30 Oktober 2008

MEMELAYUKAN BAHASA DAN MEMBAHASAKAN MELAYU


Faizal Riduan
a
Iklan Deepavali Petronas baru-baru ini benar-benar menyentuh hulu hati saya sehingga menitis syahdu air mata bukan sahaja kerana mesej tersurat atau tersirat yang ingin disampaikan penajanya Petronas tetapi mungkin mesej ‘kebetulan’ tentang gambaran sebenar masalah bahasa di Malaysia. Iklan yang mengisahkan usaha seorang ayah, Macha dari keluarga India yang miskin di Ipoh dalam membesarkan anaknya Mahesh sehingga berjaya menjadi juruterbang.

Yang menyedihkan setelah setengah abad negara merdeka, bahasa yang digunakan antara kaum India dan Cina ini ialah bahasa Inggeris dan bahasa yang digunakan dalam sebuah keluarga India ini juga adalah bahasa Inggeris kecuali ‘appa’ yang jelas dalam sebutan bahasa Tamil. Sementara bahasa Melayu menepati realitinya hanya layak menjadi bahasa latar belakang perbualan ketika membersihkan pesawat itupun hanya 3 saat dari durasi iklan selama 181 saat!

Sayangnya iklan tempatan ini tidak ubah seperti iklan kolonial yang pernah saya lihat di gedung pakaian yang berlatar gambar segak pegawai British dan pembesar India dengan tema “Presenting British Indian – An Era of Racism, Opprenssion, Injustice and Nice Outfits”.

Realiti sebenarnya, di negara India yang mengamalkan sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris tidak mampu melahirkan cerdik pandai elit India yang terfikir untuk mencipta periuk nasi automatik, traktor kecil ala-kubota, atau generator kecil atau motosikal kecil yang kesemuanya adalah penyelesaian untuk masalah Asia di mana India adalah penyumbang populasi penduduk ke-2 terbesar di Asia dan dunia. Sebaliknya semuanya dihasilkan oleh cerdik pandai Jepun yang terdidik dalam bahasa ibunda mereka.

Tetapi saya masih tidak faham mengapa sebahagian orang cerdik pandai seperti Datuk Dr S Vijayaratnam, Naib Presiden Gerakan mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengajar lebih banyak mata pelajaran terutamanya sains dalam bahasa Inggeris. Lainlah kalau cadangan itu dilontarkan oleh ‘orang kurang pandai’ seperti Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 yang boleh memberikan ucapan penghargaan
“I sound like stupid if I speak in Malay”!

Sejujurnya dalam memperkatakan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak perlu lagi bercakap dengan suara perkauman apatahlagi dalam kerangka besar menjadi satu bangsa Malaysia dalam ‘Wawasan 2020’ yang tinggal hanya 11 tahun 1 bulan lagi. Kedudukan bahasa Melayu adalah bersifat supraetnik iaitu mengatasi batas etnik penutur asalnya yang walaupun secara harfiah namanya dikait-rapat dengan orang Melayu, hakikatnya bukan lagi bahasa mutlak orang Melayu sebaliknya adalah bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

Adalah satu pandangan yang sempit apabila melihat bahasa Melayu sebagai hak istimewa orang Melayu. Ini kerana hak istimewa orang Melayu adalah imbangan kepada penerimaan keturunan lain yang bukan bumiputera untuk menjadi rakyat negara ini sementara peruntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah proses pembinaan sebuah negara bangsa. Oleh yang demikian, kita perlu keluar dari hambatan psikologi dari batas bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu.

Jika satu masa dahulu, pada tahun 1947 All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang diasaskan oleh Tun Tan Cheng Lock yang kemudian turut mengasaskan dan menjadi Presiden pertama MCA boleh memilih nama ‘Melayu’ sebagai nama rupa bangsa dan kewarganegaraan bagi Tanah Melayu termasuk Singapura mengapa tidak pada hari ini setelah kita mendakap nikmat kebebasan dan kemerdekaan dengan orang Melayu sendiri mengetepikan faktor asal usul dan darah keturunan? Dan mengapa hari ini sebilangan daripada orang bukan Melayu mendakwa kemajmukan bahasa sebagai simbol perpaduan?

Tindakan kerajaan DAP di Pulau Pinang yang menokok-tambah penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil ke dalam papan tanda jalan atas nama ‘muhibbah’ sebenarnya akan membawa ‘musibah’ seperti tindakan mentornya PAP di Singapura yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi tiga bahasa lain iaitu Inggeris, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi. Bahasa Melayu akhirnya tertinggal dengan retorik gah sejarahnya sebagai bahasa kebangsaan bersumber dari zaman kerajaan Melayu Temasik!

Tetapi apa bezanya dengan tindakan Presiden MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu iaitu Dato’ Seri Ong Ka Ting pada 1 Januari 2004 yang membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan yang dikatakan tidak lagi diwajibkan pada papan perniagaan dan iklan?

Sebenarnya tiada bezanya baik DAP atau MCA mahupun Gerakan dalam memelayukan bahasa kebangsaan. Yang patut dibahasakan ialah orang Melayu yang terlalu banyak berkorban dari nama negaranya Tanah Melayu menjadi Malaysia. Pengorbanan elit Melayu dapat dilihat dari nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang merujuk dirinya sebagai UMNO dalam akronim bahasa Inggeris bahkan dieja dalam tulisan jawi “alif-mim-nun-wau” daripada akronim bahasa Melayunya sendiri – PEKEMBAR.

Jika dahulu Tun Haji Abdul-Rahman Ya’kub ‘menebal muka’ mengadap Presiden Suharto pemerintah Indonesia memohon mengirimkan guru-guru sains dan matematik ke Malaysia yang memulakan episod pertukaran aliran Inggeris kepada aliran kebangsaan dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan kemuncaknya penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dan pada tahun 1983 pula kursus tahun pertama di universiti dalam bahasa kebangsaan telah membuktikan bahawasanya bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi maka apakah rasionalnya pemimpin Melayu menongkah arus sejarah dengan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris?

Salahkah Kongres Sejarah Malaysia II yang berakhir dengan 51 resolusi antara salah satunya berbunyi “untuk memantapkan teras pembinaan Malaysia negara bangsa yang merdeka… dihapuskan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (I(iv))” sedangkan inilah janji yang belum dibayar semasa pilihanraya pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam manifesto yang turut menjadi antara kandungan kontrak sosial terawal “menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

Menurut Ibnu Khaldun dalam magnum opus-nya ‘Mukaddimah’, faktor bahasa selain budayalah yang dapat membina peradaban dan tamadun dalam sesebuah negara. Namun seperti kata Malik Bennabi seorang tokoh sejarah dan sosiologi dalam bukunya Masalah Idea Dalam Dunia Islam’ kegagalan negara bekas tanah jajahan Eropah dengan mengekalkan kesan penjajahan linguistik melalui bahasa penjajah sebenarnya telah mewujudkan gejala ‘bilingualisme’.

Kesannya boleh dilihat pada budaya ‘Seksyen’ di Shah Alam dan ‘Presint’ di Putrajaya adalah contoh mentaliti ‘jongkang-jongkit’ yang melonjakkan bahasa Inggeris dengan menekan bahasa Melayu sedangkan kedua makna tersebut terdapat istilah dalam bahasa Melayu sebagai ‘kawasan’. Barangkali mereka ini sebagai orang ‘bandar’ dan golongan elit Melayu merasakan istilah ‘kawasan’ sebagai bahasa bersifat ‘kekampung’ dan ‘kehuluan’.

Sebegitulah hampir sederet projek mega dinamakan dalam bahasa Inggeris yang berbelit dek lidah namun ‘catchy’ pada singkatannya seperti PWTC, KLCC, KL Central, KLIA, SIC, MSC termasuk yang terkini koridor ekonomi NCER, ECER, SDC dan SCORE. Apa yang perlu dihairankan sedangkan pembentangan kewangan negara dinamakan sebagai ‘bajet’ oleh Perdana Menteri sendiri sedangkan istilah yang betul ialah belanjawan.

Malah komplek mahkamah Putrajaya dinamakan sebagai ‘Place of Justice’, inilah warisan daripada legasi Common Law yang dibawa dari Britain sedangkan sebelum era penjajahan 1511 Melaka masih boleh berbangga dengan sejarah yang tidak kurang panjangnya dalam tradisi perundangan melalui Hukum Kanun Melaka yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456).

Sebelumnya, penjajah hanya berjaya merendahkan martabat bahasa Melayu dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas kepada bahasa setempat atau bahasa vernakular dengan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ melalui sistem pendidikan berasaskan kaum. Perencanaan jahat kerajaan Inggeris ini dirakam dalam dokumen rasminya yang memetik “Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, ilmu kira-kira, ilmu alam dan rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah” (Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898).

Kita kini tidak boleh lagi terus menyalahkan penjajah kerana setelah lebih 50 tahun kemerdekaan dengan kerajaan sendiri kita masih meneruskan legasi imprealis dan tidak mengidentitikan jati diri dan akar umbi Melayu itu sendiri. Selebihnya bahasa Melayu masih dapat bertahan berbanding dengan bahasa peribumi di Amerika Latin yang hilang melalui penjajahan Sepanyol dan Portugal adalah kerana tiada gangguan dalam sistem pendidikan negara secara total dan mandatori.

Tujuan Penyata Razak yang terkandung dalam perenggan 12 “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peratoran pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sa-bagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah di-perbuat dengan beransor-ansor”.

Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa Penyata Razak bukan diperkasakan secara ‘beransur-ansur’ sebaliknya pemimpin UMNO terlalu ‘bertolak-ansur’ dan akhirnya ‘beransur-ansur’ peranan bahasa Melayu dikembirikan. Sebab itulah Yang Mulia Tengku Razaleigh ketika membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dalam Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995 secara beremosi melihatnya sebagai usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak, ‘Bapa Pembangunan’ dan arkitek bangsa Malaysia.

Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa peribuminya menekankan peri pentingnya peranan satu bahasa kebangsaan dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa melalui dasar bahasa mereka “Americanism, they argue, loses something in the translation, while English offers the only key to the nation’s democracy, history and culture. Language thus becomes a literal shibboleth of nationality, a badge of true Americanism, and anything less than fluency in English – aforeign accent, let alone the maintainence of a minority tongue – is perceived to threaten national security and subvert the national ideal” (Dennis Baron, 1990).

Dasar bahasa terutamanya bagi negara pelbagai bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan daripada proses pembinaan negara bangsa. Agenda sosiopolitik ini boleh membentuk integrasi politik atau krisis politik jika perjuangan pelbagai bahasa ditakrif dalam kerangka perkauman sempit sebagaimana konflik antara kaum minoriti Tamil dengan kaum minoriti Singhalese di Sri Lanka, ancaman perpisahan antara kaum yang berbahasa Perancis di Quebec, Kanada dan ketidak-stabilan kerajaan Belgium yang silih berganti hanya kerana penggunaan bahasa Walloan atau bahasa Flemish.

Bagi orang bukan Melayu yang masih belum berasimilasi dengan kemerdekaan negara ini, kertas kerja Dr Ong Hok Ching wajib dibaca. Mereka boleh mengambil iktibar bagaimana orang Cina peranakan seperti Baba dan Nyoya yang membina jati diri dengan mengambil alih ciri-ciri budaya tempatan tanpa mengorbankan identiti dan jati diri asal warisan leluhur sebagai etnik Cina. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Melaka, mereka boleh melihat contoh India peranakan seperti Mamak yang kini boleh dilihat bertebar di mana-mana melalui rangkaian kedai Mamak 24 jam!

Bagi orang Melayu yang masih belum beriman dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu maka tulisan Abdullah Munsyi pada tahun 1882 wajib diinsafi, “Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

27 Oktober 2008

MENYELUSURI JEJAK MEGAT TERAWIS

Semalam saya berkesempatan memenuhi undangan Majlis Perhimpunan Keturunan Megat Terawis Malaysia di Bandar Di-Raja Kuala Kangsar. Megat Terawis dikenali dengan gelaran Orang Kaya Bendahara Paduka Raja adalah Bendahara Perak yang pertama yang datang bersama Sultan Muzaffar Syah I dari Kampar, Pagar Ruyung untuk dimashyurkan sebagai Sultan Perak yang pertama.
a
Saya berkesempatan berbual bicara dengan Presiden baru persatuan keturunan keluarga ini iaitu Tan Sri Megat Najmuddin bin Tan Sri Megat Khas. Saya turut kagum dengan silat dan busana Persatuan Pewaris Penjurit Kepetangan Melayu yang dikatakan sebagai mewarisi kepahlawanan Megat Terawis.
a
Saya juga telah ditunjukkan dengan salah satu keris pusaka Megat Terawis yang bernama "Aral Melintang". Saya mengucupnya sambil membayangkan kedatangan Megat Terawis di Sungai Perak pada tahun 1928.
a
"Jika benarlah inilah keris yang dibawa oleh Megat Terawis ke negeri Perak, keris pusaka yang banyak menumpahkan darah atas nama Raja Melayu maka bertuahlah saya dapat mencium keris keramat ini," kata saya kepada warisnya.
a
Tiba-tiba hati saya memberontak bagaimana satu keturunan sahaja yang kini telag mempunyai 18 generasi sejak 1528 boleh dikatakan sebagai pendatang? Saya kini bersemangat untuk menyudahkan artikel menyanggah logika Melayu sebagai kaum pendatang.

20 Oktober 2008

KREDIT UNTUK RAKAN BLOGGER


Di kesempatan ini saya ingin memberikan kredit ucapan terima kasih kepada rakan blogger yang memetik artikel saya ke dalam blog mereka dan ianya sekaligus memberikan akses ke blog saya. Kepada semua pengunjung yang lain, artikel saya ini hak ciptanya adalah terpelihara di sisi undang-undang namun pengecualian diberikan secara bebas untuk memuat-turun asalkan ianya perlu memberikan kredit sumber petikan dari penulis asal dan blog ini.

PERTAMA DI DALAM AKHBAR DALAM TALIAN

Apabila media melaporkan mengenai berita penganugerahan bintang Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran 'Datuk' pada 11hb Oktober, saya sangat terperanjat dengan kejutan 'tidak masuk akal' yang dibuat oleh Ketua Menteri Melaka dan Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka Melaka itu. Dalam masa sehari suntuk saya sepenuh kudrat mencari bahan untuk mengkritik pemberian bintang kebesaran tersebut. Tepat jam 7.42 malam saya sempat menghantar artikel kepada beberapa media cetak dan elektronik.

Namun mungkin kerana penulisan saya yang kritikal kepada kerajaan negeri maka artikel tersebut tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana. Sebagai alternatif untuk pertama kalinya saya cuba menghantar ke akhbar dalam talian seperti Malaysiakini.com, Harakahdaily.net dan KLpos.com.

Walaupun ianya adalah usaha pertama kali, namun saya bersyukur dan berterima kasih kerana akhirnya akhbar dalam talian KLPos.com sudi menyiarkan artikel penuh saya sebagai berita utama mereka pada hari ini walaupun setelah 9 hari artikel tersebut ditulis.

11 Oktober 2008

TAHNIAH DATUK SHAH RUKH KHAN!


Faizal Riduan

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran 'Datuk' akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran-gelaran seperti Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra dan Datuk Preeti Zinta.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka 'Bandaraya Bersejarah' dan 'Bandaraya Warisan Dunia' daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran 'Datuk' ini juga turut diberikan kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Univerisiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamad Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Md Diah Mohamad, Timbalan Presiden Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; dan Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco.

Tidak kurang hebatnya penerima sebelumnya seperti Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC); Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO. Dalam senarai panjang penerima yang bukan calang-calang orangnya, adakah mereka boleh berbangga segelaran dengan Datuk Shah Rukh Khan atau Datuk Shah Rukh Khan sebenarnya yang berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran 'Datuk' kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah 'Datuk' diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden UMNO. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri Melaka dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri UMNO akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed pada 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan esoknya Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Borong Mydin!

10 Oktober 2008

PERANG SAUDARA NAJIB - ANWAR


Oleh: Faizal Riduan

Najib dan Anwar dari kacamata saya sejak dahulu dan kini masih mempunyai banyak persamaan. Mereka bersama-sama naik dalam politik dalam satu pasukan ‘Team Wawasan’ yang akhirnya tenggelam dalam parti berbanding ‘Team B’ yang lenyap di luar parti. Mereka juga mendapat mentor terbaik ketika itu iaitu Tun Mahathir yang memberikan laluan mudah untuk mereka berdua dengan lampu hijau sepanjang jalan tanpa sekatan dan halangan.

Jika Tun Mahathir tidak lupa, mereka juga antara penyelamat kerusi Presiden dan ‘Team A’ dalam krisis UMNO 1987. Persamaan terkini ialah mereka berdua bakal menjadi Perdana Menteri (PM) mengikut pelan peralihan yang dibuat oleh arkitek parti masing-masing. Bezanya cuma Najib mewakili kerangka UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan Anwar mewakili kerangka PKR dan Pakatan Rakyat (PR) itu sahaja.

Sebenarnya baik Najib mahupun Anwar sendiri, pelan peralihan ini mempunyai kesan signifikan sebagai talian hayat dalam kerjaya politik masing-masing. Najib ingin mengabsahkan dengan mengikut tradisi pelan peralihan maka takhta PM adalah miliknya sementara Anwar ingin mengabsahkan dengan melalui ‘pintu belakang’ istana maka takhta PM adalah miliknya. Namun hakikatnya di dunia ini, sesebuah negara hanya memerlukan seorang PM dalam sesuatu masa!

Najib dalam ucapan di Persidangan Agung UMNO 2004 pernah berkata kepada Abdullah, “Saya tidak akan menikam dari belakang”. Namun Najib perlu berhati-hati dalam bersaksi sumpah dan berikrar janji kerana waima bai’ah pujangga, Anwar kepada Tun Mahathir sempena ulangtahun ke-15 sebagai PM, “Angkut-angkut terbang ke langit, Sampai di langit dimakan merbah, Biar tertangkup bumi dan langit, Setia saya takkan berubah”, walau semanis madu pantun dilagu tetapi akhirnya dibalas dengan sepahit hempedu.

Anwar yang terlebih dahulu menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri telah sampai ke tahap memangku jawatan PM dan kini sebagai Ketua Pembangkang dan ketua de facto PR sementara Najib yang terkini dengan kedudukan strategik sebagai Menteri Kewangan I dan Timbalan Perdana Menteri. Tentunya keduanya kini digelar sebagai ‘Prime Minister-in-waiting’ atau dalam idiom diraja dimasyhurkan sebagai ‘Putera Mahkota’ yang bakal bersemayam di ‘Istana Putrajaya’ oleh penyokong dan parti masing-masing.

Ironisnya tidak semua putera mahkota akan menjadi raja seperti Putera Hassan Talal yang telah menanti selama 34 tahun sebagai Putera Mahkota Jordan namun akhirnya Putera Abdullah Hussein, anak saudaranya dimahkotakan sebagai raja sebelum Al-Malek Hussein mangkat.

Najib harus maklum bahawa wasiat kepimpinan tidak beerti yang namanya dihitamkan atas kertas putih akan mendapat semuanya dan yang namanya diputihkan atas kertas putih akan hilang segalanya. Dan tidak lupa bahawa yang berkuasa masih bernyawa bersemayam di atas takhta maka surat wasiat bukan lagi tauliah pertabalan diraja! Sekalipun Najib telah dinamakan sebagai waris tunggal PM tetapi sebagai anak jati Pahang, perlu melihat sejarah wasiat pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali supaya putera sulungnya Wan Mutahir ditabalkan sebagai Bendahara Pahang sementara putera bongsunya Wan Ahmad dianugerahkan daerah Endau dan Kuantan.

Selepas Wan Mutakhir menjadi Bendahara Pahang pada 1857 dengan kemangkatan ayahandanya, mula tamak mahu menguasai seluruh muka langit dan bumi jajahan takluk Pahang sehingga mengingkari wasiat untuk menyerahkan dua daerah tersebut kepada adindanya. Wan Ahmad akhirnya menyerang Pahang dengan bantuan Tok Gajah dan Dato' Bahaman sehingga baginda berjaya menakluk pahang dan menjadi Bendahara pemerintah pada tahun 1863 dengan gelaran Sultan Ahmad.

Sebaliknya, jika sekalipun Anwar berjaya merampas bakal ‘mahkota’ Najib, Anwar sebagai bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) perlu insaf dengan sejarah Raja Muda Abdullah yang tidak ditabalkan menjadi sultan sebaliknya diganti dengan Raja Bendahara Ismail sebagai Sultan Perak tetapi baginda berjaya kembali semula dengan gelaran Sultan Abdullah Muhammad Shah. Namun kemudiannya baginda menyesal kerana membawa kepada campurtangan British melalui Sir Andrew Clarke dan menebus dosanya dengan pakatan menumpahkan darah J.W.W . Birch di Pasir Salak sehingga baginda dihukum buang negeri ke Pulau Seychelles di Lautan Hindi.

Walaupun hakikatnya, Abdullah telah bersetuju untuk penyegeraan pelan peralihan pada tanggal Mac 2009, ini tidak beerti Najib akan mendapat sokongan ‘sebulat air di pembentongan’. Satu masa dahulu karismatik Anwar memuncak dalam UMNO pada tahun 1993 dengan 95 peratus sokongan sehingga berjaya menumbangkan veteran UMNO Tun Ghafar yang lama berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman yang dimalukan dengan 7 pencalon sahaja bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden berbanding Anwar yang menerima sebanyak 137 daripada 145 pencalonan.

Menyedari momentum itu akan berulang, Tun Mahathir bertindak pantas menggunakan kuasa veto Presiden dan Majlis Tertinggi untuk memecat Anwar pada tahun 1998 bagi menyekat kemaraan Anwar yang dikhuatiri akan mencabar jawatan Presiden pada kemudian hari.

Begitu juga apabila berhadapan dengan kekuatan ‘Team B’ yang berjaya mendapat sokongan daripada 5 menteri dan 4 timbalan menteri. Tun Mahathir yang dicalonkan oleh 89 bahagian hanya berpuas hati dengan kelebihan 43 undi apabila mendapat 761 undi berbanding Tengku Razaleigh yang hanya mendapat kurang setengah iaitu sekadar 37 pencalonan tetapi berganda menjadi 699 undi.

Tun Musa Hitam yang untuk dua kalinya berjaya mempertahankan jawatan Timbalan Presiden dengan mengalahkan Tengku Razaleigh namun apabila bergabung menjadi regu Tengku Razalegih, Tun Musa Hitam dikalahkan oleh Tun Ghafar iaitu regu Tun Mahathir yang mencuba untuk pertama kali. Akhirnya apabila UMNO diharamkan maka ‘Team B’ terpaksa menjelmakan dirinya menjadi Parti Semangat 46 apabila Tun Mahathir mengasaskan kembali parti UMNO Baru.

Dalam dua krisis kritikal ini, jelas kelihatan bagaimana Presiden/PM dengan kuasa-kuasa yang ada padanya boleh bertindak dengan menyelesaikan masalah melalui penyingkiran dan pembuangan. Walau sekuat mana pengaruh seseorang individu atau kumpulan tetapi Presiden/PM mempunyai satu butang penyelamat yang akan menyambung talian hayatnya dan memberikan kesan kemusnahan besar-besaran kepada musuh politiknya.

Kini Najib perlu mentakrif semulanya dirinya adakah beliau setanding dengan kredebiliti dan karismatik Anwar dan Tengku Razaleigh? Adakah kumpulannya setanding dengan kekuatan pasukan ‘Team B’ dan ‘Team Wawasan’? Adakah UMNO kini kukuh untuk menghadapi krisis kali ke-3 dengan UMNO mengalami krisis kepimpinan dalam dan luar yang terburuk dalam sejarah.

Anwar pula sememangnya mempunyai banyak kelebihan pada masa ini, jika jawatan PM diundi secara terus oleh rakyat Malaysia seperti amalan dalam pemilihan Presiden Amerika dijangka Anwar akan menang mudah. Anwar pernah menjadi ‘Tuah’ dan ‘Jebat’ dalam sejarah politik Melayu, pengalaman berada di dalam dan di luar kerajaan sewajarnya mengajar Anwar untuk menjadi pemimpin kepada semua. Namun untuk percubaan pertama kali menaiki takhta melalui istiadat yang berbeza, Anwar perlu lebih cermat dan tertib apatahlagi ianya akan menjadi sebahagian daripada nilai-nilai demokrasi ala Malaysia.

Bagi kedua-dua ‘Putera Mahkota’ ini, apakah penyelesaian untuk mewarisi takhta sebagai PM tanpa rakyat jelata menjadi taruhannya? Adakah mereka memilih untuk menghormati tradisi parlimen berperlembagaan atau bertelingkah dalam perang saudara yang entah bila surutnya? Jika itu pilihan mereka maka kita akan melihat benarkah kata para leluhur ‘menang jadi arang, kalah jadi abu’?.

Sehingga kini saya masih mengharap keajaiban pengorbanan agung seperti kisah Sultan Muhammad Syah mengorbankan kedudukannya sendiri sebagai Sultan Perak agar Perak bersatu semula di bawah satu pemerintahan dengan seorang sultan sahaja dengan kekandanya Sultan Muzaffar Syah sebagaimana yang tertulis dalam sejarah klasik Misa Melayu yang dikarang pada tahun 1908. Kini setelah genap 100 tahun masih adakah pemimpin Melayu semulia itu lagi?.

09 Oktober 2008

PERTAMA BERKULIAH DI UKM

Bersempena dengan rencana saya yang diterbitkan dalam isu khas majalah Milenia Muslim, saya telah mendapat undangan untuk memberikan sedikit kuliah (agak janggal digunakan untuk yang bukan pensyarah seperti saya) tentang realiti pertubuhan belia di Malaysia.

Perbicaraan saya lebih berkisar tentang rencana tersebut dengan beberapa isu dan fakta tambahan. Saya agak kaget mulanya kerana mahasiswa mungkin agak teruja bukan disebabkan oleh tajuk ini kerana saya percaya ini adalah tajuk yang rutin dengan subjek mereka yang diajar selama satu semester. Tetapi mungkin kerana dapat mendengar sendiri pandangan dari seorang penulis kecil yang biasanya ideanya hanya tercetak di atas kertas yang akan kusam.

Apa yang pasti saya lebih teruja apabila melihat mahasiswa hari ini kurang idealisme dan jati diri sehingga apabila saya menyoal meminta mereka memberikan contoh pertubuhan belia maka salah satu jawapan ialah "Rakan Muda". Kasihan pula melihat mereka apabila saya terpaksa memberikan penerangan tambahan tentang apa itu pertubuhan kerajaan termasuk kementerian dan agensinya, badan berkanun seperti universiti merek sendiri dan badan bukan kerajaan (NGO).

Dalam sesi soal-jawab mahasiswa lebih berputar tentang isu sikap melabel dan kepentingan kebebasan dalam keterbukaan, saluran untuk menyuarakan isi hati golongan belia selain melalui pertubuhan belia dan juga sedikit perbandingan dengan pertubuhan-pertubuhan Cina yang dilihat lebih aktif.

Saya menjawab apa yang boleh disumbangkan oleh mereka, "Anda boleh menulis surat kepada editor seperti apabila saya memberikan komentar terhadap isu gaji kakitangan awam 2 kali sebulan dan relevensi cuti umum 16 September walaupun belum tentu Pak Lah membacanya atau membekas dijiwanya". Ayat terakhir 'membekas dijiwanya' disambut dengan gelak ketawa yang sangat lelucon sifatnya. Saya rasa mereka ketawa kerana penggunaan ayat saya yang mungkin sedikit bombastik dan sasteratik. Paling tidak mereka pasti akan mendapat 'mood' profesor pelawat dari Indonesia itu!

08 Oktober 2008

PERTAMA DI DALAM MAJALAH

Minggu ini adalah antara minggu yang mengembirakan saya. Seperti biasa saya membaca majalah Milenia Muslim keluaran Oktober 2008 tetapi mungkin agak terlewat kerana kesibukan lebaran pada awal bulan. Tiba-tiba apabila menyelak muka surat 24-28 saya agak teruja untuk membaca semua artikel tentang masalah belia akar umbi dan pergerakan pertubuhan belia itu sendiri (seikhlasnya banyak artikel yang lebih baik dalam keluaran bulan ini seperti artikel 'Mitos Tamadun Petroleum').

Saya dengan lahapnya menghadam semua perkataan sepatah demi sepatah, sebait demi sebait, sebaris demi sebaris, seperenggan demi seperenggan. Apabila sudah habis membaca saya bertanya sendiri "Macam pernah kubaca artikel ini? Tetapi di mana ya?".

Sayapun tanpa berfikir panjang terus memandang ke sudut kini di bahagian atas untuk melihat penulisnya - 'Faizal Riduan'. "Erm patutlah kesal hati saya!".

Maaf ya jika berkongsi lawak keterujaan di sini. Tetapi semestinya perkara pertama dalam hidup wajar diingati kemanisannya seperti cinta pandang pertama. Apapun saya tidak dapat menyorokkan rasa terhutang kasih dan budi kepada En Zulkafly Baharuddin, Editor Milenia Muslim atas izinnya dapat artikel tersebut diterbitkan.

Terima kasih zat kalsium, lepas menulis tunggu honorarium!

03 Oktober 2008

JEMPUT BERTAMU, UNDANG BERTANDANG




Seperti Hari Raya Aidilfitri yang saya lalui 27 tahun yang lalu, Kuala Lumpur sememangnya tidak menjanjikan apa-apa yang indah di sini. Dalam 365 hari, inilah hari yang paling membosankan dan mengosongkan di Kuala Lumpur.
A
Oleh itu, saya lebih betah menghabiskan masa di rumah dan menanti kunjungan tetamu. Tahun ini saya memperuntukkan segala idea, tenaga, masa dan kewangan untuk mendekorasi rumah menjadi syurga impian saya. Ini mungkin hadiah kecil yang tidak seberapa daripada seorang anak kepada kedua ibubapanya.
A
Tidak kurang tetamu yang menyapa, "...seperti dalam Casa Impian / Deko Bersama Eric". Tidak dapat dipastikan adakah mereka memuji atau memerli? Seikhlasnya saya belum pernah menonton rancangan tersebut dan sekadar mengemashias dengan citarasa gerak hati. Saya hanya mampu menjawab, "Ini idea ori. Yang pasti ini bukan rumah Eric Leong!".
A
Apapun rumah ini didedikasikan dengan pintunya terbuka untuk semua tetamu. Kunjungan anda bila lagi? Usah berketuk, silakan masuk! Jemputlah bertamu, undanglah bertandang ke teratak rumah kecil kami ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin!

27 September 2008

NAMAKAN MPV PROTON


Perusahaan Otomobil Nasional a.k.a Proton kini menghitung hari menanti kelahiran Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang terbaru bagi menggantikan MPV mini 'kurang upaya' Proton Juara. Sebagai rakyat Malaysia, saya hanya boleh berbangga dengan Proton kerana nama-nama keretanya adalah dalam bahasa ibunda seperti Saga, Wira, Iswara, Perdana, Putra, Tiara, Satria, Waja, Juara, Persona dan Arena.

Adapun kini saya begitu kecewa apabila Proton tampil kebaratan dengan permodenan hanya pada nama seperti Pert, Savvy dan Gen-2. Begitu juga apabila Proton tampil 'dualisme' nama seperti Proton Arena yang dinamakan kembali sebagai Proton Jumbuck untuk pasaran luar negara. Dua nama untuk sebuah kereta yang sama! Peliknya Proton Wira boleh pula dipasarkan ke luar negara dengan nama dalam bahasa Melayu - Proton Persona. Satu nama untuk dua buah kereta yang berbeza! Cuba fikirkan apakah pula nama Proton Persona jika mahu dipasarkan ke luar negara sedangkan namanya telah digunakan oleh Proton Wira di sana?

Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Proton perlu mempunyai panel seperti wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk proses penamaan ini beridentitikan kemalaysiaan bukan sekadar berpemilikan rakyat Malaysia sahaja. Namun usaha terbaru Proton menganjurkan pertandingan menamakan Proton MPV terbaru yang bakal dilahirkan berjaya meraih 251,000 penyertaan, jelas satu proses perkongsiaan pemilikan jenama kereta nasional ini dengan seluruh rakyat Malaysia.

Ada apa dengan nama? Sebenarnya nama adalah pengenalan identiti pertama dan kata kunci untuk mengambarkan seluruh citra rupa yang zahir dan yang batin, yang tersurat dan yang tersirat. Oleh itu, saya dengan bangganya menyahut cabaran Proton (dan DBP sekaligus) untuk menamakan bakal MPV Proton yang terbaru ini serta mahu menjadi sebahagian daripada sejarah 23 tahun syarikat itu.

Berikut adalah tiga nama beserta tagline dan rasional yang sempat saya ilhamkan (saat ini saya terbayang sedang menerima replika kunci MPV Proton terbaru sebagai hadiah utama atau paling tidakpun replika tiket kapalterbang pergi-balik bagi melawat kilang Lotus di UK daripada Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan, Proton Holdings Berhad).

Nama MPV : Proton Jagoan
Tagline : "Juara Dalam Kelasnya"
Rasional : Jagoan adalah kesinambungan nama watak adiwira Proton dan selari dengan nama MPV sulung Proton Juara. Juga adalah sebuah nama klasik yang seerti dengan wira, satria dan juara.

Nama MPV : Proton Siaga
Tagline : "Segala Siap Sedia"
Rasional : Siaga beerti kesempurnaan persediaan iaitu semua ciri dalam sebuah MPV dan sebuah MPV untuk semua situasi. Juga adalah dedikasi dari nama kereta pertama negara Proton Saga.

Nama MPV : Proton Kesatria
Tagline : "Keluarga Dalam Satu Pasukan"
Rasional : Kesatria adalah wira yang sebenar dengan sebuah kenderaan sekeluarga menjadikan semua ahli dalam satu pasukan. Juga adalah dedikasi dari nama generasi muda Proton Satria.

24 September 2008

PELAN PERALIHAN DAN PERDALIHAN

a
Faizal Riduan

Tindakan ahli Majlis Tertinggi, ketua bahagian, pemimpin akar umbi dan bekas pemimpin pencenan parti mendesak peralihan kuasa disegerakan sebenarnya mengambil kesempatan di atas kelembutan dalam kelemahan Abdullah. Jika keadaan seperti ini berlaku pada era Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri adalah dipercayai mereka ini akan menumpahkan sokongan dan taat setia yang tidak berbelah bahagi!

Sifat semulajadi Abdullah ini seperti kata pengurus penyunting Far Eastern Economic Review, Michael Vatikiotis, “Dia contoh yang unggul ahli politik budiman. Dia mangaggap dirinya kakitangan awam yang patuh dan bertanggungjawab. Kedua-dua sifat itu menghasilkan pendekatan lebih lembut dan kecenderungan mendapatkan kompromi, bukan konfrontasi”.

Oleh itu saya tidak kekok mengikuti laporan media dalam dan luar negara semasa peralihan kuasa pada tahun 2004 yang lebih mesra dengan frasa ‘dipilih’ dan ‘dilantik’ seolah ini satu proses kenaikan pangkat dalam hierarki perkhidmatan awam. Walaupun sebahagian lagi lebih sinikal melihat ianya sebagai pemberian bonus atau pampasan yang tidak melalui merit atau audit penafsiran namun perlu diperakui inilah antara kuasa terbesar presiden parti UMNO.

Walaupun Tun Mahathir kemudian mengakui peralihan kepada Abdullah adalah satu kesilapan terbesar beliau namun kesilapan itu wajar dipuji seperti ulasan akhbar The Sydney Morning Herald yang menyifatkan, “Penyerahan kuasa kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah satu perubahan kuasa terbaik yang pernah berlaku di kalangan negara membangun”.

Masakan tidak, ketika itu tiada seorangpun yang berani pada hari ini bersuara pada waktu itu sedangkan itulah masa kritikal perpecahan tragis parti sehingga terpecah dua. Jika sebelum ini parti serpihan UMNO seperti Parti Kemerdekaan Malaya, Parti Negara dan Parti Semangat 46 mengekalkan sifat-sifat serpihan yang bermain di arus tepi kelodak ‘timbul dan tengelam’ dalam politik perdana tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk pertama kali berjaya melawan arus tersebut dengan bergabung membentuk Pakatan Rakyat sehingga memberikan kesan arus balik kepada Barisan Nasional sehingga ke hilangan 5 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur!

Apabila UMNO dan Barisan Nasional untuk pertama kali berjaya mencatat kemenangan bergaya dibawah pimpinan pertama kali Abdulah pada pilihanraya umum 2004 maka ramai daripada mereka ini menjustifikasikan dengan ‘faktor X’ Abdullah dan menujumkan Tun Mahathir seperti ‘jauhari yang mengenal manikam’. Sebenarnya ramai termasuk penganalisis politik dan pasukan penasihat parti itu tidak dapat membaca mesej tersirat bahawa penerimaan kepada Abdullah adalah timbalbalik kepada mesej penolakan kepada Tun Mahathir.

Dalam ‘mesej pesanan ringkas’-nya kejayaan dalam pilihanraya umum 2004 adalah digerakan oleh ‘faktor Mahathir’ mengatasi ‘faktor Abdullah’. Dalam tahap ini ramai tidak dapat membezakan antara faktor primier dan sekunder, faktor teras dan sampingan. Selama 22 tahun di bawah kepimpinan Tun Mahathir sememangnya banyak kejayaan telah dicapai namun tidak kurang juga pemusatan kuasa sehala ini mengorbankan kebebasan kehakiman, polis, media, ruang awam dan hak asasi manusia sebenarnya membosankan pengundi dengan politik cara lama yang konservatif.

Ramai yang melihat apa yang berlaku kepada Tunku Abdul Rahman, Tun Hussein Oon, Tun Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim dan terkini serangan kembali kepada Abdullah sebagai Perdana Menteri melambangkan sikap autoration pemimpin parti ketika berkuasa.

Kritikan dalaman yang menyatakan bahawa pelan peralihan ini tidak demokratik, tidak mengikut perlembagaan dan bukan budaya UMNO sebagaimana yang terkeluar dari muntahan rongga mulut Muhyiddin Yassin, Tengku Razaleigh dan Tun Mahathir adalah disebabkan mereka tidak mengunyahi sejarah dengan cermat dan tertib.

Jika tidak mengapa Najib sebagai Naib Presiden yang pertama selepas Anwar Ibrahim disingkirkan dari jawatan Timbalan Presiden secara mandatori oleh Presiden parti tetapi tidak juga dilantik menjadi Timbalan Presiden? Walaupun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden hakikatnya perlu diakui secara kebetulan satu masa dahulu Abdullah adalah antara naib presiden terkanan sebelum terkeluar dari arus perdana akibat krisis 'Team A' dan 'Team B'.

Pada zaman Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Tun Dr Ismail dipilih sebagai timbalannya walaupun beliau bukan Naib Presiden seperti Tun Ghafar Baba, Tan Sri Sardon Jubir dan Khir Johari. Apabila Tun Dr Ismail meninggal dunia, abang ipar Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn yang pada masa itu menjadi Naib Presiden ketiga dilantik sebagai Timbalan Presiden.

Setelah kematian Tun Abdul Razak, Tun Hussein sebagai Perdana Menteri secara automatik berkeras mahu menentukan timbalannya kepada Tan Sri Ghazali Shafie sebagaimana amalan sebelumnya. Namun hajat Tun Hussein tidak kesampaian apabila ketiga-tiga Naib Presiden iaitu Tun Ghafar, Tengku Razaleigh dan Tun Mahathir memberi kata dua untuk memilih salah seorang daripada mereka.

Najib sebagai seorang pemimpin yang naik secara bereskalator dan bukanya melalui lif atau tangga manual kerana beliau tidak pernah terlibat dengan sebarang pertandingan dalam parti sebaliknya menduduki kerusi dengan kekosongan yang ditinggalkan oleh mantannya. Laluan mudah ini dengan populariti sebagai anak Perdana Menteri, Tun Abdul Razak mungkin menjadikan beliau nyaman dalam ‘zon selesa’.

Dalam penantian Najib untuk peralihan kuasa lebih satu setengah tahun lagi malah penantian Abdullah sendiri bagi mempertahankan kuasa dua bulan lagi sebenarnya bukanlah satu tempoh masa yang singkat seperti kata mendiang Harold Wilson, mantan Perdana Menteri British tahun-tahun 60-an, “Dalam siasah, satu minggu adalah satu masa yang panjang”. Apa-apa boleh terjadi dalam tempoh tersebut dengan sinetron politik malaysia yang serba mungkin ini.

Abdullah tidak perlu diperingatkan secara berulang kali tentang peralihan kuasa lebih awal kerana beliau tentu tidak akan lupa dengan kenyataannya dalam wawancara Utusan Malaysia pada 20 Mei, 1984; "Nasib seorang ahli politik banyak bergantung kepada orang suka kepada kita ataupun sebaliknya. Kedudukan dalam politik sentiasa bergantung kepada sokongan. Ahli politik tidak dapat berbuat apa-apa tanpa sokongan. Inilah hakikatnya".

Najib pula antara ucapannya yang berjaya mencuit hati ialah ketika syarahan umum bertajuk “Malaysian Politics at the Beginning of the 21st Century”. Dengan sinisnya, Najib merujuk ahli-ahli politik dengan dua kemahiran, yang pertamanya kemahiran membuat ramalan apa yang akan berlaku pada masa depan dan keduanya kemahiran memberikan alasan dan sebab musabab kenapa pekara yang diramalkannya tidak jadi berlaku.

Akhirnya Najib tidak boleh sekadar ‘menanti nasi di mulut’ sahaja. Lainlah bapanya sebagaimana kata nenek Abdullah Ahmad, “Tun Razak seperti nasi tersaji dilutut”. Jika nenek saya masih hidup beliau pasti berkata “Datuk Seri Abdullah seperti nasi di balik kerak, sayangnya kerak dimakan seorang!”. Masalahnya nenek Abdullah Ahmad bercucukan seorang penasihat politik kepada Tun Razak, bekas Timbalan Menteri, bekas ahli Majlis Tertinggi dan bekas Duta Khas Malaysia ke PBB sedangkan cucu nenek saya hanya orang biasa seperti neneknya!

01 Julai 2008

MANGSA ATAU PEMANGSA?

Faizal Riduan

Skandal seks ‘liwat’ yang belum ‘lewat’ dilaporkan kepada polis oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa dirinya menjadi mangsa objek seks sonsang manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim pula mendakwa dirinya menjadi mangsa konspirasi kali ke-2 untuk mensabotaj beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Soalnya siapa sebenarnya yang menjadi mangsa dan siapa pula yang menjadi pemangsa?

Saya tidak terperanjat dengan dakwaan seorang lelaki menjadi objek seks atau serangan seksual kerana pengalaman menyiapkan tesis sarjana muda berkaitan gangguan/serangan seksual membawa saya kepada maklumat dari dapatan kajian Sabitha Marican dalam kajiannya “Gangguan Seksual Di Tempat Kerja” yang mendapati 44% lelaki pernah mengalami gangguan seksual. Kajian luar negara pula mendapati 90% mangsa gangguan seksual adalah wanita oleh lelaki sebagai penganggu, 1% mangsa adalah lelaki oleh wanita sebagai penganggu dan selebihnya di antara sesama jenis sama ada wanita oleh wanita atau lelaki oleh lelaki seperti yang ditulis Magnuson (1993) dalam Library Journal dengan tajuk “No More ‘Nice Girl’: Power, Sexuality and The Success in The Workplace”.

Apa yang memeranjatkan saya ialah dunia yang serba-serbinya mungkin apatahlagi dengan politik tiada yang mustahil maka ada yang mengharapkan jalan cerita kes ini seperti novel-novel perisikan dan konspirasi John le Carré alias David John Moore Cornwell atau mengharapkan polis menyiasat secanggih “Crime Scene Investigation” (CSI) di stesen televisyen berbayar, Astro atau mengharap kemunculan hero amatur sebijak “Detektif Conan” di stesen televisyen swasta percuma pertama negara, TV3.

Apapun satu cerita yang mungkin perlu diulang-tayangkan ialah dari filem Disclosure di mana watak heroinnya lakonan Demi Moore telah menuduh heronya lakonan Micheal Douglass telah melakukan gangguan seksual terhadapnya. Oleh kerana dia adalah pengadu yang juga seorang wanita dan kebiasaan wanita adalah mangsa maka tuduhan tersebut dipercayai dan hero tersebut dihukum. Hakikat yang sebenarnya, heroin itulah yang melakukan ganguan seksual dan apabila godaannya tidak dilayan maka dia menuduh diganggu secara seksual. Pengajarannya jelas, bukan dalam semua keadaan memerlukan suspek sebagai pemangsa dan bukan semua mangsa perlu terdiri daripada pengadu!

Sebab itulah saya secara peribadi kurang bersetuju merujuk pengadu sebagai mangsa seperti yang diamalkan oleh media kerana merasakan ianya satu bahasa berkod seolah menuduh suspek adalah bersalah atau paling tidak pengadu adalah benar. Ini kerana jika merujuk sebagai mangsa maka bahasa lawannya adalah pemangsa sedangkan jarak antara mangsa dan pemangsa dipisahkan hanya dengan satu garisan yang halus dan kabur. Mangsa dan pemangsa asalnya dalam linguistik dirujuk sebagai binatang yang menjadi makanan (korban) binatang lain dan binatang yang memakan binatang lain. Apabila dirujuk kepada manusia ianya mengambarkan sifat ‘kebinatangan’ dalam diri manusia yang mengeksploitasi manusia yang lain.

Dalam kebanyakan kes-kes biasa sememangnya jelas ciri-ciri eksplisit dengan mangsa adalah tetap mangsa dan pemangsa kekal sebagai pemangsa tetapi dalam kes-kes berkepentingan awam dan berprofil tinggi ada kemungkinan (tidak semestinya) terdapat ciri-ciri implisit dengan mangsa boleh jadi adalah pemangsa dan pemangsa boleh jadi adalah mangsa. Malah dalam kes-kes biasa sekalipun tetap ada kemungkinan yang luar biasa seperti itu contohnya kes penculikan di mana mangsa (?) telah menyuruh rakannya menculiknya dan meminta wang tebusan dari keluarga mangsa.

Jika anda masih ingat matapelajaran sains tentang ekosistem ‘rantaian makanan’, ada binatang pemangsa yang menjadi mangsa atau binatang mangsa yang menjadi pemangsa seperti rantaian hubungan belalang-burung-ular atau pepatung-katak-ular. Belalang dan pepatung adalah kekal mangsa (biasanya herbivor) kepada burung dan katak yang menjadi pemangsa (biasanya karnivor) tetapi burung dan katak juga boleh jadi mangsa pula kepada ular sebagai pemangsa. Begitu juga dengan ular bolah menjadi mangsa kepada si pemangsa helang!

Oleh itu adalah lebih baik merujuk dengan panggilan yang setara seperti pengadu dan suspek sebagaimana amalan dalam kes tuntutan sivil di mahkamah, pihak yang mendakwa disebut sebagai plantif dan pihak yang didakwa disebut sebagai defenden. Ini menepati prinsip asas undang-undang iaitu seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebagai bersalah. Malah mahkamah menjamin keadilan bagi suspek apabila pengadu gagal membuktikan adanya kes pima facie maka hakim boleh menolak kes tanpa perlu memanggil suspek membela diri terlebih dahulu.

Namun dilihat dari sudut perundangan, Malaysia sebenarnya jauh kebelakang berbanding United Kingdom yang telah memperkenalkan Akta Diskriminasi Seks 1975 dan Akta Gangguan Seks 1997 sementara Australia terdapat Akta Diskriminasi Seks 1984. Memandangkan jantina pengadu adalah lelaki nampaknya tidak membolehkannya secara automatik dilindungi di bawah Seksyen 9 (1), Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973.

Malah pengadu mungkin agak janggal untuk mendapat bantuan dari Perkumpulan Pembangunan Wanita (WDC), Persatuan Tindakan Wanita (AWAM), Persatuan Sahabat Wanita (PSW) atau Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) yang terbukti melindungi mangsa gangguan, keganasan dan serangan seksual yang kebanyakan mangsanya kebiasannya adalah wanita sehingga terpaksa mengadu kepada Timbalan Perdana Menteri dengan rawakan mudah beliau adalah seorang lelaki! Ianya seolah mempersoalkan sistem kepercayaan, norma dan nilai yang diamalkan oleh pihak penguatkuasa undang-undang seperti dalam kes-kes aduan ke Biro Pengaduan Awam dalam parti politik.

Kerajaan yang kini dalam proses draf akhir Akta Perlindungan Pemberi Maklumat perlu memastikan takrif dan definisi maklumat itu sesuatu yang mempunyai kredebiliti dan pertangungjawaban. Dalam erti kata lain jika maklumat yang diberikan sama ada oleh pengadu atau saksi mempunyai niat ‘mala fide’ maka adalah tidak adil kepada suspek untuk kes ditutup begitu sahaja dan pengadu dilepaskan daripada beban fitnah yang telah dibuat walaupun tidak dapat mensabitkan suspek tetapi paling sedikit berjaya menjejaskan reputasi suspek melalui persepsi umum.

Jika adapun pengadu atau saksi yang curang sekadar disabitkan dalam kesalahan membuat kenyataan palsu mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda dilihat tidak setimpal sebagaimana hukuman timbal balas dalam kes sivil saman malu. Kedua-duanya, pengadu dan suspek perlu diberikan perlindungan yang saksama dengan risiko yang seimbang.

Adakah adil seorang suspek yang berhadapan dengan risiko tuduhan seberat Seksyen 377 (C) Kanun Keseksaan merujuk perbuatan melakukan persetubuhan luar tabii ke atas orang lain tanpa kerelaan orang berkenaan yang boleh disabitkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dengan pengadu yang hanya berisiko berhadapan dengan tuduhan seringan Seksyen 193 Kanun Keseksaan merujuk kepada kenyataan palsu yang hanya boleh disabitkan dengan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda sahaja? Lainlah jika pengadu berani dirujuk di bawah Seksyen 377 (A) Kanun Keseksaan merujuk perbuatan melakukan persetubuhan luar tabii yang secara bersama boleh disabitkan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan sebatan ke atas keduanya!

Sebenarnya kes-kes seperti ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan individu pengadu. Malah suspek yang dituduh juga boleh jadi mangsa dengan melibatkan risiko hukuman yang berat, soal-siasat yang panjang, kos tuntutan mahkamah yang besar, penyakit neurosis termasuk fobia, psikosomatik, publisiti murahan yang tidak diingini, perasaan negatif, tahap penghargaan kendiri yang rendah, campur tangan dalam kehidupan individu dan kesan sampingan kepada seluruh sistem sosialnya.

Hakikatnya meletakan seseorang suspek itu dalam keadaan terpaksa mempertaruhkan maruah dirinya demi kepentingan pengadu (dalam keadaan ‘mala fide’), ianya sebenarnya merupakan satu penghinaan kepada suspek dan menempatkan mereka dalam stigma prejudis dan propaganda yang terlebih dahulu menghukum sebelum hakim putus bicara. Dalam keadaan ini tindak balas masyarakat marhaen tidak wajar dipersalahkan jika media telah terlebih dahulu menjadi pendakwaraya yang memanggil kenyataan politik sebagai saksi utama! Maka yang kini yang sensasi bukan lagi berita terkini tetapi spekulasi dan gosip.

Teater komedi “Twelfth Night” yang pertama kali diangkat pada 16 Januari 1601 antara karya agung sasterawan Inggeris termasyur, William Shakespeare memberikan mesej sinis bahawa ekspresi gender boleh diperagakan dan diubahsuai tetapi seksualiti adalah sesuatu yang mutlak. Violin seorang wanita yang kehilangan kembar lelakinya bernama Sebastian telah menyamar sebagai lelaki dengan nama Cesario yang kemudian menjadi orang tengah Orsino yang cintanya ditolak untuk memujuk Olivia. Malangnya Olivia jatuh cinta kepada Cesario alias Violin dan Casario alias Violin itu pula telah jatuh cinta kepada Orsino!

Jangan ketawa dengan kebodohan protagonis yang mudah tertipu dengan identiti dan seksualiti manusia kerana kita setelah 400 tahun dari teater tersebut baru kini dapat menyaksikan sebuah kisah komedi seks (skandal atau konspirasi?) yang tragis! Jika Casario alias Violin seorang wanita berjaya membuat penyamaran luaran Cross Dressing, maka dalam kes seperti ini, satu pihak perlu membuktikan pihak yang satu lagi telah membuat penyamaran dalaman Cross Dressing berkaitan seksualitinya. Ianya tidaklah semudah jalan cerita dalam VCD Chua Soi Lek, bekas Menteri Kesihatan itu yang kurang dramatik dan cepat klimak!

27 Jun 2008

Naik Minyak

Artikel terpaksa ditarik balik untuk proses suntingan akhir. Kesulitan amat dikesali.

Orang Minyak

Artikel terpaksa ditarik balik untuk proses suntingan akhir. Kesulitan amat diksali.

13 Jun 2008

PEMBAYARAN GAJI 2 KALI SEBULAN : GALI LUBANG TUTUP LUBANG

Faizal Riduan

Pengumuman mengejut kerajaan oleh Perdana Menteri Y.A.B Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pembayaran gaji 2 kali dalam sebulan bagi kakitangan kerajaan bermula bulan Ogos ini memang benar-benar mengejutkan. Dengan niat murni bertujuan membantu kakitangan awam mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah ekoran kesan kenaikan bahan api – rasional yang lebih mengejutkan lagi.

Kerajaan akhirnya dikejutkan pula dengan reaksi pelbagai pihak sehingga Menteri Sumber Manusia menambah langkah tersebut belum muktamad – tetapi telah diumumkan. Sebenarnya penilaian semula perlu disorot dari perspektif pembangunan sumber manusia kerana tindakan menggunakan kaedah ‘lama’ ini akan memberikan kesan akibat yang lebih tidak sihat kepada gaya hidup kakitangan kerajaan. Gaji 2 kali sebulan sebenarnya tidak membawa sebarang perbezaan kerana melibatkan nilai akhir yang sama dengan kekerapan yang berbeza – langkah statik yang tidak dinamik.

Persoalan utama tentang kenaikan bahan api ini ialah penerimaan rakyat yang akan menjadi amalan gaya hidup mereka. Sebab itu ada rasionalnya pendapat mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bahawa kenaikan ini wajar dibuat secara berperingkat dan tidak secara drastik bagi menyerap penerimaan di kalangan rakyat. Jika kenaikan pada kali ini diatasi dengan pemberian gaji 2 kali sebulan dan apabila ianya menjadi amalan kebiasaan, normal dan selesa pada amalan gaya hidup mereka , bagaimana jika berlaku kenaikan bahan api sekali lagi? Apakah kerajaan akan memperkenalkan pula gaji seminggu sekali iaitu 4 kali sebulan? Ironisnya kenaikan bahan api akan sentiasa berulang lagi maka apakah rasional kadar pemberian gaji perlu kepada rombakan dari semasa ke semasa?

Dengan mengkaji secara teliti dari sudut aliran tunai itu sendiri sebenarnya tindakan ini adalah satu langkah kebelakang dan bersifat jangkamasa pendek. Jika kekerapan gaji sebanyak 2 kali dalam sebulan dikatakan mampu membantu mengurus perbelanjaan dan aliran tunai isi rumah bagi menangani beban kenaikan harga minyak maka penyelesaian peringkat akhirnya adalah pemberian gaji perhari. Cara ini secara logiknya lebih memudahkan peruntukan bahan api tetapi adakah ianya satu langkah yang praktikal? Tindakan ini mungkin membantu aliran tunai bagi bahan api bahkan kakitangan awam tidak akan kehabisan wang pada pertengahan atau akhir bulan namun aliran tunai lain yang lebih penting akan terjejas. Amalan gaya hidup pula akan berubah dengan rakyat akan mengalami masalah kredit dan tidak mampu membuat simpanan.

Bayangkan apabila pekerja telah berbelanja setengah daripada gajinya pada pertengahan bulan secara tidak formal maka sebenarnya gaji yang setengah bulan lagi yang berbaki pada akhir bulan akan besar pada jumlahnya tetapi kecil pada nilai bersihnya. Ini berlaku kerana seluruhan urusan kewangan secara formalnya dibuat dalam kiraan bulan pada akhir atau awal tiap-tiap bulan dan bukan secara mingguan. Dalam erti kata lain setengah gaji bulan tersebut yang ditambah dengan elaun kerja lebih masa (OT) dan elaun-elaun tambahan akan mengalami ‘kehilangan nilai’ yang kritikal kerana melibatkan potongan-potongan formal seperti caruman dalam KWSP, PERKESO dan Tabung Haji; ansurans pinjaman seperti perumahan, kenderaan dan peribadi; bayaran bil perkhidmatan seperti utiliti, internet, telefon bimbit dan kad kredit.

Pada akhir bulan pula penyata kira-kira peribadi akan menyaksikan nilai kredit boleh menghampiri bahkan melebihi nilai debit. Jika situasi ini berlaku maka gaji akhir bulan tidak sempat bertukar tangan dari mesin ATM atau tidak sempat dibawa pulang ke rumah!

Jika dilihat dari sudut nilai pula tindakan ini dalam bahasa tersirat seolah memandang rendah keupayaan kakitangan kerajaan sebagai kurang arif dalam pengurusan kewangan peribadi sehingga kerajaan terpaksa menyediakan pelan khas dalam privasi kewangan mereka. Dalam usaha mencapai mentaliti kelas pertama dalam sebuah negara maju nampaknya kakitangan kerajaan akan mengalami ‘susut nilai’ tanpa perlu dibandingkan dengan kakitangan negara luar bahkan jika dibanding dengan kakitangan swasta akan terdapat jurang yang besar. Mentaliti subsidi pertengahan bulan.

Penglibatan kerajaan selama ini dalam pengurusan kewangan peringkat makro seperti pelaburan amanah saham, pengurusan kredit, caruman insurans PERKESO, caruman KWSP dan skim pencen sememangnya adalah contoh amalan terbaik di peringkat antabangsa memandangkan rakyat Malaysia terutama kakitangan kerajaan yang kebanyakannya adalah orang Melayu kurang berdisiplin dalam pengurusan kewangan.

Akhirnya kerajaan digesa mengambil inisiatif baru yang lebih segar bagi menjayakan hasrat murni mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kos kenaikan bahan api. Kerajaan sewajarnya mengambil kira pandangan kolektif dari perbendaharaan, kesatuan pekerja dan pengamal sumber manusia supaya kesan akhirnya benar-benar membantu dan bukannya menjadikan keadaan lebih buruk atau menimbulkan masalah lain yang lebih kritikal sifatnya.

15 Mei 2008

Daulat Tuanku!!!

Merafak sembah ke bawah duli raja-raja.

Selamatkan institusi raja melayu secara bijaksana.

(artikel dalam penulisan)

20 April 2008

GILA BABI

Faizal Riduan

Di dalam Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!). Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan. Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu. Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu. Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya. Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Sejurus diumumkan projek penternakan babi moden di Tumbuk, Selangor oleh kerajaan negeri Selangor yang baru mendapat mandat dalam Pilihanraya Umum Ke-12, Datuk Dr. Karim Mansor ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat memulakan tugas pertama sebagai wakil rakyat dengan menghidupkan tradisi UMNO pada tahun 1946 berdemontrasi membantah projek tersebut bersama Ketua Kampung Tumbuk atas kepentingan umat Melayu semata-mata tiada yang lain! Hampir saban hari esoknya isu ini diperbesarkan sehingga ditokok-tambah-darab melibatkan pelaburan wang kerajaan negeri sebanyak RM100 juta dan bertujuan menjadikan Malaysia negara pengeksport babi sehingga ke negara China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan jumlah populasi mencecah lebih 1.3 billion!

Ketua Biro Pertanian Tradisi MCA, Datuk Dr Lee Chong Meng mendedahkan kontroversi pada tahun 2007 (tahun babi dalam kalendar Cina) Datuk Dr. Karim Mansor bersama Ketua Kampung Tumbuk telah menyertai ‘rombongan sambil belajar’ ke luar negara di Jerman untuk mengkaji teknologi moden penternakan babi selain turut melawat Amstersdam dan Paris di atas pembiayaan kerajaan negeri yang kemudian dilaporkan dalam akhbar The Sun yang mengutip laporan The Oriental Daily.

Jika ditafsir dari sekeping gambar Datuk Dr. Karim Mansor yang meleret senyum ikhlas berlatarbelakangkan kandang babi moden itu melalui isyarat tangan kiri dengan kesemua jari digengam kecuali ibu jari tegak berdiri – tanda bagus, beliau berpuashati! Dr. Lee yang lebih tahu segalanya tentang projek tersebut yang diluluskan semasa Menteri Besar waktu itu Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sebelum pembuburan parlimen kemudian berkias ibarat seperti melihat tapak tangannya sendiri – analogi puitis yang penuh sinis! Projek pemindahan 132 ladang babi yang dipersetujui secara bersama itu turut melibatkan dua ahli exco kerajaan negeri iaitu Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang yang memenuhi prasyarat kesaksian kerana tidak hipokrit dan munafik.

Yang merobek hati ialah penglibatan syarikat usahasama bumiputera Melayu Islam yang menggunakan kos RM100 juta daripada sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini memalukan Malaysia sebagai sebuah negara hab halal dunia yang kini giat mempromosikan Halal Development Corporation (HDC) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS). Barangkali usahasama ini mencontohi perkongsian bijak penternak babi Said Sarmouk seorang Islam dan rakan kongsinya seorang lelaki Perancis di sebuah negara Islam Maghribi yang 98.7 peratus daripada 30 juta orang penduduknya adalah Muslim Sunni.

Syarikat yang hanya memindahkan teknologi itu akan mengenakan caj RM50 bagi seekor babi sebagai kos effluent treatment kepada penternak babi. Satu langkah komersil seperti strategi Abdul Latif seorang Ketua Daerah Pasir Putih pada tahun 1914 yang menyaksikan penentangan bersejarah Tok Janggut dan rakan-rakan terhadap penguatkuasaan undang-undang cukai kerajaan Kelantan yang antara lain mengenakan cukai 50 sen bagi seekor babi.

Jika merujuk kepada pepatah Melayu bagi mengambarkan isu mempolitikan babi ini hanya ada tiga yang signifikan seperti "anjing galak, babi berani" iaitu bertemu lawan yang sepadan, "babi merasa gulai" iaitu menyimpan rahsia yang telah diketahui umum dan "kepala tersangkut kulit babi" iaitu mendapat malu besar. Saya ingin mencipta pepatah baru yang paling tepat iaitu "makan babi sembunyi tangan"! Kebetulan semua pepatah ada kata babi - relevan.

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam. Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional. Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka. Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam pulun tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur. Epik cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar. Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan hanya najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja. Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia. Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya. Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha. Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual! Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, menfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja. Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!). Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai. Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia. Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!). Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa. Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

Jika penyakit gila babi didiagnosis melalui ujian sama ada EEG, rakaman video EEG, skan CT dan MRI yang kemudiannya disyorkan ubatan anti konvulsi (AEDs) seperti levetiracetam, topiramate dan lamotrigine, bagaimana pula dengan penyakit seketul hati ini? Tidak begitu Dr. Karim Mansor dan Dr Mohamad Khir Toyo? Merekakan doktor.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.