30 November 2009

GURU TIDAK BERSEKOLAH!


Sebolehnya saya tidak mahu mengenang pengalaman lalu yang pahit apatahlagi peristiwa semasa zaman kanak-kanak yang telah dua dekad ditinggalkan. Saya mahu membuangnya jauh seolah-olah saya tidak pernah menjamahnya. Saya tidak mahu semungkin boleh untuk pancaindera saya bertindak balas pada rasa pahit yang merenyuk wajah. Sebagai orang muda saya hanya mahu mengingati pengalaman hidup yang manis-manis belaka seperti kegilaan saya pada coklat Tora dan Dindang semasa kecil!

Begitulah cara saya melupakan masa lalu yang tidak enak untuk dihadam semula setelah dimuntahkan. Namun tatkala membaca berita adik Nur Izzati Azahar dari Sekolah Convert Tarcision yang mendapat 5A dalam Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) tetapi gagal mendapatkan slip peperiksaannya hanya kerana ibu bapanya seorang pekerja kilang dan pemandu lori masih berhutang yuran sekolah sebanyak RM57 cuma, ia memaksa saya menelan semula rasa pahit yang telah lama tidak bersisa.

"Walaupun tak dapat pegang slip keputusan, saya gembira kerana dapat buktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan," kata adik Nur Izzati dalam sebak tangis penuh motivasi benar-benar menyentak dan merobek hati kecil saya. Tiba-tiba pengalaman pahit yang telah saya lupakan rasa hempedunya datang meloyakan tekak.

Saya masih teringat betapa riangnya saya di hari graduasi Tadika Kemas Kampung Sungai Kertas pada penghujung tahun 1987. Waktu itu saya sedar yang saya tidak dibekalkan dengan jubah dan topi empat segi (mortar board) dari kain satin berwarna merah dan hitam seperti rakan sebaya yang lain. Sungguh! Saya redha untuk menaiki pentas graduasi dan mengambil sijil tadika tanpa pakaian rasmi serba indah dalam persalinan seragam serba merah hitam.

Saya insaf bahawa itu adalah hukuman terbaik untuk ‘kesalahan’ mak dan abah yang tidak membayar tungakkan yuran tadika selama tiga bulan namun saya juga tidak sampai hati menyalahkan mereka yang memilih untuk membeli sepot beras yang panas nasinya tidak boleh pula selera perut kami adik-beradik tangguhkan. Waktu itu, saya hanya tahu mengeja ‘hutang’ tanpa memahami maksud dan kesan akibat daripadanya. Yang saya tahu ialah majlis graduasi tadika adalah untuk meraikan tamat persekolahan tadika sebelum menjejakkan kaki ke darjah satu di sekolah rendah – noktah! Dengan itu, saya tanpa rasa bersalah berseorangan ke majlis graduasi tanpa mak dan abah.

Namun tatkala melihat rakan sebaya lain beratur mengikut susunan abjad nama mereka, guru yang mengajar saya mengenal huruf dan angka rupanya mencicirkan nama saya tanpa nombor dari menyertai barisan yang menunggu giliran untuk naik ke atas pentas Dewan Orang Ramai yang dipinjamkan khas itu. Saat itu, saya dapat merasakan kecilnya jiwa dalam tubuh kerdil saya mungkin rasa yang sama dirasa adik Nur Izzati tempoh hari.

Bezanya sebagai seorang budak lelaki, saya dibesarkan untuk ‘kuat semangat’ dan melihat rakan sebaya bergraduasi dari tingkap kaca di sudut belakang luar dewan, sempat saya tersenyum sendiri membayangkan indahnya jikalau saya ditauliahkan sijil di atas pentas oleh Ketua Kampung dan Pengerusi Tadika Kemas, sosok tokoh yang paling besar dalam hidup ketika itu. Tetapi hakikatnya, jauh terasing dari keriuhan di dalam dewan, hati saya mengesak tangis dan saya berlari pulang tanpa sebarang kata-kata – diam kadang kala umpama kesepian yang mendamaikan!

Hari ini saya meluahkan kisah hitam saya 22 tahun yang lalu bukan kepada mak dan abah yang tahu tetapi tidak pernah memberitahu mengenai lewat lembaran surat-surat peringatan yang dikirim tanpa belas ihsan sedangkan rumah Pengerusi Tadika Kemas hanya selang sebuah rumah daripada rumah kayu beratap zink tempat kami berteduh di atas tanah setinggan milik kerajaan untuk dia mengambil tahu jika mahu.

Sebab itu, sehingaa saat ini saya masih fobia dengan nama Cikgu Bainun, guru tadika saya yang tidak pernah berbuat apa-apa untuk menyelamatkan hak seorang murid tadika seperti saya untuk hanya naik ke atas pentas dan mendapat sijil tadika seperti rakan sebaya yang lain. Kesannya saya rasai semasa hari raya zaman kanak-kanak lagi, sayalah satu-satunya murid yang tidak ghairah untuk berlari ke rumah guru pertama saya itu.

Apabila membaca perumpamaan cikgu seperti ‘sebatang lilin yang membakar diri’, saya rasa ironis kerana tanggapan pertama saya kepadanya seperti ‘sebatang lampu kalimantang yang menyala apabila dipetik dengan bil elektriknya dibayar’! Malah saya menangis setiap kali membaca kata-kata Saidina Ali bahawa “aku bersedia menjadi hamba kepada orang yang mengajarku walau satu huruf” kerana sesungguhnya “aku tidak bersedia untuk menjadi hamba kepada orang yang mengajarku berjiwa hamba” – maafkan saya Cikgu!

18 November 2009

RESENSI : MENAKHODA ZAMAN BERSAMA BAHTERA NAJIB TUN RAZAK



Oleh: Faizal Riduan

Selepas setengah tahun menakhoda kerajaan dan menentukan layar tuju negara selepas tsunami politik yang nyaris menenggelamkan bahtera UMNO dan BN, pelancaran buku “Menakhoda Zaman - Helming The Time” bagaikan kena pada masanya sebagai satu dokumen penting merakam legasi perjuangan Najib lebih 33 tahun yang lalu. Pemilihan tajuk buku ini adalah berdasarkan kepada tajuk ucapan yang sama bagi perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri di Perhimpunan Agung UMNO ke 59 pada 29 Mac 2009 dan merupakan ucapan terakhir beliau atas kapasiti sebagai Timbalan Presiden UMNO. Malah pemilihan kata ‘menakhoda’ seolah proses imbas kembali mengingati peranan BN yang dahulunya dikenali melalui simbol kapal layar sebelum bertukar kepada simbol dacing.

Buku yang mengandungi 11 bab ini adalah pecahan daripada lima buah ucapan beliau sepanjang separuh dekad sebagai orang nombor dua dalam parti terbesar yang mewakili orang Melayu itu iaitu “Menakhoda Zaman” (2009), “Mengangkasa Tamadun Bangsa” (2007), “Memacu Minda Melayu” (2006), “Menjana Melayu Glokal” (2005) dan “Kesinambungan dan Perubahan” (2004). Jika anda mengharapkan menjumpai tema terbaru Perdana Menteri ke-enam itu, “Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, maka anda perlu menunggu ia mungkin keluaran buku beliau yang akan datang. Tema pokok inti pati ucapan beliau ini dikekalkan dengan pengolahan semula bagi penyesuaian bentuk teks penerbitan yang lebih mesra khalayak pembaca.

Namun jika Prof Wan Hashim Wan Teh menyifatkan “Menakhoda Zaman” setaraf buku Tun Dr Mahathir Mohamad, “The Malay Dilemma”, sisi lain perlu dilihat ialah ketika mana “The Malay Dilemma” menyalahkan satu pihak lain di dalam parti, buku “Menakhoda Zaman” menunjukkan sifat rendah diri dan berjiwa besar dengan merakam pengakuan berani mati sebagai satu proses muhasabah yang jujur dan berterus terang. Di sisi ini, penulisnya dilihat sebagai mewakili campuran ciri-ciri mantan PM terdahulu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Mahathir Mohamad dalam analisisnya terhadap dua krisis kepimpinan parti yang ditolak pada zaman dua zaman yang berbeza. Malah penerbitan buku ini dengan pendahuluan dalam bahasa Melayu menunjukan hakikat ia disasarkan kepada semua ahli parti itu secara inklusif sehingga 3,000 naskah diedar secara percuma kepada perwakilan Persidang Agung UMNO Ke-60.

Pendapat Pengarah Urusan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Mohd Khair Ngadiron bahawa buku ini adalah mencontohi buku “The Audacity of Hope” tulisan Barrack Obama masih boleh diterima walau perbezaannya masih ketara. Obama yang berjaya mengubah warna ‘white house’ sejak 232 tahun dengan menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-44 dari sudut konseptual ideanya mempunyai persamaan dengan tesis “Menakhoda Zaman” tetapi dari sudut penulisan ternyata masih jauh berbeza apabila tulisan Dato’ Seri Najib nyata lebih formal dengan kerangka rencana berat sedangkan tulisan Obama secara santai dan bersahaja. Malah perbezaan itu nampak ketara apabila buku Dato’ Seri Najib diilhamkan semasa beliau menjadi PM-in-Waiting sedangkan Obama masih bergelut untuk mencari sokongan yang asalnya mustahil baginya yang mewakili golongan minoriti kulit hitam di negara kuasa dunia itu.

Lebih kritis lagi, buku ini mengemukakan satu analisis bedah siasat kelemahan-kelemahan UMNO dan kemudian secara bertanggungjawab menampilkan pendekatan proaktif bagaimana UMNO perlu berubah menghadapi cabaran besar bagi kembali ke arus perdana lautan politik sebagai teras kepada perpaduan bangsa Malaysia. Tanpa melupakan sejarah masa silam orang Melayu dan kejayaan UMNO melakukan tranformasi sosial dalam sistem masyarakat tersebut, beliau masih sempat memberikan peringatan agar UMNO sentiasa merakyatkan perjuangannya supaya tidak ditolak rakyat sebagaimana terjadi kepada kebanyakkan parti politik pengasas kepimpinan negara di dunia yang tersungkur daripada kerusi pemerintahan. Maka padanlah buku ini dilancarkan beberapa hari sebelum pindaan perlembagaan UMNO bagi memastikan parti tertua itu kekal relevan dalam arus politik kebangsaan.

Jika Datuk Siti Nurhaliza sanggup berbaris beratur panjang untuk menjadi antara 100 orang pembeli buku pertama semasa pelancaran semata-mata untuk mendapatkan tandatangan Datuk Seri Najib, mengapa tidak anda kerana buku yang diterbitkan 10,000 naskah ini membolehkan anda memahami kerangka pemikiran, wawasan dan mengenali sosok perjuangan penulisnya yang bernama Dato’ Seri Najib.

09 November 2009

APRESIASI : TENTANG BULAN



Oleh: Faizal Riduan

Bulat bulan di awangan,
Beradu diam atas kayangan,
Terang dalam kelam malam,
Timbul dalam tenggelam hitam,

Dalam kerdipan tak terbilang bintang,
Satu bulan cukup menyinar alam,

Mengapa perlu aku menunggu malam?
Disumpah lena kesiangan kau hilang,
Kujejak subuh di mana kau tenggelam?
Kususur senja kau timbul dari belakang,

Kau tetap sang bulan yang rupawan,
Sedang aku si pungguk liar di hutan.

29 Oktober 2009

RESENSI : TRANSFORMASI IMAN DI TANAH SUCI


Oleh: Faizal Riduan

Ibadah haji secara teorikalnya telah dipelajari semenjak di bangku sekolah menengah lagi. Bagi yang bakal menunaikan haji, kursus haji bersiri tentunya memberikan panduan dalam lapangan praktikaliti. Bagi yang masih belum berkemampuan menunaikan ibadah ke lima dalam Rukun Islam, suasana haji hanya dapat dirasa apabila menghantar jemaah haji ke tanah suci dan mendengar lambaian salam dari tanah suci di kaca televisyen atau corong radio.

Buku dengan penulisan ala novel, Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman yang mengisahkan catatan pengalaman peribadi Prof Dr Muhd Kamil Ibrahim bersama isteri dan dua adik beradik perempuannya memberikan dimensi lain yang lebih dinamik dan hidup kepada pembaca dalam memahami ibadah haji. Malah pembaca seakan diajak bersama untuk larut khusyuk bersama penulis dalam pengembaraan kerohanian menyahut seruan haji di Makkah al-Mukaramah.

Membaca petikan Surah Ali Imran, ayat 97 dalam sinopsis buku ini sahaja sudah cukup mengetarkan jiwa bagi diri yang ego bahawa ibadah haji masih jauh lagi untuk ditempuh, “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, sesungguhnya Allah maha kaya dan tidak berhajatkan sesuatupun daripada sekalian makhluk.”

Coretan santai dan bersahaja penulisnya mengenai kisah ubat sakit tekak, kisah rokok, kisah golf, kisah beli-belah, kisah jubah mahal, kisah nampak dan tidak nampak kaabah, kisah malaikat dan wali Allah SWT, kisah isterinya kedatangan haid, kisah orang tidak menjaga kebersihan, kisah orang suka berebut, kisah mendapatkan saf berhampiran dengan imam dan kisah mencium hajar al-aswad seakan memberikan gambaran sebenar yang hidup untuk diimaginasikan oleh pembaca.

Sesekali pengalaman penulis yang menyentuh perasaan membuatkan air mata bergenang dan bulu roma meremang. Sungguh, buku ini punyai rohnya yang tersendiri! Pastikan sebelum membaca buku ini anda dibekalkan dengan tisu jika tidak mahu helaian-helaian muka suratnya kembang dek tumpahan air mata yang bercucuran! Penyampaian dari lubuk hati yang paling dalam berjaya meruntun jiwa dan menggugah emosi pembaca walau subjek meternya sudah banyak ditulis oleh penulis lain.

Buku ini bukan semata-mata catatan pengembaraan ketika menunaikan fardu haji yang merujuk kepada kisah tempat, budaya, pengangkutan, makanan, minuman, tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ia adalah kisah perjalanan roh insan yang melangkaui batas masa dan sempadan geografi.

Membaca buku ini sebenarnya seperti membaca sisi dalaman penulisnya, walau bergelar profesor perakaunan dan Pengarah Kampus Cawangan di UiTM, penulis dengan rendah diri dan jujur hati menukilkan pengalaman mula belajar mengaji al-Quran dan terjemahannya, bersembahyang solat taubat, tahajud dan dhuha, berpuasa sunat dan berkomunikasi intim dengan tuhan melalui doa yang tersendiri. Walau mengakui beliau seorang yang jahil namun cekal berazam untuk menjadi tetamu Allah SWT paling istimewa di tanah suci. Hasilnya antara anugerah terbaik sepanjang 44 hari berada di tanah suci ialah apabila penulis berjaya mengkhatamkan al-Quran di Masjidil Haram walau asalnya beliau seorang yang buta al-Quran.

Penulis turut mencoret cabaran setelah bergelar ‘haji’ dengan kemuncak perubahan utama ialah beliau dan anak-anak mengimarahkan surau di kondominium tempat mereka tinggal dan melaksanakan ibadah-ibadah sunat yang sebelumnya diamalkan semasa di tanah suci. Malah penulisan beliau jika dibaca oleh bekas ‘haji’ dan ‘hajah’ akan memuhasabahi mereka dengan persoalan adakah ibadah haji yang pernah dilalui menjadikan mereka orang yang lebih baik atau orang yang sama seperti sebelumnya atau lebih malang lagi menjadi orang yang semakin teruk? Bagi yang bakal ‘haji’ dan ‘hajah’ pula anda boleh mengkoreksi diri tentang apa yang dikehendaki dari ibadah haji sebaik khatam buku ini.

Walau bukan mengaji di sekolah pondok dan memegang ijazah syariah di universiti Asia Barat, penulis berjaya menampilkan dirinya sebagai golongan profesional-ustaz (protaz) melalui dakwah penulisan yang mengesankan. Bagaikan tidak percaya penulis travelog yang santai ini juga adalah penulis buku-buku ilmiah seperti Value Relevance of Accounting Numbers, Financial Reporting in Malaysia dan Corporate Social Responsibility in Malaysia.

Buku yang tersenarai dalam Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009 dan telah diulang cetak sebanyak sembilan kali ini boleh menjadi inspirasi untuk anda mula membuka akaun di Tabung Haji atau mendaftar diri sebagai jemaah haji pada musim yang akan datang. Malah Travelog Haji ini boleh menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada mereka yang belum menunaikan ibadah haji dan penanda aras kepada mereka yang telah menjejakkan kaki ke sana. Seperti kata penulisnya, setelah menunaikan fardhu haji, bukan bermakna berakhir pengabdian kita kepada Allah SWT tetapi bermulanya satu era baru yang lebih mencabar untuk mengekalkan tahap amal ibadah yang telah dilakukan semasa di Makkah.

12 Oktober 2009

MENYUSUR JEJAK SEJAUH NUN DI PANTAI PASIR LANUN




Ihsan www.adiiqfoto.fotopages.com

Semasa menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai tidak banyak tempat yang saya lawati dan singgahi. Rasanya kebanyakan graduan UTM mempunyai pengalaman selama empat tahun dengan 'lawatan sambil belajar' baik sedekat Pantai Lido di Johor Bahru hingga ke pesisir Pantai Air Papan, Pantai Tanjung Leman dan Pantai Penyabong di Mersing. Sesiapa yang belajar di sana tanpa mengunjungi salah satu pantai tersebut, ada baiknya anda sekadar mengaku menuntut di Kampus UTM Jalan Semarak, Kuala Lumpur jika tidak mahu dikatakan 'buta alam'.

Semuanya bermula apabila mengenali junior bernama Fauziah Abdullah aka Ogy yang mengajak saya ke sini di terataknya di Endau, Mersing dan mengajar saya erti kehidupan kampung tradisi. Saya telah beberapa kali pergi ke sini ber-chalet-kan rumah Ogy sebagai asrama kedua di universiti bersama Ijan, Dino, Elly, Suhaila, Ana, Yaya, Faizah, Idris dan Palong malah beberapa kali saya pergi sendiri. Keluarga Ogy juga sudah menjadi seperti keluarga sendiri, kami pergi memancing sekali, berkelah dengan kudapan di sisi dan berkaraoke tanpa henti. Kereta Kancil WKJ 3*5* banyak menjadi saksi transaksi kenangan ini. Dahulu dari Skudai jauhnya sekadar 170km iaitu lebih kurang 2 jam perjalanan. Kini dari Kuala Lumpur, saya terpaksa menempuh perjalanan selama 5 jam iaitu sejauh 390km.

Walau sebenarnya Pantai Teluk Kemang di Port Dickson adalah pantai pertama saya pijakkan kaki seawal tahun 1996 dalam satu rombongan kampung namun tiada tarikan untuk saya jejaki kembali. Ia sekadar zaman datang dan pergi yang tidak langsung membekas di lubuk sanubari. Zaman remaja dengan gelak ketawa tak kering gusi semuanya bagai hilang dalam memori. Bezanya cuma laut tak berdinding seluas mata memandang sedang dinding konkrit bilik air sesempit sedepa kepakan tangan dan air laut yang masin berbanding air paip yang tawar dengan klorin.

Namun semuanya lain di sini. Pantai Pasir Lanun jika dahulu kala menjadi sarang persembunyian lanun kini saya bagaikan penemu harta karunnya yang jauh tersembunyi. Ombaknya bukan sekadar menderu mencuit jari, pasirnya bukan sekadar hamparan lembut permaidani, terumbunya bukan sekadar berduri mencucuk kaki, nyiurnya bukan sekadar melambaikan rentak tari, batunya bukan sekadar tersergam unik mengarcai dan camarnya bukan sekadar melayang membelah langit tinggi. Segalanya lebih dari itu di sini.

Setelah lima tahun meninggalkan jejak kenangan di sini, sedari Mohd Azlan dan Mohd Azwan serendah peha saya kini setinggi pusat saya, dari mereka tinggal di teratak kayu hingga ke rumah batu, dari arwah 'busu'nya adik Aisyah yang girang sehingga dia pergi tanpa pesan dan dari 'Mak Dara'nya si Ogy bujang sehingga hilang daranya kerana telah berumah tangga. Segalanya telah jauh berubah tetapi saya tetap sama - seorangan dan berangan.

Jika diberi pilihan hadiah bercuti ke Pantai Kuta di Bali atau Pantai Waikiki di Hawaii, saya tetap memilih Pantai Pasir Lanun di Endau ini. Cumanya saya mungkin mengelak untuk berbulan madu di sini kerana saya tidak mahu keindahan bermalam bersamanya di sini menandingi kenangan bersama mereka yang terlebih dahulu mengajar saya erti kehidupan.

Berikut aku dedikasikan gambar kunjunganku terkini :

Mencari harta karun kapal Portugis 'Flor De La Mar'

Terkambus dibadi penunggu harta karun lanun.

Jasad tanpa kapan dengan kubur tanpa nisan.

Mohd Azlan bergambar di atas penderitaan orang lain.

Mohd Azwan bertilam sementara aku bercadar bumi.

Aksi ''Keliwon' bangkit dari kuburan

10 Mac 2009

ALAH MEMBELI MENANG MEMAKAI


Walaupun kecelakaan dan kemalangan di lebuhraya PLUS sedikit menganggu-gugat jadual percutian 3 hari 2 malam saya di Johor namun beberapa aktiviti masih diteruskan dengan mengikut 'plan b' atau 'second plan' atau 'backup plan'. Dengan bantuan sebuah kereta iswara yang sedikit uzur milik kedua ibubapa yang didatangkan khas dari Kuala Lumpur, maka saya dapat meneruskan beberapa aktiviti berziarah di rumah keluarga seorang sahabat dan 2 buah komplek membeli belah dipunyai oleh bukan sahabat.

Ah! Lupakan segala keluh kesah gelisah. Abaikan segala lara duka nestapa. Kehidupan mesti diteruskan. Jangan tidak percaya aktiviti terapi ketenangan jiwa saya salah satunya ialah membeli belah. Tetapi ini bukanlah bermakna saya adalah pesakit 'shopaholic' sebaliknya setiap kali saya mengeluarkan wang dari dompet satu kemestian ialah mesti mengikut tema "alah membeli menang memakai". Apatahlagi dalam keadaan kegawatan ekonomi saya tidak boleh terlalu taksub untuk menambah simpanan yang beku! Saya perlu kerap berbelanja lagi untuk membantu kecairan tunai, ekonomi dalam negara. Ya, saya akan sedikit kerugian tetapi paling tidak saya dapat menjana sedikit ekonomi negara walaupun sumbangan kadarnya mungkin tidak dapat ditunjukkan melalui perangkaan dan statistik. Jika semua rakyat Malaysia sayangkan negara ini anda perlu berbelanja secara berhemah dan bukan mengamalkan 'ekonomi sara diri'! Jika ini berlaku, ya anda akan kaya dengan wang simpanan anda dalam ekonomi yang kian parah namun institusi ekonomi dan kewangan seperti sektor perbankan, peruncitan, perdagangan dan perniagaan dalam negara akan terus lumpuh! Waktu itu, wang anda yang banyak bertimbun dan berbukit itu telah tidak mempunyai nilainya lagi seperti wang pokok pisang kerajaan Jepun ketika menjajah Malaya pada Perang Dunia Ke II. Anda terpaksa mengulangi hari-hari malang dari 8 Disember 1941 hingga 31 Januari 1942 akibat wang yang dipegang tidak lebih daripada sekeping kertas berwarna dan bergambar dengan beberapa simbol angka dan abjad!

Lupakan sebentar tentang analisis ekonomi saya itu. Kembali kepada aktiviti saya di Johor Bahru, sebagai seorang pengkagum 'Dasar Pandang Ke Timur', saya menganuti mazhab fesyen Hong Kong yang kontemporari dan versatil itu melalui Sungai Wang Plaza di Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur ketika ini dan di Holiday Plaza di Johor Bahru satu masa dahulu ketika menuntut di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor. Justeru, kunjungan saya ke Johor Bahru rasanya tidak akan sempurna tanpa berkunjung ke Holiday Plaza. Holiday Plaza dan Sungai Wang Plaza sebenarnya bagaikan hubungan 'abang dan adik'. Bezanya Holiday Plaza lebih 'otai' dan 'hardcove' dari Sungai Wang Plaza. Bagaikan 'orang mengantuk disorong bantal', aktiviti membeli belah saya kian rancak apabila diadakan jualan murah dan jualan penutupan kedai, malah hampir kebanyakan kedai-kedai lama telah tutup operasi perniagaan kerana kurang sambutan. Lebih menggila harga di dalam kedai butik berjenama terkenal masih boleh ditawar-menawar! Harganya jauh lebih murah dari harga yang pernah saya bayar untuk 5 tahun yang lalu.

Namun kekangan masa yang terhad dalam 2 jam tidak memberikan saya banyak pilihan dan kesempatan. Saya hanya dapat membeli sebuku coklat untuk rakan sekerja yang menunjukkan simpati tanpa diminta, set pencuci muka bagi menghilangkan kesan trauma pada garis-garis tidak lurus di liang roma kulit wajah dan beberapa helai pakaian untuk menambah koleksi yang berjumlah beberapa dozen cuma.

MASIH MAMPU TERSENYUM...

Kronologi nahas kecelakaan dan kemalangan yang melibatkan sebuah kereta Proton Satria Neo buatan Malaysia di kilometer 26.8 Kulai di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

27 Februari 2009

KAPRAL SINGH, PENGEMIS YAHUDI BUTA DAN SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

KEMBARA BERSAMA M. NASIR

Sebulan sebelumnya, ketika menyaksikan "Puteri Gunung Ledang The Muzikal", saya terpaku melihat iklan promosi Konsert Alam M. Nasir dalam lukisan yang abstrak seperti juga irama dan lirik lagunya yang penuh falsafah dan alamiah. Sebenarnya saya masih berharap Hang Tuah versi layar perak itu diturunkan sebagai Hang Tuah ke Panggung Sari, Istana Budaya - 'Pentas Bertaraf Dunia'. Walaupun Stephen Rahman Hughes jauh lebih kacak dan maskulin namun susuk watak M. Nasir itu sendiri sudah berrohkan Laksama Hang Tuah.

Namun, ini tidak sedikitpun mengurangkan rasa kagum saya terhadap bakat Stephen apabila beliau menarik vokal tertingginya dengan penuh fonetik saya terreflaks bangun dan bertepuk tangan - satu penghormatan untuk vokalis kumpulan opera Teatro yang dianggotai bersama seorang warga Amerika dan 3 orang warga British. Lakonan aktor dalam teater West Side Story dan Bombay Dreams di West End Theatre - teater tertinggi komersil Inggeris yang ditonton lebih 13 juta orang pada tahun 2007 ini tidak perlu dipertikaikan jauh lebih baik dari pelakon utama 'box-office' tempatan! Cuma mungkin baka 3 sukunya iaitu kacukan British, Pakistan dan Melayu
menampakan batang tubuh Hang Tuah diangkat terlalu universal dan antarabangsa!

Berbalik kepada Konsert Alam M. Nasir iaitu satu perjalanan seni M. Nasir menjangkau tiga puluh tahun bergelar anak seni dari sejarah awal mengasas kumpulan Kembara. Sememangnya dedikasi beliau terserlah melalui kata ganti diri ke-duanya sebagai 'sifu' bukan sahaja kepada Alleycats, Search, Wings, Ella, Hattan, Spider dan Mawi tetapi keseluruhan industri muzik Malaysia.

M. Nasir sebenarnya bukanlah sekadar penyanyi, pemuzik, pelakon dan pelukis sebaliknya saling tidak tumpah pembawaan sang sasterawan, budayawan dan ahli filosofis sehingga pernah memprovokasi khalayak politik dengan soalan kritikal, "Siapa Mahathir?". Malangnya
'method of enquiry' ala Socrates itu gagal di-'pulang paku buah keras'-kan sebaliknya respon balas lebih kepada `the lost art of argument`, fenomena yang dibayangkan oleh Christopher Lasch dalam karyanya “The Revolt of Elites and the Betrayal of Democracy”. Melihat 28 tahun kebelakang, seusia saya dilahirkan yang kini telah menginjak dewasa, M. Nasir selayaknya sudah sekian lama di-Datuk-kan dan di-Sasterawan Negara-kan!

Sebagai seorang peminat nombor wahid M. Nasir selain Ramli Sarip, satu kekesalan saya kelewatan 10 minit untuk menyaksikan 'Grand Opening' konsert ini. Lebih malang lagi saya kehilangan tiket pada sat-saat akhir! Walaupun nama saya berada dalam senarai rekod kerana menempah secara dalam talian namun kecuaian saya itu hanya boleh dimaafkan dengan caj tambahan RM10 bagi pengeluaran tiket baru. Kelewatan kian bertambah 10 minit lagi apabila kemudian saya tidak dibenarkan masuk ke dalam panggung sehinggalah pada lagu "Ekspres Rakyat".

Namun sebaik dibenarkan masuk ke dalam panggung saya seolah masuk ke alam lain persis alam bunian yang memukau, asyik larut dalam irama, lagu dan gema suara yang bersatu. Dari genre pop, keroncong, tradisional, balada dan irama Malaysia persembahan M. Nasir nampak asli dan ori apatahlagi dengan busana bercitra tempatan yang digayakan dengan lenggok tari gaya bebas seorang lelaki Melayu terakhir - mungkin. Rasa hampa, kecewa dan ralat kemudian bertukar menjadi harmoni dan damai sekali - begitulah hebatnya aura M. Nasir!

Satu lagu yang paling melankolik yang benar-benar dapat mengungkap nostalgik cinta yang tragik saya lalui semasa dalam pengajian 5 tahun yang lalu datang secara 'flash back'. Malam itu saya dapat rasai kembali kehangatan air mata yang kecewa dan kesayuan hati yang rawan dalam bait-bait lagu 'Keroncong Untuk Ana' (harap maklum : saya tidak pernah mempunyai kekasih bernama Ana!).

"Benarkah tiada bagiku
Ruang di hatimu untukku bertapak
Walaupun sejengkal jari
Agar dapat ku berdiri
Di ambang pintumu"
...
"Tiada ku sangka akhirnya
Kau tutup semua
Pintu cinta untukku
Hinggaku
Termanggu tiada
Arah nak ku tuju
Membawa hatiku"

Ahh... saya dapat rasakan M. Nasir menujukan lagu ini kepada saya, bagai terkena batang hidung sendiri saya rasa diperli sama sekali! Atau saya yang perasan keseorangan kerana cinta yang tidak kesampaian sebenarnya adalah satu perasaan teragung yang punah, ranah dan musnah yang dikongsi oleh sebahagian ramai orang - bukan saya seorang!

Namun seperti direnjat, saya terus tersedar ke alam nyata dari pukauan khayal sihir M. Nasir apabila rakan saya pada malam ini tiba-tiba mendapat panggilan kecemasan kematian abang iparnya! Dia bertanyakan saya "Bolehkah kita balik sekarang?" dan saya secara ikhlasnya menjawab "Mengapa tidak? Abang ipar kamu lebih penting dari M. Nasir! Dan kamu adalah M. Nasir saya", walau saya sedar terpaksa menunggu entah berapa tahun lagi memandangkan konsert sebelum ini ialah Konsert Andalusia di Stadium Negara pada tahun 2000. Dari tahun 2000 hingga ke tahun 2009 adalah satu penantian yang panjang dan diharapkan ini bukanlah konsert terakhir M. Nasir - satu permintaan.

Ya, saya hanya masuk pada pertengahan konsert dan tidak dapat menyaksikan permulaan dan pengakhiran konsert yang biasanya lebih dramatik dan klimaktik. Namun sebenarnya tujuan saya pada malam ini telah tercapai untuk kembara bersama M. Nasir seorang sahabat paling akrab yang kini saya kurang meluangkan masa bersamanya. M. Nasir yang saya maksudkan bukanlah Mohamad Nasir bin Mohamad sebaliknya ialah Mohd Nasir bin Selamat!

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.