27 September 2008

NAMAKAN MPV PROTON


Perusahaan Otomobil Nasional a.k.a Proton kini menghitung hari menanti kelahiran Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) yang terbaru bagi menggantikan MPV mini 'kurang upaya' Proton Juara. Sebagai rakyat Malaysia, saya hanya boleh berbangga dengan Proton kerana nama-nama keretanya adalah dalam bahasa ibunda seperti Saga, Wira, Iswara, Perdana, Putra, Tiara, Satria, Waja, Juara, Persona dan Arena.

Adapun kini saya begitu kecewa apabila Proton tampil kebaratan dengan permodenan hanya pada nama seperti Pert, Savvy dan Gen-2. Begitu juga apabila Proton tampil 'dualisme' nama seperti Proton Arena yang dinamakan kembali sebagai Proton Jumbuck untuk pasaran luar negara. Dua nama untuk sebuah kereta yang sama! Peliknya Proton Wira boleh pula dipasarkan ke luar negara dengan nama dalam bahasa Melayu - Proton Persona. Satu nama untuk dua buah kereta yang berbeza! Cuba fikirkan apakah pula nama Proton Persona jika mahu dipasarkan ke luar negara sedangkan namanya telah digunakan oleh Proton Wira di sana?

Sebagai sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Proton perlu mempunyai panel seperti wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk proses penamaan ini beridentitikan kemalaysiaan bukan sekadar berpemilikan rakyat Malaysia sahaja. Namun usaha terbaru Proton menganjurkan pertandingan menamakan Proton MPV terbaru yang bakal dilahirkan berjaya meraih 251,000 penyertaan, jelas satu proses perkongsiaan pemilikan jenama kereta nasional ini dengan seluruh rakyat Malaysia.

Ada apa dengan nama? Sebenarnya nama adalah pengenalan identiti pertama dan kata kunci untuk mengambarkan seluruh citra rupa yang zahir dan yang batin, yang tersurat dan yang tersirat. Oleh itu, saya dengan bangganya menyahut cabaran Proton (dan DBP sekaligus) untuk menamakan bakal MPV Proton yang terbaru ini serta mahu menjadi sebahagian daripada sejarah 23 tahun syarikat itu.

Berikut adalah tiga nama beserta tagline dan rasional yang sempat saya ilhamkan (saat ini saya terbayang sedang menerima replika kunci MPV Proton terbaru sebagai hadiah utama atau paling tidakpun replika tiket kapalterbang pergi-balik bagi melawat kilang Lotus di UK daripada Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Pengarah Urusan, Proton Holdings Berhad).

Nama MPV : Proton Jagoan
Tagline : "Juara Dalam Kelasnya"
Rasional : Jagoan adalah kesinambungan nama watak adiwira Proton dan selari dengan nama MPV sulung Proton Juara. Juga adalah sebuah nama klasik yang seerti dengan wira, satria dan juara.

Nama MPV : Proton Siaga
Tagline : "Segala Siap Sedia"
Rasional : Siaga beerti kesempurnaan persediaan iaitu semua ciri dalam sebuah MPV dan sebuah MPV untuk semua situasi. Juga adalah dedikasi dari nama kereta pertama negara Proton Saga.

Nama MPV : Proton Kesatria
Tagline : "Keluarga Dalam Satu Pasukan"
Rasional : Kesatria adalah wira yang sebenar dengan sebuah kenderaan sekeluarga menjadikan semua ahli dalam satu pasukan. Juga adalah dedikasi dari nama generasi muda Proton Satria.

2 ulasan:

khiffunz berkata...

bagus idea yang diberikan dan digambarkan, tapi bagi aku kurang nilai komersil tapi ada nilai etestikanya. bagi aku kadang-kadang nama mempunyai daya tarikan yang tersendiri, tapi adakah ia menepati isi kandungannya. Sesiapa boleh beri nama. tapi siapa yang akan menentukan nya. Kadang-kadang juga ada orang tak suka dengan nama dia.

Faizal Riduan berkata...

Erm benar tuan Khiffunz.

Saya sudah dapat membaca ramai orang akan berfikir tentang komersil dan kurang melihat pada nilai-nilai estetika. Saya pun tidak akan terperanjat jika panel penilai akan memilih nama-nama yang jauh lebih moden dan lebih kebaratan.

Sebab itu saya ada menambah dalam kurungan bahawa tujuan saya menyertai bukan sekadar menyahut cabaran Proton tetapi dengan tambahan "(dan DBP sekaligus)".

Saya tidaklah terlalu berangan untuk memenangi pertandingan seperti ini. Jika diterima saya melihat ianya kemenangan kepada identiti Malaysia, perkamusan dan persuratan bahasa Melayu.

Saya tidak mahu sekadar menjadi pengkritik jika tidak bersetuju dengan sesuatu tindakan. Adalah lebih baik saya memberikan sumbangsaran sebagai satu pilihan, alternatif dan nilai tambah.

Jika mereka mendapat nama yang lebih baik mengapa tidak saya berbangga dengan MPV Proton terbaru itu?

Bulan ini akan diumumkan keputusannya. Kita lihat nanti bukan soal saya akan menang atau tidak (kerana kebarangkaliannya jauh sekali 3:25,1000!) tetapi soal bahasa Melayu dan identiti Malaysia akan menang atau tidak (kebarangkaliannya 'di atas pagar' 50:50)!

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.