29 Oktober 2009

RESENSI : TRANSFORMASI IMAN DI TANAH SUCI


Oleh: Faizal Riduan

Ibadah haji secara teorikalnya telah dipelajari semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Bagi yang bakal menunaikan haji, kursus haji bersiri tentunya memberikan panduan dalam lapangan praktikaliti. Bagi yang masih belum berkemampuan menunaikan ibadah ke lima dalam Rukun Islam, suasana haji hanya dapat dirasa apabila menghantar jemaah haji ke tanah suci dan mendengar lambaian salam dari tanah suci di kaca televisyen atau corong radio.

Buku dengan penulisan ala novel, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang mengisahkan catatan pengalaman peribadi Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim bersama isteri dan dua adik beradik perempuannya memberikan dimensi lain yang lebih dinamik dan hidup kepada pembaca dalam memahami ibadah haji. Malah pembaca seakan diajak bersama untuk larut khusyuk bersama penulis dalam pengembaraan kerohanian menyahut seruan haji di Makkah al-Mukaramah.

Membaca petikan Surah Ali Imran, ayat 97 dalam sinopsis buku ini sahaja sudah cukup mengetarkan jiwa bagi diri yang ego bahawa ibadah haji masih jauh lagi untuk ditempuh, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah maha kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk.”

Coretan santai dan bersahaja penulisnya mengenai kisah ubat sakit tekak, kisah rokok, kisah golf, kisah beli-belah, kisah jubah mahal, kisah nampak dan tidak nampak kaabah, kisah malaikat dan wali Allah SWT, kisah isterinya kedatangan haid, kisah orang tidak menjaga kebersihan, kisah orang suka berebut, kisah mendapatkan saf berhampiran dengan imam dan kisah mencium hajar al-aswad seakan memberikan gambaran sebenar yang hidup untuk diimaginasikan oleh pembaca.

Sesekali pengalaman penulis yang menyentuh perasaan membuatkan air mata bergenang dan bulu roma meremang. Sungguh, buku ini punyai rohnya yang tersendiri! Pastikan sebelum membaca buku ini anda dibekalkan dengan tisu jika tidak mahu helaian-helaian muka suratnya kembang dek tumpahan air mata yang bercucuran! Penyampaian dari lubuk hati yang paling dalam berjaya meruntun jiwa dan menggugah emosi pembaca walau subjek meternya sudah banyak ditulis oleh penulis lain.

Buku ini bukan semata-mata catatan pengembaraan ketika menunaikan fardu haji yang merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman, tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui batas masa dan sempadan geografi.

Membaca buku ini sebenarnya seperti membaca sisi dalaman penulisnya, walau bergelar profesor perakaunan dan Pengarah Kampus Cawangan di UiTM, penulis dengan rendah diri dan jujur hati menukilkan pengalaman mula belajar mengaji al-Quran dan terjemahannya, bersembahyang solat taubat, tahajud dan dhuha, berpuasa sunat dan berkomunikasi intim dengan tuhan melalui doa yang tersendiri. Walau mengakui beliau seorang yang jahil namun cekal berazam untuk menjadi tetamu Allah SWT paling istimewa di tanah suci. Hasilnya antara anugerah terbaik sepanjang 44 hari berada di tanah suci ialah apabila penulis berjaya mengkhatamkan al-Quran di Masjidil Haram walau asalnya beliau seorang yang buta al-Quran.

Penulis turut mencoret cabaran setelah bergelar ‘haji’ dengan kemuncak perubahan utama ialah beliau dan anak-anak mengimarahkan surau di kondominium tempat mereka tinggal dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang sebelumnya diamalkan semasa di tanah suci. Malah penulisan beliau jika dibaca oleh bekas ‘haji’ dan ‘hajah’ akan memuhasabahi mereka dengan persoalan adakah ibadah haji yang pernah dilalui menjadikan mereka orang yang lebih baik atau orang yang sama seperti sebelumnya atau lebih malang lagi menjadi orang yang semakin teruk? Bagi yang bakal ‘haji’ dan ‘hajah’ pula anda boleh mengkoreksi diri tentang apa yang dikehendaki dari ibadah haji sebaik khatam buku ini.

Walau bukan mengaji di sekolah pondok dan memegang ijazah syariah di universiti Asia Barat, penulis berjaya menampilkan dirinya sebagai golongan profesional-ustaz (protaz) melalui dakwah penulisan yang mengesankan. Bagaikan tidak percaya penulis travelog yang santai ini juga adalah penulis buku-buku ilmiah seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia.

Buku yang tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009 dan telah diulang cetak sebanyak sembilan kali ini boleh menjadi inspirasi untuk anda mula membuka akaun di Tabung Haji atau mendaftar diri sebagai jemaah haji pada musim yang akan datang. Malah Travelog Haji ini boleh menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mereka yang belum menunaikan ibadah haji dan penanda aras kepada mereka yang telah menjejakkan kaki ke sana. Seperti kata penulisnya, setelah menunaikan fardhu haji, bukan bermakna berakhir pengabdian kita kepada Allah SWT tetapi bermulanya satu era baru yang lebih mencabar untuk mengekalkan tahap amal ibadah yang telah dilakukan semasa di Makkah.

12 Oktober 2009

MENYUSUR JEJAK SEJAUH NUN DI PANTAI PASIR LANUN




Ihsan www.adiiqfoto.fotopages.com

Semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai tidak banyak tempat yang saya lawati dan singgahi. Rasanya kebanyakan graduan UTM mempunyai pengalaman selama empat tahun dengan 'lawatan sambil belajar' baik sedekat Pantai Lido di Johor Bahru hingga ke pesisir Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman dan Pantai Penyabong di Mersing. Sesiapa yang belajar di sana tanpa mengunjungi salah satu pantai tersebut, ada baiknya anda sekadar mengaku menuntut di Kampus UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur jika tidak mahu dikatakan 'buta alam'.

Semuanya bermula apabila mengenali junior bernama Fauziah Abdullah aka Ogy yang mengajak saya ke sini di terataknya di Endau, Mersing dan mengajar saya erti kehidupan kampung tradisi. Saya telah beberapa kali pergi ke sini ber-chalet-kan rumah Ogy sebagai asrama kedua di universiti bersama Ijan, Dino, Elly, Suhaila, Ana, Yaya, Faizah, Idris dan Palong malah beberapa kali saya pergi sendiri. Keluarga Ogy juga sudah menjadi seperti keluarga sendiri, kami pergi memancing sekali, berkelah dengan kudapan di sisi dan berkaraoke tanpa henti. Kereta Kancil WKJ 3*5* banyak menjadi saksi transaksi kenangan ini. Dahulu dari Skudai jauhnya sekadar 170km iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan. Kini dari Kuala Lumpur, saya terpaksa menempuh perjalanan selama 5 jam iaitu sejauh 390km.

Walau sebenarnya Pantai Teluk Kemang di Port Dickson adalah pantai pertama saya pijakkan kaki seawal tahun 1996 dalam satu rombongan kampung namun tiada tarikan untuk saya jejaki kembali. Ia sekadar zaman datang dan pergi yang tidak langsung membekas di lubuk sanubari. Zaman remaja dengan gelak ketawa tak kering gusi semuanya bagai hilang dalam memori. Bezanya cuma laut tak berdinding seluas mata memandang sedang dinding konkrit bilik air sesempit sedepa kepakan tangan dan air laut yang masin berbanding air paip yang tawar dengan klorin.

Namun semuanya lain di sini. Pantai Pasir Lanun jika dahulu kala menjadi sarang persembunyian lanun kini saya bagaikan penemu harta karunnya yang jauh tersembunyi. Ombaknya bukan sekadar menderu mencuit jari, pasirnya bukan sekadar hamparan lembut permaidani, terumbunya bukan sekadar berduri mencucuk kaki, nyiurnya bukan sekadar melambaikan rentak tari, batunya bukan sekadar tersergam unik mengarcai dan camarnya bukan sekadar melayang membelah langit tinggi. Segalanya lebih dari itu di sini.

Setelah lima tahun meninggalkan jejak kenangan di sini, sedari Mohd Azlan dan Mohd Azwan serendah peha saya kini setinggi pusat saya, dari mereka tinggal di teratak kayu hingga ke rumah batu, dari arwah 'busu'nya adik Aisyah yang girang sehingga dia pergi tanpa pesan dan dari 'Mak Dara'nya si Ogy bujang sehingga hilang daranya kerana telah berumah tangga. Segalanya telah jauh berubah tetapi saya tetap sama - seorangan dan berangan.

Jika diberi pilihan hadiah bercuti ke Pantai Kuta di Bali atau Pantai Waikiki di Hawaii, saya tetap memilih Pantai Pasir Lanun di Endau ini. Cumanya saya mungkin mengelak untuk berbulan madu di sini kerana saya tidak mahu keindahan bermalam bersamanya di sini menandingi kenangan bersama mereka yang terlebih dahulu mengajar saya erti kehidupan.

Berikut aku dedikasikan gambar kunjunganku terkini :

Mencari harta karun kapal Portugis 'Flor De La Mar'

Terkambus dibadi penunggu harta karun lanun.

Jasad tanpa kapan dengan kubur tanpa nisan.

Mohd Azlan bergambar di atas penderitaan orang lain.

Mohd Azwan bertilam sementara aku bercadar bumi.

Aksi ''Keliwon' bangkit dari kuburan

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.