19 Februari 2010

SEBAT SYARIAH DAN KRISIS PERSEPSI SIS

Soalan cepumas: berdasarkan gambar di atas, yang mana satukah Pengerusi Eksekutif SIS?

Oleh: Faizal Riduan

Kenyataan terbaru Sister in Islam (SIS) oleh Pengerusi Eksekutif barunya Dr Hamidah Merican membantah hukuman sebat syariah terhadap tiga pesalah wanita mengikut Seksyen 23(2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 (Persetubuhan Haram) tidaklah menarik sangat. SIS yang lebih disinonimkan dengan Zainah Anwar lebih dua dasawarsa yang lalu telah membuat banyak kenyataan yang jauh lebih panas dan hangat. Tidak perlu membaca jauh pandangan hidup Zainah Anwar selama lebih 20 tahun dalam SIS kerana fikiran singkatnya dapat dibaca sependek paragraf pertama rencana “Ending the Patriarchy” di dalam majalah Time edisi 10 Mac 2003.

Ini kerana hukuman sebat Syariah yang dikenakan selama ini lebih kepada ‘acah-acah’ untuk menguji sistem perundangan Syariah secara beransur tahap. Malah tidak ralat untuk dikatakan hukuman tersebut sebenarnya bersifat separuh masak kerana hukum sebat dalam Islam telah jelas dalam kesalahan hudud seperti jenayah zina bagi yang bujang sebanyak 100 kali sebatan (Surah Al-Nur ayat 2), jenayah qazaf sebanyak 80 kali sebatan (surah Al-Nur ayat 4) dan jenayah peminum arak sebanyak 40 kali sebatan menurut sabda Rasulullah (riwayat Abu Said al-Khudri dan Ali). Tetapi nisbah yang dikenakan terhadap pesalah Syariah setakat ini tidak sampai 10% dari kadar yang sebenar.

Saya lebih tertarik untuk mengulas kenyataan akhbar SIS terbaru ini apabila melihat muka baru ketuanya, Dr Hamidah Merican buat pertama kali. Mati-mati saya menyangka Dato Ambiga Sreenevasan membuat penampilan semula dalam persalinan bertudung sebagaimana fesyen yang melanda artis wanita tanah air. Saling tak tumpah bagai kembar seiras dan pelanduk dua serupa!

Ada dua sahaja perkara yang boleh dipuji Dr Hamidah Merican berbanding dengan Zainah Anwar iaitu beliau bertudung lengkap mengikut syariat mengalahkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Dato Siti Nurhaliza Tarudin. Keduanya, latarbelakang pendidikan beliau sebagai pemegang ijazah kedoktoran. Namun dengan kesarjanaan dalam Pengurusan Berasaskan Nilai, apalah yang boleh diharapkan sangat dengan interprestasi Islam beliau jika dibandingkan dengan mentornya Prof Madya Dr Amina Wadud, sarjana Bahasa Arab dan Pengajian Islam yang juga pensyarah Pengajian Islam di Universiti Commonwealth Virginia dan pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Hakikatnya pembawaan nama ‘Islam’ dalam akronim SIS adalah amat kontradiksi. Ia menyekat kemasukan pejuang wanita yang bukan Islam yang jauh lebih berkarisma seperti Dato Ambiga Sreenevasan, Irene Fernandez dan Sofia Lim Siu Ching. Jika mereka yang membuat kenyataan anti sebat Syariah, jujur saya masih boleh menerima kerana perbezaan agama dan pandangan hidup.

Oleh yang demikian, tidaklah menghairankan apabila resolusi Majlis Peguam pada tahun 2007 menegaskan bahawa hukuman sebat secara sivil adalah kejam, amat menyeksakan dan tidak berperikemanusiaan. Malah isu kempen demonstrasi hukuman rotan secara sivil oleh pihak berkuasa turut dibantah oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) melalui pesuruhjayanya Prof Dr Chiam Heng Keng yang mendakwa ianya memberikan kesan psikologi dan kecederaan emosi mungkin tidak akan timbul jika dibuat dibuat secara syariah yang lebih tertib dan menyantuni pesalah.

Saat ini barulah saya mengisafi lirik lagu Raihan, ‘Iman Mutiara’ - “Iman tak dapat diwarisi dari seorang ayah yang bertaqwa. Ia tak dapat dijual beli. Ia tiada di tepian pantai”. Benarlah iman tidak juga semestinya datang dari NGO Islam dan pihak berkuasa Islam.

Iman sebenarnya boleh berada di mana-mana. Malah ia mungkin datang dari dalam gereja seperti keyakinan yang dizahirkan oleh tokoh besar Kristian Eropah, Dr Rowan Williams, Uskup Besar Canterbury England yang menyarankan bahagian-bahagian Undang-Undang Syariah Islam sebagai penyelesaian kesatuan sosial di United Kingdom dalam wawancaranya dengan Radio 4 BBC pada 7 Februari 2008.

Malangnya nur yang sama tidak menerombos hati nurani Dilwar Husain seorang Muslim tokoh Yayasan Islam Eropah yang mempertahankan Undang-Undang British sekular yang didakwanya mesra masyarakat Islam sepertima mana dalam hujahnya, “Most Muslims are perfectly happy with the legal as it exists in UK. They support it. It protects them, it includes provisions for Halal Food and for the bank service. In other words, some of the most important things that concerns people are already in the system. We are not seeking the introduction of a new system - absolutely not”.

Bagi SIS dan Majlis Peguam yang cakap berlapik di atas prinsip ketinggian undang-undang yang diperuntukan dalam Perlembagan dengan Seksyen 289, Akta Kanun Jenayah, kini perlu mencari alasan lain yang lebih berfakta kerana kenyataan Y.A Abdul Hamid Mohammad, Hakim Mahkamah Rayuan dalam satu penghakiman kes Kamariah binti Ali dan lain-lain lawan Kerajaan Negeri Kelantan dan satu lagi (2002) 3 MLJ 657 menyebut, “Kedua, Perlembagaan itu sendiri memberi kuasa kepada Badan Perundangan Negeri (bagi negeri-negeri) untuk mengkanunkan Hukum Syarak dalam perkara-perkara yang disebut dalam Senarai II, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (‘Senarai II’)…”.

Sudah sampai masanya kerajaan, pihak berkuasa agama dan universiti menjalankan kajian dan penyelidikan serta tidak tercicir dalam retorik kertas kerja seperti dalam Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah tahun lalu. Sebaliknya perlu mengambil inisiatif proaktif sebagaimana satu kumpulan penyelidik di Institut Perubatan Novosibirsk, Rusia yang diketuai oleh pakar biologi Dr Sergei Speransky menemui kaedah baru (baca: lama) merawat ketagihan alkohol dan kegundahan melampau melalui sebatan sebagaimana yang pernah dikuatkuasakan di sekolah Britain pada kurun sebelumnya dan mengesyorkan sesi terapi 30 sesi membabitkan 60 kali sebatan ke atas pungung seseorang berbadan sederhana.

Menurutnya berdasarkan kajian saintifik, sebatan di punggung mampus merembeskan sejenis bahan kimia semula jadi badan manusia, Endorpin yang bertindak sebagai antibodi terhadap kesan ketagihan arah, dadah dan rokok.

Malah rakan sepasukannya Dr Marina Chuhrova mempunyai 10 pesakit yang sukarela menjalani terapi sebatan rotan tersebut dengan caj merotan pesakit RM342 bagi sesuatu rawatan biasa dan kini tidak menang tangan untuk merotan pesakitnya. Ianya menjadi satu terapi yang komersil berbanding RM10 bagi setiap sebatan diperuntukan kepada pelaku sebat di Malaysia.

Jadi dimanakah logiknya kenyataan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Syed Abas Syed Ali yang juga ADUN Balung di Sabah yang turut mempertikaikan hukuman 6 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Pahang dengan alasan logik analogi peminum arak sama dengan penghisap rokok yang sukar meninggalkan tabiat ketagihan.

Jika kita memerlukan sampel ujikaji sebagai testimonial maka calon terbaik, saya syorkan ialah Dr Hamidah Merican, Zainah Anwar atau Datuk Syed Abas Syed Ali itupun jika kesalahan menghina mahkamah ditambah dengan hukuman rotan dan tidak cukup sekadar peruntukkan denda dan penjara. Seperti kata orang sekarang, “Belum cuba belum tahu”.

11 ulasan:

ahmadhisham82@gmail.com berkata...

Artikel ko bagus, cuma ada beberapa perenggan dengan kritikan sinis yang pada pandangan aku menimbulkan rasa kurang senang kpd beberapa pihak. Soal pemakaian tudung dengan mengemukakan beberapa perbandingan, dan beberapa isu yang dikemukakan secara sinis mungkin tidak digemari pihak yang 'terkena' batang hidungnya. ape2 pun, satu pandangan yang bernas. Keep it up!

Tanpa Nama berkata...

Faizal,
Rasanya tak ada apa yang harus di bawa ke mahkamah. memang gaya tulisan perenggan di atas itu agak membalun sikit. Biasalah, cuma orang itu...orang itu...tak tahan kerana imej islam, faizal kata ukk..ukk...
Tak apa. jangan tarik dan gentar dengan tekanan.Masakan soal begini mahkamah nak hukum sebat 10 rotan.
Ayuh, tulis dan kritik terus-terusan.
AZIZI aBDULLAH

Tanpa Nama berkata...

Faizal, sebaik terdengar nada sms awal pagi tadi, terus tersedar..takut manalah tau ada berita tak baik ke, la terus nampak nama Faizal, akak terus bingkas bangun dan baca artikel yang dimaksudkan. Pandangan akak, teruskan menulis artikel2 sebegini, yang makan cili memang akan terasa pedasnya..tapi demi agama, walaupun kita bukan lulusan syariah, tapi kalau ada sedikit ilmu apalah salahnya dikongsi bersama...SYABAS, tak payah layan mereka2 yang takut dengan bebayang sendiri..BERANI KERANA BENAR, TAKUT KERANA SALAH..dan bosan dengan manusia2 bersikap HIPOKRIT

NOREEN HAMIS

Khairulazuad berkata...

Salam sejahtera....

Artikel yang menarik.... standard la mesti ada yang terasa kalau kena batang hidung sendiri...sapa-sapan pun....tapi kalau dianalisakan bait2 kata terindah hang....pada hemat akau yang jarang menulis ni takda apa2 yang boleh memberi tekanan kalau melihat kepada isi pokok yang hendak dibincangkan....tapi kalau nak tengok sapa yang kena dan terlibat memang banyak la yang orang nak cari....perkara biasa dalam penulisan....so far teruskan perjuangan...buka minda warga Malaysia dengan lebih telus dan mulus....

Tanpa Nama berkata...

faizal

boleh hantar ur email kat my email kat jem5661@gmail.com. I want to write some thing.tapi cant find ur email here.

cikgu jamilah

Leokid berkata...

Tahniah kepada saudara Faizal kerana melontarkan buah fikiran yang cukup bernas untuk difikir bersama oleh para ahli masyarakat dalam berhadapan dengan isu ini.

Saya bersetuju hukuman syariah ini dijalankan secara beransur-ansur (atau dalam bahasa saudara, secara "acah-acah". Sebagaimana yang pernah disebutkan oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz,

Diceritakan anak kepada Omar bin Abdul Aziz yang bernama Abdul Malik, bertanya kepada ayahnya tentang sikap lambatnya perlaksanaan Islam yang dilaksanakan oleh beliau. Mendengar ucapan anaknya itu, beliau berkata;

لا تعجل يا بني، فإن الله ذم الخمر في القرآن مرتين، وحرمها في الثالثة، وإني أخاف أن أحمل الحق على الناس جملة، فيدفعوه جملة، ويكون من ذا فتنة

Maksudnya; “Jangan kamu gopoh wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela Arak dalam Al-Quran sebanyak dua kali dan mengharamkannya pada kali yang ketiga. Sesungguhnya aku bimbang aku melaksanakan kebenaran kepada manusia secara keseluruhannya, lalu rakyat akan menolak Islam secara keseluruhannya, yang itu merupakan fitnah”

Al-Muwafaqat : 2/148.


Saranan saudara mengenai perlunya diadakan kajian dan penyelidikan terhadap pelaksanaan hukuman sebat syariah khasnya dan hukuman syariah umumnya, amat saya alu-alukan. Kerana berhadapan dengan masyarakat yang tidak lagi mengikut membuta tuli, kajian dan penyelidikan ini boleh menambahkan keyakinan masyarakat. Malah, ia turut boleh menjadi tarikan kepada masyarakat non-muslim, dan semoga dengan itu akan menyebabkan perlaksanaan hukuman syariah ini boleh diterima oleh masyarakat keseluruhannya.

Atas sebab itu, headline sebuah berita di akhbar Berita Harian bertarikh 22/02/07 membuatkan saya bersetuju:

Malaysia Anjur Sidang Hukuman Sebat Wanita

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menganjurkan persidangan antarabangsa yang pertama kali diadakan untuk negara Islam dunia bagi membincangkan hukuman sebat terhadap pesalah wanita Islam, tidak lama lagi.



Dialog dan persidangan sebegini perlu dalam usaha membersihkan tanggapan negatif masyarakat bukan Islam baik di barat mahupun tempatan terhadap perlaksanaan hukuman syariah, sekaligus terhadap imej Islam itu sendiri.

Leokid berkata...

Cuma 2 perkara yang saya tidak bersetuju dengan tulisan saudara tersebut adalah,

1. Perlukah kepada menyebut nama muslimah-muslimah peneraju SIS dalam konotasi/intonasi yang agak mengaibkan. Sungguhpun diakui bahawa ada tindakan-tindakan mereka yang kita boleh ragui di sudut agama, namun hakikatnya mereka masih muslimah Islam. Mereka masih saudara seIslam kita, maka adalah menjadi tanggungjawab kita menurut sabda Rasulullah dalam hadis riwayat Muslim

"Seorang muslim adalah saudara bagi seorang muslim; dia tidak boleh menzaliminya, membiarkannya (dalam kehinaan), membohonginya dan menghinanya"


Mungkin lebih baik jika disebut secara general sahaja, tanpa menyebut secara spesifik nama-nama berkenaan. Itu berdasarkan pandangan peribadi saya sahajalah.

2. Contoh mengenai iman yang saudara berikan, dengan menggambarkan seolah-olah Dr. Rowan William itu "lebih beriman" berbanding Dilwar Husain. Ini kerana, menurut kefahaman saya iman dalam Islam itu khusus/eksklusif kepada orang Islam sahaja, yang mana seseorang mukmin (orang beriman) itu haruslah menjadi muslim (orang Islam) terlebih dahulu. Justeru saya tidak bersetuju lah jika dibandingkan Dr. Rowan, seorang yang bukan muslim, dengan Dilwar Husain iaitu Muslim, dari perspektif "iman". Mungkin lebih selamat jika dikatakan tindakan/sikap Dr. Rowan William itu lebih selari kepada sikap orang mukmin, manakala tindakan/pendirian Dilwar Husain itu pula tidak mencerminkan iman orang mukmin sebenar. Mungkin dengan cara ini, ianya lebih subtle.

Apapun, kedua-dua perkara ini tidaklah merupakan perkara asas @ point utama yang saudara ingin sampaikan dalam artikel saudara tersebut, justeru itulah saya berpendapat kedua perkara tersebut boleh diabaikan dalam usaha menggali dan mencungkil manfaat dan buah fikiran dari artikel saudara tersebut, inshaAllah.

Terima kasih kerana berkunjung ke ILuvIslam. Saya mewakili seluruh ahli ILuvIslam mengalu-alukan kedatangan saudara, dan berharap saudara akan terus kekal aktif di sini berkongsi pendapat dan buah fikiran dengan kami user ILuvIslam, baik melalui artikel-artikel mahupun melalui penyertaan saudara dalam forum-forum.

Sekian, salam ukhwah,
Wallahua'lam.
Wassalam.

http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=15&thread_id=22533&pid=378430#post_378430

Faizal Riduan berkata...

Saudara Hisham memang niat saya untuk menulis secara berterus terang. Sungguh kebiasaan saya lebih gemar menulis dengan gaya bahasa yang lebih lembut dan halus tetapi untuk rencana SIS ini memang disengajakan untuk ditulis secara satira. Ia tidaklah berniat untuk mengaibkan (kerana tanggapan umum umat islam telah terbentuk tanpa perlu membaca rencana saya ini).

Tuan Azizi Abdullah, sasterawan yang saya soroti. Terima kasih atas sokongan tuan itu. Mungkin bagi penulis kecil seperti saya perkara seperti ini iaitu tekanan masih baru tetapi saya menyukai cabarannya.

Kak Noreen ya saya bukanlah lulusan syariah tetapi bolehlah dengan markah A dalam mata pelajaran Agama Islam semasa SPM.

Saudara Khairul Azuad terima kasih atas sokongan. Saya berkobar-kobar sekarang.

Cikgu Jamilah hubungi saya melalui emel faizalriduan@gmail.com.

Faizal Riduan berkata...

Saudara Leokid,

Terima kasih atas komentar segera saudara. Sungguh saya suka dengan refleksi tindak balas saudara pastinya saudara seorang anak muda yang proaktif.

Sebagaimana yang telah saya terangkan sememangnya saya berterus terang dalam penulisan kali ini dengan alunan sindir dan satira namun saya saya masih menyantuni mereka sebagai seorang makhluk Allah SWT. Soal menulis nama saya tidaklah bertujuan untuk mengaibkan (saya percaya tanpa tulisan saya inipun umat Islam sebahagian besar melabel mereka jauh lebih aib lagi). Ia memanglah catatan ikhlas pengalaman pertama kali saya melihat wajah Pengerusi Eksekutif SIS. Saya tidak menulis dengan secara keras sebaliknya secara lelucun dan sarkastik. Jika ada yang mempunyai tanggapan lain, saya mohon maaf jika anda tersalah baca rencana saya ini.

Saya juga sebenarnya tidak menulis dalam kesimpulan yang Dr Rowan William "lebih beriman" berbanding Dilwar Husain. Ayat tersebut perlu dibaca secara tersirat kerana secara tersuratnya siapalah saya untuk mengatakan seorang Muslim itu tidak beriman sedangkan seorang yang bukan Muslim pula sebagai beriman di sisi Allah SWT?

Saya hanya mengambil maksud iman dengan mengikut Surah at-Taubah ayat 62 yang secara harafiah mengiktiraf iman sebagai orang yang mempercayai dan membenarkan sesuatu yang datang dari Allah SWT.

Malah saya berkongsi tafsiran dengan Ali bin Abi Talib, Saidatina Aisyah dan Imam al-Ghazali bahawa keimanan seseorang kepada Allah SWT ialah apabila mereka membenarkan dengan lisan dan menyokong dengan perbuatan.

Saya tidaklah berniat lebih jauh dengan mengiktiraf keimanan Dr Rowan William berbanding saudara Muslim saya Dilwar Husain. Namun adakah sebagai seorang Muslim saya dilarang untuk memuji seorang yang bukan Muslim dan mengkritik seorang Muslim tentang pemahaman agama Islam mereka yang jaraknya bagai langit dan bumi?

Akhirnya saya insaf bahawa persoalan iman dan hidayah adalah hak milik Allah SWT. Kredit saya kepada Dr Rowan William tidak lebih daripada rasa kagum saya sebagaimana kepada Bahirah dan Warqah, sang paderi yang mengakui tanda-tanda Rasulullah SAW sebagai seorang nabi akhir zaman.

Di sini saya masih mendoakan Dr Rowan William mendapat hidayah untuk memeluk Islam dan Dilwan Husain kembali kepada Islam.

Tanpa Nama berkata...

Syabas, tiada apa walau 1 huruf perlu ditarik kembali..pandangan yang berani dan mendewasakan boleh membantu masyarakat buka pekung yang terlindung mungkin akan menyerlahkan kandungan isi pokok yang diutarakan..teruskan pertahankan

Tanpa Nama berkata...

Satu kritikan dan saranan yang tegas, bernas dan bertunjangkan akidah Islam yang sesungguhnya insyaAllah. Tak perlu ditarik balik kerana kritikan adalah part of democracy..Sememangnya orang-orang yang sedemikian itu perlu ditegur dan dinasihati dengan lebih kerap lagi kerana mereka berfikiran tidak ubah seperti kanak-kanak Islam yang baru sahaja mengenal siapa itu Allah ataupn baru sahaja mengenal huruf Allah, yg kadangkala kanak-kanak itu secara 'sengaja' memperselorohkan siapa itu Allah, apa yg Allah suruh dan apa yg Allah larang....jadi mereka perlu terus dinasihati dan dinasihati...

may Allah bless you saudara faizal..insyaAllah..

abasyir

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.