31 Disember 2011

MUHASABAH 2011, MAHABBAH 2012

(Kemaskini pencapaian sepanjang tahun 2011 dan perancangan tahun 2012 akan disiarkan beberapa hari lagi)

20 Jun 2011

HIDANGAN UNILATERAL DI KANTIN SEKOLAH


Hari ini di Dewan Rakyat, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menyaran Kementerian pelajaran supaya menasihat pengusaha kantin melabel jumlah kalori dalam makanan yang dijual dan mengesyorkan makanan divariasikan tanpa terhad kepada nasi lemak, nasi ayam dan mee goreng sebagaimana pendedahan kajian Universiti kebangsaan Malay...sia. Kebetulan pagi tadi saya sengaja mahu merasa pengalaman makan di kantin sekolah lama saya. Hasilnya inilah menu terbaik yang saya temui. Rasanya tanpa perlu dilabel anda boleh menilai sendiri adakah ini makanan terbaik untuk tumbesaran anak-anak anda.

26 Mei 2011

TENGGELAM TIMBUL DI SUNGAI MELAKA

Oleh: Faizal Riduan

Sungai dan manusia bagaikan ‘aur dengan tebing’. Simbiosis mutualisme ini dapat dilihat pada kelahiran bandar purba yang tumbuh hidup di muara-muara sungai. Penempatan bandar pertama dalam sejarah tamadun manusia seperti Uruk, Eridu dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu di Mesopotamia dan Babylon di lembangan yang disaliri Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Dahulu kala sungai adalah segalanya sebagai denyut nadi kehidupan, dari hulu ke hilir bukan sahaja sebagai sumber minuman tetapi juga tempat ‘cari makan’ bagi nelayan dan pedagang. Namun hari ini, kecanggihan sistem perbandaran dengan air ditemui mudah di hujung kepala paip menjadikan mentaliti sebahagian dari kita menanggapi sungai tidak lebih sebagai longkang pembentungan yang meloya-mualkan.

Apatah lagi sungai di dalam bandar, airnya mengalir suram dan suam. Sebagai orang bandar, setiap hari saya dihidangkan dengan panorama air berpewarna ‘teh tarik’ di Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Baru-baru ini keinginan saya untuk mengemudi susur sungai dalam bandar tercapai di Sungai Melaka yang kini menjadi destinasi pelancongan baru Melaka. Sungai Melaka, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pada satu masa dahulu dimasyhur gelar “Venice of the East” adalah sumber terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dari tahun 1402 ke 1511, sesesak sarat sebagai pusat pertemuan pedagang timur dan barat serta transaksi rempah ratus dunia. Kiri kanannya merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan dan pelabuhan sejak zaman bahari. Berhadapan Selat Melaka, sungai pusaka ini setia walau tebingnya sudah banyak berubah dengan darah tertumpah apabila kuasa besar seperti Portugal, Belanda, Inggeris dan Jepun merebut Melaka dari tangan warganya.

Sungai Melaka yang sepanjang 40km dari Kampung Gadek menghilir alir ke Selat Melaka adalah ibu kepada anak sungai utama iaitu Sungai Putat, Sungai Cheng, Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah. Namun perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) hanya sepanjang 4.5km dari Taman Rempah ke muaranya di Dataran Sungai Melaka. Tidak lengkap ke Melaka sekadar menggunakan laluan darat, Sungai Melaka yang mengalir di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia memberikan nilai sentimental dan romantis. Sedikit masa lagi, pengunjung berpeluang menyusur Sungai Melaka dari ‘atas’ dengan menaiki pengangkutan Aerorail dengan kapasiti 24 orang di laluan landasan pendek 1.6km dari Stesen Jebat di Taman Rempah ke Stesen Tuah berhampiran Eye On Melaka. Saya agak terkilan di atas kelewatan beroperasi pada tarikh yang dijadualkan untuk melengkapkan pengalaman saya sebelumnya menaiki Rapid KL, KTM Komuter, KL Monorail dan ERL KLIA.

Dengan azam menjadikan Sungai Melaka setaraf Sungai Venice di Itali dan Sungai St Antonio di Texas, kerajaan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka telah menubuhkan MRC yang dirasmikan pada 11 November 2005. Awalnya RMC sekadar mempunyai dua buah bot tetapi kini 40 buah bot menanti dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 malam pada setiap hari untuk dinaiki dari jeti Taman Rempah Ratus, Medan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Padang Nyiru atau Muara Sungai Melaka. Tahun lalu 591,000 orang telah menyusur Sungai Melaka dan lebih 40,000 orang lagi mengunjunginya setiap bulan dan anda tentunya mahu menjadi sebahagian dari statsitik tersebut. Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit di laluan sepanjang 9km turut menyediakan khidmat penerangan bagi setiap destinasi. Hanya semurah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, sejarah Melaka boleh dilawati tanpa peluh berjalan kaki!

Di senjakala itu, saya melihat Sungai Melaka telah dihidupkan dari sumpahan perbandaran selama ratusan tahun. Masih baru tetapi telah tampak bakal jelmaan San Francisco Waterfront dan Seattle Waterfront di Amerika Syarikat, North Vancouver Waterfront di Kanada dan Auckland Waterfront di New Zealand yang terkenal dengan kegiatan ekonomi didaratkan deretan restoran, hotel dan aneka kedai. Jika tebing sungai lebih lebar dari dinding bangunan konkrit tentunya boleh diperindah sebagai kawasan alam semulajadi dan rekreasi sebagaimana di San Antonio, Bronx dan Chicago di Amerika Syarikat. Malah Sungai Melaka masih bernuansa marhaen dan tidak berubah wajah seperti California Utara di Amerika Syarikat, Ontario dan Vancouver Utara di Kanada dan Batam di Indonesia yang mengkomersilkan tebingan sungainya dengan kediaman mewah.

Di mana-mana, pembangunan akan mengubah lanskap alam yang dipaksa korban sebagai tebus gantinya. Sungai Melaka tidak terkecuali, berdasarkan analisis kualiti air dari 1976 hingga ke 1995, Sungai Melaka adalah antara yang tercemar teruk selain Sungai Kelang, Sungai Juru dan Sungai Skudai. Teringat keluh-kesah mantan Perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, “Dulu ada ikan dan udang (dalam sungai) tetapi sekarang dua minit sahaja anak buaya pun boleh mati.”

Siapa sangka dari sebatang sungai digenangi kelodok dan lumpur hitam yang bercampur sampah sarap, biawak yang berenang di permukaan, dibuntutkan kedai dan rumah yang cantik di hadapan tetapi lain di belakang kini bagai mengakhiri sumpahan berubah menjadi laluan sungai yang bersih dan indah dengan perbelanjaan RM380 juta bermula dari fasa pertama pada 2002. Malah usaha lebih awal melalui memorandum persefahaman dengan kerajaan Denmark telah ditandatangi pada 1997. Ini bukan masa dan harga yang sedikit, jika sejak dahulu kita menjaga sungai sebagai warisan sudah tentu wang ratusan juta tidak terbuang ke dalamnya.

Saya bermonolog sendiri sambil menunggu RMC, mencangkung di jeti bot Taman Rempah sambil melihat dasar sungai yang kelam dalam gelap malam. Mungkin beberapa tahun lagi airnya akan jernih lagi sehingga sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Sengaja saya memilih malam tanpa kesesakan orang, terasa damai.

Kini Sungai Melaka telah kembali dimudik antara hulu dan hilir, bukan dengan usungan jala tetapi sisipan kamera. Sayangnya saya datang terlewat bulan. Jika seawal bulan Jun yang lalu pasti meriah dengan sebulan perayaan Pesta Sungai Melaka kali keempat dengan sejumlah 33 acara. Yang paling menarik menurut pemandu bot merangkap pemandu pelancong ialah pertandingan perahu naga, pertandingan bot berhias, perarakan kenderaan antik dan sukan air.

Orang Melaka kini boleh berbangga dengan Sungai Melaka yang bertaraf dunia. Bagi orang Melaka dan tetamu dari luar Melaka, kita masih perlu beringat bahawa pendidikan sivik mesti ada jika tidak sistem kejuruteraan apapun tidak akan bersatu dengan alam. Tidak cukup sekadar fasiliti kelas pertama, minda kita juga perlu menjadi mentaliti kelas pertama. Jika tidak entah beratus juta lagi perlu dibayar untuk memulih air percuma dari tuhan.

Waktu malam, selain bersaksikan keindahan cahaya bulan dan bintang, suluhan lampu limpah dan cahaya lampu jurai dari konkrit bangunan dan rimbunan pohon menjadikan kegelapan malam nampak berseri. Tanpa kelip-kelip, saya tidak sesat menyusur Sungai Melaka kerana simbahan cahaya pada rumah tradiosional sampai ke atas gentingnya sekali, kerlipan multi warna Taman Lanun dengan melihatan pusingan Eye on Melaka yang berlampu, bangunan berlampu di Jalan Munshi Abdullah, Jambatan Station Bas Lama dan Jalan Laksamana. Puas melihat keindahan Sungai Melaka tanpa silau cahaya matahari. Mata masih terang benderang tak berkelipan. Saya berlalu pulang ke rumah tumpangan bajet di pinggir Sungai Melaka sambil melihat keluar tingkap. Bertenangan air sungai diam tanpa usikan. Permukaannya bertukar seperti cermin yang memantulkan bayang-bayang bewarna dari lampu seribu cahaya. Tidak pasti selepas itu sama ada lampu cahaya atau mata saya yang terpadam dahulu. Apa pun perjalanan satu malam di Sungai Melaka benar-benar menjadi azimat nikmat seperti dalam Hikayat Seribu Satu Malam.

21 Mei 2011

INGIN JADI A SAMAD ISMAIL


Sedari dahulu saya amat meminati tulisan-tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail walau tidak pernah bersemuka mata. Namun terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana nama besar beliau dihubung kaitkan dengan orang tidak bernama seperti saya melalui Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail yang turut saya terima bersama Hadiah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2010. Dalam keterharuan dan kemudian keterujaan, saya dengan berat hati dan rendah diri menerima penghormatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk terus menulis dari hati sanubari rakyat dan pertiwi.

15 Mei 2011

RESENSI: REVOLUSI HIJAU DAN NABI NUH AS

Di dalam gua sira iaitu mendapan mineral yang mengandungi natrium, kalsium, fosforus, zat besi dan zink yang dijilat oleh hidupan liar bagi tujuan menguatkan tulang, otot dan pertumbuhan fizikal yang lain di Sira Gajah.
Di sebelah kudup mati bunga pakma (rafflesia azlanii) iaitu spesies bunga terbesar di dunia dengan pembesaran saiz sehingga 100sm diameter dan berat sehingga 10kg.
Menulis di batuan air terjun Sungai Enam yang dingin airnya seperti embun pagi yang mencengkam sampai ke tulang.

Oleh: Faizal Riduan

Seperti terkena badi tajuknya, saya tidak dapat membaca buku ini kerana berada di dalam zon 'panas, rata dan sesak' dari proses pembeliannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini membawa ke rumah di pinggir kotaraya Kuala Lumpur. Akhirnya saya memilih untuk membaca di persekitaran ‘sejuk, tinggi rendah dan lengang’ di Hutan Simpan Royal Belum iaitu hutan dara terbesar dengan keluasan 117,500 hektar atau kira-kira empat kali saiz negara Singapura dan berusia 130 juta tahun yang lebih tua dari Hutan Amazon! Pengalaman membaca buku di dalam persekitaran ‘yang sepatutnya’ sungguh menyeronokkan dan pastinya dicemburui oleh Thomas L Friedman. Malah saya syorkan aktiviti kembara buku ini seperti inisiatif Izwan Wahab, Ketua Operasi Baca@LRT iaitu sebuah kempen gerakan massa, “Rakyat membaca di mana-mana”.

Sama seperti buku-buku sebelumnya, “Lexus dan Pokok Zaitun” serta “Dunia Sama Rata”, “Panas, Rata dan Sesak” memberikan sudut pandang yang baharu yang bisa mengubah 180 darjah anak mata berjuta-juta pembaca di seluruh dunia. Estetika lingustiknya jelas mempersona dengan bukan sekadar bahasa literalnya sahaja, dia memulakan bab satunya dengan pertanyaan holistik, “Mengapa Citibank, bank di Iceland dan bongkah ais di Antartika semuanya cara pada masa yang sama?” dan bukan menyempitkan perbahasan isu hijau hanya tentang kenaikkan suhu, aras laut, teras ais, kepupusan terumbu karang dan mendapan tasik dan lautan sebagai mana yang ditemui dalam tulisan-tulisan kaku sarjana alam sekitar yang membosankan!

Ditambah dengan petikan kenyataan dari buku, majalah, akhbar dan individu persendirian termasuk temubual peribadi dari mereka yang terlibat dalam pembuatan dasar, pemain industri, pencinta alam dan komuniti setempat, menjadi seolah rantaian titipan kata-kata hikmah. Membacanya membuatkan anda percaya bahawa buku ini bukanlah ucap suara unilateral Thomas L Friedman sebaliknya adalah suara multilateral seluruh warga dunia yang mahu hidup untuk 1,000 tahun lagi.

Malah banyak babak monolog penulis buku ini yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 semasa populasi manusia berjumlah 2.681 bilion mengusik empati pembaca. Dia turut membayangkan jika dapat hidup sehingga usia 100 tahun bermakna dia akan berkongsi dunia ini dengan lebih sembilan bilion orang pada 2053 mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lebih sinikal Thomas L Friedman mendakwa yang manusia perlu menakluki tiga buah planet lagi! Sungguh fantastik dan imaganatif - sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan selama ini.

Keseluruhannya buku ini memfokus kepada lima masalah utama berlakunya pemanasan, perataan dan kesesakan dunia dengan angka-angka dan graf-graf yang dramatik iaitu peningkatan permintaan kekayaan ke negara kaya minyak dan ditaktor minyak secara besar-besaran; perubahan iklim yang membawa bencana; kemiskinan tenaga yang membahagikan dunia kepada dua blok, negara yang mempunyai kuasa elektrik dan yang tidak mempunyai tenaga elektrik; serta kehilangan biodiversiti secara drastik disebabkan kepupusan tumbuhan dan haiwan yang direkodkan.

Tanpa apolegetik, Thomas L Friedman membidas tanah tumpah darahnya sebagai penyebar virus penyakit ‘affluenza’ dan pesakit-pesakit ‘Americans’ dari Doha ke Dalian dan dari Calcutta ke Casablanca ke Kaherah yang tinggal di rumah gaya Amerika, memandu kereta gaya Amerika, makan makanan segera gaya Amerika dan menghasilkan sampah sarap sebanyak di Amerika seolah satu demografi seluruh dunia dihuni oleh sebegitu banyak ‘orang Amerika’! Salinan karbon peta Amerika ini sangat mencemaskan sehingga Michael V Hayden, Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) menyatakan bahawa penganalisisnya percaya trend yang paling dibimbangi di dunia sekarang bukanlah keganasan tetapi corak demografi.

Dengan melihat dunia yang semakin panas, rata dengan kemunculan kelas pertengahan dengan kuasa beli yang tinggi di seluruh dunia dan sesak dengan pertambahan penduduk dunia secara berterusan kira-kira satu bilion setiap 13 tahun, Thomas L Friedman telah membuktikan bagaimana pasca 9/11, Taufan Katrina dan dunia di hujung jari ekoran dengan pasport ‘internet tanpa negara’ yang diakses oleh tiga bilion manusia maka isu iklim dan tenaga bukan soal kecil dan terpencil sebaliknya era baharu iaitu Era Tenaga-Iklim yang membawa revolusi teknologi tenaga boleh menjadi ‘penawar mujarab’ dan ‘racun berbisa’.

Kemudian dengan penuh bertanggungjawab, penulisnya yang juga warganegara Amerika Syarikat mengesyorkan keperluan negaranya menerajui revolusi ini melalui Presiden Revolusi Hijau yang pertama dan Bai’ah Baru Hijau dengan dipacu oleh generasi hijau. Pengharapan beliau nyata tinngi kerana kali pertama dan terakhir komitmen kerajaannya dapat dilihat semasa kepimpinan Al-Gore, mantan Timbalan Presiden yang juga penerima hadiah Nobel Keamanan 2007 selepas menerbitkan filem dokumentari An Inconvenient Truth.

Thomas L Friedman menulis dari pengalaman ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ pada dekad yang lalu yang disifatkannya sebagai kelas kesarjanaan di tapak penyelidikan kumpulan Pemuliharaan Antarabangsa (CI) di beberapa tompok panas biodiversiti dan kawasan terancam lain - dari tanah bencah Pantanal di barat daya Brazil hingga ke hutan hujan Atlantik di bahagian pantai Brazil, dari hutan belantara Guyana Shield di selatan Venezuela hingga ke stesen penyelidikan burung macaw di Rio Tambopata di tengah hutan Peru, dari bahagian tanah tinggi Shangri-La di bahagian Tibet yang dikuasai China hingga ke hutan tropika di Sumatera dan pulau terumbu karang di Bali, Indonesia. Lebih awal dari itu, dia pernah berkelana seorang diri ke Masai Mara di Kenya, Ngorongoro Crater di Tanzania, ke kawasan kontang luas terbang di Empty Quarter di Padang Pasir Arab Saudi dan ekspedisi ke kubah garam di Laut Mati. Membaca travelog Thomas L Friedman memberikan pengalaman melancong ke destinasi bencana ekosistem rentas benua. Jika Amerika Syarikat mengkagumi Christopher Columbus sebagai penemu ‘Dunia Baru’ maka tidak salah untuk mengangkat adiwira pengembaraan abad ke-20 dan 21, Thomas L Friedman sebagai penemu ‘Dunia Bermasalah’.

Namun apakah penyelesaian bagi semua permasalahan biodiversiti ini? Ada yang beranggapan kunci permasalahan tenaga ini cuma satu, tiada pendua iaitu pereka cipta yang sebijak Thomas Edison yang akan merekacipta penemuan ajaib bagi menjana kuasa berlebihan, bersih, boleh diharap dan murah. Jawapan ringkas Thomas L Friedman penuh dengan falsafah kebijaksanaan, “Kita perlukan sejuta Nabi Nuh bersama sejuta bahtera Baginda!” Seperti pelaksana sunah ‘Nabi Nuh’, Dr Jatna Supriatna seorang profesor bioantropologi dan Arifin Panigoro seorang usahawan tenaga yang ditemui Thomas L Friedman di Batang Toru dan Batang Gadis, Indonesia, saya yang menginap tiga hari dua malam di Belum Rainforest Resort bagi mentelaah buku 579 muka surat juga boleh berbangga dengan pemiliknya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar seorang pemaju hartanah kos rendah dan sederhana yang boleh dikatakan sebagai ahli sunah ‘Nabi Nuh’ di Malaysia dengan Pulau Banding sebagai bahteranya.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.