30 Oktober 2008

MEMELAYUKAN BAHASA DAN MEMBAHASAKAN MELAYU


Faizal Riduan
a
Iklan Deepavali Petronas baru-baru ini benar-benar menyentuh hulu hati saya sehingga menitis syahdu air mata bukan sahaja kerana mesej tersurat atau tersirat yang ingin disampaikan penajanya Petronas tetapi mungkin mesej ‘kebetulan’ tentang gambaran sebenar masalah bahasa di Malaysia. Iklan yang mengisahkan usaha seorang ayah, Macha dari keluarga India yang miskin di Ipoh dalam membesarkan anaknya Mahesh sehingga berjaya menjadi juruterbang.

Yang menyedihkan setelah setengah abad negara merdeka, bahasa yang digunakan antara kaum India dan Cina ini ialah bahasa Inggeris dan bahasa yang digunakan dalam sebuah keluarga India ini juga adalah bahasa Inggeris kecuali ‘appa’ yang jelas dalam sebutan bahasa Tamil. Sementara bahasa Melayu menepati realitinya hanya layak menjadi bahasa latar belakang perbualan ketika membersihkan pesawat itupun hanya 3 saat dari durasi iklan selama 181 saat!

Sayangnya iklan tempatan ini tidak ubah seperti iklan kolonial yang pernah saya lihat di gedung pakaian yang berlatar gambar segak pegawai British dan pembesar India dengan tema “Presenting British Indian – An Era of Racism, Opprenssion, Injustice and Nice Outfits”.

Realiti sebenarnya, di negara India yang mengamalkan sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris tidak mampu melahirkan cerdik pandai elit India yang terfikir untuk mencipta periuk nasi automatik, traktor kecil ala-kubota, atau generator kecil atau motosikal kecil yang kesemuanya adalah penyelesaian untuk masalah Asia di mana India adalah penyumbang populasi penduduk ke-2 terbesar di Asia dan dunia. Sebaliknya semuanya dihasilkan oleh cerdik pandai Jepun yang terdidik dalam bahasa ibunda mereka.

Tetapi saya masih tidak faham mengapa sebahagian orang cerdik pandai seperti Datuk Dr S Vijayaratnam, Naib Presiden Gerakan mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengajar lebih banyak mata pelajaran terutamanya sains dalam bahasa Inggeris. Lainlah kalau cadangan itu dilontarkan oleh ‘orang kurang pandai’ seperti Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 yang boleh memberikan ucapan penghargaan
“I sound like stupid if I speak in Malay”!

Sejujurnya dalam memperkatakan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak perlu lagi bercakap dengan suara perkauman apatahlagi dalam kerangka besar menjadi satu bangsa Malaysia dalam ‘Wawasan 2020’ yang tinggal hanya 11 tahun 1 bulan lagi. Kedudukan bahasa Melayu adalah bersifat supraetnik iaitu mengatasi batas etnik penutur asalnya yang walaupun secara harfiah namanya dikait-rapat dengan orang Melayu, hakikatnya bukan lagi bahasa mutlak orang Melayu sebaliknya adalah bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

Adalah satu pandangan yang sempit apabila melihat bahasa Melayu sebagai hak istimewa orang Melayu. Ini kerana hak istimewa orang Melayu adalah imbangan kepada penerimaan keturunan lain yang bukan bumiputera untuk menjadi rakyat negara ini sementara peruntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah proses pembinaan sebuah negara bangsa. Oleh yang demikian, kita perlu keluar dari hambatan psikologi dari batas bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu.

Jika satu masa dahulu, pada tahun 1947 All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang diasaskan oleh Tun Tan Cheng Lock yang kemudian turut mengasaskan dan menjadi Presiden pertama MCA boleh memilih nama ‘Melayu’ sebagai nama rupa bangsa dan kewarganegaraan bagi Tanah Melayu termasuk Singapura mengapa tidak pada hari ini setelah kita mendakap nikmat kebebasan dan kemerdekaan dengan orang Melayu sendiri mengetepikan faktor asal usul dan darah keturunan? Dan mengapa hari ini sebilangan daripada orang bukan Melayu mendakwa kemajmukan bahasa sebagai simbol perpaduan?

Tindakan kerajaan DAP di Pulau Pinang yang menokok-tambah penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil ke dalam papan tanda jalan atas nama ‘muhibbah’ sebenarnya akan membawa ‘musibah’ seperti tindakan mentornya PAP di Singapura yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi tiga bahasa lain iaitu Inggeris, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi. Bahasa Melayu akhirnya tertinggal dengan retorik gah sejarahnya sebagai bahasa kebangsaan bersumber dari zaman kerajaan Melayu Temasik!

Tetapi apa bezanya dengan tindakan Presiden MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu iaitu Dato’ Seri Ong Ka Ting pada 1 Januari 2004 yang membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan yang dikatakan tidak lagi diwajibkan pada papan perniagaan dan iklan?

Sebenarnya tiada bezanya baik DAP atau MCA mahupun Gerakan dalam memelayukan bahasa kebangsaan. Yang patut dibahasakan ialah orang Melayu yang terlalu banyak berkorban dari nama negaranya Tanah Melayu menjadi Malaysia. Pengorbanan elit Melayu dapat dilihat dari nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang merujuk dirinya sebagai UMNO dalam akronim bahasa Inggeris bahkan dieja dalam tulisan jawi “alif-mim-nun-wau” daripada akronim bahasa Melayunya sendiri – PEKEMBAR.

Jika dahulu Tun Haji Abdul-Rahman Ya’kub ‘menebal muka’ mengadap Presiden Suharto pemerintah Indonesia memohon mengirimkan guru-guru sains dan matematik ke Malaysia yang memulakan episod pertukaran aliran Inggeris kepada aliran kebangsaan dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan kemuncaknya penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dan pada tahun 1983 pula kursus tahun pertama di universiti dalam bahasa kebangsaan telah membuktikan bahawasanya bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi maka apakah rasionalnya pemimpin Melayu menongkah arus sejarah dengan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris?

Salahkah Kongres Sejarah Malaysia II yang berakhir dengan 51 resolusi antara salah satunya berbunyi “untuk memantapkan teras pembinaan Malaysia negara bangsa yang merdeka… dihapuskan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (I(iv))” sedangkan inilah janji yang belum dibayar semasa pilihanraya pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam manifesto yang turut menjadi antara kandungan kontrak sosial terawal “menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

Menurut Ibnu Khaldun dalam magnum opus-nya ‘Mukaddimah’, faktor bahasa selain budayalah yang dapat membina peradaban dan tamadun dalam sesebuah negara. Namun seperti kata Malik Bennabi seorang tokoh sejarah dan sosiologi dalam bukunya Masalah Idea Dalam Dunia Islam’ kegagalan negara bekas tanah jajahan Eropah dengan mengekalkan kesan penjajahan linguistik melalui bahasa penjajah sebenarnya telah mewujudkan gejala ‘bilingualisme’.

Kesannya boleh dilihat pada budaya ‘Seksyen’ di Shah Alam dan ‘Presint’ di Putrajaya adalah contoh mentaliti ‘jongkang-jongkit’ yang melonjakkan bahasa Inggeris dengan menekan bahasa Melayu sedangkan kedua makna tersebut terdapat istilah dalam bahasa Melayu sebagai ‘kawasan’. Barangkali mereka ini sebagai orang ‘bandar’ dan golongan elit Melayu merasakan istilah ‘kawasan’ sebagai bahasa bersifat ‘kekampung’ dan ‘kehuluan’.

Sebegitulah hampir sederet projek mega dinamakan dalam bahasa Inggeris yang berbelit dek lidah namun ‘catchy’ pada singkatannya seperti PWTC, KLCC, KL Central, KLIA, SIC, MSC termasuk yang terkini koridor ekonomi NCER, ECER, SDC dan SCORE. Apa yang perlu dihairankan sedangkan pembentangan kewangan negara dinamakan sebagai ‘bajet’ oleh Perdana Menteri sendiri sedangkan istilah yang betul ialah belanjawan.

Malah komplek mahkamah Putrajaya dinamakan sebagai ‘Place of Justice’, inilah warisan daripada legasi Common Law yang dibawa dari Britain sedangkan sebelum era penjajahan 1511 Melaka masih boleh berbangga dengan sejarah yang tidak kurang panjangnya dalam tradisi perundangan melalui Hukum Kanun Melaka yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456).

Sebelumnya, penjajah hanya berjaya merendahkan martabat bahasa Melayu dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas kepada bahasa setempat atau bahasa vernakular dengan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ melalui sistem pendidikan berasaskan kaum. Perencanaan jahat kerajaan Inggeris ini dirakam dalam dokumen rasminya yang memetik “Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, ilmu kira-kira, ilmu alam dan rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah” (Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898).

Kita kini tidak boleh lagi terus menyalahkan penjajah kerana setelah lebih 50 tahun kemerdekaan dengan kerajaan sendiri kita masih meneruskan legasi imprealis dan tidak mengidentitikan jati diri dan akar umbi Melayu itu sendiri. Selebihnya bahasa Melayu masih dapat bertahan berbanding dengan bahasa peribumi di Amerika Latin yang hilang melalui penjajahan Sepanyol dan Portugal adalah kerana tiada gangguan dalam sistem pendidikan negara secara total dan mandatori.

Tujuan Penyata Razak yang terkandung dalam perenggan 12 “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peratoran pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sa-bagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah di-perbuat dengan beransor-ansor”.

Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa Penyata Razak bukan diperkasakan secara ‘beransur-ansur’ sebaliknya pemimpin UMNO terlalu ‘bertolak-ansur’ dan akhirnya ‘beransur-ansur’ peranan bahasa Melayu dikembirikan. Sebab itulah Yang Mulia Tengku Razaleigh ketika membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dalam Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995 secara beremosi melihatnya sebagai usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak, ‘Bapa Pembangunan’ dan arkitek bangsa Malaysia.

Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa peribuminya menekankan peri pentingnya peranan satu bahasa kebangsaan dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa melalui dasar bahasa mereka “Americanism, they argue, loses something in the translation, while English offers the only key to the nation’s democracy, history and culture. Language thus becomes a literal shibboleth of nationality, a badge of true Americanism, and anything less than fluency in English – aforeign accent, let alone the maintainence of a minority tongue – is perceived to threaten national security and subvert the national ideal” (Dennis Baron, 1990).

Dasar bahasa terutamanya bagi negara pelbagai bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan daripada proses pembinaan negara bangsa. Agenda sosiopolitik ini boleh membentuk integrasi politik atau krisis politik jika perjuangan pelbagai bahasa ditakrif dalam kerangka perkauman sempit sebagaimana konflik antara kaum minoriti Tamil dengan kaum minoriti Singhalese di Sri Lanka, ancaman perpisahan antara kaum yang berbahasa Perancis di Quebec, Kanada dan ketidak-stabilan kerajaan Belgium yang silih berganti hanya kerana penggunaan bahasa Walloan atau bahasa Flemish.

Bagi orang bukan Melayu yang masih belum berasimilasi dengan kemerdekaan negara ini, kertas kerja Dr Ong Hok Ching wajib dibaca. Mereka boleh mengambil iktibar bagaimana orang Cina peranakan seperti Baba dan Nyoya yang membina jati diri dengan mengambil alih ciri-ciri budaya tempatan tanpa mengorbankan identiti dan jati diri asal warisan leluhur sebagai etnik Cina. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Melaka, mereka boleh melihat contoh India peranakan seperti Mamak yang kini boleh dilihat bertebar di mana-mana melalui rangkaian kedai Mamak 24 jam!

Bagi orang Melayu yang masih belum beriman dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu maka tulisan Abdullah Munsyi pada tahun 1882 wajib diinsafi, “Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

27 Oktober 2008

MENYELUSURI JEJAK MEGAT TERAWIS

Semalam saya berkesempatan memenuhi undangan Majlis Perhimpunan Keturunan Megat Terawis Malaysia di Bandar Di-Raja Kuala Kangsar. Megat Terawis dikenali dengan gelaran Orang Kaya Bendahara Paduka Raja adalah Bendahara Perak yang pertama yang datang bersama Sultan Muzaffar Syah I dari Kampar, Pagar Ruyung untuk dimashyurkan sebagai Sultan Perak yang pertama.
a
Saya berkesempatan berbual bicara dengan Presiden baru persatuan keturunan keluarga ini iaitu Tan Sri Megat Najmuddin bin Tan Sri Megat Khas. Saya turut kagum dengan silat dan busana Persatuan Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu yang dikatakan sebagai mewarisi kepahlawanan Megat Terawis.
a
Saya juga telah ditunjukkan dengan salah satu keris pusaka Megat Terawis yang bernama "Aral Melintang". Saya mengucupnya sambil membayangkan kedatangan Megat Terawis di Sungai Perak pada tahun 1928.
a
"Jika benarlah inilah keris yang dibawa oleh Megat Terawis ke negeri Perak, keris pusaka yang banyak menumpahkan darah atas nama Raja Melayu maka bertuahlah saya dapat mencium keris keramat ini," kata saya kepada warisnya.
a
Tiba-tiba hati saya memberontak bagaimana satu keturunan sahaja yang kini telag mempunyai 18 generasi sejak 1528 boleh dikatakan sebagai pendatang? Saya kini bersemangat untuk menyudahkan artikel menyanggah logika Melayu sebagai kaum pendatang.

20 Oktober 2008

KREDIT UNTUK RAKAN BLOGGER


Di kesempatan ini saya ingin memberikan kredit ucapan terima kasih kepada rakan blogger yang memetik artikel saya ke dalam blog mereka dan ianya sekaligus memberikan akses ke blog saya. Kepada semua pengunjung yang lain, artikel saya ini hak ciptanya adalah terpelihara di sisi undang-undang namun pengecualian diberikan secara bebas untuk memuat-turun asalkan ianya perlu memberikan kredit sumber petikan dari penulis asal dan blog ini.

PERTAMA DI DALAM AKHBAR DALAM TALIAN

Apabila media melaporkan mengenai berita penganugerahan bintang Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran 'Datuk' pada 11hb Oktober, saya sangat terperanjat dengan kejutan 'tidak masuk akal' yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Melaka itu. Dalam masa sehari suntuk saya sepenuh kudrat mencari bahan untuk mengkritik pemberian bintang kebesaran tersebut. Tepat jam 7.42 malam saya sempat menghantar artikel kepada beberapa media cetak dan elektronik.

Namun mungkin kerana penulisan saya yang kritikal kepada kerajaan negeri maka artikel tersebut tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana. Sebagai alternatif untuk pertama kalinya saya cuba menghantar ke akhbar dalam talian seperti Malaysiakini.com, Harakahdaily.net dan KLpos.com.

Walaupun ianya adalah usaha pertama kali, namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana akhirnya akhbar dalam talian KLPos.com sudi menyiarkan artikel penuh saya sebagai berita utama mereka pada hari ini walaupun setelah 9 hari artikel tersebut ditulis.

11 Oktober 2008

TAHNIAH DATUK SHAH RUKH KHAN!


Faizal Riduan

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran 'Datuk' akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran-gelaran seperti Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra dan Datuk Preeti Zinta.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka 'Bandaraya Bersejarah' dan 'Bandaraya Warisan Dunia' daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran 'Datuk' ini juga turut diberikan kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Univerisiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamad Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Md Diah Mohamad, Timbalan Presiden Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; dan Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco.

Tidak kurang hebatnya penerima sebelumnya seperti Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC); Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO. Dalam senarai panjang penerima yang bukan calang-calang orangnya, adakah mereka boleh berbangga segelaran dengan Datuk Shah Rukh Khan atau Datuk Shah Rukh Khan sebenarnya yang berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran 'Datuk' kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah 'Datuk' diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden UMNO. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri Melaka dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri UMNO akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed pada 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan esoknya Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Borong Mydin!

10 Oktober 2008

PERANG SAUDARA NAJIB - ANWAR


Oleh: Faizal Riduan

Najib dan Anwar dari kacamata saya sejak dahulu dan kini masih mempunyai banyak persamaan. Mereka bersama-sama naik dalam politik dalam satu pasukan ‘Team Wawasan’ yang akhirnya tenggelam dalam parti berbanding ‘Team B’ yang lenyap di luar parti. Mereka juga mendapat mentor terbaik ketika itu iaitu Tun Mahathir yang memberikan laluan mudah untuk mereka berdua dengan lampu hijau sepanjang jalan tanpa sekatan dan halangan.

Jika Tun Mahathir tidak lupa, mereka juga antara penyelamat kerusi Presiden dan ‘Team A’ dalam krisis UMNO 1987. Persamaan terkini ialah mereka berdua bakal menjadi Perdana Menteri (PM) mengikut pelan peralihan yang dibuat oleh arkitek parti masing-masing. Bezanya cuma Najib mewakili kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan Anwar mewakili kerangka PKR dan Pakatan Rakyat (PR) itu sahaja.

Sebenarnya baik Najib mahupun Anwar sendiri, pelan peralihan ini mempunyai kesan signifikan sebagai talian hayat dalam kerjaya politik masing-masing. Najib ingin mengabsahkan dengan mengikut tradisi pelan peralihan maka takhta PM adalah miliknya sementara Anwar ingin mengabsahkan dengan melalui ‘pintu belakang’ istana maka takhta PM adalah miliknya. Namun hakikatnya di dunia ini, sesebuah negara hanya memerlukan seorang PM dalam sesuatu masa!

Najib dalam ucapan di Persidangan Agung UMNO 2004 pernah berkata kepada Abdullah, “Saya tidak akan menikam dari belakang”. Namun Najib perlu berhati-hati dalam bersaksi sumpah dan berikrar janji kerana waima bai’ah pujangga, Anwar kepada Tun Mahathir sempena ulangtahun ke-15 sebagai PM, “Angkut-angkut terbang ke langit, Sampai di langit dimakan merbah, Biar tertangkup bumi dan langit, Setia saya takkan berubah”, walau semanis madu pantun dilagu tetapi akhirnya dibalas dengan sepahit hempedu.

Anwar yang terlebih dahulu menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri telah sampai ke tahap memangku jawatan PM dan kini sebagai Ketua Pembangkang dan ketua de facto PR sementara Najib yang terkini dengan kedudukan strategik sebagai Menteri Kewangan I dan Timbalan Perdana Menteri. Tentunya keduanya kini digelar sebagai ‘Prime Minister-in-waiting’ atau dalam idiom diraja dimasyhurkan sebagai ‘Putera Mahkota’ yang bakal bersemayam di ‘Istana Putrajaya’ oleh penyokong dan parti masing-masing.

Ironisnya tidak semua putera mahkota akan menjadi raja seperti Putera Hassan Talal yang telah menanti selama 34 tahun sebagai Putera Mahkota Jordan namun akhirnya Putera Abdullah Hussein, anak saudaranya dimahkotakan sebagai raja sebelum Al-Malek Hussein mangkat.

Najib harus maklum bahawa wasiat kepimpinan tidak beerti yang namanya dihitamkan atas kertas putih akan mendapat semuanya dan yang namanya diputihkan atas kertas putih akan hilang segalanya. Dan tidak lupa bahawa yang berkuasa masih bernyawa bersemayam di atas takhta maka surat wasiat bukan lagi tauliah pertabalan diraja! Sekalipun Najib telah dinamakan sebagai waris tunggal PM tetapi sebagai anak jati Pahang, perlu melihat sejarah wasiat pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali supaya putera sulungnya Wan Mutahir ditabalkan sebagai Bendahara Pahang sementara putera bongsunya Wan Ahmad dianugerahkan daerah Endau dan Kuantan.

Selepas Wan Mutakhir menjadi Bendahara Pahang pada 1857 dengan kemangkatan ayahandanya, mula tamak mahu menguasai seluruh muka langit dan bumi jajahan takluk Pahang sehingga mengingkari wasiat untuk menyerahkan dua daerah tersebut kepada adindanya. Wan Ahmad akhirnya menyerang Pahang dengan bantuan Tok Gajah dan Dato' Bahaman sehingga baginda berjaya menakluk pahang dan menjadi Bendahara pemerintah pada tahun 1863 dengan gelaran Sultan Ahmad.

Sebaliknya, jika sekalipun Anwar berjaya merampas bakal ‘mahkota’ Najib, Anwar sebagai bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) perlu insaf dengan sejarah Raja Muda Abdullah yang tidak ditabalkan menjadi sultan sebaliknya diganti dengan Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan Perak tetapi baginda berjaya kembali semula dengan gelaran Sultan Abdullah Muhammad Shah. Namun kemudiannya baginda menyesal kerana membawa kepada campurtangan British melalui Sir Andrew Clarke dan menebus dosanya dengan pakatan menumpahkan darah J.W.W . Birch di Pasir Salak sehingga baginda dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.

Walaupun hakikatnya, Abdullah telah bersetuju untuk penyegeraan pelan peralihan pada tanggal Mac 2009, ini tidak beerti Najib akan mendapat sokongan ‘sebulat air di pembentongan’. Satu masa dahulu karismatik Anwar memuncak dalam UMNO pada tahun 1993 dengan 95 peratus sokongan sehingga berjaya menumbangkan veteran UMNO Tun Ghafar yang lama berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman yang dimalukan dengan 7 pencalon sahaja bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden berbanding Anwar yang menerima sebanyak 137 daripada 145 pencalonan.

Menyedari momentum itu akan berulang, Tun Mahathir bertindak pantas menggunakan kuasa veto Presiden dan Majlis Tertinggi untuk memecat Anwar pada tahun 1998 bagi menyekat kemaraan Anwar yang dikhuatiri akan mencabar jawatan Presiden pada kemudian hari.

Begitu juga apabila berhadapan dengan kekuatan ‘Team B’ yang berjaya mendapat sokongan daripada 5 menteri dan 4 timbalan menteri. Tun Mahathir yang dicalonkan oleh 89 bahagian hanya berpuas hati dengan kelebihan 43 undi apabila mendapat 761 undi berbanding Tengku Razaleigh yang hanya mendapat kurang setengah iaitu sekadar 37 pencalonan tetapi berganda menjadi 699 undi.

Tun Musa Hitam yang untuk dua kalinya berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan mengalahkan Tengku Razaleigh namun apabila bergabung menjadi regu Tengku Razalegih, Tun Musa Hitam dikalahkan oleh Tun Ghafar iaitu regu Tun Mahathir yang mencuba untuk pertama kali. Akhirnya apabila UMNO diharamkan maka ‘Team B’ terpaksa menjelmakan dirinya menjadi Parti Semangat 46 apabila Tun Mahathir mengasaskan kembali parti UMNO Baru.

Dalam dua krisis kritikal ini, jelas kelihatan bagaimana Presiden/PM dengan kuasa-kuasa yang ada padanya boleh bertindak dengan menyelesaikan masalah melalui penyingkiran dan pembuangan. Walau sekuat mana pengaruh seseorang individu atau kumpulan tetapi Presiden/PM mempunyai satu butang penyelamat yang akan menyambung talian hayatnya dan memberikan kesan kemusnahan besar-besaran kepada musuh politiknya.

Kini Najib perlu mentakrif semulanya dirinya adakah beliau setanding dengan kredebiliti dan karismatik Anwar dan Tengku Razaleigh? Adakah kumpulannya setanding dengan kekuatan pasukan ‘Team B’ dan ‘Team Wawasan’? Adakah UMNO kini kukuh untuk menghadapi krisis kali ke-3 dengan UMNO mengalami krisis kepimpinan dalam dan luar yang terburuk dalam sejarah.

Anwar pula sememangnya mempunyai banyak kelebihan pada masa ini, jika jawatan PM diundi secara terus oleh rakyat Malaysia seperti amalan dalam pemilihan Presiden Amerika dijangka Anwar akan menang mudah. Anwar pernah menjadi ‘Tuah’ dan ‘Jebat’ dalam sejarah politik Melayu, pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sewajarnya mengajar Anwar untuk menjadi pemimpin kepada semua. Namun untuk percubaan pertama kali menaiki takhta melalui istiadat yang berbeza, Anwar perlu lebih cermat dan tertib apatahlagi ianya akan menjadi sebahagian daripada nilai-nilai demokrasi ala Malaysia.

Bagi kedua-dua ‘Putera Mahkota’ ini, apakah penyelesaian untuk mewarisi takhta sebagai PM tanpa rakyat jelata menjadi taruhannya? Adakah mereka memilih untuk menghormati tradisi parlimen berperlembagaan atau bertelingkah dalam perang saudara yang entah bila surutnya? Jika itu pilihan mereka maka kita akan melihat benarkah kata para leluhur ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’?.

Sehingga kini saya masih mengharap keajaiban pengorbanan agung seperti kisah Sultan Muhammad Syah mengorbankan kedudukannya sendiri sebagai Sultan Perak agar Perak bersatu semula di bawah satu pemerintahan dengan seorang sultan sahaja dengan kekandanya Sultan Muzaffar Syah sebagaimana yang tertulis dalam sejarah klasik Misa Melayu yang dikarang pada tahun 1908. Kini setelah genap 100 tahun masih adakah pemimpin Melayu semulia itu lagi?.

09 Oktober 2008

PERTAMA BERKULIAH DI UKM

Bersempena dengan rencana saya yang diterbitkan dalam isu khas majalah Milenia Muslim, saya telah mendapat undangan untuk memberikan sedikit kuliah (agak janggal digunakan untuk yang bukan pensyarah seperti saya) tentang realiti pertubuhan belia di Malaysia.

Perbicaraan saya lebih berkisar tentang rencana tersebut dengan beberapa isu dan fakta tambahan. Saya agak kaget mulanya kerana mahasiswa mungkin agak teruja bukan disebabkan oleh tajuk ini kerana saya percaya ini adalah tajuk yang rutin dengan subjek mereka yang diajar selama satu semester. Tetapi mungkin kerana dapat mendengar sendiri pandangan dari seorang penulis kecil yang biasanya ideanya hanya tercetak di atas kertas yang akan kusam.

Apa yang pasti saya lebih teruja apabila melihat mahasiswa hari ini kurang idealisme dan jati diri sehingga apabila saya menyoal meminta mereka memberikan contoh pertubuhan belia maka salah satu jawapan ialah "Rakan Muda". Kasihan pula melihat mereka apabila saya terpaksa memberikan penerangan tambahan tentang apa itu pertubuhan kerajaan termasuk kementerian dan agensinya, badan berkanun seperti universiti merek sendiri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam sesi soal-jawab mahasiswa lebih berputar tentang isu sikap melabel dan kepentingan kebebasan dalam keterbukaan, saluran untuk menyuarakan isi hati golongan belia selain melalui pertubuhan belia dan juga sedikit perbandingan dengan pertubuhan-pertubuhan Cina yang dilihat lebih aktif.

Saya menjawab apa yang boleh disumbangkan oleh mereka, "Anda boleh menulis surat kepada editor seperti apabila saya memberikan komentar terhadap isu gaji kakitangan awam 2 kali sebulan dan relevensi cuti umum 16 September walaupun belum tentu Pak Lah membacanya atau membekas dijiwanya". Ayat terakhir 'membekas dijiwanya' disambut dengan gelak ketawa yang sangat lelucon sifatnya. Saya rasa mereka ketawa kerana penggunaan ayat saya yang mungkin sedikit bombastik dan sasteratik. Paling tidak mereka pasti akan mendapat 'mood' profesor pelawat dari Indonesia itu!

08 Oktober 2008

PERTAMA DI DALAM MAJALAH

Minggu ini adalah antara minggu yang mengembirakan saya. Seperti biasa saya membaca majalah Milenia Muslim keluaran Oktober 2008 tetapi mungkin agak terlewat kerana kesibukan lebaran pada awal bulan. Tiba-tiba apabila menyelak muka surat 24-28 saya agak teruja untuk membaca semua artikel tentang masalah belia akar umbi dan pergerakan pertubuhan belia itu sendiri (seikhlasnya banyak artikel yang lebih baik dalam keluaran bulan ini seperti artikel 'Mitos Tamadun Petroleum').

Saya dengan lahapnya menghadam semua perkataan sepatah demi sepatah, sebait demi sebait, sebaris demi sebaris, seperenggan demi seperenggan. Apabila sudah habis membaca saya bertanya sendiri "Macam pernah kubaca artikel ini? Tetapi di mana ya?".

Sayapun tanpa berfikir panjang terus memandang ke sudut kini di bahagian atas untuk melihat penulisnya - 'Faizal Riduan'. "Erm patutlah kesal hati saya!".

Maaf ya jika berkongsi lawak keterujaan di sini. Tetapi semestinya perkara pertama dalam hidup wajar diingati kemanisannya seperti cinta pandang pertama. Apapun saya tidak dapat menyorokkan rasa terhutang kasih dan budi kepada En Zulkafly Baharuddin, Editor Milenia Muslim atas izinnya dapat artikel tersebut diterbitkan.

Terima kasih zat kalsium, lepas menulis tunggu honorarium!

03 Oktober 2008

JEMPUT BERTAMU, UNDANG BERTANDANG




Seperti Hari Raya Aidilfitri yang saya lalui 27 tahun yang lalu, Kuala Lumpur sememangnya tidak menjanjikan apa-apa yang indah di sini. Dalam 365 hari, inilah hari yang paling membosankan dan mengosongkan di Kuala Lumpur.
A
Oleh itu, saya lebih betah menghabiskan masa di rumah dan menanti kunjungan tetamu. Tahun ini saya memperuntukkan segala idea, tenaga, masa dan kewangan untuk mendekorasi rumah menjadi syurga impian saya. Ini mungkin hadiah kecil yang tidak seberapa daripada seorang anak kepada kedua ibubapanya.
A
Tidak kurang tetamu yang menyapa, "...seperti dalam Casa Impian / Deko Bersama Eric". Tidak dapat dipastikan adakah mereka memuji atau memerli? Seikhlasnya saya belum pernah menonton rancangan tersebut dan sekadar mengemashias dengan citarasa gerak hati. Saya hanya mampu menjawab, "Ini idea ori. Yang pasti ini bukan rumah Eric Leong!".
A
Apapun rumah ini didedikasikan dengan pintunya terbuka untuk semua tetamu. Kunjungan anda bila lagi? Usah berketuk, silakan masuk! Jemputlah bertamu, undanglah bertandang ke teratak rumah kecil kami ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.