20 April 2008

GILA BABI

Faizal Riduan

Di dalam Bahasa Melayu, perkataan babi merupakan kata kesat bagi tujuan maki hamun, caci cerca, herdik hina dan gelaran babi kepada seseorang adalah satu gelaran terburuk (peringatan kepada orang yang mengelarkannya jauh lebih buruk!). Malah dalam sejarah Perang Larut Ketiga, Lee Ah Khun pemimpin kumpulan Ghee Hin dan pasangan mukahnya isteri orang dari kumpulan Han San dihukum dengan disumbat dalam raga bekas isi babi dan dihumban ke dalam lombong tinggal – begitulah sinonimnya babi bagi menunjukan penghinaan yang teramat sangat.

Sedari kecil ibu saya (kacukan Malayu dan Cina) melarang menyebut gelar ‘babi’ kerana akan dianggap bermulut lancap, celupar dan carut – hukuman mandatori mulut akan dikuti atau diciliapikan. Paling tidak saya akan memanggil babi sebagai khinzir yang dikira lebih sopan – begitu halusnya budi bahasa menjadi seorang Melayu. Semasa di universiti saya dan rakan Cina (terutama Chow Wah Hon & Loh Lun San) biasa bergurau-senda dengan menyebut babi sebagai bab1 (bab-satu). Tabo malu itu masih kekal sehingga kini.

Babi yang satu masa dahulu menjadi perkataan yang fobia tiba-tiba menjadi begitu obsesi bagi orang Melayu. Baik di peti TV, laman sesawang (internet), helaian akhbar sampai ke sembang kedai kopi malah di parlimen, Yang Berhormat lulusan Oxford dan lulusan Haji Baitullah menggunakan bahasa berlabel seperti Projek Khinzir Raksaksa (PKR) dan Babi Negara (BN) – babi, babi, babi!

Tiba-tiba orang Melayu mempunyai kegilaan semacam terhadap babi yang jika dianalogikan menurut Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) edisi keempat sebagai gila babi atau sawan babi atau ayan atau epilepsi dalam bahasa perubatan moden iaitu sejenis penyakit saraf (neurologikal) yang menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri dengan anggotanya bergerak menyentak-nyentak.

Tidak semena-mena pula ramai tokoh muncul entah dari mana datangnya sang juara membuat kenyataan tentang babi tanpa hujung pangkal, usul periksa dan letak duduk perkara yang sebenarnya. Ia lebih parah dan kritikal apabila ditanggapi oleh orang awam yang kurang ilmu dan maklumat menjadikannya lebih sensasi dengan emosi, lebih sandis dengan prejudis. Isu yang sebenar tenggelam lemas dek asakan sempit perkauman yang bertubi-tubi tetapi tidak seperti ‘berisinya ubi’ – kosong.

Sejurus diumumkan projek penternakan babi moden di Tumbuk, Selangor oleh kerajaan negeri Selangor yang baru mendapat mandat dalam Pilihanraya Umum Ke-12, Datuk Dr. Karim Mansor ahli Dewan Undangan Negeri Tanjong Sepat memulakan tugas pertama sebagai wakil rakyat dengan menghidupkan tradisi UMNO pada tahun 1946 berdemontrasi membantah projek tersebut bersama Ketua Kampung Tumbuk atas kepentingan umat Melayu semata-mata tiada yang lain! Hampir saban hari esoknya isu ini diperbesarkan sehingga ditokok-tambah-darab melibatkan pelaburan wang kerajaan negeri sebanyak RM100 juta dan bertujuan menjadikan Malaysia negara pengeksport babi sehingga ke negara China yang mempunyai penduduk paling ramai di dunia dengan jumlah populasi mencecah lebih 1.3 billion!

Ketua Biro Pertanian Tradisi MCA, Datuk Dr Lee Chong Meng mendedahkan kontroversi pada tahun 2007 (tahun babi dalam kalendar Cina) Datuk Dr. Karim Mansor bersama Ketua Kampung Tumbuk telah menyertai ‘rombongan sambil belajar’ ke luar negara di Jerman untuk mengkaji teknologi moden penternakan babi selain turut melawat Amstersdam dan Paris di atas pembiayaan kerajaan negeri yang kemudian dilaporkan dalam akhbar The Sun yang mengutip laporan The Oriental Daily.

Jika ditafsir dari sekeping gambar Datuk Dr. Karim Mansor yang meleret senyum ikhlas berlatarbelakangkan kandang babi moden itu melalui isyarat tangan kiri dengan kesemua jari digengam kecuali ibu jari tegak berdiri – tanda bagus, beliau berpuashati! Dr. Lee yang lebih tahu segalanya tentang projek tersebut yang diluluskan semasa Menteri Besar waktu itu Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sebelum pembuburan parlimen kemudian berkias ibarat seperti melihat tapak tangannya sendiri – analogi puitis yang penuh sinis! Projek pemindahan 132 ladang babi yang dipersetujui secara bersama itu turut melibatkan dua ahli exco kerajaan negeri iaitu Datuk Ch'ng Toh Eng dan Datuk Tang See Hang yang memenuhi prasyarat kesaksian kerana tidak hipokrit dan munafik.

Yang merobek hati ialah penglibatan syarikat usahasama bumiputera Melayu Islam yang menggunakan kos RM100 juta daripada sumber dana program alam sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ini memalukan Malaysia sebagai sebuah negara hab halal dunia yang kini giat mempromosikan Halal Development Corporation (HDC) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS). Barangkali usahasama ini mencontohi perkongsian bijak penternak babi Said Sarmouk seorang Islam dan rakan kongsinya seorang lelaki Perancis di sebuah negara Islam Maghribi yang 98.7 peratus daripada 30 juta orang penduduknya adalah Muslim Sunni.

Syarikat yang hanya memindahkan teknologi itu akan mengenakan caj RM50 bagi seekor babi sebagai kos effluent treatment kepada penternak babi. Satu langkah komersil seperti strategi Abdul Latif seorang Ketua Daerah Pasir Putih pada tahun 1914 yang menyaksikan penentangan bersejarah Tok Janggut dan rakan-rakan terhadap penguatkuasaan undang-undang cukai kerajaan Kelantan yang antara lain mengenakan cukai 50 sen bagi seekor babi.

Jika merujuk kepada pepatah Melayu bagi mengambarkan isu mempolitikan babi ini hanya ada tiga yang signifikan seperti "anjing galak, babi berani" iaitu bertemu lawan yang sepadan, "babi merasa gulai" iaitu menyimpan rahsia yang telah diketahui umum dan "kepala tersangkut kulit babi" iaitu mendapat malu besar. Saya ingin mencipta pepatah baru yang paling tepat iaitu "makan babi sembunyi tangan"! Kebetulan semua pepatah ada kata babi - relevan.

Melihat isu babi dari sudut sempit perkauman sebenarnya sangat tidak adil bahkan jatuh kepada kategori zalim bagi orang Islam. Kita sewajarnya melihat isu ini mengatasi sempadan agama dan bangsa menjadikan lebih rasional dan profesional. Mengaitkan babi dengan orang Cina adalah contoh mentaliti kelas bawah sebawah tempurung kelapa, tidak glokal (istilah catchy ciptaan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak) kerana babi juga adalah makanan kegemaran orang Jerman.

Sebenarnya masyarakat Cina bukan melihat babi dari aspek makanan semata-mata tetapi meliputi aspek kepercayaan, budaya dan pandangan hidup mereka. Contohnya di dalam astrologi Cina, babi (dalam versi Jepun hanya terdapat zodiak babi hutan) adalah salah satu daripada 12 zodiak haiwan iaitu kaedah penilikan nasib pada masa depan berasaskan kalendar Cina dengan sumber astronomi dan falsafah Cina kuno berdasarkan kitaran enam pulun tahun yang bermula semenjak zaman Dinasti Shang.

Dalam kebudayaan mereka pula, babi dikaitkan dengan kesuburan dan kejantanan (sekarang baru saya tahu mengapa orang Cina sungguh berani) malah anak yang lahir pada tahun tersebut dianggap amat bertuah kerana menjadi seorang yang periang dan jujur. Epik cina yang terkenal, Journey to the West juga mengandungi watak hero babi yang dikenali sebagai Zhū Wùnéng.

Satu perkara yang ramai orang Islam tidak tahu bahawa mendiang Tan Sri Loh Boon Siew (lebih dikenali sebagai 'Mr Honda') yang merupakan pengasas Boon Siew Honda yang juga jutawan dari Pulau Pinang menghabiskan zaman kanak-kanaknya di Fujian, China dengan mengutip najis babi untuk dijual sebagai bahan bakar. Ironinya, jika anda tidak boleh memandang kepada seekor babi sebagai makhluk tuhan, berilah orang lain (tentunya orang bukan Islam) memandangnya dari sudut positif walau hanya dengan hanya najisnya!

Pengharaman babi sebagaimana jelas dalam Al-Quran, Surah Al-Maidah ayat 3 dan Surah Al-An'am ayat 145 sebenarnya bukan hanya sensitiviti mutlak kepada umat Islam sahaja. Bahkan agama Kristian dan Yahudi juga menjauhinya sebagaimana dalam larangan Book of Leviticus, Chapter 11, Verse 7& 8, Book of Deuteronomy, Chapter 14, Verses 7 & 8, Book of Isaiah, Chapter 65, Verses 2 to 4, dan Chapter 66, Verse 17.

Adapun kefobiaan terhadap babi lebih kepada amalan spiritual seperti balasan dosa yang dilakukan di dunia. Dalam kepercayaan animisme seperti amalan suku Nias di kepulauan barat Sumatera, roh si mati boleh memasuki tubuh babi dan dipercayai akan menuntut bela ke atas orang yang menjadi musuh simati pada masa hidupnya. Ianya meyerupai kepercayaan kelahiran semula dalam agama Hindu dan Buddha. Bagi orang Islam pula terdapat kepercayaan tentang balasan Allah yang ditunjukan ketika mati apabila mayatnya berkepalakan babi (awas kepada mereka yang mempolitikan isu babi!).

Ramai di kalangan kita yang beragama Islam berbangsa Melayu yang pastinya melebihi majoriti dua pertiga melihat babi sekadar binatang bermuncung panjang dan berhidung leper – jijik, loya dan mual! Inilah antara warisan larangan Rasullullah yang paling berjaya diharamkan sedangkan larangan lain yang sekutuk atau lebih teruk hukumnya seperti minum arak, main nombor ekor, zina, sumbang mahram, menfitnah, mengumpat dan mengadu-domba menjadi amalan terang-terangan bagi mereka yang Islam pada nama dan Mykad sahaja. Lebih malang, ada orang Islam yang makan rasuah, makan riba, makan komisen (dengan cara yang tidak sah), makan judi (termasuk main nombor), makan dadah (penagih), makan skim cepat kaya, makan hak orang lain atau makan sebarang hasil haram yang setaraf dengan memakan babi!

Barangkali kerana babi dari sudut sainstifik mempunyai persamaan genetik (DNA) yang hampir serupa dengan manusia (tidak hairan mengapa ada yang berperangai seperti b*b* – maaf!). Malah jantung babi pernah digunakan sebagai ganti jantung manusia yang sakit tenat sementara menanti penderma yang sesuai. Persamaan genetik ini memungkinkan berlaku penularan penyakit antara spesies (cross spesies) yang kesannya kehilangan ketahanan badan bagi melawan penyakit baru.

Dalam kes virus Nipah, penyelesaiannya hanya dua pilihan sama ada menghapuskan manusia berhampiran babi atau menghapuskan babi berhampiran manusia. Hasilnya, kesemua babi dalam kawasan tersebut dihapuskan sama sekali dari muka bumi bukan kerana azalinya berspesiskan babi sebaliknya demi kemashalatan dan keselamatan manusia sekeliling.

Rasanya semua orang Islam sekalipun tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam subjek Pendidikan Islam, sedia maklum hukum haram babi (bukan sekadar memakannya tetapi juga melibatkan diri dari sebarang hasil daripadanya seperti bekerja, mengambil upah atau berniaga termasuk atas nama membawa masuk teknologi dari Jerman!). Tetapi jangan lupa sebenarnya ia terpakai hanya pada umat manusia Islam sahaja dengan dua keadaan iaitu haram bagi umat Islam dan haram juga bagi umat Islam mengharamkan sesuatu yang halal bagi kaum lain (pengecualian dalam hal darurat).

Kita lebih tahu babi adalah sejenis najis berat mughallazah yang boleh disucikan. Tetapi yang sebenarnya dituntut dalam Islam ialah samak dan thaharah kerana terkena najis dan bukan kerana dosa. Bagaimana pula dengan penyakit seketul hati yang penuh prasangka dan prejudis hingga hilang timbang rasa ihsan dan adil, kemudian mengotorkan hubungan perpaduan antara kaum yang menjadi asas terpenting dalam Islam dengan matlamat yang lebih besar demi pembinaan sebuah negara bangsa yang harmoni, rukun dan aman damai?

Jika penyakit gila babi didiagnosis melalui ujian sama ada EEG, rakaman video EEG, skan CT dan MRI yang kemudiannya disyorkan ubatan anti konvulsi (AEDs) seperti levetiracetam, topiramate dan lamotrigine, bagaimana pula dengan penyakit seketul hati ini? Tidak begitu Dr. Karim Mansor dan Dr Mohamad Khir Toyo? Merekakan doktor.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

MANTAPPP : ORG2 UMNO KENE BACA DAN FAHAM!!!

Tanpa Nama berkata...

Baru nak Komen, sajer aku nak komen semua entry kau: Isu dah lama, ba atas ba, ba bawah bi, ba depan bu, ta atas ta,(babibuta). Bagi aku kenapa projek babi ini dijalankan bersebelahan atau di tempat orang melayu, isu yang dulu insinkerator yang dah akan dimajukan di broga di tolak padahal dah beribu juta dibelanjakan, tetapi dibatalkan, Broga kawasan orang apa?

Unknown berkata...

Erm tuan khiffunz saya setuju tentang perlunya projek seperti ini mengambil kira sensitiviti dan sentimen masyarakat Melayu di kawasan berhampiran.

Cuma isu ini perlu diperhalusi lebih daripada sentimen seeokor babi iaitu binatang yang diharamkan oleh Islam.

Saya mengkritik apabila sebahagian orang Muslim mempolemikkan dalam kerangka kepartian dan perkauman sempit sehingga Islam yang luas dilihat 'sekankang kera' sifatnya.

sebagai penganut Islam kita perlu sedar kepentingan konsisten dan istiqamah dalam perjuangan. Soalnya mengapa mereka ketua-ketua kampung ini boleh menjadi 'dualisme' sekejap sokong ketika dibawah kerajaan lama dan kemudia bertukar menjadi anti di bawah kerajaan baru.

Saya juga ralat apabila isu-isu seperti ini ditanggapi oleh parti politik pembangkang atas semangat setia kawan dalam pakatan dan bukan atas semangat pertanggungjawaban pada rakyat!

Jika benar projek tersebut menganggu keharmonian masyarakat Islam berdekatan di mana suara PKR dan PAS? Lihat ketika isu perobohan kuil, YB PKR beragama Hindu mempertahankan kepentinagn masyarakat India. Ini sepatutnya tugas wakil rakyat dan komuniti.

Sama seperti kes di Bronga. Lebih kurang sama dengan kes Hutan Kuala Muda di Kedah, jika dahulu UMNO dikecam kini PAS juga membuat perkara yang sama 2x5!

Tetapi ulasan saya biasanya tidak melihat kepada sdiapa yang betul dan siapa yang salah. Saya lebih suka melihat isu ini secara menyeluruh kemudian saya tidak akan membuat sebarang rumusan terpulanglah kepada semua pembaca untuk membuat penilaian akhir.

Saya tidak mempunyai pertanggungjawaban kepada pemimpin dan parti politik, tetapi saya mempunyai pertanggungjawaban untuk mendidik pembaca.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.