31 Mei 2014

RESENSI: CIKGU SHAHNON DI MATA KAMI

Oleh: Faizal Riduan

Saat pertama saya bertentang mata dengan karya Cikgu Shahnon Ahmad ialah apabila berguru dengan antologi cerpen Kelapa Nan Sebatang, teks buku sastera tahun 1998 bersama-sama dengan teks Keris Laksamana Bentan. Saya membacanya sekadar untuk peperiksaan dan terbukti mendapat ‘A’ dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sungguh begitu, saya masih bingung semasa itu memikirkan mengapa Wak Da harus harus berkonflik untuk menyeberangi titi kelapa sambil memerhati sampah sarap yang mengerumun sungai?

Presiden PENA, Mohamed Saleeh Rahamad merujuk novel Tok Guru serta Umi dan Abang Syeikhul dengan pengalaman Shahnon bersama Darul Arqam dan novel Tunggul-tunggul Gerigis terilham daripada peristiwa berdarah Memali.

Jika Shahnon begitu hebat mengarang novelet TIVI dalam satu bulan maka begitulah hebatnya penterjemah TIVI ke dalam bahasa Thai, Abdul Razak yang juga mengambil masa sebulan. Sayangnya penantian untuk karya ini diterbitkan memakan masa hampiur 11 tahun! Setelah nashkah ditolak oleh dua buah penerbit besar di Bangkok

“Saya tak mahu apa-apa, jangan fikir soal royalti, kamu terjemah sahaja, bila dah terbit nanti kirimkan saya satu naskhah. Cukup!” jawaban Shahnon menunjukkan jiwa besar seorang sasterawan bukan ‘sasterawang’.

Puzi Hadi merakam keprihatinan Shahnon kepada rakan seangkatan di ASASI dan GAPENA seperti membanding mutu novel Asyraq yang tidak sehebat Seorang Tua di Kaki Gunung karya Azizi Abdullah, puisi Puzi yang tidak selantang dulu, Noorjaya yang tidak berkarya selepas Awang Toksan, Shaidun Shaari yang hanya menerbit semula cerpen-cerpen lama, Jihaty Abadi yang sibuk dnegan GAPENA sehingga tidak berkarya dan Ismail Hussein yang lebih banyak berpidato daripada mengkaji karya sastera.

“Yang salah sasterawan itu sendiri yang menyibuk-nyibukkan diri sangat dalam urusan lain di luar bakatnya,” jelasnya yang terkenal prolifik sehinga sekarang. Mungkin sebab itu barangkali Shahnon tidak mengenali Hasan Baseri Budiman, ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) yang pernah diterajui Shahnon sendiri kerana kurang berkarya yang menjolok matanya.

Namun tanpa rasa cemburu dan bersikap rendah diri Shahnon dapat dilihat apabila menelefon anak muridnya Faisal Tehrani untuk merakam ucap tahniah sempena Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP.

“Cikgu dengar novel Faisal menang hadiah RM50,000? Cikgu pun dapat nombor tiga. Tahniahlah, Faisal dan tewaskan Cikgu,” katanya dalam ketawa suka. Begitu juga ketika novel Faisal Tehrani, Sebongkah Batu di Kuala Berang diharamkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Shahnon yang karyanya Shit pernah mengalami cubaan diharamkan pada 1999 memuji ikhlas, “Novel Cikgu pun tak pernah diharamkan.”

Catatan Editor DBP, Mohamad Yussop Ishak yang menangani manuskrip Detik-Detik Diri di Daerah Daif (1991), Patriach (1991), TIVI (1995) dan kumpulan cerpen lengkapnya Salam Keluarga turut merekemendasi Datik-Detik di Daerah Daif sebagai karya yang melambangkan keshahnonan Shahnon.

Menurutnya untuk mengenali Shahnon perlu memulakan membaca biografinya semasa kecil, Detik-Detik Diri di Daerah Daif dan menutup dengan sambungan di penghujung usianya, Perjalananku Sejauh Ini.

Walau pun biografi Shahnon itu mengandungi unsur-unsur seksual yang agak pejal dan bolos dalam kisah pelir berkalat, kisah mengendap anak dara, kisah bini Meli Debasa kencing di telaga Pak Cik Mehad, kisah Tuk Diah dengan ekor lembu dan kisah omong-omong kosong di rokmo yang menjolok mata tetapi dengan rendah diri beliau sanggup menyuntingnya sebagaimana akuannya dalam surat bertarikh 11 April 1991.

“Saya amat sayangkan kisah-kisah ini dan bilamana saya membaca kembali, saya sebenarnya menangis kerana terharu dan terkenang kisah-kisah semasa kecil yang begitu bermakna kepada saya.”

“Untuk mendapatkan kesan kedua, saya meminta isteri saya membaca bab-bab yang khusus ini. Dia lantas marahkan saya mengatakan saya ini tua tak sedarkan diri, apa pula orang lain kata bila membaca novel ini, apa pula kata orang-orang alim. Apa pula kata anak-anak dan cucu saya dan macam-macamlah. Saya tidak marahkan isteri saya kerana beliau tidak dapat menangkap keshahnonan saya itu.”

Sutung Umar Rs menulis tentang polemik Kassim Ahmad lawan Shahnon berkisar tentang gagasan sastera Islam. Tulisan Sutung sebagai wartawan Dewan Sastera menyifatkan Shahnon seorang yang bersangka baik kepada Kassim sebenarnya adalah pandangan ‘orang jauh’. Mungkin sebab itu, beliau beranggapan permintaan Rahimidin Zahari ini tidak sukar kerana beliau sendiri mengenali Kassim dan Shahnon melalui Editornya Usman Awang.

Kassim dan Ismail Hussein adalah rakan sedarjah Shahnon di Kolej Sultan Abdul Hamid sejak tahun 1947! Buku ini akan lebih berkesan jika Kassim atau Ismail menulis mengenai rakan di bangku sekolah mereka. Malah Kassim dalam autobiografinya, “Mencari Jalan Pulang: Daripada Sosialisme Kepada Islam”, ada menceritakan tentang Shahnon yang “pendiam, sedikit gagap dan agak kelakar” dalam satu perenggan.

Jika ia diberikan ruang untuk dipanjangkan menjadi satu karangan pastinya cerita tentang Shahnon ketika menjadi ‘murid’ selain daripada menjadi seorang guru. Selayaknya tulisan Kassim itu diletakkan pada muka surat tujuh disebelah gambar kelas Tingkatan 1, Maktam Sultan Abdul Hamid.

Adapun tulisan terawal tentang Cikgu Shahnon ialah daripada anak muridnya, Osman Ayob kita bersekolah pada 1959. Hanya guru yang mengenal guru mungkin perlambangan yang tepat setelah membaca tulisan Cikgu Noordin Hassan yang mengulas tulisan Shahnon, “Pabila Kalbu ini Asyik Marah-Marah” dalam kolumnya “Pabila Hujan Turun” di Dewan Sastera.

Noordin yang menjadikan novel Ranjau Sepanjang Jalan sebagai bahan pengajaran Bahasa Melayu di sekolah sering pula membandingkannya dengan karya klasik Pearl S Buck, The Good Earth. Baginya karya terawal semasa Shahnon yang masih muda ketika itu masih suci murni tanpa keradangan bahasa sebelum Shahnon terpengaruh dengan kumpulan “The Angry Young Men” dan penulis Barat yang lain seperti D H Lawrence, Alberto Moravia dan Garcia Marquez.

Catatan Fatimah Busu yang selalu menjadi penjaga rumah dan ‘penjaga dapur’ sehingga mendapat pusaka berupa lesung batu sangat peribadi sehingga nyaris bertemu jodoh dengan seorang sarjana Eropah yang menumpang di rumah Shahnon. Jodoh tidak jadi ini juga memberikan ilham novel The Missing Piece I & II. Terdahulu Fatimah terinspirasi dengan novel Ranjau Sepanjang Jalan untuk menghasilkan novel pertamanya Ombak Bukan Biru.

Zurinah Hassan pula mengilhamkan cerpen Bendang Lahuma dengan mengambil inspirasi watak utama Ranjau Sepanjang Jalan. Walaupun dikritik seorang penyair veteran sebagai memplagiat dan menumpang populariti Shahnon, Zuriah terkesan dengan tulisan Shahnon, “Warkah kepada Zurinah Hassan” dalam buku Weltanschauung.

Membaca pandangan romantik daripada kenyitan mata rakan-rakan Shahnon sememangnya memberikan suasana terapeutik – mempesona dan mengasyikkan! Cuma pandangan jauh dan daripada kanta akademia tampak kaku dan membosankan - lebih baik saya membaca buku Shahnon Ahmad: Dalam Esei dan Kritikan terbitan Dewan Bahaasa dan Pustaka.

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.