09 Januari 2010

RESENSI: MASINNYA MULUT IBU


Oleh: Faizal Riduan

‘Kasih ibu membawa ke syurga,’ begitulah indahnya kata fatwa pujangga seperti juga perumpamaan ‘syurga terletak di bawah telapak kaki ibu’. Malah tidak hairanlah hadis riwayat Bukhari dan Muslim merakam jawapan Rasulullah SAW menyebut nama “ibumu, ibumu, ibumu” pengulangan berganda tiga bagi soalan yang sama iaitu siapa yang paling berhak untuk dipatuhi?

Dalam hadis Rasulullah SAW yang lain baginda bersabda “Doa orang tua untuk anaknya sama dengan doa nabi untuk umatnya” dan “Keredaan Allah itu bergantung pada keredaan kedua orang tua dan kemurkaan Allah juga bergantung pada kemurkaan kedua orang tua”. Begitu juga dalam Surah al-Baqarah ayat ke 83, Surah an-Nisak ayat ke 36 dan Surah al-Israk ayat ke 23 di mana Allah mengkehendaki hambanya mengesakan-Nya dan kemudian berbuat kebaktian kepada kedua orang tuanya. Justeru keberkatan ibu bapa saling tidak tumpah semulia syafaat nabi dan keredhaan Illahi.

Walaupun Hari Ibu disambut pada 10 Mei setiap tahun, namun buku “Dahsyatnya Doa Ibu” tidaklah terlalu awal untuk diulas tatkala membaca tajuk muka depan akhbar kompak nombor satu – Metro, “Aksi Jijik Si Derhaka” pada 21 Disember 2009 yang melaporkan tentang kisah benar anak derhaka yang tergamak membuang ibu mereka ke rumah orang tua tetapi sanggup pula muncul di hari pengebumian ibunya semata untuk berebut harta pusaka!

Namun ini tidaklah bermakna buku ini disyorkan untuk anak-anak ala Si Tanggang. Sebenarnya buku ini sesuai untuk sesiapa juga yang merasakan mereka ‘beribu’ atau berhasrat menjadi ‘anak soleh’. Dalam kesibukkan mengejar dunia kadangkala tanpa sengaja kita meletakan prioriti lain dalam kehidupan, ibu entah tempat tercorot ke berapa dalam senarai terbawah? Buku ini mampu meletakkan semula kedudukan ibu di tempat yang selayaknya.

Ia menyingkap rahsia keberkatan doa ibu yang terus diangkat ke langit yang ke tujuh sampai ke arasy tuhan. Pembuktian dahsyatnya doa ibu seperti dalam kisah kelahiran Maryam ibu Nabi Isa AS di mana ibunya Hanah yang kepingin mengandung tatkala melihat kejadian seekor burung memberi makan kepada anaknya menggunakan paruhnya lantas berdoa “Ya Allah, kurniakanlah seorang anak kepadaku”. Tanyalah ibu anda pastinya kelahiran anda satu masa dahulu satu anugerah terindah mereka suami isteri.

Begitu juga dalam kisah fitnah Saidatina Aisyah isteri Rasulullah SAW berzina dengan Safwan yang menyebabkan baginda berdukacita keliru dalam diam diri. Doa dalam tangis ibu Saidatina Aisyah, Ummu Rumman “Ya Allah mudahkanlah cubaan ini ke atas puteriku. Engkau lepaskanlah tuduhan yang ditujukan kepadanya” disambut oleh Allah SWT melalui wahyunya dalam Surah an-Nur yang membebaskan Aisyah dari fitnah yang keji. Malah di akhir hayat ibu mertuanya, Baginda menyamakannya dengan wanita dari syurga.

Kisah lelaki panjang umur dan awet muda pula yang hidup 1,500 tahun di dalam kubah di dasar lautan yang dibina dari mutiara putih dengan empat pintunya diperbuat daripada intan permata, batu yakut, mutiara dan batuan hijau berkatnya menjaga ayah yang lumpuh dan ibu yang buta selama tujuh tahun sehingga ke akhir hayat mereka. Nabi Sulaiman yang kagum melihat keajaiban Allah SWT memakhbulkan doa ibu pemuda tersebut “Ya Allah panjangkan umur anakku... Tempatkanlah anakku di suatu tempat di mana syaitan tidak dapat menganggunya”.

Nah! Tanpa hijab doa ibu terus berkomunikasi dengan tuhan bukan? Bukanlah susah untuk berbakti kepada orang tua sehingga sekadar memandang wajah mereka dengan penuh kasih sayang, Allah SWT memberikan ganjaran seperti beribadah haji mabrur kata Rasulullah SAW.

Kisah balasan menderhaka kepada ibu bapa dalam rakaman sejarah silam dapat dilihat dari kisah Alqamah yang tidak boleh mengucap dua kalimah syahadat, Juraij seorang rahib yang difitnah berzina, Malim Kundang yang disumpah menjadi batu, lelaki berkepala keldai keluar dari kubur dan mendengking, ahli perniagaan yang terpotong tangan, ulama kudung kedua-dua kaki dan tangan serta matanya dicungkil dan beberapa kisah benar dunia moden iaitu cerita Rosli mati berdiri dengan satu kaki, Salmah susah melahirkan anak, Saiful lumpuh, Shima meninggal dunia dilangkahi ibunya dan Budin meninggal dunia dengan perut keras membatu. Tiba-tiba bulu roma meremang terasa sayu dan kasihan membaca kesudahan hidup penderhaka ibu bapa namun dihujung cerita itulah ‘hukum karma’nya – padan muka!

Malah ketika membaca kisah tauladan para nabi yang memuliakan ibu bapa lewat pujian tuhan dalam Surah Maryam terhadap Nabi Yahya dan Nabi Isa yang berbakti kepada orang tuanya dan Surah Yusuf terhadap Nabi Yusuf yang menaikkan kedua ibu bapanya ke atas singgahsana. Kata-kata Nabi Ismail sebagai pematuhan perintah Allah SWT kepada ayahnya Nabi Ibrahim, “Wahai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya-Allah kamu kelak mendapati aku termasuk dalam golongan orang yang sabar” benar-benar meruntun hati bagaimana kisah ketaatan seorang anak. Terdetik di dalam hati jika kita mengambil tempat Nabi Ismail adakah kita terus bongkok berdiri atau telah memula seribu langkah mencabut lari?

Jadi ada baiknya buku ini menjadi koleksi bacaan wajib anak-anak anda. Jika anak anda masih berkelakuan melencong dari panduan buku tersebut, minta mereka membaca buku tersebut sekali lagi!

Tiada ulasan:

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.