli DAP menyatakan saya sangat comel? Mengapa ahli DAP tidak menyatakan saya sebagai pengkhianat bangsa Melayu?”

Memakai pakaian kebudayaan sesuatu kaum yang lain tanpa menghina kebudayaan kaum tersebut dan kebudayaan kaum sendiri bukanlah menjadi satu kesalahan malah sikap terpuji meraikan kemajmukan dan kepelbagaian budaya Malaysia. Sikap ketaksuban ‘promordial instict’ atau naluri asal wujud manusiawi melalui polarisasi berpakaian perlu ditentang. Seperti manusia yang hidup bermasyarakat, pakaian juga bermetamorphosis melalui asimilasi, akomodasi, akultasi dan amalgamasi.

Apapun penerimaan sosok multi kaum dan budaya ini, sememangnya lebih baik jika dibanding semasa Pilihanraya Umum 1969. Semasa itu, mantan Menteri Pelajaran pertama, Tan Sri Khir Johari menghantar kad ucapan Tahun Baru Cina dengan foto jenaka beliau dan isterinya, masing-masing berpakaian bangsawan Cina, yang diambil ketika melawat Hong Kong kepada kenalannya.



PAS telah menggunakan gambar tersebut untuk berkempen bahawa Khir Johari telah menjadi Cina atau alat orang Cina sehingga undi beliau merosot dengan teruk sekali. Begitu juga dengan gambar mantan Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman yang sedang makan dengan chopstick dimanipulasi dengan gambar hidangan anak babi dengan tuduhan Tunku berketurunan Siam dan beragama Buddha. Semasa itu hadis, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalam kalangan mereka” diulang sebut untuk mengkritik ‘kecinaan’ changshan Khir Johari dan chopstick Tuanku.

Hari ini mendekati bangsa dan kaum lain dilihat sebagai insklusif dan majmuk. Kebanyakan pemimpin politik Melayu termasuk Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat digambari menggunakan chopstick untuk menggaul Yee Sang setiap kali perayaan Tahun Baru Cina. Akan datang tidak mustahil, Nik Aziz akan memakai hanfu iaitu persalinan jubah tradisonal Cina.

Ucapan “Gong Xi Fa Cai” juga sudah menjadi terlalu umum malah banyak ucapan disusuli dengan “Xin nian jin bu, xin nian hao, nian nian hao” walau pengucapnya mungkin tidak tahu maksudnya. Jika pada zaman dahulu, ucapan-ucapan sebegini pastinya boleh mengundang fitnah sebagai menggugurkan kalimah syahadah!

Rupanya Pilihanraya Umum 2013 tidak banyak bezanya dengan Pilihanraya Umum 1969, iaitu masih seputar isu baju. Bezanya sudut pandang yang berubah 360 darjah walau objeknya sama – berbaju Changsan. Dulu pemimpin Melayu berchangsan dipersepsikan sebagai pro-Cina oleh pihak pembangkang untuk mereka mendapatkan undi Melayu. Kini, mereka memanfaatkannya untuk meraih undi Cina pula dengan menyifatkan pemakaian Changsan sebagai anti-Cina dan kononnya dipakai untuk tujuan menghina.

31 Mei 2012

RESENSI : PAK SAMAD DI MATA SAYA


Oleh: Faizal Riduan

Jangan nilai buku dari kulitnya! Tetapi sejujurnya saya kelabu mata melihat kulit buku Pak Samad Di Mata Kami yang dengan keterampilan estetika sepasang cermin mata Pak Samad yang berbingkai bulat persis kulit album John Lennon dari kumpulan The Beatles. Tanpa membaca isi dalamnya saya terus membeli ‘cermin mata’ Pak Samad yang juga sama dengan ‘tanda diri’ ikon kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang dicuri dari Muzium Sevagram Ashram di Nagpur, India tahun lalu. Saya tidak mahu berputih mata daripada memiliki buku cendermata dengan kemasan mewah, eksklusif dan elegan.

Bingkisan puisi pendek 19 baris ayat oleh penyair, pelukis dan penerima Hadiah SEA Write, Abdul Gahafar Ibrahim (Agi) menjadi pencuci mulut yang membuka selera. Di hujung puisi “Abang Guru Sahabat”, sempat beliau menyisipkan nota nostalgia tentang karya-karyanya yang membusut ditangan Pak Samad yang ketika itu pengarang Berita Harian. Namun saya percaya ini adalah puisi terbaiknya yang pernah Pak Samad baca pasca“Nanar”, puisi pertama Agi yang disiarkannya pada 31 Januari 1966. Agi merakam hubungan mentor mentee ini dengan rapat akrab sekali, “Dirimu bak abang sempatku merujuk; Diriku bak adik sempatku merajuk. Dirimu bak guru memberi petunjuk; Diriku bak murid mengambil yang elok.”

Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain mengimbau kelibat Pak Samad di perhimpunan anti-PPSMI di hadapan Masjid Negara sebagai jelmaan watak Lokman dalam novel Hujan Pagi (1987). Malah dengan merujuk teori psikoanalisis Sigmund Freud, Ku Seman semakin mengenali Pak Samad yang memang saling tak tumpah menjadi ‘watak hidup’ ciptaaannya, seorang wartawan yang memerdekakan ucap suara dengan karakter yang keras, tegas dan lantang dalam lembut yang penuh pesona. Kemunculan semula Pak Samad pada perhimpunan haram 9 Julai 2011 (dan tentunya juga pada 28 April 2012) di atas platform pembangkang sedikit mengecewakan Ku Seman yang sempat meninggal pesan terakhir, “Harap Pak Samad tidak lupakan perjuangan Lokman dalam Hujan Pagi. Keluh-kesahnya kemudian disambung lagi di kolum akhbarnya dengan tajuk “Saya, Rakan-Rakan dan Pak samad” pada 23 April 2011.

Marsli N O mendokumentasikan Pak Samad pada fail bernombor 036/30 (dulunya nombor 057) yang kini mempunyai 237 halaman dan keratan akhbar dengan yang tertua rekod Mingguan Malaysia, 21 Disember 1980 melalui rencana Rosnah Abd Majid, “Apakah A Samad Said Sudah Berubah?”. Namun rekod ingatannya pada Pak Samad lebih awal sedari darjah enam sekolah rendah apabila membaca cerpen Pak Samad, “Longkang” pada tahun 1968. SM Zakir mengenali Pak Samad dengan intim sekali bermula dengan cinta pandang pertama kepada Salina yang menjadi satu daripada 2,000 judul koleksi ayahnya Sasterawan Negara S Othman Kelantan. Marzuki Ali pula menyambung idea persembahan Deklamasi Lakon (Dekon) Pak Samad yang telah masuk edisi ke lapan pada tahun 2011.

Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Sarawak, Mohammad Yusop Ishak menghidu kelahiran karya baharu Pak Samad ketika Kembara Seni di Bakun, Sarawak pada awal tahun 1995. Coretannya “Lantai T Pinkie: Sebuah Pengalaman” membocorkan rahsia besar bahawa Pak Samad sendiri sudi menjadi pembaca pruf bukunya sehingga dapat diterbit dalam tempoh singkat walau asalnya hanya Pengerusi Jawatankuasa Editorial yang menyokong sedang 11 orang anggota lagi menolak. Hasilnya 500 naskhah Lantai T Pinkie diterbitkan dalam edisi kulit keras berjaket pada 1 April 1996 dan mencipta rekod ‘best seller’ sehingga dicetak ulang sebanyak dua kali dalam tempoh setahun! Malah drama ini mencipta rekod pementasan sebanyak dua kali selama dua minggu berturut-turut pada 15 hingga 21 Mac 1997.

Satu-satunya penyumbang orang asing dengan mata berwarna kelabu cerah, Prof Madya Victor A Pogadaev dari Jabatan Bahasa-Bahasa Asing, Universiti Malaya mengenali novel Salina yang bertaraf dunia dari rekemendasi Dr Andrey Pavlenko yang tidak sempat menterjemahkannya ke bahasa Rusia akibat mati mengejut. Namun Pak Samad dikenali di negara bekas Kesatuan Soviet itu melalui terjemahan puisi dan cerpen seperti Di Tepi Jalan (1963), Pagi (1963), Longkang (1973), Di Bawah Bintang Mengerdip (1977), Perang dan Manusia (1977), Semarak Api (1978), Penyair Dunia Dalam Perjuangan Untuk Kemananan (1985), Tamu Senja (2009) dan Daun Semalu (2009). “Ironinya, buku itu diterbitkan di Moscow tetapi saya berkenalan dengannya di Kuala Lumpur.”

Victor turut mengkagumi Pak Samad yang menjadikan diri segalanya untuk masyarakat dan untuk orang lain. Kesannya dengan mata sendiri, beliau melihat beberapa remaja di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan meminta tandatangan Pak Samad walau di atas tisu kedai makan. Di Bintulu, Sarawak lebih dramatik apabila Victor yang membacakan puisi “Di Bawah Bintang Mengerdip” dengan terjemahan bahasa Rusia masih dapat diteka oleh Cikgu Sahari Sebi.

Pak Samad kemudian muncul menjadi bayangan mimpi kepada Shamsudin Othman yang menggulati Al-Amin sebagaimana Pak Samad memilih Dr Zhivago karya Boris Pasternak sebagai bahan wajib. Itu rupanya petanda tuah Shamsudin yang dimaklumi esok hari sebagai pemenangi hadiah sayembara Puisi ESSO-GAPENA! Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Mohamad Salleh Rahamad berasa jauh hati apabila dia tetap tidak dikenali Pak Samad yang ditemui ketika menjadi subeditor akhbar Watan dan disalah sangkai sebagai Zabidi.

Pengakuan jujur Mohd Shah Ibrahim tentang Pak Samad yang dikenali secara jarak jauh melalui Cikgu Ali Salim dari Sekolah Kebangsaan Penggaram, Batu Pahat, Johor mungkin sama dengan pengalaman ramai orang mengenali Pak Samad melalui orang ketiga. Khutub khanah Cikgu Ali di Kuarters Perumahan Kakitangan Kerajaan Gunung Soga memperkenalkan novel Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri yang dengan tajuk uniknya memikat hati. Rakannya yang bersama mengasas Kopratasa, Sani Sudin menceritakan kenangan kumpulan lagu puisi itu mengumandangkan puisi Pak Samad melalui lagu “Tetamu Senja” sehingga melancarkan album solo Sani berjudul “Saya”.

Ladin Nuawi yang tertempurung di Kelantan mengatak lompat ke Kuala Lumpur berteduh di Rumah Anak Alam setelah mendengar guruh gema nasihat Pak Samad. Lebih daripada itu Pak Samad berjaya menghalau Ladin Nuawi ke Kongres Puisi Dunia di Mesir dan lajak ke London. Sebagai tanda dedikasi kepada ‘pak tua’nya, nama anaknya dirujuk dengan karya Pak Samad seperti Lam Ahmad Lazri Andeka yang mengambil watak Lazri Meon dari plot Daerah Zeni. Kebetulan Pak Samad juga pernah secara bergurau menyatakan nama anaknya Helmi diambil daripada nama novelis Ernest Hemingway.

Buku pandangan mata pertama dan selamanya terhadap sang lelaki septuagenarian ini menghimpunkan luah rasa 30 orang penyumbang di kalangan penulis mapan dan muda sama ada budayawan, editor dan wartawan yang terkesan dengan sosok tubuh atau sepaling tidak perasan kelibatnya dengan putih berambut, bermisai dan berjanggut panjang. Apresiasi usai 77 tahun kelahiran Datuk A Samad Said pada 9 April lalu memberikan makna tersendiri melengkapi buku kumpulan puisinya Rindu Ibu dan biografi pertamanya, “A Samad Said: Memberi Hati Nurani” karya Dr Rosnah Baharudin. Walau tidak segah majlis serupa untuk Goenawan Mohamad dengan 12 buku yang dilancarkan sekali gus, tiga buah buku ini satu permulaan tradisi sastera yang baik.

Cuma sedikit kritikan, jika diberi lebih masa kepada editor dan penyumbang untuk bernostalgia panjang serta kuasa kepada Pak Samad untuk memilih sendiri penyumbangnya (tidak kisah jika sampai ke senarai ke-77!) pasti pembaca dapat lebih menembusi hati nurani Pak Samad melalui kacamata isteri, anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, pemimpin politik dan negara serta peminat tegarnya. Selepas ini saya rasa walau pun jauh saya perlu mengambil kesempatan bermain mata dengan Sasterawan Negara ini sepaling tidak untuk mengangkat kening atau mengenyit kelopak mata! Itu tanda salut untuk Pak Samad di mata saya.

RESENSI: SENGKETA DI SEBALIK SAINS


Oleh: Faizal Riduan

Dahulu ketika di sekolah menengah asalnya saya adalah dari aliran sains dan sukarela menukar ke aliran sastera. Saya lebih sukakan buku sastera yang lebih puitis dengan rangkai kata yang tersusun indah digubah. Semasa itu saya melihat aliran sains terlalu berat, rigid dan serius wataknya. Tiada banyak buku berkaitan sains yang mempunyai plot jalan cerita yang menarik kecuali buku-buku kulit keras dokumentari sains dan teknologi di perpustakaan sekolah yang kebiasaannya mempunyai lebih banyak gambar berwarna-warni dari teks berwarna hitam.

Sebagai manusia yang menemukan dunia lewat lembaran buku, dalam diam saya menyalahkan kutub khanah sekolah yang tidak banyak menyediakan buku-buku yang meransang motivasi dan semangat inkuiri terhadap dunia sains. Bila dewasa barulah saya menemui banyak buku sains sebagai karya dialektik yang lari dari stigma buku sains sama seperti buku teks. Sains yang mudah, santai dan releven dalam kehidupan seharian kita. Buku ini sewajarnya didedahkan kepada anak-anak sejak di bangku sekolah supaya meransang minat mereka kepada sains sebagai satu ilmu yang menarik.

Walau kita cuba meremehi sains sebagai dunia terasing yang penuh elitis, ironisnya kesan tinggal ahli sains sebenarnya benar-benar mempengaruhi kehidupan kita sehari-hari. Malangnya kesilapan yang berlaku dalam sains mungkin mendatangkan kecelakaan malapetaka yang maha besar seperti dalam insiden kebocoran yang melibatkan merkuri metil, dioksin dan PCB atau kemalangan nuklear seperti di Three Mile Island dan Chernobyl. Media seringkali melaporkan kes hitam sebegini sebagai kesilapan teknologi dan bukan kesilapan sains, mereka hakikatnya tidak dapat membezakan antara kedua-duanya. Kesannya orang awam seperti kita tidak nampak sebarang laluan salah yang sering dijejaki ahli sains.

Jika sesuatu idea sains yang digembar-gemburkan itu salah sekalipun, ia akan terkambus tanpa pengetahuan umum. Sebaliknya jika ideanya betul, ia dilabel sebagai penemuan baru dan idea lama terus dilabel sebagai bahan lupus tempoh. Dalam jurnal sains sekalipun, laporan tentang keputusan negatif jarang dibedah dedahkan walaupun ia mungkin dapat membantu memberikan akses kepada ahli dalam bidang sains berikutnya. Dunia sains juga ada hipokrasinya sendiri.

Sebagai generasi baru yang merasai aplikasi sains dan teknologi, semua teori dan fakta tentang sains telah menjadi sejarah. Membaca buku ini seolah-olah membawa kita ke masa lalu, merasai sendiri kehangatan perdebatan ahli sains seolah-olah kita dari latar zaman yang sama. Jika boleh kita juga mahu terlibat dalam perdebatan tersebut dengan penemuan kita sendiri, malangnya saya sendiri tidak tahu di mana patut kita bermula sebagai ahli sains. Namun kejayaan awal penulis ialah mengundur masa kebelakang dengan mengembalikan suasana neoklasik yang membawanya menjejaki sendiri kediaman ahli-ahli sains tersebut seperti rumah Darwin di Downe, kuarters Newton di Cambridge dan II Galileo tempat Galileo menghabiskan duka sisa usianya.

Malah buku ini tegak berdiri dengan rujukan tertinggi dari maklumat yang sukar ditemui seperti “John Turberville Needham and His Impact on the French Enlightenment” karya Rachel H Westbrook, “Philosophers at War. The Quarrel between Newton and Leibniz” karya A Rupert Hall dan “The Fossil Feud between E D Cope and O C Marsh” karya Elizabeth Noble Shor. Lebih mengkagum untuk satu bab “Derek Freeman lawan Margaret Mead” setebal 18 muka surat, penulisnya merujuk lima buah buku yang signifikan. Menjimatkan bukan? Dengan membaca sebuah buku ini anda seolah-olah telah membaca 373 bahan rujukan bibliografi penulisnya!

Ahli sains di sebalik sikap objektif dan analisis juga adalah seorang manusia yang mempunyai perasaan. Begitulah dalam proses penemuan sains biasanya ia penuh dengan emosi. Idea baru menuntut seseorang ahli sains menolak idea ahli sains lain sebelumnya. Sementara mereka yang berpegang pada idea terdahulu tentunya tidak dapat menerima kenyataan mudah yang teori pegangannya disanggah dan keabadianya terhakis.

Mereka yang kalah tanpa alah akan terus berbantahan dalam pertelingkahan sains seperti perbalahan selama suku abad antara Thomas Hobbes dengan ahli matematik John Wallis. Puncanya Hobbes yang taksub degan geometri menafikan kelebihan algebra Wallis sebagai “penuh dengan simbol yang kelihatan seperti keruping” dan seperti “dikais ayam”.

Persoalan tentang siapakah yang membuat sesuatu penemuan terlebih dahulu juga menjadi satu konflik apabila dua atau lebih ahli sains mengemukakan idea yang sama dan dalam tempoh masa yang agak sama. Penemuan serentak ini walaupun mengagumkan realiti ia adalah perkara biasa. Inilah yang berlaku kepada Newton dengan Leibniz tentang kalkulus, Faraday dengan Henry tentang arus elektromagnet, Adams dengan Leverrier tentang penemuan Neptun, Darwin dengan Wallace tentang teori evolusi dan Heisenberg dengan Schrodinger tentang mekanik kuantum.

Kebiasaanya mereka tidak didorong oleh sebab kewangan sebalik adalah klimaks kepuasan lewat penemuan mengagumkan dan mempelajari perkara baru tentang dunia yang tersembunyi. Mereka berharap dunia akan mengetahui hasil titik peluh mereka dan gambaran Hadiah Nobel terbayang di mata.

Adakalanya persoalan sains tidak menemui jawapan seperti Voltaire lawan Needham dalam persoalan bilakah gumpalan tisu yang berkembang dalam uterus wanita menjadi manusia? Sebalik sisi bukan sains yang terdedah. Voltaire melabel Needham, ahli alamiah Inggeris yang terkenal sebagai “pemikir biologi yang berbahaya” dan menyerang peribadinya dengan tuduhan pengamal homoseksual. Reaksi balas penuh dengan dendam kesumat, Needham pula mendedahkan beberapa kisah cinta Voltaire yang terakhir dengan anak saudaranya sendiri walhal dia sebelumnya beria-ia mengaku bujang.

Persaingan sengit antara dua pemburu fosil yang hebat, Edward Drinker Cope dengan Othniel Charles Marsh menjadi lagenda dengan segala tipu daya dan helah muslihat yang mengejutkan tetapi hasil positifnya menyebabkan keghairahan terhadap haiwan purba dinasaur disebut-sebut sehingga bidang paleontologi berjaya menarik minat khalayak mendalaminya.

Buku ini adalah rangkuman 10 kisah hebat tentang perbalahan paling buruk tetapi menarik dari abad ke-17 hingga abad ke-20. Perbalahan sains iaitu ilmu yang penuh disiplin bukan sahaja direngangkan oleh percanggahan cendekiawan tetapi juga oleh sifat-sifat tidak berdispilin pengamalnya dengan resmi manusia yang percaya dirinya sahaja yang betul dan orang lain adalah salah! Realitinya penulis buku ini berjaya menunjukkan bahawa ahli sains adalah sama seperti kita, manusia biasa. Mereka terdorong oleh rasa bangga, tamak, permusuhan, iri hati, asad dengki, cita tinggi, inspirasi keagamaan dan kebangsaan serta mereka juga kenal rasa kecewa, buta hati, keras kepala, politiking dan perasaan yang remeh temeh sama seperti yang kita alami. Hasilnya, inilah kisah mereka yang menang dan kalah.

Jika penulisnya Hal Hellman mengorak langkah awal menyiapkan buku 260 muka surat ini selama dasawarsa, mengilhami kuliah Shirley A Roe bertajuk “Voltaire lawan Needham: Pewujudan Spontan dan Sifat Keajaiban” di Akademi Sains New York pada 2 Disember 1981 maka mengulati konflik karya ini juga mampu mencambah minat terhadap sains. Jika karya sebegini masih dianggap berat, ada baiknya anda bermula dengan buku “100 Perkara Kamu Patut Tahun Tentang Sains” karya Steve Parker juga dengan alih bahasa oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

28 April 2012

APRESIASI : DATARAN MERDEKA DITAWAN!

'Duduk Bantah' tak jadi 'duduk diam',
Berani bangkit berdiri bangun,
FRU naik angin dan turun asap,
Pendemo hujung hilang dan pangkal lesap.

Dataran Merdeka sudah ditawan!
Oleh manusia yang tak serupa orang,
Jadi dataran perang dan dataran berang,
Kalah menang jadi abu arang.

Dataran Merdeka tak merdeka lagi,
Dipagar kawat duri dan polis sana sini,
Tak bebas berjalan dan berlari,
Siapa yang memajak dan menjajah dataran sejarah ini?
Dataran usang ini kian berasap dan berair,
Bersama harapan rakyat yang meresap dan mengalir.


Faizal Riduan
3.30 Petang
28 April 2012
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

APRESIASI : KUNING, KUNING...

Kuning, kuning, petang nan hening,
Kuning, kuning, di pohon kemuning,
Kuning, kuning, si dara bening,
Kuning, kuning, dari Naning,
Kuning, kuning, persis Ning,
Kuning, kuning, angkat kening,
Kuning, kuning, jarinya rening,
Kuning, kuning, cincin emas kuning,
Kuning, kuning, aku pening.


Faizal Riduan
28 April 2012
Dataran Merdeka, Kuala Lumpur

31 Disember 2011

MUHASABAH 2011, MAHABBAH 2012

(Kemaskini pencapaian sepanjang tahun 2011 dan perancangan tahun 2012 akan disiarkan beberapa hari lagi)

20 Jun 2011

HIDANGAN UNILATERAL DI KANTIN SEKOLAH


Hari ini di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyaran Kementerian pelajaran supaya menasihat pengusaha kantin melabel jumlah kalori dalam makanan yang dijual dan mengesyorkan makanan divariasikan tanpa terhad kepada nasi lemak, nasi ayam dan mee goreng sebagaimana pendedahan kajian Universiti kebangsaan Malay...sia. Kebetulan pagi tadi saya sengaja mahu merasa pengalaman makan di kantin sekolah lama saya. Hasilnya inilah menu terbaik yang saya temui. Rasanya tanpa perlu dilabel anda boleh menilai sendiri adakah ini makanan terbaik untuk tumbesaran anak-anak anda.

26 Mei 2011

TENGGELAM TIMBUL DI SUNGAI MELAKA

Oleh: Faizal Riduan

Sungai dan manusia bagaikan ‘aur dengan tebing’. Simbiosis mutualisme ini dapat dilihat pada kelahiran bandar purba yang tumbuh hidup di muara-muara sungai. Penempatan bandar pertama dalam sejarah tamadun manusia seperti Uruk, Eridu dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu di Mesopotamia dan Babylon di lembangan yang disaliri Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Dahulu kala sungai adalah segalanya sebagai denyut nadi kehidupan, dari hulu ke hilir bukan sahaja sebagai sumber minuman tetapi juga tempat ‘cari makan’ bagi nelayan dan pedagang. Namun hari ini, kecanggihan sistem perbandaran dengan air ditemui mudah di hujung kepala paip menjadikan mentaliti sebahagian dari kita menanggapi sungai tidak lebih sebagai longkang pembentungan yang meloya-mualkan.

Apatah lagi sungai di dalam bandar, airnya mengalir suram dan suam. Sebagai orang bandar, setiap hari saya dihidangkan dengan panorama air berpewarna ‘teh tarik’ di Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Baru-baru ini keinginan saya untuk mengemudi susur sungai dalam bandar tercapai di Sungai Melaka yang kini menjadi destinasi pelancongan baru Melaka. Sungai Melaka, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pada satu masa dahulu dimasyhur gelar “Venice of the East” adalah sumber terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dari tahun 1402 ke 1511, sesesak sarat sebagai pusat pertemuan pedagang timur dan barat serta transaksi rempah ratus dunia. Kiri kanannya merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan dan pelabuhan sejak zaman bahari. Berhadapan Selat Melaka, sungai pusaka ini setia walau tebingnya sudah banyak berubah dengan darah tertumpah apabila kuasa besar seperti Portugal, Belanda, Inggeris dan Jepun merebut Melaka dari tangan warganya.

Sungai Melaka yang sepanjang 40km dari Kampung Gadek menghilir alir ke Selat Melaka adalah ibu kepada anak sungai utama iaitu Sungai Putat, Sungai Cheng, Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah. Namun perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) hanya sepanjang 4.5km dari Taman Rempah ke muaranya di Dataran Sungai Melaka. Tidak lengkap ke Melaka sekadar menggunakan laluan darat, Sungai Melaka yang mengalir di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia memberikan nilai sentimental dan romantis. Sedikit masa lagi, pengunjung berpeluang menyusur Sungai Melaka dari ‘atas’ dengan menaiki pengangkutan Aerorail dengan kapasiti 24 orang di laluan landasan pendek 1.6km dari Stesen Jebat di Taman Rempah ke Stesen Tuah berhampiran Eye On Melaka. Saya agak terkilan di atas kelewatan beroperasi pada tarikh yang dijadualkan untuk melengkapkan pengalaman saya sebelumnya menaiki Rapid KL, KTM Komuter, KL Monorail dan ERL KLIA.

Dengan azam menjadikan Sungai Melaka setaraf Sungai Venice di Itali dan Sungai St Antonio di Texas, kerajaan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka telah menubuhkan MRC yang dirasmikan pada 11 November 2005. Awalnya RMC sekadar mempunyai dua buah bot tetapi kini 40 buah bot menanti dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 malam pada setiap hari untuk dinaiki dari jeti Taman Rempah Ratus, Medan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Padang Nyiru atau Muara Sungai Melaka. Tahun lalu 591,000 orang telah menyusur Sungai Melaka dan lebih 40,000 orang lagi mengunjunginya setiap bulan dan anda tentunya mahu menjadi sebahagian dari statsitik tersebut. Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit di laluan sepanjang 9km turut menyediakan khidmat penerangan bagi setiap destinasi. Hanya semurah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, sejarah Melaka boleh dilawati tanpa peluh berjalan kaki!

Di senjakala itu, saya melihat Sungai Melaka telah dihidupkan dari sumpahan perbandaran selama ratusan tahun. Masih baru tetapi telah tampak bakal jelmaan San Francisco Waterfront dan Seattle Waterfront di Amerika Syarikat, North Vancouver Waterfront di Kanada dan Auckland Waterfront di New Zealand yang terkenal dengan kegiatan ekonomi didaratkan deretan restoran, hotel dan aneka kedai. Jika tebing sungai lebih lebar dari dinding bangunan konkrit tentunya boleh diperindah sebagai kawasan alam semulajadi dan rekreasi sebagaimana di San Antonio, Bronx dan Chicago di Amerika Syarikat. Malah Sungai Melaka masih bernuansa marhaen dan tidak berubah wajah seperti California Utara di Amerika Syarikat, Ontario dan Vancouver Utara di Kanada dan Batam di Indonesia yang mengkomersilkan tebingan sungainya dengan kediaman mewah.

Di mana-mana, pembangunan akan mengubah lanskap alam yang dipaksa korban sebagai tebus gantinya. Sungai Melaka tidak terkecuali, berdasarkan analisis kualiti air dari 1976 hingga ke 1995, Sungai Melaka adalah antara yang tercemar teruk selain Sungai Kelang, Sungai Juru dan Sungai Skudai. Teringat keluh-kesah mantan Perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, “Dulu ada ikan dan udang (dalam sungai) tetapi sekarang dua minit sahaja anak buaya pun boleh mati.”

Siapa sangka dari sebatang sungai digenangi kelodok dan lumpur hitam yang bercampur sampah sarap, biawak yang berenang di permukaan, dibuntutkan kedai dan rumah yang cantik di hadapan tetapi lain di belakang kini bagai mengakhiri sumpahan berubah menjadi laluan sungai yang bersih dan indah dengan perbelanjaan RM380 juta bermula dari fasa pertama pada 2002. Malah usaha lebih awal melalui memorandum persefahaman dengan kerajaan Denmark telah ditandatangi pada 1997. Ini bukan masa dan harga yang sedikit, jika sejak dahulu kita menjaga sungai sebagai warisan sudah tentu wang ratusan juta tidak terbuang ke dalamnya.

Saya bermonolog sendiri sambil menunggu RMC, mencangkung di jeti bot Taman Rempah sambil melihat dasar sungai yang kelam dalam gelap malam. Mungkin beberapa tahun lagi airnya akan jernih lagi sehingga sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Sengaja saya memilih malam tanpa kesesakan orang, terasa damai.

Kini Sungai Melaka telah kembali dimudik antara hulu dan hilir, bukan dengan usungan jala tetapi sisipan kamera. Sayangnya saya datang terlewat bulan. Jika seawal bulan Jun yang lalu pasti meriah dengan sebulan perayaan Pesta Sungai Melaka kali keempat dengan sejumlah 33 acara. Yang paling menarik menurut pemandu bot merangkap pemandu pelancong ialah pertandingan perahu naga, pertandingan bot berhias, perarakan kenderaan antik dan sukan air.

Orang Melaka kini boleh berbangga dengan Sungai Melaka yang bertaraf dunia. Bagi orang Melaka dan tetamu dari luar Melaka, kita masih perlu beringat bahawa pendidikan sivik mesti ada jika tidak sistem kejuruteraan apapun tidak akan bersatu dengan alam. Tidak cukup sekadar fasiliti kelas pertama, minda kita juga perlu menjadi mentaliti kelas pertama. Jika tidak entah beratus juta lagi perlu dibayar untuk memulih air percuma dari tuhan.

Waktu malam, selain bersaksikan keindahan cahaya bulan dan bintang, suluhan lampu limpah dan cahaya lampu jurai dari konkrit bangunan dan rimbunan pohon menjadikan kegelapan malam nampak berseri. Tanpa kelip-kelip, saya tidak sesat menyusur Sungai Melaka kerana simbahan cahaya pada rumah tradiosional sampai ke atas gentingnya sekali, kerlipan multi warna Taman Lanun dengan melihatan pusingan Eye on Melaka yang berlampu, bangunan berlampu di Jalan Munshi Abdullah, Jambatan Station Bas Lama dan Jalan Laksamana. Puas melihat keindahan Sungai Melaka tanpa silau cahaya matahari. Mata masih terang benderang tak berkelipan. Saya berlalu pulang ke rumah tumpangan bajet di pinggir Sungai Melaka sambil melihat keluar tingkap. Bertenangan air sungai diam tanpa usikan. Permukaannya bertukar seperti cermin yang memantulkan bayang-bayang bewarna dari lampu seribu cahaya. Tidak pasti selepas itu sama ada lampu cahaya atau mata saya yang terpadam dahulu. Apa pun perjalanan satu malam di Sungai Melaka benar-benar menjadi azimat nikmat seperti dalam Hikayat Seribu Satu Malam.

21 Mei 2011

INGIN JADI A SAMAD ISMAIL


Sedari dahulu saya amat meminati tulisan-tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail walau tidak pernah bersemuka mata. Namun terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana nama besar beliau dihubung kaitkan dengan orang tidak bernama seperti saya melalui Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail yang turut saya terima bersama Hadiah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2010. Dalam keterharuan dan kemudian keterujaan, saya dengan berat hati dan rendah diri menerima penghormatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk terus menulis dari hati sanubari rakyat dan pertiwi.

15 Mei 2011

RESENSI: REVOLUSI HIJAU DAN NABI NUH AS

Di dalam gua sira iaitu mendapan mineral yang mengandungi natrium, kalsium, fosforus, zat besi dan zink yang dijilat oleh hidupan liar bagi tujuan menguatkan tulang, otot dan pertumbuhan fizikal yang lain di Sira Gajah.
Di sebelah kudup mati bunga pakma (rafflesia azlanii) iaitu spesies bunga terbesar di dunia dengan pembesaran saiz sehingga 100sm diameter dan berat sehingga 10kg.
Menulis di batuan air terjun Sungai Enam yang dingin airnya seperti embun pagi yang mencengkam sampai ke tulang.

Oleh: Faizal Riduan

Seperti terkena badi tajuknya, saya tidak dapat membaca buku ini kerana berada di dalam zon 'panas, rata dan sesak' dari proses pembeliannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini membawa ke rumah di pinggir kotaraya Kuala Lumpur. Akhirnya saya memilih untuk membaca di persekitaran ‘sejuk, tinggi rendah dan lengang’ di Hutan Simpan Royal Belum iaitu hutan dara terbesar dengan keluasan 117,500 hektar atau kira-kira empat kali saiz negara Singapura dan berusia 130 juta tahun yang lebih tua dari Hutan Amazon! Pengalaman membaca buku di dalam persekitaran ‘yang sepatutnya’ sungguh menyeronokkan dan pastinya dicemburui oleh Thomas L Friedman. Malah saya syorkan aktiviti kembara buku ini seperti inisiatif Izwan Wahab, Ketua Operasi Baca@LRT iaitu sebuah kempen gerakan massa, “Rakyat membaca di mana-mana”.

Sama seperti buku-buku sebelumnya, “Lexus dan Pokok Zaitun” serta “Dunia Sama Rata”, “Panas, Rata dan Sesak” memberikan sudut pandang yang baharu yang bisa mengubah 180 darjah anak mata berjuta-juta pembaca di seluruh dunia. Estetika lingustiknya jelas mempersona dengan bukan sekadar bahasa literalnya sahaja, dia memulakan bab satunya dengan pertanyaan holistik, “Mengapa Citibank, bank di Iceland dan bongkah ais di Antartika semuanya cara pada masa yang sama?” dan bukan menyempitkan perbahasan isu hijau hanya tentang kenaikkan suhu, aras laut, teras ais, kepupusan terumbu karang dan mendapan tasik dan lautan sebagai mana yang ditemui dalam tulisan-tulisan kaku sarjana alam sekitar yang membosankan!

Ditambah dengan petikan kenyataan dari buku, majalah, akhbar dan individu persendirian termasuk temubual peribadi dari mereka yang terlibat dalam pembuatan dasar, pemain industri, pencinta alam dan komuniti setempat, menjadi seolah rantaian titipan kata-kata hikmah. Membacanya membuatkan anda percaya bahawa buku ini bukanlah ucap suara unilateral Thomas L Friedman sebaliknya adalah suara multilateral seluruh warga dunia yang mahu hidup untuk 1,000 tahun lagi.

Malah banyak babak monolog penulis buku ini yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 semasa populasi manusia berjumlah 2.681 bilion mengusik empati pembaca. Dia turut membayangkan jika dapat hidup sehingga usia 100 tahun bermakna dia akan berkongsi dunia ini dengan lebih sembilan bilion orang pada 2053 mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lebih sinikal Thomas L Friedman mendakwa yang manusia perlu menakluki tiga buah planet lagi! Sungguh fantastik dan imaganatif - sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan selama ini.

Keseluruhannya buku ini memfokus kepada lima masalah utama berlakunya pemanasan, perataan dan kesesakan dunia dengan angka-angka dan graf-graf yang dramatik iaitu peningkatan permintaan kekayaan ke negara kaya minyak dan ditaktor minyak secara besar-besaran; perubahan iklim yang membawa bencana; kemiskinan tenaga yang membahagikan dunia kepada dua blok, negara yang mempunyai kuasa elektrik dan yang tidak mempunyai tenaga elektrik; serta kehilangan biodiversiti secara drastik disebabkan kepupusan tumbuhan dan haiwan yang direkodkan.

Tanpa apolegetik, Thomas L Friedman membidas tanah tumpah darahnya sebagai penyebar virus penyakit ‘affluenza’ dan pesakit-pesakit ‘Americans’ dari Doha ke Dalian dan dari Calcutta ke Casablanca ke Kaherah yang tinggal di rumah gaya Amerika, memandu kereta gaya Amerika, makan makanan segera gaya Amerika dan menghasilkan sampah sarap sebanyak di Amerika seolah satu demografi seluruh dunia dihuni oleh sebegitu banyak ‘orang Amerika’! Salinan karbon peta Amerika ini sangat mencemaskan sehingga Michael V Hayden, Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) menyatakan bahawa penganalisisnya percaya trend yang paling dibimbangi di dunia sekarang bukanlah keganasan tetapi corak demografi.

Dengan melihat dunia yang semakin panas, rata dengan kemunculan kelas pertengahan dengan kuasa beli yang tinggi di seluruh dunia dan sesak dengan pertambahan penduduk dunia secara berterusan kira-kira satu bilion setiap 13 tahun, Thomas L Friedman telah membuktikan bagaimana pasca 9/11, Taufan Katrina dan dunia di hujung jari ekoran dengan pasport ‘internet tanpa negara’ yang diakses oleh tiga bilion manusia maka isu iklim dan tenaga bukan soal kecil dan terpencil sebaliknya era baharu iaitu Era Tenaga-Iklim yang membawa revolusi teknologi tenaga boleh menjadi ‘penawar mujarab’ dan ‘racun berbisa’.

Kemudian dengan penuh bertanggungjawab, penulisnya yang juga warganegara Amerika Syarikat mengesyorkan keperluan negaranya menerajui revolusi ini melalui Presiden Revolusi Hijau yang pertama dan Bai’ah Baru Hijau dengan dipacu oleh generasi hijau. Pengharapan beliau nyata tinngi kerana kali pertama dan terakhir komitmen kerajaannya dapat dilihat semasa kepimpinan Al-Gore, mantan Timbalan Presiden yang juga penerima hadiah Nobel Keamanan 2007 selepas menerbitkan filem dokumentari An Inconvenient Truth.

Thomas L Friedman menulis dari pengalaman ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ pada dekad yang lalu yang disifatkannya sebagai kelas kesarjanaan di tapak penyelidikan kumpulan Pemuliharaan Antarabangsa (CI) di beberapa tompok panas biodiversiti dan kawasan terancam lain - dari tanah bencah Pantanal di barat daya Brazil hingga ke hutan hujan Atlantik di bahagian pantai Brazil, dari hutan belantara Guyana Shield di selatan Venezuela hingga ke stesen penyelidikan burung macaw di Rio Tambopata di tengah hutan Peru, dari bahagian tanah tinggi Shangri-La di bahagian Tibet yang dikuasai China hingga ke hutan tropika di Sumatera dan pulau terumbu karang di Bali, Indonesia. Lebih awal dari itu, dia pernah berkelana seorang diri ke Masai Mara di Kenya, Ngorongoro Crater di Tanzania, ke kawasan kontang luas terbang di Empty Quarter di Padang Pasir Arab Saudi dan ekspedisi ke kubah garam di Laut Mati. Membaca travelog Thomas L Friedman memberikan pengalaman melancong ke destinasi bencana ekosistem rentas benua. Jika Amerika Syarikat mengkagumi Christopher Columbus sebagai penemu ‘Dunia Baru’ maka tidak salah untuk mengangkat adiwira pengembaraan abad ke-20 dan 21, Thomas L Friedman sebagai penemu ‘Dunia Bermasalah’.

Namun apakah penyelesaian bagi semua permasalahan biodiversiti ini? Ada yang beranggapan kunci permasalahan tenaga ini cuma satu, tiada pendua iaitu pereka cipta yang sebijak Thomas Edison yang akan merekacipta penemuan ajaib bagi menjana kuasa berlebihan, bersih, boleh diharap dan murah. Jawapan ringkas Thomas L Friedman penuh dengan falsafah kebijaksanaan, “Kita perlukan sejuta Nabi Nuh bersama sejuta bahtera Baginda!” Seperti pelaksana sunah ‘Nabi Nuh’, Dr Jatna Supriatna seorang profesor bioantropologi dan Arifin Panigoro seorang usahawan tenaga yang ditemui Thomas L Friedman di Batang Toru dan Batang Gadis, Indonesia, saya yang menginap tiga hari dua malam di Belum Rainforest Resort bagi mentelaah buku 579 muka surat juga boleh berbangga dengan pemiliknya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar seorang pemaju hartanah kos rendah dan sederhana yang boleh dikatakan sebagai ahli sunah ‘Nabi Nuh’ di Malaysia dengan Pulau Banding sebagai bahteranya.

31 Disember 2010

DUDUK DI "MEJA BULAT" ASTRO AWANI


Malam ini saya akan bersiaran dengan wacana sudut pandang dalam rancangan diskusi "Meja Bulat", Astro Awani, saluran 501 yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman bersama dengan tetamu-tetamunya di studio iaitu:

1)Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
2)Naib Presiden Gerakan Belia 4B - Ahmad Daniar Ismail
3)Presiden Persatuan Pelajar Undang-Undang Asia - Tey Jun Ren
4)YDP Majlis Perwakilan Pelajar UiTM - Muhammad Ridhwan Mat Salleh
5)Pegawai Khas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Shamsul Qamar Abd Rani.

Siaran:
31 Disember 2010, Jumaat - 8.15 malam

Ulangan:
1 Januari 2011, Sabtu - 4.30 pagi / 10.30 pagi
2 Januari 2011, Ahad - 3.30 petang
5 Januari 2011, Selasa - 4.30 pagi

15 Oktober 2010

ROOMATE PERTAMA

Gambar antara satu dekad pada tahun 2000 (atas) dan tahun 2010 (bawah).

Oleh: Faizal Riduan

Sesiapa yang pernah tinggal di asrama atau kolej tentunya mempunyai senarai nama yang panjang bagi pasangan roomate (rakan sebilik) mereka apatah lagi bila disambung semasa tinggal bujang di rumah sewa. Begitu juga dengan saya, roomate yang pertama saya punyai adalah ketika pertama kali menjejaki kaki di menara gading. Di Universiti Teknologi Malaysia saya ditempatkan di satu-satunya kolej kediaman luar kampus iaitu Kolej Siswa Desa Skudai (KSDS), Taman Desa Skudai. Saya tinggal di blok F iaitu blok penghujung, di tingkat 4 dan bilik bernombor 7 jika tidak silap – F407.

Kebiasaan pemilihan roomate adalah secara takdir pentadbiran kolej dan bukanlah pilihan suka sama suka. Kebiasaannya pasangan roomate ditentukan berdasarkan satu bidang kursus pengajian yang sama dan kedudukan mengikut abjad nama yang berdekatan. Begitu juga dengan roomate pertama saya cumanya boleh dikatakan keseluruhannya adalah dalam jadual Allah. Walau kami berbeza bidang kursus pengajian, saya pelajar Pembangunan Sumber Manusia sedangkan dia pelajar Kejuruteraan Awam malah nama jarak abjad nama kami adalah jauh iaitu saya ialah Faizal Riduan dan dia ialah Zamhari Helman. Persamaan yang mungkin ramai orang dambakan ialah kami berasal dari daerah yang sama iaitu Gombak! (Tetapi kami belum pernah berjumpa di Gombak dan insyallah kami dijangka bertemu ala ‘jejak kasih’ pada bulan September nanti).

Memandangkan saya mendaftar lewat jadi ketika saya masuk ke bilik tersebut, roomate saya telah pun hidup seperti sedia kala. Saya agak kekok dan canggung kerana ini adalah pengalaman pertama kali berkongsi bilik secara berdua pula. Jadi saya mulanya agak malu-malu seperti berjumpa dengan seorang wanita gayanya. Dia pula mungkin sudah banyak pengalaman jadi telah lali ‘alah biasa tegal biasa’.

Melalui Zamhari inilah saya banyak belajar tentang berkongsi bilik termasuk berkongsi makanan. Oh ya saya juga pernah meminjam sut baju Melayu hitam beliau untuk jamuan makan malam dengan tema hitam putih. Kadangkala Zamhari suka memanggil saya dengan kata ganti diri ‘roomate’. Juga aras kami adalah aras classmate (rakan sekelas)Zamhari, jadi di tahun satu pengajian saya lebih akrab dengan classmate dia dari classmate saya sendiri. Salah seorang classmate dia ialah Wan Ellyas Wan Abdullah atau lebih popular sebagai Tajol dalam layar “Dunia Baru” yang dahulu kami kenali sebagai ‘Sanad’.

Pernah sekali Zamhari menegur saya agar jangan manjakan classmate-nya yang datang ke bilik kami untuk mengepau makanan terutama mi segera simpanan saya, mungkin dia segan apabila classmate-nya lebih mengharapkan saya sebagai sumber stor makanan mereka. Malah melalui Zamhari juga saya diceritakan tentang tabiat pelajar di asrama yang makan mi segera di dalam bardi secara bergotong-royong!

Sebenarnya Zamhari-lah satu-satunya rakan seuniversiti saya yang terawal tahu tentang minat kecenderungan saya. Berbanding rakan-rakan lain selepas itu yang hari ini lebih terperanjat dengan obsesi saya dalam penulisan sains sosial, dasar-dasar kerajaan dan kemasyarakatan. Soalan pertama selepas kami bersua suara di dalam talian kelmarin ialah, “Engkau sudah jadi Setiausaha Menteri kah?” dengan penuh sungguh tanya. Saya menyambutnya dengan gelak ketawa kerana setelah lebih satu dekad, Zamhari lebih dahulu mengenal diri saya dari saya mengetahuinya sendiri.

Terima kasih Zamhari!

02 September 2010

MUFTI YANG BERANI TERJUN KE DALAM API NERAKA


Oleh: Faizal Riduan
Tajuk tanpa prangka ini bukan datang dari saya tetapi saya ambil dari kenyataan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya sendiri, “Orang yang berani berfatwa adalah orang yang berani terjun ke dalam api neraka” dari kolum Bicara Mufti di dalam majalah Milenia Muslim edisi Oktober 2009, edisi yang sama memberikan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut dalam anugerah berprestij kebangsaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2010 bagi kategori Perkhidmatan Awam Cemerlang. Jika benar dakwa Dr Juanda majalah ini dibiayai oleh sebuah agensi agama kerajaan persekutuan maka kredit lebih berganda wajar diberikan kerana untuk pertama kali majalah ‘kerajaan’ boleh mengalahkan bukan sahaja majalah tetapi akhbar ‘swasta’ yang lain.

Saya asalnya lebih suka untuk mengambil sikap al-tawaqquf iaitu berdiam diri dari pertikaian dua pihak orang-orang tua agama. Apatahlagi saya bukanlah ahli dalam bidang Fiqh. Tidak perlu menjadi ‘nasi tambah’dan cukup sekadar menjadi 'beras di tepi gantang', masuknya tak bertambah, buangnya tak berkurang.

Sejujurnya sebagai orang muda saya suka meraikan keberanian bertindak balas mufti berusia 38 tahun yang muda ini sama dengan mufti sebelumnya iaitu Dr Mohamad Asri Zainal Abidin. Umur yang hampir sama dengan Rasulullah SAW ketika diangkat menjadi nabi dan rasul. Saya teringat sosok pemuda yang berani iaitu Saidina Ali Abi Talib yang sekebetulan meninggal dunia pada bulan Ramadan. Tidak salah rasanya saya mengaitkan nama salah seorang dari 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin Baginda SAW sebagai ahli syurga. Tetapi barang jangan dilupa dari ahli syurga inilah juga munculnya kumpulan Khawarij dan Syiah apabila pandangan melampau mereka untuk menjadi lebih ‘Ali dari Ali’. Mudahnya idola yang terbaik sekalipun bisa pegangan amalannya disalah tafsir oleh pengikutnya sendiri. Dan inilah yang menimpa juga kepada Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan pengasas Wahabi.

Saidina Ali seorang pahlawan gagah yang boleh berhadap dengan musuh terhebat secara berdepan satu lawan satu bukan dengan muslihat dan tipu helah sebagaimana beliau diserang hendap dari belakang ketika dalam solatnya. Di dalam satu perlawanan ketika Saidina Ali nyaris dapat membunuh musuhnya seorang Yahudi tetapi baliau tidak meneruskan tindakannya apabila mukanya diludah oleh si Yahudi itu tadi. Saidina Ali bimbang niatnya berjihad bukan lagi kerana Allah SWT sebaliknya kerana nafsu amarahnya itu. Mungkin di sini terdapat perbezaan yang ketara dengan tindakan Mufti Perlis yang ‘terlebih lajak dari laju' dan kemudian bertukar dari fitrah menjadi fitnah apabila menuduh sebuah majalah dakwah Milenia Muslim sebagai agen agensi agama kerajaan persekutuan untuk menyerang kedaulatan sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.

Ironisnya tidak sampai setahun sebelumnya beliau sanggup pula ditemubual oleh majalah yang sama untuk empat muka surat dengan perbezaan hanya selang enam muka surat dari kolum Kembara Minda yang diisi oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ketika itu Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Tiada pula kedengaran majalah tersebut ditohmah sebagai agen Wahabi atau agen negeri Perlis untuk memecah-belahkan keharmonian amalan mazhab Syafie di Malaysia?

Peringatan Saidina Ali terhadap golongan Khawarij yang memanipulasikan slogan agama dengan hujahnya, “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” mungkin boleh dibaca secara terbalik iaitu “Perkataan yang batil, tetapi bertujuan benar” jika saya masih mahu berbaik sangka dengan kenyataan Dr Juanda ini. Jangan pula selepas ini saya didakwa-dakwi sebagai penyokong Syiah sebagaimana dicop ke atas dahi Faisal Tehrani. Kami mungkin berkongsi nama yang sama tetapi di dalam berpandangan kami berhak untuk berbeda.

Terdahulu saya cuba berlaku adil dengan menganggap pendapat mufti mungkin terkhilaf kerana beliau bukan pembaca tegar Milenia Muslim kerana jika Dr Juanda hanya membaca dua keluaran majalah tersebut sahaja iaitu bulan Oktober 2009 yang mengeluarkan temubualnya dan terbaru Ogos 2010 yang memuatkan tulisan kontroversi kolumnis Datuk Nakhaie, beliau tentunya boleh membaca persamaan maklumat penerbitan majalah yang diterbitkan oleh MMP Communications Sdn Bhd dan perubahan pada gugurnya ‘dengan kerjasama’ YADIM. Bahkan Datuk Nakhaie yang masih menjadi kolumnis, kini telah pun menjadi mantan Yang Dipertua YADIM. Dari sudut formaliti jika ada sekali pun, hubungan rasmi tersebut sudah berakhir.

Sungguhpun begitu disebalik ‘helaian’ majalah sebenarnya sejak dahulu lagi hubungan Milenia Muslim bersama YADIM bukan sepertimana hubungan majalah Visi bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) atau majalah Cahaya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak secara langsung sebagai penerbit sekaligus pembiaya dana. Sebaliknya kerjasama dua agensi berkenaan lebih kepada YADIM sebagai pelanggan dengan membeli secara tetap dan bukan melabur sebagaimana pemegang saham. MMP Communication adalah penerbit de facto sejak dahulu lagi tetapi menggunakan kerjasama permit yang diperolehi oleh YADIM.

Adapun pemberian majalah percuma di masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan juga institut-institut pengajian tinggi digerakkan oleh program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (baca dakwah) oleh syarikat korporat termasuk sumbangan penerbitnya sendiri. Ia langsung tidak dibiayai oleh wang kerajaan persekutuan. Wajarkah kerajaan persekutuan mendapat pahala percuma atas usaha dakwah yang digerakkan oleh pihak swasta? Atau bolehkah dosa (jika ada) tulisan Datuk Nakhaie itu dipindah bahu kepada sebuah agensi agama milik kerajaan persekutuan?

Begitu juga dengan tindakan Dr Juanda membesarkan skala konflik yang asalnya adalah masalah pegangan peribadi sehingga melibatkan negeri dan kini negara menjadi galang ganti. Agak lelucon untuk membaca hujah doktrin kenegerian dan persekutuan kenegaraan serta hubungkaitnya dengan DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis sebagai Ketua Agama Islam sementara dalam masa yang sama mantan Mufti Perlis, Dr Asri sendiri berhadapan dengan tuduhan di mahkamah mengajar tanpa tauliah dan izin dari DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri. Malah syor campurtangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi pelaksana urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu oleh Dr Juanda pada 2 November 2009 jelas kontras dengan pendapatnya terbaru ini. Nampaknya seorang mufti boleh mempunyai dua pandangan yang berbeza untuk satu latar kes yang hampir sama.

Sungguhpun begitu, saya mempertahankan negeri Perlis dari ketidak-adilan untuk dilabel tanda sebagai Wahabi walau ia mungkin mencabar status qua ahli Sunnah wal Jamaah tetapi bisikkan suara pencerahan tidak sewajarnya dipekakkan dengan kekerasan terjahan suara ijmak jemaah dan ego kekuasaan alim ulama ‘tyranny of the majority’. Mungkin dalam beberapa perkara ada asas persamaan tetapi belum tentu ianya serupa sebagaimana idea tajdid yang diperjuangkan dalam Tema Tajdid, Astora Jabat dengan slogan “Mencabar minda muslim pasca moden” dan Minda Tajdid, Dr Asri dengan tema “Mengemudi bahtera perubahan minda”. Hakikatnya pandangan tajdid dari kacamata Astora Jabat dan Dr Asri secara sekali baca seakan sama tetapi tafsiran mereka saling kontra sehingga pernah bertentang empat mata di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Begitu juga dengan Datuk Nakhaie dan Dr Juanda nampak berbeza tetapi berkongsi pegangan yang sama dengan penggunaan kekerasan cengkaman kuasa dengan tangan untuk menutup mulut dalam dialog mulut ke mulut. Ketika Datuk Nakhaie mengesyorkan ISA kepada penganggu keharmoniam amalan beragama Islam di negara ini, jawapan balas balik Dr Juanda mengaitkan kewajaran Akta Hasutan kepada tulisan beliau. Saya teringat bagaimana lemahnya budaya berdialog sehingga mengadu kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk ‘memadamkan’ tulisan kontroversi kolumnis Bicara Agama, Mingguan Malaysia dan editor Al-Islam, Astora Jabat menjadi pilihan utama sedang banyak inisiatif dialog boleh mematahkan hujah. Mungkin kerana sikap anti-ofensif dan anti-defensif, sebaliknya alim ulama terus nikmat di syurga pertapaan tanpa sedar golongan jahil yang gagal didakwahi menjadi seperti Akhbar Ali apabila menyerang alim ulama yang gagal berhujah dengan akal sihat sebagai golongan berserban ketat yang kekurangan oksigen di dalam kepala.

Kita perlu menerima kenyataan bahawa alim ulama kita masih gagal mengambil hikmah dari perbezaan pendapat antara mazhab dan tanpa sedar telah menyempitkan tafsiran Surah Hud, ayat 118-119, “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”

Sebagai umat Islam kita patut belajar berbaik sangka dan berbalas baik walau dihantar dengan kejahatan apatahlagi kepada alim ulama yang lebih dahulu mengenal maksud Surah Fussilat ayat 34, “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan dia ada permusuhan (berubah) seolah-olah teman yang sangat setia.”

Bagi yang ingin menjadi mujtahid, tidak salah untuk berguru dengan Muhammad bin Abdul Wahab yang secara berterus terang berani mengaku sebagai seorang mujtahid dengan tetap pendirian, “Bahawa mazhab kami dalam Usuluddin (Tauhid) adalah mazhab ahli Sunnah wal Jamaah, dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah fikah kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mengingkari seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab luar dari empat mazhab seperti mazhab Rafidah, Zaidiyah, Imamiyyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaklid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut.”

Sungguh begitu, beliau masih merendah diri dengan menafikan dirinya sebagai mujtahid mutlak sehingga terlepas pegang menjadi bebas daripada mana-mana mazhab, “Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwa dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah furuk yang kalau kami lihat di sana ada nash yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegang pula oleh seorang imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti.”

Kepada yang mengakui dirinya adalah ahli Sunnah wal Jamaah dari mazhab Syafie ada baiknya untuk berlapang dada sebagaimana pesan Imam Syafie, “Pendapatku adalah benar, tetapi berkemungkinan salah dan pendapat orang lain daripada ku adalah salah tetapi berkemungkinan benar.” Malah Syeikh Muhammad Ali al-Sayis menukilkan dalam kitabnya, “Metode Imam Ahmad dalam berijtihad sama dengan manhaj Imam Syafie kerana beliau belajar daripadanya.”

Nah sekarang persoalan Wahabi saya tinggalkan kepada alim ulama. Yang menjadi tanda soal ialah hukum ‘fatwa’ Mufti Perlis terhadap majalah dakwah Milenia Muslim. Mufti juga adalah manusia biasa tidak terlepas dari khilaf salah tetapi jika benar lajak lanjurnya perlu berani tangani seperti Imam Abu Hassan Ashaari yang apabila menyedari dirinya tersesat kepada fahaman Muktazilah, beliau membuat pengakuan mengistiharkan dirinya kembali kepada Islam di atas mimbar sambil membuang jubahnya.

Saya yang kurang arif bahkan naif agama sekadar tahu sesiapa yang membuat fitnah walau keluar dari mulut seorang alim ulama sebenarnya telah meletakkan sebelah kakinya melepasi garisan ke neraka. Mufti bukanlah Si Luncai, tidak begitu Sahibul Samah Mufti Perlis?

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.