17 Mei 2010

DUNIA SENYAP DASAR LAUT

Oleh: Faizal Riduan

Kehidupan di dalam laut adalah dunia yang sunyi sepi, tenang di dasar walau permukaannya bergelora ombak dan gelombang yang kejam. Sungguh tepat sekali apabila Jacques Yves Costeau, seorang ahli oseanografi dan ahli selam terkemuka dari Perancis menamakan alam bawah laut itu sebagai “Dunia Senyap” untuk tajuk buku dan dokumentari yang merakam rahsia penemuan pengembaraan dan penerokaannya yang pertama kali dalam rekod dunia, masing-masing diterbitkan pada tahun 1953 dan 1956. Jika tidak sudah tentu dunia dasar laut yang penuh warna-warni ini dilihat sekadar statik berwarna biru yang sedikit berbeza dari ton latar belakang awan.

Walaupun manusia adalah mahkluk ‘daratan’ tetapi tetap tidak dapat dipisahkan dengan lautan. Lihat sahaja habitat 800 spesis terumbu karang yang didiami oleh lebih 4,000 spesis ikan yang menyumbang pendapatan dunia lebih RM1.34 trillion sebagai sumber makanan dan produk pelancongan.

Hari ini warisan dasar laut terbaik boleh ditemui di Taman Laut Terumbu Sawar Besar iaitu Taman Laut terbesar di dunia terletak di Queensland, Australia yang diiktiraf sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Semulajadi Dunia dan Tapak Warisan Dunia.Gugusan terumbu karang ini adalah struktur terbesar organisma hidup yang terdiri daripada berbilion-bilion polip sehingga boleh dilihat dari angkasa lepas. Ia mengandungi 2,900 batu karang dan sekitar 900 pulau yang terbentang luas sepanjang 2,600 km dengan luas permukaan sekitar 344,400 km².

Sungguh Malaysia bukanlah negara kepulauan sepenuhnya seperti Queensland, setidak-tidaknya kita masih boleh berbangga kerana masih tersenarai dalam 12 buah negara mega biodiversiti dunia. Kira-kira 80 peratus spesis batu karang di dunia dan lebih 4,000 spesis ikan mendiami dasar laut negara dengan bahagia aman sentosa. Tidak hairanlah, Pulau Tioman dipilih sebagai antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970.

Cabaran menanti pengembara selam skuba ialah untuk menjejaki peta navigasi flora dan fauna marin seperti batu karang, mamalia marin, ikan dan invertebrata yang senyap mendiami wilayah perairan negara di Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi. Panaroma lebih fantasi tetapi alami dari sekadar melihat pameran fotografi “Malaysia In 24Hrs Beautiful Destination - Underwater Sceneries of Malaysia” karya 42 penyelam dan jurugambar bawah laut di Balai Seni Lukis Negara yang akan berakhir 6 April ini. Namun bagi yang mabuk laut, jika anda trauma apabila teringat filem Jaws atau Open Water, ada baiknya anda meneutralkan minda anda dengan menonton Teater Muzikal Gamat di Istana Budaya dan lihatlah betapa ramah mesranya makhluk marin ini.

Apapun jumlah Taman Laut di Malaysia sebenarnya masih satu angka yang kecil untuk keseluruhan khazanah biodiversiti dan ekosistem marin negara. Ini kerana negara mempunyai warisan 882 buah pulau dan hanya 42 buah pulau diwartakan sebagai Taman Laut, dua buah pulau di Sarawak diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sementara 11 buah pulau lagi di Sabah diwarakan sebagai Taman Negeri. Rumusnya hanya 55 buah pulau iaitu sekitar 6.2 peratus sahaja yang dilindungi. Penambahan bakal 32 buah pulau Taman Laut masih tidak mencecah 10 peratus. Begitu juga dengan liputan batu karang di perairan negara sejumlah 614,000 km² tetapi hanya 2,300 km² dipelihara sebagai Taman-Taman Laut iaitu hanya 0.37 peratus.

Sama seperti Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang bermula tahun 2007 yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Timor Leste dan Kepulauan Solomon yang hanya mewakili dua peratus kawasan laut dunia namun signifikan kerana hampir 75 peratus jenis terumbu karang dan 40 peratus jenis ikan-ikan karang menetap tinggal di sini.

Kini kita hanya tinggal baki sisa karun laut. Pulau Tioman hari ini walau dikatakan masih cantik tetapi tidak secantik yang dilihat oleh editor majalah Time pada tahun 1970 apatah lagi dari kaca mata Dr Kaempfer pada tahun 1690 dan William Jansz pada tahun 1602 yang lebih mengenalinya sebagai Pulo Timao.

Jika khazanah ini tidak dapat diwarisi, ia hanya akan menjadi lagenda dan mitos. Itulah yang mungkin berlaku kepada Pulau Galapagos yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1978. Kepulauan volkano itu telah dijejaki oleh Charles Darwin pada 15 September 1835 semasa pelayaran Beagle yang kemudian melalui spesimen-spesimen kajian penyelidikan membawanya kepada penemuan teori evolusi yang kontroversi. Terbaru pada tahun 2007, pulau yang diduduki oleh 23,000 penduduk ini diklasifikasikan sebagai 'Warisan Dunia Dalam Bahaya'!

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) sebagai penguasa perlu diperkasa. Tidak cukup bagi sebuah jabatan yang dinaik taraf dari satu seksyen di Jabatan Perikanan pada 16 Julai 2007 itu mengekalkan penggunaan Akta Perikanan 1985 yang sekadar membawa hukuman maksimum RM20,000 atau dua tahun penjara. Tanpa peruntukan khas seperti Akta Taman Laut, JTLM tidak ubah seperti jerung tanpa gigi dan rahang yang hanya sesuai di Aquaria, KLCC dari mitologi Hawaii sebagai penjaga samudera. Malah tidak keterlaluan jika JTML dijadikan seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), pasukan elit keselamatan kawasan perairan dengan bot laju, motor selam mini dan Subskimmer iaitu kenderaan selam penyusupan dalam air tanpa kesan serta pasukan yang dilengkapi senjata MP5A5 dengan pejera Optik Taktikal CompM2 dan lampu suluh Surefire. Apa bezanya penceroboh hidupan laut dengan lanun?

10 Mei 2010

TEMU TERUMBU DI TIOMAN

Oleh: Faizal Riduan

Sebagai rakyat Malaysia pemilihan Pulau Tioman antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970 sememangnya membanggakan. Lebih awal dari itu, ia telah terpilih menjadi lokasi penggambaran filem muzikal Hollywood, South Pacific pada tahun 1959. Saya tidak dapat membayangkan keindahan karya tuhan ini kerana saya hanya dilahirkan pada tahun 1981.

Izinkan saya mulakan cerita dongeng asal usul Pulau Tioman dengan gaya sang panglipurlara. Menurutnya ceritera hikayat dahulu kala, Pulau Tioman berasal dari kisah sepasang naga suami isteri yang meninggalkan Tasik Chini ke laut melalui Sungai Pahang. Dalam perjalanan kepergian, naga itu tertinggal kain cindai lalu berpatah balik. Malangnya, ketika itu ayam telah berkokok dan ia adalah melanggar pantang menyebabkan naga bertina disumpah menjadi pulau sementara naga jantan bertukar menjadi Gunung Nenek Semukut. Saya terfikir alangkah larisnya jika Tioman ada menjual kain ‘cindai naga’ sebagai tanda mata lagenda turun temurun itu.

Walau telah bertaraf dunia, majoriti pengunjungnya adalalah bukan warganegara Malaysia yang lebih mesra dengan dasar liberalisasi ‘tambang murah’ kapal terbang RM9.90. Barangkali mereka lebih ‘gila’ ke Phuket di Thailand dan Bali di Indonesia. Berbeza dengan saya yang sukakan ‘hujan batu’ di negara sendiri, undangan ke Pulau Tioman untuk Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu benar-benar satu rahmat.

Mujur kepergian menaiki pesawat folker Berjaya Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang hanya mengambil ‘angin’ 45 minit berbanding laluan darat tambah laluan laut yang memanaskan punggung selama enam jam. Setelah lima tahun tidak berada di awan biru, melihat Pulau Tioman dari udara sungguh mengasyikkan dengan keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar serta 20 batu di luar pesisir pantai di bahagian tenggara negeri Pahang Darul Makmur. Badan rasa bergetar saat menjejakkan kaki di bumi yang berkedudukan antara 104° 5’ hingga 104° 15’ longitud dan 2° 40’ hingga 2° 55’ latitud di dalam peta dunia.

Pulau Tioman adalah pulau terbesar di dalam gugusan sembilan pulau selainnya iaitu Pulau Tulai, Pulau Labas, Pulau Sepoi, Pulau Seri Buat, Pulau Tokong Bahara, Pulau Gut, Pulau Cebeh dan Pulau Sembilang. Paling indah kunjungan saya kali ini akan menyelongkar rahsia alam di seluruh penjuru ceruk yang terdiri daripada sembilan buah perkampungan seolah menjejaki usaha pakar geologi J H Bean pada 1967 sebelum peta rasmi diterbitkan pada 1973. Malah kedatangan saya ke sini bukan sahaja sebagai pelancong tetapi sebagai pemerhati ala pengkaji kerana turut bersama ialah sepasukan pakar dari Unit Perundingan Universiti Malaya (Upum).

Sebetulnya ketika ini adalah musim angin monsun timur laut yang bertiup kencang dengan kelajuan maksimum mencecah 20 m/s dan ombak meninggi mencecah 5 meter dikira sebagai musim senyap pelancong iaitu antara bulan Disember hingga Februari memberikan saya privasi. Jika tidak sudah tentu saya rasa terpencil di negara sendiri kerana Pulau Tioman menarik 30,000 hingga 50,000 pelancong sebulan yang kebanyakkan dari negara Eropah.

Setiap kampung di Pulau Tioman mempunyai variasi yang unik dan tersendiri. Bagi yang berfikir Pulau Tioman adalah pulau 'sekankang kera', anda perlu berfikir sekali lagi! Kampung Tekek nampak seperti mempunyai sejarah dengan lagu “ikan kekek mak iloi-iloi” adalah kampung terbesar nampak moden dengan kemudahan infrastruktur dari marina sehingga ke Pusat Taman Laut. Semua perkhidmatan utama Pulau Tioman berpusat di Kampung Tekek. Namun hanya ada satu bank iaitu Bank Simpanan Nasional. Itupun milik kerajaan. Jadi ada baiknya percutian anda dibekali dengan wang yang mencukupi tanpa perlu memenuhi poket kerana tiada barang identiti tempatan yang menanti untuk dibeli. Apalah maknanya anda membeli makanan kering laut dari Pulau Pangkor atau produk kraftangan dari Bali di Pulau Tioman?

Dominasi kumpulan Berjaya boleh dilihat di lapangan terbang dan Berjaya Resort yang nampak mewah dan ekslusif dengan 268 buah bilik. Bilalah agaknya syarikat kapal terbang tambang murah dan hotel milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) hendak beroperasi di pulau yang 99.9 peratus penghuninya adalah Melayu?

Menyelusuri sepanjang pantai Kampung Tekek dengan memalingkan wajah ke hujung laut begitu mendamaikan disapu angin bayu. Namun sebalik berpaling ke atas daratan, mata sedikit sakit melihat rumah kayu beratap zink penduduk yang usang. Hati terdetik meragui sejauh mana kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara memberikan pulangan kepada penduduk asal yang seolah sekadar memerhati orang luar datang dan pergi tanpa apa-apa erti.

Kampung Salang adalah tempat paling meriah tumpuan utama pelancong yang mempunyai tiga buah resort yang diusahakan oleh penduduk kampung iaitu Salang Indah Tioman, Salang Sayang Resort dan Salang Pusaka Resort yang menyaksikan penguasaan masyarakat setempat dalam ekonomi. Nama-nama menu juga ditulis baca dalam bahasa Inggeris, jadi kepada yang belum fasih kepada bahasa antarabangsa ini ada baiknya anda dibekalkan dengan kamus. Namun kejutan budaya jelas apabila pemuda bernama Mikail dipanggil Michael sementara Zainal dipanggil Zack.

Kampung Air Batang menawarkan percutian perkampungan yang ideal. Walau kekurangan fasiliti namun kedudukan strategiknya bersebelahan dengan Kampung Tekek dan Kampung Salang yang boleh dihubungkan melalui laluan darat untuk pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal bertukar menjadi satu kelebihan.

Kampung Paya dan Genting pula nampak mewah dengan chalet esklusif seolah anda berada di dunia yang lain. Ia sesuai untuk percutian dalam bentuk kumpulan yang tidak memerlukan orang lain dalam dunia mereka. Kebanyakannya dimiliki oleh orang Singapura yang memajak sewa tanah milik penduduk untuk dijadikan pulau kedua mereka.

Sebenarnya rupa bentuk Pulau Tioman yang hampir 80 peratus berbukit dan bertebing tinggi dengan formasi batu granit dan bukit bukau beralun ini menjadi daya tarikan untuk sukan ekstrem mendaki bukit dan memanjat tebing cerun suram. Selain Gunung Nenek Semukut, Batu Sirau (747 m), Gunung Seperuk (958 m) dan Gunung Kajang iaitu gunung tertinggi (1,038 m) menjadi pilihan si kaki gunung untuk dipijaki.

Kampung Mukut agak lengang dengan pelancong disebabkan perkhidmatan feri yang telah ditamatkan sejak setahun yang lalu. Menyakitkan kaki menyusur pantainya yang sempit dan berbatu. Dalam perjalanan, semasa melalui Gunung Nenek Semukut, mualim bot meluruskan telunjuk pada arcaran banjar gunang-ganang yang tegak meninggi sambil menterjemahkan tonjolan bongkah granit yang menegak 695 m sebagai mitos ‘tanduk naga’.

Jika tidak puas mandi air masin, apa kata anda bilas air laut dengan air terjun Bukit Asah. Sebenarnya kampung Mukut memberikan pilihan terbaik untuk kaki pancing laut dalam berkampung. Tempat ini yang masih belum dikomersilkan secara besar-besaran menjanjikan kehidupan desa yang permai dan mendamaikan. Lupakan sebentar cara hidup percutian serba mewah, di sini anda boleh kembali kepada kehidupan tradisi warga peribumi. Sang pengail boleh ke tengah laut untuk merasa penangan bertarung dengan mayung, bagak, tenggiri, tongkol, kerapu dan ketarap yang mudah mengena umpan.

Kampung Juara agak tersorok dan tersembunyi kerana kedudukan tunggalnya di sebelah belakang mengadap Laut China Selatan. Mujurlah ada laluan darat jalan berturap yang dibina sejak beberapa tahun yang lalu, jika tidak kecantikan kampung ini akan terus tenggelam dalam malar belukar dara. Laluan jalan yang cerun berliku dan berbukit ini memerlukan 45 minit perjalanan dengan aksi pemanduan yang sangat berhati-hati menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang boleh didapati di Kampung Tekek. Namun bagi yang sukakan cabaran, laluan alternatif dari Kampung Tekek ke Kampung Juara boleh diredahi secara rentas denai sepanjang tujuh kilometer yang mengambil masa selama dua jam.

Pembukaan Santuari Penyu Tengku Arif Temenggung (TAT) di kampung ini menjadikannya pusat pendaratan dan penetasan kedua di Pahang selepas Cherating dan ke-15 di Malaysia. Di sini juga terdapat satu kubur keramat Datuk Bukit dengan pesanan kepada sang pemuja nombor ekor, lebih baik berlibur di sini bagi memastikan kunjungan anda berbaloi.

Apapun Pulau Tioman tetap syurga dasar laut. Anda boleh menyelam melihat karang lembut Gorgonian, Staghorn dan nudibranch sambil berenang di sisi ikan Napoleon Wrasse yang besar, ikan Golden Striped Trevally, Bumphead Parrotfish dan kumpulan ikan Fusiliers. Malah kini, penyu agar dan penyu karah menjadi penghuni baru di pulau ini.


Saya tidak melepaskan peluang berenang sambil bersnokeling di jeti Pusat Taman Laut bersama ikan jinak yang makan ditangan. Berbekalkan roti sudah cukup untuk menggoda ikan-ikan ini berlumba mengejarnya. Tidak tahan dengan cerita orang-orang di sini, saya menyambung aktiviti lebih mencabar di Pulau Rengis namun hajat meneruskan ekspedisi eksplorasi marin saya untuk ke Pulau Tulai yang terkenal sebagai Pulau Batu Karang tidak kesampaian disebabkan angin ribut yang mencemburui.

Namun satu masa dahulu ia juga menjadi destinasi penyu belimbing dan gamatnya juga bertaburan di persisi pantai. Indikator ini patut dilihat bahawa pemakaian gelar pulau tercantik di dunia itu mungkin telah lama berlalu iaitu 40 tahun dahulu. Pulau volkanik ini mungkin merosot kualiti hidupan marinnya untuk tempoh 10 tahun lagi jika perancangan pembangunan mensasarkan pembinaan 5,500 bilik sehingga tahun 2020 berbanding 1,750 bilik pada masa kini. Ianya adalah satu peningkatan pelancong yang mendadak sejak resort pertama dibuka pada tahun 1975. Dianggarkan populasi juga meningkat sehingga 25,000 org berbanding 3,200 orang sekarang. Justeru besarlah harap agar status gazet sebagai Taman Laut pada 1994 mampu melestarikan kehidupan penyatuan dengan alam sekitar yang simbiosos dan harmonis.

Sebenarnya setelah genap 40 dasawarsa alam marin Pulau Tioman diteroka pelancong komersil, alam hutan hujan tropikanya masih dara dengan keluasan kira-kira 12,383 hektar yang telah diwartakan sebagai rizab negara sejak 28 September 1972. Antara hidupan liar yang dilindungi di zoo semulajadi ini ialah kucing hutan, tupai, monyet, pelanduk dan landak. Dianggarkan 45 spesies dan 138 spesies burung hidup meliar.

Berlatar belakang hutan bakau, pinggiran pantai, dusun perkampungan, hutan tanah pamah dan hutan sub-montane yang sesetengahnya dipengaruhi ciri-ciri hutan Pulau Borneo sehingga menemukan pokok bunga pakma (Rafflesia). Malah paku pakis seperti Cyathea oosara dan Cyathea tripinnata yang juga terdapat di Gunung Kinabalu dan tidak terdapat di tanah besar semenanjung boleh ditemui Pulau Tioman. Ajaib bukan?!

Sudah sampai masanya pelancong melihat kutub khanah khazanah malar ini di depan mata sebagaimana yang dialami krew dokumentari National Geographic satu masa dahulu. Tidak cukup di kaca televisyen. Saya yang takutkan ‘pacat’ mengimpikan menara pandang dan titian silara seperti di Taman Negara supaya tanah hutan ini boleh dipusakai turun temurun.

Hakikat sebenarnya, keindahan Pulau Tioman bukanlah baru. Sejak seribu tahun dahulu walau bertaraf sebuah pulau kecil ia menjadi tempat besar di Laut China Selatan bagi transit dan persinggahan pelayar dan pedagang dari China, Arab dan Eropah untuk mendapatkan sumber air mentah dan kayu-kayan menurut buku Arab “Akbar as Sin wa'l Hind”. Ia dapat dilihat dengan penemuan peralatan seramik dari dinasti Song Utara, China pada abad ke 11.

Pada Mei 1690, keindahan Pulau Tioman untuk pertama kalinya dicatatkan oleh seorang pengembara, Dr Kaempfer yang singgah dalam perjalanannya dari Batavia (Jakarta) ke Ayuthia (Thailand) walaupun terdahulu dari itu William Jansz turut melawat Pulau Tioman pada 1602 iaitu ketika belayar dari China melalui Patani ke Bantam. Oleh yang demikian tidak hairan apabila Pulau Tioman yang dahulunya dikenali sebagai Pulo Timao telah berada dalam peta dunia yang dibuat oleh pengembara Belanda, Jan Van Doetichum pada abad ke 17.

Barangkali inilah yang dicari oleh pakar arkeologi, J Collin lewat penemuannya dengan seramik purba di Kampung Juara dan Teluk Nipah berhampiran dengan Kampung Mukut. Malangnya semua ini tidak akan anda temui. Pulau Tioman hanya dikenali sebagai pulau marin sedang susur galur sejarahnya lebih panjang lagi. Kita masih memijak Pulau Tioman yang sama dipijak pelayar dan pelaut seribu tahun dahulu. Tetapi sayangnya kita kehilangan jejak bertapak estetika itu.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.