12 Oktober 2009

MENYUSUR JEJAK SEJAUH NUN DI PANTAI PASIR LANUN




Ihsan www.adiiqfoto.fotopages.com

Semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai tidak banyak tempat yang saya lawati dan singgahi. Rasanya kebanyakan graduan UTM mempunyai pengalaman selama empat tahun dengan 'lawatan sambil belajar' baik sedekat Pantai Lido di Johor Bahru hingga ke pesisir Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman dan Pantai Penyabong di Mersing. Sesiapa yang belajar di sana tanpa mengunjungi salah satu pantai tersebut, ada baiknya anda sekadar mengaku menuntut di Kampus UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur jika tidak mahu dikatakan 'buta alam'.

Semuanya bermula apabila mengenali junior bernama Fauziah Abdullah aka Ogy yang mengajak saya ke sini di terataknya di Endau, Mersing dan mengajar saya erti kehidupan kampung tradisi. Saya telah beberapa kali pergi ke sini ber-chalet-kan rumah Ogy sebagai asrama kedua di universiti bersama Ijan, Dino, Elly, Suhaila, Ana, Yaya, Faizah, Idris dan Palong malah beberapa kali saya pergi sendiri. Keluarga Ogy juga sudah menjadi seperti keluarga sendiri, kami pergi memancing sekali, berkelah dengan kudapan di sisi dan berkaraoke tanpa henti. Kereta Kancil WKJ 3*5* banyak menjadi saksi transaksi kenangan ini. Dahulu dari Skudai jauhnya sekadar 170km iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan. Kini dari Kuala Lumpur, saya terpaksa menempuh perjalanan selama 5 jam iaitu sejauh 390km.

Walau sebenarnya Pantai Teluk Kemang di Port Dickson adalah pantai pertama saya pijakkan kaki seawal tahun 1996 dalam satu rombongan kampung namun tiada tarikan untuk saya jejaki kembali. Ia sekadar zaman datang dan pergi yang tidak langsung membekas di lubuk sanubari. Zaman remaja dengan gelak ketawa tak kering gusi semuanya bagai hilang dalam memori. Bezanya cuma laut tak berdinding seluas mata memandang sedang dinding konkrit bilik air sesempit sedepa kepakan tangan dan air laut yang masin berbanding air paip yang tawar dengan klorin.

Namun semuanya lain di sini. Pantai Pasir Lanun jika dahulu kala menjadi sarang persembunyian lanun kini saya bagaikan penemu harta karunnya yang jauh tersembunyi. Ombaknya bukan sekadar menderu mencuit jari, pasirnya bukan sekadar hamparan lembut permaidani, terumbunya bukan sekadar berduri mencucuk kaki, nyiurnya bukan sekadar melambaikan rentak tari, batunya bukan sekadar tersergam unik mengarcai dan camarnya bukan sekadar melayang membelah langit tinggi. Segalanya lebih dari itu di sini.

Setelah lima tahun meninggalkan jejak kenangan di sini, sedari Mohd Azlan dan Mohd Azwan serendah peha saya kini setinggi pusat saya, dari mereka tinggal di teratak kayu hingga ke rumah batu, dari arwah 'busu'nya adik Aisyah yang girang sehingga dia pergi tanpa pesan dan dari 'Mak Dara'nya si Ogy bujang sehingga hilang daranya kerana telah berumah tangga. Segalanya telah jauh berubah tetapi saya tetap sama - seorangan dan berangan.

Jika diberi pilihan hadiah bercuti ke Pantai Kuta di Bali atau Pantai Waikiki di Hawaii, saya tetap memilih Pantai Pasir Lanun di Endau ini. Cumanya saya mungkin mengelak untuk berbulan madu di sini kerana saya tidak mahu keindahan bermalam bersamanya di sini menandingi kenangan bersama mereka yang terlebih dahulu mengajar saya erti kehidupan.

Berikut aku dedikasikan gambar kunjunganku terkini :

Mencari harta karun kapal Portugis 'Flor De La Mar'

Terkambus dibadi penunggu harta karun lanun.

Jasad tanpa kapan dengan kubur tanpa nisan.

Mohd Azlan bergambar di atas penderitaan orang lain.

Mohd Azwan bertilam sementara aku bercadar bumi.

Aksi ''Keliwon' bangkit dari kuburan

6 ulasan:

mukhiffun berkata...

Satu kupasan idea pengalaman yang jujur... Menjejak cinta kembali...walaupun aku x pernah diajak kesana... Tapi olahan dan gambar yg teraputik mampu aku merasa candaan pantai itu.... Ajak la aku....

Faizal Riduan berkata...

Erm itulah mukhiffun semasa belajar dahulu kita tidak rapat malah jarang bertegur sapa. Idris sahaja yang telah sampai ke sini. Ada juga dahulu aku, Nasir Selamat, Idris Osman dan Amir Aris bercuti di satu pantai lupa namanya.

ogy berkata...

amboix3. kalah azwana alia you...

no_reason berkata...

heh..sungguh berbunga-bunga dan puitis sekali bahasa beliau..tapi ada sedikit pelik pada gambar² itu hurm..apa ya...namun setelah diteliti versi originalnya baru lah kelihatan perbezaannya..bila lagi nak bercanda dipasiran pantai sambil membuat rawatan gigi bersama dr..muahahaha

Faizal Riduan berkata...

Untuk Ogy dan No_Reason,

"Ada aku kisah?"

Erm yang penting saya masih mengimpikan bercanda di tepi pantai sambil berbaring mendapatkan rawatan pergigian! Kalau menjadi memang Pantai Pasir Lanun mencipta rekod dunia sebagai Pantai Pergigian!

Tanpa Nama berkata...

salam
saya dan rakan-rakan dah pergi ke pantai pasri lanun nie

tiada apa yang menarik
fasiliti yer masih jauh ketinggal la faizal

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.