26 Mei 2011

TENGGELAM TIMBUL DI SUNGAI MELAKA

Oleh: Faizal Riduan

Sungai dan manusia bagaikan ‘aur dengan tebing’. Simbiosis mutualisme ini dapat dilihat pada kelahiran bandar purba yang tumbuh hidup di muara-muara sungai. Penempatan bandar pertama dalam sejarah tamadun manusia seperti Uruk, Eridu dan Ur kira-kira 6,000 tahun lalu di Mesopotamia dan Babylon di lembangan yang disaliri Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Dahulu kala sungai adalah segalanya sebagai denyut nadi kehidupan, dari hulu ke hilir bukan sahaja sebagai sumber minuman tetapi juga tempat ‘cari makan’ bagi nelayan dan pedagang. Namun hari ini, kecanggihan sistem perbandaran dengan air ditemui mudah di hujung kepala paip menjadikan mentaliti sebahagian dari kita menanggapi sungai tidak lebih sebagai longkang pembentungan yang meloya-mualkan.

Apatah lagi sungai di dalam bandar, airnya mengalir suram dan suam. Sebagai orang bandar, setiap hari saya dihidangkan dengan panorama air berpewarna ‘teh tarik’ di Sungai Gombak dan Sungai Kelang. Baru-baru ini keinginan saya untuk mengemudi susur sungai dalam bandar tercapai di Sungai Melaka yang kini menjadi destinasi pelancongan baru Melaka. Sungai Melaka, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang pada satu masa dahulu dimasyhur gelar “Venice of the East” adalah sumber terpenting semasa kerajaan Kesultanan Melayu Melaka dari tahun 1402 ke 1511, sesesak sarat sebagai pusat pertemuan pedagang timur dan barat serta transaksi rempah ratus dunia. Kiri kanannya merupakan kawasan perbandaran, penempatan, perkuburan, perniagaan, perkapalan dan pelabuhan sejak zaman bahari. Berhadapan Selat Melaka, sungai pusaka ini setia walau tebingnya sudah banyak berubah dengan darah tertumpah apabila kuasa besar seperti Portugal, Belanda, Inggeris dan Jepun merebut Melaka dari tangan warganya.

Sungai Melaka yang sepanjang 40km dari Kampung Gadek menghilir alir ke Selat Melaka adalah ibu kepada anak sungai utama iaitu Sungai Putat, Sungai Cheng, Sungai Durian Tunggal dan Sungai Alor Gajah. Namun perkhidmatan Melaka River Cruise (MRC) hanya sepanjang 4.5km dari Taman Rempah ke muaranya di Dataran Sungai Melaka. Tidak lengkap ke Melaka sekadar menggunakan laluan darat, Sungai Melaka yang mengalir di tengah-tengah Bandaraya Warisan Dunia memberikan nilai sentimental dan romantis. Sedikit masa lagi, pengunjung berpeluang menyusur Sungai Melaka dari ‘atas’ dengan menaiki pengangkutan Aerorail dengan kapasiti 24 orang di laluan landasan pendek 1.6km dari Stesen Jebat di Taman Rempah ke Stesen Tuah berhampiran Eye On Melaka. Saya agak terkilan di atas kelewatan beroperasi pada tarikh yang dijadualkan untuk melengkapkan pengalaman saya sebelumnya menaiki Rapid KL, KTM Komuter, KL Monorail dan ERL KLIA.

Dengan azam menjadikan Sungai Melaka setaraf Sungai Venice di Itali dan Sungai St Antonio di Texas, kerajaan Melaka melalui Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka telah menubuhkan MRC yang dirasmikan pada 11 November 2005. Awalnya RMC sekadar mempunyai dua buah bot tetapi kini 40 buah bot menanti dari jam 9.30 pagi hingga 12.00 malam pada setiap hari untuk dinaiki dari jeti Taman Rempah Ratus, Medan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Padang Nyiru atau Muara Sungai Melaka. Tahun lalu 591,000 orang telah menyusur Sungai Melaka dan lebih 40,000 orang lagi mengunjunginya setiap bulan dan anda tentunya mahu menjadi sebahagian dari statsitik tersebut. Perjalanan yang mengambil masa selama 45 minit di laluan sepanjang 9km turut menyediakan khidmat penerangan bagi setiap destinasi. Hanya semurah RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak, sejarah Melaka boleh dilawati tanpa peluh berjalan kaki!

Di senjakala itu, saya melihat Sungai Melaka telah dihidupkan dari sumpahan perbandaran selama ratusan tahun. Masih baru tetapi telah tampak bakal jelmaan San Francisco Waterfront dan Seattle Waterfront di Amerika Syarikat, North Vancouver Waterfront di Kanada dan Auckland Waterfront di New Zealand yang terkenal dengan kegiatan ekonomi didaratkan deretan restoran, hotel dan aneka kedai. Jika tebing sungai lebih lebar dari dinding bangunan konkrit tentunya boleh diperindah sebagai kawasan alam semulajadi dan rekreasi sebagaimana di San Antonio, Bronx dan Chicago di Amerika Syarikat. Malah Sungai Melaka masih bernuansa marhaen dan tidak berubah wajah seperti California Utara di Amerika Syarikat, Ontario dan Vancouver Utara di Kanada dan Batam di Indonesia yang mengkomersilkan tebingan sungainya dengan kediaman mewah.

Di mana-mana, pembangunan akan mengubah lanskap alam yang dipaksa korban sebagai tebus gantinya. Sungai Melaka tidak terkecuali, berdasarkan analisis kualiti air dari 1976 hingga ke 1995, Sungai Melaka adalah antara yang tercemar teruk selain Sungai Kelang, Sungai Juru dan Sungai Skudai. Teringat keluh-kesah mantan Perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, “Dulu ada ikan dan udang (dalam sungai) tetapi sekarang dua minit sahaja anak buaya pun boleh mati.”

Siapa sangka dari sebatang sungai digenangi kelodok dan lumpur hitam yang bercampur sampah sarap, biawak yang berenang di permukaan, dibuntutkan kedai dan rumah yang cantik di hadapan tetapi lain di belakang kini bagai mengakhiri sumpahan berubah menjadi laluan sungai yang bersih dan indah dengan perbelanjaan RM380 juta bermula dari fasa pertama pada 2002. Malah usaha lebih awal melalui memorandum persefahaman dengan kerajaan Denmark telah ditandatangi pada 1997. Ini bukan masa dan harga yang sedikit, jika sejak dahulu kita menjaga sungai sebagai warisan sudah tentu wang ratusan juta tidak terbuang ke dalamnya.

Saya bermonolog sendiri sambil menunggu RMC, mencangkung di jeti bot Taman Rempah sambil melihat dasar sungai yang kelam dalam gelap malam. Mungkin beberapa tahun lagi airnya akan jernih lagi sehingga sekilas ikan di air sudah tahu jantan betinanya. Sengaja saya memilih malam tanpa kesesakan orang, terasa damai.

Kini Sungai Melaka telah kembali dimudik antara hulu dan hilir, bukan dengan usungan jala tetapi sisipan kamera. Sayangnya saya datang terlewat bulan. Jika seawal bulan Jun yang lalu pasti meriah dengan sebulan perayaan Pesta Sungai Melaka kali keempat dengan sejumlah 33 acara. Yang paling menarik menurut pemandu bot merangkap pemandu pelancong ialah pertandingan perahu naga, pertandingan bot berhias, perarakan kenderaan antik dan sukan air.

Orang Melaka kini boleh berbangga dengan Sungai Melaka yang bertaraf dunia. Bagi orang Melaka dan tetamu dari luar Melaka, kita masih perlu beringat bahawa pendidikan sivik mesti ada jika tidak sistem kejuruteraan apapun tidak akan bersatu dengan alam. Tidak cukup sekadar fasiliti kelas pertama, minda kita juga perlu menjadi mentaliti kelas pertama. Jika tidak entah beratus juta lagi perlu dibayar untuk memulih air percuma dari tuhan.

Waktu malam, selain bersaksikan keindahan cahaya bulan dan bintang, suluhan lampu limpah dan cahaya lampu jurai dari konkrit bangunan dan rimbunan pohon menjadikan kegelapan malam nampak berseri. Tanpa kelip-kelip, saya tidak sesat menyusur Sungai Melaka kerana simbahan cahaya pada rumah tradiosional sampai ke atas gentingnya sekali, kerlipan multi warna Taman Lanun dengan melihatan pusingan Eye on Melaka yang berlampu, bangunan berlampu di Jalan Munshi Abdullah, Jambatan Station Bas Lama dan Jalan Laksamana. Puas melihat keindahan Sungai Melaka tanpa silau cahaya matahari. Mata masih terang benderang tak berkelipan. Saya berlalu pulang ke rumah tumpangan bajet di pinggir Sungai Melaka sambil melihat keluar tingkap. Bertenangan air sungai diam tanpa usikan. Permukaannya bertukar seperti cermin yang memantulkan bayang-bayang bewarna dari lampu seribu cahaya. Tidak pasti selepas itu sama ada lampu cahaya atau mata saya yang terpadam dahulu. Apa pun perjalanan satu malam di Sungai Melaka benar-benar menjadi azimat nikmat seperti dalam Hikayat Seribu Satu Malam.

21 Mei 2011

INGIN JADI A SAMAD ISMAIL


Sedari dahulu saya amat meminati tulisan-tulisan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri A Samad Ismail walau tidak pernah bersemuka mata. Namun terima kasih kepada Institut Akhbar Malaysia kerana nama besar beliau dihubung kaitkan dengan orang tidak bernama seperti saya melalui Hadiah Wartawan Muda A Samad Ismail yang turut saya terima bersama Hadiah Kewartawanan Perkhidmatan Awam Cemerlang sempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2010. Dalam keterharuan dan kemudian keterujaan, saya dengan berat hati dan rendah diri menerima penghormatan ini dengan penuh rasa tanggungjawab untuk terus menulis dari hati sanubari rakyat dan pertiwi.

15 Mei 2011

RESENSI: REVOLUSI HIJAU DAN NABI NUH AS

Di dalam gua sira iaitu mendapan mineral yang mengandungi natrium, kalsium, fosforus, zat besi dan zink yang dijilat oleh hidupan liar bagi tujuan menguatkan tulang, otot dan pertumbuhan fizikal yang lain di Sira Gajah.
Di sebelah kudup mati bunga pakma (rafflesia azlanii) iaitu spesies bunga terbesar di dunia dengan pembesaran saiz sehingga 100sm diameter dan berat sehingga 10kg.
Menulis di batuan air terjun Sungai Enam yang dingin airnya seperti embun pagi yang mencengkam sampai ke tulang.

Oleh: Faizal Riduan

Seperti terkena badi tajuknya, saya tidak dapat membaca buku ini kerana berada di dalam zon 'panas, rata dan sesak' dari proses pembeliannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini membawa ke rumah di pinggir kotaraya Kuala Lumpur. Akhirnya saya memilih untuk membaca di persekitaran ‘sejuk, tinggi rendah dan lengang’ di Hutan Simpan Royal Belum iaitu hutan dara terbesar dengan keluasan 117,500 hektar atau kira-kira empat kali saiz negara Singapura dan berusia 130 juta tahun yang lebih tua dari Hutan Amazon! Pengalaman membaca buku di dalam persekitaran ‘yang sepatutnya’ sungguh menyeronokkan dan pastinya dicemburui oleh Thomas L Friedman. Malah saya syorkan aktiviti kembara buku ini seperti inisiatif Izwan Wahab, Ketua Operasi Baca@LRT iaitu sebuah kempen gerakan massa, “Rakyat membaca di mana-mana”.

Sama seperti buku-buku sebelumnya, “Lexus dan Pokok Zaitun” serta “Dunia Sama Rata”, “Panas, Rata dan Sesak” memberikan sudut pandang yang baharu yang bisa mengubah 180 darjah anak mata berjuta-juta pembaca di seluruh dunia. Estetika lingustiknya jelas mempersona dengan bukan sekadar bahasa literalnya sahaja, dia memulakan bab satunya dengan pertanyaan holistik, “Mengapa Citibank, bank di Iceland dan bongkah ais di Antartika semuanya cara pada masa yang sama?” dan bukan menyempitkan perbahasan isu hijau hanya tentang kenaikkan suhu, aras laut, teras ais, kepupusan terumbu karang dan mendapan tasik dan lautan sebagai mana yang ditemui dalam tulisan-tulisan kaku sarjana alam sekitar yang membosankan!

Ditambah dengan petikan kenyataan dari buku, majalah, akhbar dan individu persendirian termasuk temubual peribadi dari mereka yang terlibat dalam pembuatan dasar, pemain industri, pencinta alam dan komuniti setempat, menjadi seolah rantaian titipan kata-kata hikmah. Membacanya membuatkan anda percaya bahawa buku ini bukanlah ucap suara unilateral Thomas L Friedman sebaliknya adalah suara multilateral seluruh warga dunia yang mahu hidup untuk 1,000 tahun lagi.

Malah banyak babak monolog penulis buku ini yang dilahirkan pada 20 Julai 1953 semasa populasi manusia berjumlah 2.681 bilion mengusik empati pembaca. Dia turut membayangkan jika dapat hidup sehingga usia 100 tahun bermakna dia akan berkongsi dunia ini dengan lebih sembilan bilion orang pada 2053 mengikut unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Lebih sinikal Thomas L Friedman mendakwa yang manusia perlu menakluki tiga buah planet lagi! Sungguh fantastik dan imaganatif - sesuatu yang tidak pernah saya fikirkan selama ini.

Keseluruhannya buku ini memfokus kepada lima masalah utama berlakunya pemanasan, perataan dan kesesakan dunia dengan angka-angka dan graf-graf yang dramatik iaitu peningkatan permintaan kekayaan ke negara kaya minyak dan ditaktor minyak secara besar-besaran; perubahan iklim yang membawa bencana; kemiskinan tenaga yang membahagikan dunia kepada dua blok, negara yang mempunyai kuasa elektrik dan yang tidak mempunyai tenaga elektrik; serta kehilangan biodiversiti secara drastik disebabkan kepupusan tumbuhan dan haiwan yang direkodkan.

Tanpa apolegetik, Thomas L Friedman membidas tanah tumpah darahnya sebagai penyebar virus penyakit ‘affluenza’ dan pesakit-pesakit ‘Americans’ dari Doha ke Dalian dan dari Calcutta ke Casablanca ke Kaherah yang tinggal di rumah gaya Amerika, memandu kereta gaya Amerika, makan makanan segera gaya Amerika dan menghasilkan sampah sarap sebanyak di Amerika seolah satu demografi seluruh dunia dihuni oleh sebegitu banyak ‘orang Amerika’! Salinan karbon peta Amerika ini sangat mencemaskan sehingga Michael V Hayden, Pengarah Agensi Risikan Pusat (CIA) menyatakan bahawa penganalisisnya percaya trend yang paling dibimbangi di dunia sekarang bukanlah keganasan tetapi corak demografi.

Dengan melihat dunia yang semakin panas, rata dengan kemunculan kelas pertengahan dengan kuasa beli yang tinggi di seluruh dunia dan sesak dengan pertambahan penduduk dunia secara berterusan kira-kira satu bilion setiap 13 tahun, Thomas L Friedman telah membuktikan bagaimana pasca 9/11, Taufan Katrina dan dunia di hujung jari ekoran dengan pasport ‘internet tanpa negara’ yang diakses oleh tiga bilion manusia maka isu iklim dan tenaga bukan soal kecil dan terpencil sebaliknya era baharu iaitu Era Tenaga-Iklim yang membawa revolusi teknologi tenaga boleh menjadi ‘penawar mujarab’ dan ‘racun berbisa’.

Kemudian dengan penuh bertanggungjawab, penulisnya yang juga warganegara Amerika Syarikat mengesyorkan keperluan negaranya menerajui revolusi ini melalui Presiden Revolusi Hijau yang pertama dan Bai’ah Baru Hijau dengan dipacu oleh generasi hijau. Pengharapan beliau nyata tinngi kerana kali pertama dan terakhir komitmen kerajaannya dapat dilihat semasa kepimpinan Al-Gore, mantan Timbalan Presiden yang juga penerima hadiah Nobel Keamanan 2007 selepas menerbitkan filem dokumentari An Inconvenient Truth.

Thomas L Friedman menulis dari pengalaman ‘jauh perjalanan luas pemandangan’ pada dekad yang lalu yang disifatkannya sebagai kelas kesarjanaan di tapak penyelidikan kumpulan Pemuliharaan Antarabangsa (CI) di beberapa tompok panas biodiversiti dan kawasan terancam lain - dari tanah bencah Pantanal di barat daya Brazil hingga ke hutan hujan Atlantik di bahagian pantai Brazil, dari hutan belantara Guyana Shield di selatan Venezuela hingga ke stesen penyelidikan burung macaw di Rio Tambopata di tengah hutan Peru, dari bahagian tanah tinggi Shangri-La di bahagian Tibet yang dikuasai China hingga ke hutan tropika di Sumatera dan pulau terumbu karang di Bali, Indonesia. Lebih awal dari itu, dia pernah berkelana seorang diri ke Masai Mara di Kenya, Ngorongoro Crater di Tanzania, ke kawasan kontang luas terbang di Empty Quarter di Padang Pasir Arab Saudi dan ekspedisi ke kubah garam di Laut Mati. Membaca travelog Thomas L Friedman memberikan pengalaman melancong ke destinasi bencana ekosistem rentas benua. Jika Amerika Syarikat mengkagumi Christopher Columbus sebagai penemu ‘Dunia Baru’ maka tidak salah untuk mengangkat adiwira pengembaraan abad ke-20 dan 21, Thomas L Friedman sebagai penemu ‘Dunia Bermasalah’.

Namun apakah penyelesaian bagi semua permasalahan biodiversiti ini? Ada yang beranggapan kunci permasalahan tenaga ini cuma satu, tiada pendua iaitu pereka cipta yang sebijak Thomas Edison yang akan merekacipta penemuan ajaib bagi menjana kuasa berlebihan, bersih, boleh diharap dan murah. Jawapan ringkas Thomas L Friedman penuh dengan falsafah kebijaksanaan, “Kita perlukan sejuta Nabi Nuh bersama sejuta bahtera Baginda!” Seperti pelaksana sunah ‘Nabi Nuh’, Dr Jatna Supriatna seorang profesor bioantropologi dan Arifin Panigoro seorang usahawan tenaga yang ditemui Thomas L Friedman di Batang Toru dan Batang Gadis, Indonesia, saya yang menginap tiga hari dua malam di Belum Rainforest Resort bagi mentelaah buku 579 muka surat juga boleh berbangga dengan pemiliknya, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar seorang pemaju hartanah kos rendah dan sederhana yang boleh dikatakan sebagai ahli sunah ‘Nabi Nuh’ di Malaysia dengan Pulau Banding sebagai bahteranya.

31 Disember 2010

DUDUK DI "MEJA BULAT" ASTRO AWANI


Malam ini saya akan bersiaran dengan wacana sudut pandang dalam rancangan diskusi "Meja Bulat", Astro Awani, saluran 501 yang dihoskan oleh Suhaimi Sulaiman bersama dengan tetamu-tetamunya di studio iaitu:

1)Presiden Majlis Belia Malaysia, Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
2)Naib Presiden Gerakan Belia 4B - Ahmad Daniar Ismail
3)Presiden Persatuan Pelajar Undang-Undang Asia - Tey Jun Ren
4)YDP Majlis Perwakilan Pelajar UiTM - Muhammad Ridhwan Mat Salleh
5)Pegawai Khas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi - Shamsul Qamar Abd Rani.

Siaran:
31 Disember 2010, Jumaat - 8.15 malam

Ulangan:
1 Januari 2011, Sabtu - 4.30 pagi / 10.30 pagi
2 Januari 2011, Ahad - 3.30 petang
5 Januari 2011, Selasa - 4.30 pagi

15 Oktober 2010

ROOMATE PERTAMA

Gambar antara satu dekad pada tahun 2000 (atas) dan tahun 2010 (bawah).

Oleh: Faizal Riduan

Sesiapa yang pernah tinggal di asrama atau kolej tentunya mempunyai senarai nama yang panjang bagi pasangan roomate (rakan sebilik) mereka apatah lagi bila disambung semasa tinggal bujang di rumah sewa. Begitu juga dengan saya, roomate yang pertama saya punyai adalah ketika pertama kali menjejaki kaki di menara gading. Di Universiti Teknologi Malaysia saya ditempatkan di satu-satunya kolej kediaman luar kampus iaitu Kolej Siswa Desa Skudai (KSDS), Taman Desa Skudai. Saya tinggal di blok F iaitu blok penghujung, di tingkat 4 dan bilik bernombor 7 jika tidak silap – F407.

Kebiasaan pemilihan roomate adalah secara takdir pentadbiran kolej dan bukanlah pilihan suka sama suka. Kebiasaannya pasangan roomate ditentukan berdasarkan satu bidang kursus pengajian yang sama dan kedudukan mengikut abjad nama yang berdekatan. Begitu juga dengan roomate pertama saya cumanya boleh dikatakan keseluruhannya adalah dalam jadual Allah. Walau kami berbeza bidang kursus pengajian, saya pelajar Pembangunan Sumber Manusia sedangkan dia pelajar Kejuruteraan Awam malah nama jarak abjad nama kami adalah jauh iaitu saya ialah Faizal Riduan dan dia ialah Zamhari Helman. Persamaan yang mungkin ramai orang dambakan ialah kami berasal dari daerah yang sama iaitu Gombak! (Tetapi kami belum pernah berjumpa di Gombak dan insyallah kami dijangka bertemu ala ‘jejak kasih’ pada bulan September nanti).

Memandangkan saya mendaftar lewat jadi ketika saya masuk ke bilik tersebut, roomate saya telah pun hidup seperti sedia kala. Saya agak kekok dan canggung kerana ini adalah pengalaman pertama kali berkongsi bilik secara berdua pula. Jadi saya mulanya agak malu-malu seperti berjumpa dengan seorang wanita gayanya. Dia pula mungkin sudah banyak pengalaman jadi telah lali ‘alah biasa tegal biasa’.

Melalui Zamhari inilah saya banyak belajar tentang berkongsi bilik termasuk berkongsi makanan. Oh ya saya juga pernah meminjam sut baju Melayu hitam beliau untuk jamuan makan malam dengan tema hitam putih. Kadangkala Zamhari suka memanggil saya dengan kata ganti diri ‘roomate’. Juga aras kami adalah aras classmate (rakan sekelas)Zamhari, jadi di tahun satu pengajian saya lebih akrab dengan classmate dia dari classmate saya sendiri. Salah seorang classmate dia ialah Wan Ellyas Wan Abdullah atau lebih popular sebagai Tajol dalam layar “Dunia Baru” yang dahulu kami kenali sebagai ‘Sanad’.

Pernah sekali Zamhari menegur saya agar jangan manjakan classmate-nya yang datang ke bilik kami untuk mengepau makanan terutama mi segera simpanan saya, mungkin dia segan apabila classmate-nya lebih mengharapkan saya sebagai sumber stor makanan mereka. Malah melalui Zamhari juga saya diceritakan tentang tabiat pelajar di asrama yang makan mi segera di dalam bardi secara bergotong-royong!

Sebenarnya Zamhari-lah satu-satunya rakan seuniversiti saya yang terawal tahu tentang minat kecenderungan saya. Berbanding rakan-rakan lain selepas itu yang hari ini lebih terperanjat dengan obsesi saya dalam penulisan sains sosial, dasar-dasar kerajaan dan kemasyarakatan. Soalan pertama selepas kami bersua suara di dalam talian kelmarin ialah, “Engkau sudah jadi Setiausaha Menteri kah?” dengan penuh sungguh tanya. Saya menyambutnya dengan gelak ketawa kerana setelah lebih satu dekad, Zamhari lebih dahulu mengenal diri saya dari saya mengetahuinya sendiri.

Terima kasih Zamhari!

02 September 2010

MUFTI YANG BERANI TERJUN KE DALAM API NERAKA


Oleh: Faizal Riduan
Tajuk tanpa prangka ini bukan datang dari saya tetapi saya ambil dari kenyataan Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya sendiri, “Orang yang berani berfatwa adalah orang yang berani terjun ke dalam api neraka” dari kolum Bicara Mufti di dalam majalah Milenia Muslim edisi Oktober 2009, edisi yang sama memberikan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut dalam anugerah berprestij kebangsaan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-PETRONAS 2010 bagi kategori Perkhidmatan Awam Cemerlang. Jika benar dakwa Dr Juanda majalah ini dibiayai oleh sebuah agensi agama kerajaan persekutuan maka kredit lebih berganda wajar diberikan kerana untuk pertama kali majalah ‘kerajaan’ boleh mengalahkan bukan sahaja majalah tetapi akhbar ‘swasta’ yang lain.

Saya asalnya lebih suka untuk mengambil sikap al-tawaqquf iaitu berdiam diri dari pertikaian dua pihak orang-orang tua agama. Apatahlagi saya bukanlah ahli dalam bidang Fiqh. Tidak perlu menjadi ‘nasi tambah’dan cukup sekadar menjadi 'beras di tepi gantang', masuknya tak bertambah, buangnya tak berkurang.

Sejujurnya sebagai orang muda saya suka meraikan keberanian bertindak balas mufti berusia 38 tahun yang muda ini sama dengan mufti sebelumnya iaitu Dr Mohamad Asri Zainal Abidin. Umur yang hampir sama dengan Rasulullah SAW ketika diangkat menjadi nabi dan rasul. Saya teringat sosok pemuda yang berani iaitu Saidina Ali Abi Talib yang sekebetulan meninggal dunia pada bulan Ramadan. Tidak salah rasanya saya mengaitkan nama salah seorang dari 10 sahabat Rasulullah SAW yang dijamin Baginda SAW sebagai ahli syurga. Tetapi barang jangan dilupa dari ahli syurga inilah juga munculnya kumpulan Khawarij dan Syiah apabila pandangan melampau mereka untuk menjadi lebih ‘Ali dari Ali’. Mudahnya idola yang terbaik sekalipun bisa pegangan amalannya disalah tafsir oleh pengikutnya sendiri. Dan inilah yang menimpa juga kepada Muhammad bin Abdul Wahab yang dikatakan pengasas Wahabi.

Saidina Ali seorang pahlawan gagah yang boleh berhadap dengan musuh terhebat secara berdepan satu lawan satu bukan dengan muslihat dan tipu helah sebagaimana beliau diserang hendap dari belakang ketika dalam solatnya. Di dalam satu perlawanan ketika Saidina Ali nyaris dapat membunuh musuhnya seorang Yahudi tetapi baliau tidak meneruskan tindakannya apabila mukanya diludah oleh si Yahudi itu tadi. Saidina Ali bimbang niatnya berjihad bukan lagi kerana Allah SWT sebaliknya kerana nafsu amarahnya itu. Mungkin di sini terdapat perbezaan yang ketara dengan tindakan Mufti Perlis yang ‘terlebih lajak dari laju' dan kemudian bertukar dari fitrah menjadi fitnah apabila menuduh sebuah majalah dakwah Milenia Muslim sebagai agen agensi agama kerajaan persekutuan untuk menyerang kedaulatan sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia.

Ironisnya tidak sampai setahun sebelumnya beliau sanggup pula ditemubual oleh majalah yang sama untuk empat muka surat dengan perbezaan hanya selang enam muka surat dari kolum Kembara Minda yang diisi oleh Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) ketika itu Datuk Mohd Nakhaie Ahmad. Tiada pula kedengaran majalah tersebut ditohmah sebagai agen Wahabi atau agen negeri Perlis untuk memecah-belahkan keharmonian amalan mazhab Syafie di Malaysia?

Peringatan Saidina Ali terhadap golongan Khawarij yang memanipulasikan slogan agama dengan hujahnya, “Perkataan yang benar, tetapi bertujuan batil” mungkin boleh dibaca secara terbalik iaitu “Perkataan yang batil, tetapi bertujuan benar” jika saya masih mahu berbaik sangka dengan kenyataan Dr Juanda ini. Jangan pula selepas ini saya didakwa-dakwi sebagai penyokong Syiah sebagaimana dicop ke atas dahi Faisal Tehrani. Kami mungkin berkongsi nama yang sama tetapi di dalam berpandangan kami berhak untuk berbeda.

Terdahulu saya cuba berlaku adil dengan menganggap pendapat mufti mungkin terkhilaf kerana beliau bukan pembaca tegar Milenia Muslim kerana jika Dr Juanda hanya membaca dua keluaran majalah tersebut sahaja iaitu bulan Oktober 2009 yang mengeluarkan temubualnya dan terbaru Ogos 2010 yang memuatkan tulisan kontroversi kolumnis Datuk Nakhaie, beliau tentunya boleh membaca persamaan maklumat penerbitan majalah yang diterbitkan oleh MMP Communications Sdn Bhd dan perubahan pada gugurnya ‘dengan kerjasama’ YADIM. Bahkan Datuk Nakhaie yang masih menjadi kolumnis, kini telah pun menjadi mantan Yang Dipertua YADIM. Dari sudut formaliti jika ada sekali pun, hubungan rasmi tersebut sudah berakhir.

Sungguhpun begitu disebalik ‘helaian’ majalah sebenarnya sejak dahulu lagi hubungan Milenia Muslim bersama YADIM bukan sepertimana hubungan majalah Visi bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) atau majalah Cahaya bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bertindak secara langsung sebagai penerbit sekaligus pembiaya dana. Sebaliknya kerjasama dua agensi berkenaan lebih kepada YADIM sebagai pelanggan dengan membeli secara tetap dan bukan melabur sebagaimana pemegang saham. MMP Communication adalah penerbit de facto sejak dahulu lagi tetapi menggunakan kerjasama permit yang diperolehi oleh YADIM.

Adapun pemberian majalah percuma di masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi agama dan juga institut-institut pengajian tinggi digerakkan oleh program ‘Tanggungjawab Sosial Korporat’ (baca dakwah) oleh syarikat korporat termasuk sumbangan penerbitnya sendiri. Ia langsung tidak dibiayai oleh wang kerajaan persekutuan. Wajarkah kerajaan persekutuan mendapat pahala percuma atas usaha dakwah yang digerakkan oleh pihak swasta? Atau bolehkah dosa (jika ada) tulisan Datuk Nakhaie itu dipindah bahu kepada sebuah agensi agama milik kerajaan persekutuan?

Begitu juga dengan tindakan Dr Juanda membesarkan skala konflik yang asalnya adalah masalah pegangan peribadi sehingga melibatkan negeri dan kini negara menjadi galang ganti. Agak lelucon untuk membaca hujah doktrin kenegerian dan persekutuan kenegaraan serta hubungkaitnya dengan DYMM Tuanku Raja Pemerintah negeri Perlis sebagai Ketua Agama Islam sementara dalam masa yang sama mantan Mufti Perlis, Dr Asri sendiri berhadapan dengan tuduhan di mahkamah mengajar tanpa tauliah dan izin dari DYMM Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam negeri. Malah syor campurtangan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengkaji semula pengurusan dan peranan agensi pelaksana urusan agama bagi pihak pemerintah dan Raja-Raja Melayu oleh Dr Juanda pada 2 November 2009 jelas kontras dengan pendapatnya terbaru ini. Nampaknya seorang mufti boleh mempunyai dua pandangan yang berbeza untuk satu latar kes yang hampir sama.

Sungguhpun begitu, saya mempertahankan negeri Perlis dari ketidak-adilan untuk dilabel tanda sebagai Wahabi walau ia mungkin mencabar status qua ahli Sunnah wal Jamaah tetapi bisikkan suara pencerahan tidak sewajarnya dipekakkan dengan kekerasan terjahan suara ijmak jemaah dan ego kekuasaan alim ulama ‘tyranny of the majority’. Mungkin dalam beberapa perkara ada asas persamaan tetapi belum tentu ianya serupa sebagaimana idea tajdid yang diperjuangkan dalam Tema Tajdid, Astora Jabat dengan slogan “Mencabar minda muslim pasca moden” dan Minda Tajdid, Dr Asri dengan tema “Mengemudi bahtera perubahan minda”. Hakikatnya pandangan tajdid dari kacamata Astora Jabat dan Dr Asri secara sekali baca seakan sama tetapi tafsiran mereka saling kontra sehingga pernah bertentang empat mata di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Begitu juga dengan Datuk Nakhaie dan Dr Juanda nampak berbeza tetapi berkongsi pegangan yang sama dengan penggunaan kekerasan cengkaman kuasa dengan tangan untuk menutup mulut dalam dialog mulut ke mulut. Ketika Datuk Nakhaie mengesyorkan ISA kepada penganggu keharmoniam amalan beragama Islam di negara ini, jawapan balas balik Dr Juanda mengaitkan kewajaran Akta Hasutan kepada tulisan beliau. Saya teringat bagaimana lemahnya budaya berdialog sehingga mengadu kepada Majlis Raja-Raja dan kerajaan untuk ‘memadamkan’ tulisan kontroversi kolumnis Bicara Agama, Mingguan Malaysia dan editor Al-Islam, Astora Jabat menjadi pilihan utama sedang banyak inisiatif dialog boleh mematahkan hujah. Mungkin kerana sikap anti-ofensif dan anti-defensif, sebaliknya alim ulama terus nikmat di syurga pertapaan tanpa sedar golongan jahil yang gagal didakwahi menjadi seperti Akhbar Ali apabila menyerang alim ulama yang gagal berhujah dengan akal sihat sebagai golongan berserban ketat yang kekurangan oksigen di dalam kepala.

Kita perlu menerima kenyataan bahawa alim ulama kita masih gagal mengambil hikmah dari perbezaan pendapat antara mazhab dan tanpa sedar telah menyempitkan tafsiran Surah Hud, ayat 118-119, “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan. Tetapi orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, (mereka bersatu di dalam agama Allah); dan untuk (perselisihan dan rahmat) itulah Allah menjadikan manusia.”

Sebagai umat Islam kita patut belajar berbaik sangka dan berbalas baik walau dihantar dengan kejahatan apatahlagi kepada alim ulama yang lebih dahulu mengenal maksud Surah Fussilat ayat 34, “Dan tidaklah sama kebaikan dengan kejahatan. Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antara engkau dan dia ada permusuhan (berubah) seolah-olah teman yang sangat setia.”

Bagi yang ingin menjadi mujtahid, tidak salah untuk berguru dengan Muhammad bin Abdul Wahab yang secara berterus terang berani mengaku sebagai seorang mujtahid dengan tetap pendirian, “Bahawa mazhab kami dalam Usuluddin (Tauhid) adalah mazhab ahli Sunnah wal Jamaah, dan cara (sistem) pemahaman kami adalah mengikut cara ulama salaf. Sedangkan dalam hal masalah fikah kami cenderung mengikuti mazhab Ahmad bin Hanbal. Kami tidak pernah mengingkari seseorang bermazhab dengan salah satu daripada mazhab yang empat. Dan kami tidak mempersetujui seseorang bermazhab kepada mazhab luar dari empat mazhab seperti mazhab Rafidah, Zaidiyah, Imamiyyah dan lain-lain lagi. Kami tidak membenarkan mereka mengikuti mazhab-mazhab yang batil. Malah kami memaksa mereka supaya bertaklid (ikut) kepada salah satu dari mazhab empat tersebut.”

Sungguh begitu, beliau masih merendah diri dengan menafikan dirinya sebagai mujtahid mutlak sehingga terlepas pegang menjadi bebas daripada mana-mana mazhab, “Kami tidak pernah sama sekali mengaku bahawa kami sudah sampai ke tingkat mujtahid mutlak, juga tidak seorang pun di antara para pengikut kami yang berani mendakwa dirinya dengan demikian. Hanya ada beberapa masalah furuk yang kalau kami lihat di sana ada nash yang jelas, baik dari Al-Quran mahupun sunnah, dan setelah kami periksa dengan teliti tidak ada yang menasakhkannya atau yang mentaskhsiskannya atau yang menentangnya, lebih kuat daripadanya, serta dipegang pula oleh seorang imam empat, maka kami mengambilnya dan kami meninggalkan mazhab yang kami anuti.”

Kepada yang mengakui dirinya adalah ahli Sunnah wal Jamaah dari mazhab Syafie ada baiknya untuk berlapang dada sebagaimana pesan Imam Syafie, “Pendapatku adalah benar, tetapi berkemungkinan salah dan pendapat orang lain daripada ku adalah salah tetapi berkemungkinan benar.” Malah Syeikh Muhammad Ali al-Sayis menukilkan dalam kitabnya, “Metode Imam Ahmad dalam berijtihad sama dengan manhaj Imam Syafie kerana beliau belajar daripadanya.”

Nah sekarang persoalan Wahabi saya tinggalkan kepada alim ulama. Yang menjadi tanda soal ialah hukum ‘fatwa’ Mufti Perlis terhadap majalah dakwah Milenia Muslim. Mufti juga adalah manusia biasa tidak terlepas dari khilaf salah tetapi jika benar lajak lanjurnya perlu berani tangani seperti Imam Abu Hassan Ashaari yang apabila menyedari dirinya tersesat kepada fahaman Muktazilah, beliau membuat pengakuan mengistiharkan dirinya kembali kepada Islam di atas mimbar sambil membuang jubahnya.

Saya yang kurang arif bahkan naif agama sekadar tahu sesiapa yang membuat fitnah walau keluar dari mulut seorang alim ulama sebenarnya telah meletakkan sebelah kakinya melepasi garisan ke neraka. Mufti bukanlah Si Luncai, tidak begitu Sahibul Samah Mufti Perlis?

30 Ogos 2010

PENAAKULAN MANTIK: UMNO, JAIS DAN MAZHAB MALIKI

Oleh: Faizal Riduan

Premis 1: Umno dan Jais tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid.

Premis 2: Mazhab Syafie membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid sementara mazhab Maliki tidak membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid.

Kesimpulan: Umno dan Jais bukan bermazhab Syafie tetapi bermazhab Maliki.

27 Ogos 2010

PUASA MUKJIZAT SAINTIFIK

Oleh: Faizal Riduan

Ibadah puasa di bulan Ramadan adalah rukun Islam ketiga yang mensyariatkan menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hinggalah terbenamnya matahari. Peri pentingnya muktamad maktub dalam dalam Surah Al-Baqarah ayat 183, “Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu semoga kamu menjadi orang-orang yang bertakwa,” dan disambung dalam ayat 184“… dan berpuasa itu lebih baik bagi kamu …”.

Selain dari sudut spiritual, puasa juga dikesan dari sudut fizikal dan mental iaitu sebagai terapi kesihatan dan perubatan berasaskan saintifik. Justeru puasa sebenarnya juga adalah satu proses dakwah yang intelektual dan empirikal, bukan taksub kepada dogmatis atau doktrinal. Islam tidak menanggapi puasa dari prinsip pengesahan melalui kepercayaan dalam bentuk ‘justi facti’ atau sebagai upacara kesucian dalam bentuk ‘ex operato’. Puasa sebagai mukjizat saintifik adalah proses proses iman yang dinamis, iaitu terbuka kepada ilmu, bukti dan data baru. Justeru kita berpuasa bukan kerana ianya adalah ‘akta agama’ tetapi kerana kesedaran Islam sebagai agama fitrah atau 'religio naturalis'.

Bagi Pengurus Klinik Syifa di Gelugor, Pulau Pinang dan pengamal perubatan, Dr Danial Zainal Abidin, puasa bukanlah perkara baru kerana puasa adalah cara rawatan yang tertua di dunia. “Ia telah diamalkan oleh orang-orang terdahulu, malah Hippocrates, Galen dan Paracelsus menjadikan puasa sebagai salah satu cara rawatan untuk pesakit mereka. Plato, Socrates, Pythagoras dan Mahatma Gandhi juga sering kali berpuasa,” tambahnya.

Sejarah panjang amalan puasa juga bukan terhad kepada manusia sahaja tetapi semua makhluk di dunia mempunyai fitrah berpuasa. Mengikut Dr Cindy Engles pula dalam Wild Health: How Animals Keep Themselves Well and What We Can Learn From Them, “Binatang-binatang apabila sakit akan menjauhi makanan. Pengkaji-pengkaji yang mengamati fenomena ini berpendapat menjauhi makanan dengan berpuasa adalah proses yang natural ke arah kesembuhan. Ia bermanfaat bukan sahaja untuk binatang malah juga untuk manusia. Puasa akan mencepatkan kesembuhan kerana secara umumnya bakteria memerlukan zat besi untuk bertindak justeru dengan menghindari makanan, bakteria akan ketandusan zat besi dan keadaan ini akan melemahkannya.”

Ikan salmon berpuasa dengan menempuh perjalanan jauh sepanjang 1,500 km tanpa masa rehat dan makan untuk bertelur. Pakar zoologi berpendapat puasa membantu ikan-ikan itu menjadi lebih ringan, lincah, agresif dan mampu mengatasi gelombang lemak yang boleh mengakibatkan saiznya membesar. Beruang putih betina pula berpuasa sepanjang musim dingin dengan cara berselindung di bawah gumpalan salji yang tebal sambil melahirkan dan menyusukan anaknya.

“Puasa adalah kaedah perubatan pencegahan dan rawatan dari dalam,” hujah penulis buku ‘bestseller’ berkaitan Islam dan saintifik seperti Quran Saintifik, Perubatan Islam, Tip-tip Cemerlang Daripada Al-Quran, Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad, Minda Muslim Super dan 7 Formula Individu Cemerlang.

Seperti tulisan Dr Lonny J. Brown dalam Adventures in Therapeutic Fasting, “Amalan yang biasa dilakukan dalam masyarakat hari ini ialah apabila seseorang menghidap penyakit, dia akan mengambil ubat untuk meredakan penyakitnya. Sudah tiba masanya untuk kita mengamalkan suatu yang berbeza iaitu mengamalkan puasa ketika sakit. Sebenarnya puasa adalah penawar. Ia merangsang beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan dan perubahan ini membantu ke arah pembersihan dan pembaikan dalam badan. Ketika berpuasa organ-organ dapat berehat dan kerehatan ini membantu badan membuang segala kotoran serta toksin di samping menyegarkan sel-sel.”

Presiden Persatuan Perubatan Islam Malaysia, Prof Dr Abdul Rashid Abdul Rahman, merasionalkan amalan puasa umat Islam dari sudut saintifik, “Puasa tidak memudaratkan. Kecuali bagi pesakit diabetis yang tidak terkawal dan memerlukan suntikan insulin. Waima penyakit gastrik tidak menjangkiti orang berpuasa kerana orang berpuasa tahu jangkaan bila dia akan berbuka berbeza dengan orang kelaparan yang mengharapkan makanan tetapi kempunan maka asid penghadaman di dalam perut akan merembes keluar sentiasa dan ianya memudaratkan.”

Baginya berpuasa dalam Islam adalah di dalam lingkungan masa yang pendek iaitu sekadar setengah hari. Dalam sebuah jurnal perubatan berprestij The Lancet disebutkan, "Puasa selagi mana tidak menyebabkan kelemahan badan yang bersangatan adalah tidak memudaratkan. Jika berlaku kematian ketika berpuasa, punca kematian dari sebab-sebab lain selain puasa perlulah diterokai terlebih dahulu..."

Leon Chaitow, pensyarah kanan di Universiti Westminster, London dan juga penulis kepada 50 buku yang berkaitan dengan kesihatan dan perubatan alternatif merumuskan, "Walaupun puasa mempunyai risiko dan kesan sampingannya, namun berpuasa dengan tidak menjamah makanan dan minuman dalam jangka masa yang pendek adalah amat selamat." Puasa di bulan Ramadan boleh dianggap sebagai puasa jangka pendek. Justeru, secara dasarnya ia adalah amat selamat dan tidak memudaratkan. Apabila badan seseorang berjaya dibersihkan dari racun dan toksin, ia seolah-olahnya seperti sebuah kenderaan yang baru diselenggara secara sempurna.

“Puasa sebenarnya ialah penjagaan pemakanan berjadual dan terapi merehatkan perut yang terkawal. Sebab itulah kita digalakkan melewatkan sahur dan mengawalkan berbuka. Ia signifikan dengan perubatan,” hujah pakar perubatan di Hospital Pakar An-Nur yang juga Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Sambil berkongsi dapatan yang memeranjatkan, “Punca utama kematian rakyat Malaysia sejak tahun 1980an sehingga sekarang adalah disebabkan oleh penyakit jantung dan angin ahmar. Faktor penyebab ini dijangka kekal sehinga tahun 2020 dan rakyat Malaysia menghidap penyakit kronik ini 10 tahun lebih awal dari orang barat. Kedua-dua penyakit ini berpunca daripada penyakit tekanan darah tinggi, kencing manis, kandungan kolestrol yang tinggi, kegemukan dan merokok. Ajaibnya, kelima-lima penyakit ini boleh dikurangkan kesannya melalui amalan berpuasa.”

Pakar Barat Iktiraf


Dr Alexis Carrel, seorang pakar bedah dan ahli biologi Perancis yang juga penerima Anugerah Nobel dalam Fisiologi pada 1912 menyatakan dalam bukunya Man the Unknown, “Frekuensi, keteraturan dan kecukupan makan dapat menghentikan sebuah fungsi yang memainkan peranan besar dalam kelangsungan bangsa manusia iaitu fungsi adaptasi dengan kekurangan makanan. Oleh kerana itu, sesekali manusia mesti berpuasa.”

“Puasa memiliki kesan bak tongkat sakti yang menyembuhkan penyakit akibat gangguan fungsi pencernaan dan pesakit yang diterapi pun melihat keajaiban luar biasa. Jenis penyakit berikutnya yang paling efektif disembuhkan dengan puasa adalah penyakit darah, kemudian penyakit tulang seperti reumatik.”

Dr Edward Dewey berjaya mengubati penyakit pada perut, busung air dan sejumlah radang di samping kelemahan dan kegemburan tubuh melalui terapi puasa. Ludwick Carnaro seorang ilmuan dari kota Bunduqiyyah (Itali) pada abad Renaissance ketika itu berusia 83 tahun menulis beberapa naskhah manfaat puasa.

Di Jerman, Dr Frederick Hofmann menemukan bahawa puasa boleh membantu mengubati penyakit epilepsi, bisul, kanser darah, katarak, tumor gusi, gusi berdarah dan borok pada mata. Beliau juga menyarankan para pesakitnya yang menderita penyakit apa pun untuk tidak mengambil sebarang bentuk makanan.

Di Rusia, Dr Peterfinia Minovdari Universiti Moskow dalam sebuah tesis pada 1769 menganjurkan untuk meninggalkan makanan secara total selama masa sakit dengan alasannya, “Puasa memberikan masa tenang pada perut yang memungkinkan orang sakit untuk melakukan pencernaan dengan seimbang begitu ia sembuh dan makan lagi.” Dr B.J. Sbaskiy dari universiti yang sama merumuskan, “Puasa memberikan ruang terjadinya peningkatan pengubatan dari dalam tubuh, tanpa suntikan dari luar. Dan ini adalah ubat penyembuh pelbagai penyakit kronik.”

Pada 1984, Dr Soliman dari Universiti Hospital di Amman melakukan kajian ke atas 42 orang lelaki dan 26 wanita Islam yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang di awal dan akhir Ramadan. Darah mereka diperiksa untuk mengenal pasti kadar kortisol, testosterone, sodium, kalium, urea, glukosa, kolesterol dan asid lemak . Di Universiti Sains Perubatan Tehran pula, Dr F. Azizi dan rakan-rakannya membuat kajian ke atas sembilan orang lelaki yang berpuasa Ramadan. Berat badan mereka ditimbang dan pemeriksaan darah dilakukan untuk mengukur kadar glukosa, bilirubin, kalsium, fosforus, protein, albumin, hormon perangsang folikel, hormon perangsang tiroid, testosterone, prolaktin, hormone luteinizing, tiroksin-4 dan tiroksin-3 dilakukan sebelum Ramadan dan pada hari kesepuluh, kedua puluh dan kedua puluh sembilan Ramadan.

Ujian-ujian ini menunjukkan puasa menurunkan paras gula di dalam darah ke tahap yang rendah tanpa mendatangkan sebarang kemudaratan. Kadar kolesterol yang memudaratkan iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL) menurun dan sebaliknya kolesterol baik iaitu kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) meningkat. Paras lemak di dalam darah secara umumnya juga menurun. Kajian-kajian ini menunjukkan, puasa di musim Ramadan tidak memudaratkan kesihatan. Dr Shahid Athar dalam Islamic Perspectives in Medicine menjelaskan perubahan tersebut memberi kesan baik kepada metabolisme badan sekali gus mencegah serangan pelbagai penyakit terutamanya yang berkaitan dengan lebihan gula dan lemak.

Sebenarnya sudah lama manfaat puasa ditemui kerana rumusan doktor terkenal di zaman Rasulullah SAW, Al-Haris bin Kaldah apabila ditanya tentang esensi ubat terbaik dan jawapannya ialah diet berpuasa kerana perut adalah rumah bagi segala penyakit. Sebab itulah Ibnu Sina dalam Al Qanun Fi Al-Tibb juga mengesyorkan manusia mengelak daripada makan dengan kenyang sehingga tiada ruang untuk baki makanan lain di dalam perut. Ia sesuai dengan sabda baginda riwayat Bukhari dan Muslim, “Orang beriman makan dalam satu usus, sedangkan orang kafir makan dalam tujuh usus.”

Merehatkan Tubuh

Setelah tubuh digunakan sepenuhnya selama tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun, walaupun tidak digunakan berterusan selama 24 jam. Pengarang buku The Hygienic System Volume III: Fasting and Sun Bathing for Healing Disease, Herbert M. Shelton menyenaraikan manfaat berpuasa pertamanya kepada kerehatan fisiologi kepada semua anggota tubuh badan selain membuang toksik dan memperbaharui sel-sel tiru.

Buang Racun dan Toksik

Secara dasarnya puasa adalah salah satu proses pembersihan atau detoksifikasi yang baik. Dr Mc Fedan seorang pakar perubatan antarabangsa menjelaskan, “Setiap manusia memerlukan kepada puasa sekali pun dia tidak sakit; kerana toksin-toksin makanan dan ubat-ubatan berkumpul di dalam badan lalu menjadikannya seperti orang sakit dan membebankannya, maka keaktifannya akan berkurangan. Apabila seseorang berpuasa, dia akan terlepas daripada bebanan toksin-toksin tersebut dan dia akan merasai kecergasan dan kekuatan yang tidak pernah dialami sebelum itu”.

Toksin masuk ke dalam tubuh manusia melalui pemakanan memandangkan kebanyakan makanan pada masa ini mempunyai toksin melalui bahan-bahan penambah perisa, pewarna, pengawet dan bahan kimia lain. Malah toksin juga terkandung dalam udara yang tercemar. Akhir sekali, toksin turut dihasilkan dari dalam tubuh iaitu sisa-sisa pembakaran melalui sel-sel yang mengalir dalam darah seperti gas karbon dioksida, urea, keratin, ammonia, sulfur, asid urik, sisa-sia makanan yang telah dihadam dan gas-gas beracun yang terhasil daripada penapaian dan pembusukkan makanan seperti indole, skatole dan fynole.

Malah ia melindungi tubuh dari pembentukkan batu karang dengan peningkatan kadar natrium dalam darah dan unsur polina dalam air kencing yang akan menghalang penghabluran garam-garam kalsium yang akan membentuk batu-batu kecil di saluran air kencing.

Pembaharuan Sel-Sel Tisu

Seorang saintis pakar, Upton Sinclair berkata, "Perkara terbesar yang diberikan kepada kita melalui berlapar, ialah satu peringkat kesihatan yang baru. Demikian itu kerana organ-organ akan diperbaharui secara menyeluruh yang mana tugas-tugasnya yang pelbagai akan menjadi bertambah baik seterusnya menjadi lebih aktif. Tubuh akan diberikan peluang terbaik untuk dibersihkan daripada timbunan toksik-toksik dan kumuhan-kumuhan di antara ruang-ruangnya serta pada teras tisu ototnya".

Carlson dan Kunde daripada Jabatan Fisiologi, Universiti Chicago dalam Journal of Metabolic Research telah membuktikan dalam eksperimennya bahawa berlapar untuk jangka masa seminggu memadai untuk pembaharuan sementara tisu-tisu di dalam tubuh seseorang manusia yang berumur 40 tahun dengan mengembalikan keadaan tisu-tisu tersebut kepada tugas (fisiologi) yang menyamai keadaan seseorang yang umurnya 17 tahun sementara berlapar dalam jangka masa 30 hingga 40 hari akan meningkatkan kadar metabolisme sebanyak lima hingga enam peratus.

Kecerdasan Mental dan Emosi

Apabila badan bebas daripada bahan-bahan toksik terutama di dalam darah maka kemampuan berfikir akan mampu ditingkatkan dan emosi menjadi lebih stabil. Tenaga yang tidak diperlukan oleh usus dalam proses penghadaman akan dihantar ke otak untuk proses berfikir semasa hari pertama hingga hari ketiga berpuasa. Daniel Golemen dalam bukunya Emotional Intelligence menulis tentang kajian seorang ahli psikologi terhadap sekumpulan kanak-kanak berumur empat tahun dan pemerhatian selepas 14 tahun kemudian iaitu semasa mereka tamat persekolahan menengah menunjukkan bahawa kebolehan menahan nafsu makan menjadikan mereka lebih pandai dalam pelajaran, mempunyai emosi yang stabil, dapat mengawal perasaan dalam keadaan tertekan, lebih berdikari dan disukai rakan.

Mencegah Penyakit Mental dan Jiwa

Puasa adalah suatu pencegahan daripada penyakit mental dan jiwa yang telah terbukti dalam menangani penyakit ‘split personality’. Dalam satu kajian terhadap 1,000 pesakit mental yang membiasakan diri berpuasa, pemeriksaan semula selepas enam tahun mendapati 65 peratus daripada mereka mengalami perubahan positif. Dr Yuri Nikolayev daripada Institut Psikologi di Moscow menyimpulkan, “Rawatan dengan berlapar memberikan kerehatan kepada semua sistem saraf dan minda. Tubuh dibersihkan daripada racun-racun dan tisu-tisu serta pelbagai kelenjar akan diperbaiki. Merehatkan minda membentuk asas rawatan untuk pelbagai gangguan ‘neuropsychiatric’. Puasa merupakan kaedah rawatan dalaman tanpa melalui proses pembedahan.”

Aktifkan Organ Reproduksi

Berdasarkan hasil kajian di laboratorium haiwan Lembaga Penelitian Ternak, Amerika Syarikat terhadap 846 ekor ayam telur yang produktivitinya telah menurun, terbukti bahawa 75 peratus ayam-ayam tersebut dapat kembali bertelur setelah diberikan terapi puasa selama 10 hari. Sebelumnya ayam-ayam tersebut telah menjalani masa bertelur antara 12 hingga 14 bulan.

Peningkatan fungsi organ reproduksi ini berkait dengan peremajaan sel yang membawa perubahan pada sel-sel urogenitalis dan jaringan-jaringan organ reproduksi wanita. Di masa inilah berlakunya perubahan metabolik terutama kelenjar-kelenjar endoktrin induk telur yang menghasilkan lebih banyak estrogen dan progesteron. Ketinggian kadar kedua elemen ini dapat meningkatkan fungsi organ reproduksi dan kesuburan.

Awet Muda

Majalah Britain, Nature telah mendedahkan satu kajian saintifik bahawa puasa yang terancang atau separa akan menyebabkan keaktifan pada gen-gen yang berfungsi untuk merembeskan hormon-hormon yang akan membantu sel-sel untuk melambatkan proses penuaan terhadap manusia dan juga hormon-hormon yang akan menambahkan keaktifan tubuh. Hasil-hasil daripada kajian ini telah mengenal pasti bahawa proses penyediaan makanan dan penghadaman akan menghasilkan bahan-bahan beracun yang akan merosakkan sel-sel. Manakala pengurangan kuantiti makanan disertai dengan melakukan pergerakan yang banyak untuk membakar tenaga akan meningkatkan kesihatan dan dapat menghentikan proses pemusnahan.

Ia kemudian akan merendahkan proses metabolisme, menghasilkan protein yang efektif, meransang sistem imun dan pertambahan penghasilan hormon menyebabkan proses rejuvenasi atau permudaan yang akan memberikan jangka hayat yang lebih lama.

Dr Otto Buchringer dalam kajiannya menunjukkan bahawa berpuasa meremajakan sel-sel tubuh yang menua seperti panduan teori zat sisa. Ia juga disokong oleh kajian Allan Cott dalam bukunya Why Fast dengan dapatan puasa mampu berikan kesan awet muda, membersihkan badan, menurunkan tekanan darah dan kadar lemak, mengembalikan libido, mengendurkan ketegangan urat, menajamkan pancaindera dan boleh melambatkan proses penuaan. Sarjana biokimia Rusia, Vladimir Nikitin menyimpulkan bahawa tanpa memperoleh makanan, proses ketuaan manusia boleh dilewatkan. Beliau kemudian menguji puasa ke atas tikus putih yang biasa hidup selama dua setengah tahun dan hasilnya tikus tersebut boleh hidup sehingga empat tahun.

Kulit Cantik

Pakar kulit dari Universiti Kaherah, Dr Muhammad Dawahiri menyatakan, “Hubungan antara makan dan penyakit-penyakit kulit erat sekali. Kerana itu, berpuasa untuk suatu masa dapat mengurangi kadar air pada tubuh dan darah. Seterusnya mengurangkan kadar air pada kulit sehingga kulit mempunyai pertahanan yang kuat menghadapi penyakit-penyakit kulit yang diakibatkan oleh bakteria (mikrobia).”

Dengan berpuasa seluruh sistem kulit dapat berehat dan membebaskan semua beban berat yang diisi selama setahun. Antara penyakit kulit yang boleh dirawat dengan amalan puasa ialah jerawat, artekaria dan eksim.

Akhirnya terbukti bahawa puasa bukan sekadar satu ritus ibadah tetapi satu terapi mukjizat untuk kesihatan dan kelestarian hidup manusia. Walaupun dengan penemuan kajian saintifik sebegitu banyak, manfaat berpuasa adalah lebih daripada itu seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Isra’ ayat 85, “Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja” dan umat Islam sewajarnya menyambut seruan dalam Surah Toha ayat 144, “Katakanlah (wahai muhammad) tambahkan aku ilmu,” dengan bukan sahaja berpuasa di siang hari tetapi juga berpantang makan di malam hari dan berpuasa bukan sahaja 29 hari daripada 365 hari lainnya.

Untuk permulaan mungkin boleh bermula dengan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal, puasa hari Arafah, puasa hari Asyura, puasa tiga hari setiap bulan Qamariyah, puasa-puasa pada bulan Syaaban dan jika mahu lebih mencabar adalah puasa sunah Nabi Daud AS iaitu sehari berpuasa dan sehari tidak berpuasa secara berselang-seli.

BILA PUASA DAN TAK PUASA SAMA SAHAJA!


Oleh: Faizal Riduan

Yang mana satu frasa yang betul: kita hidup untuk makan atau kita makan untuk hidup? Makan sememangnya satu topik utama, kontroversi dan penting dalam kedupan seharian manusia seperti kata dalam buku The Truth About Food, “Makanan adalah asas utama untuk semua manusia, tetapi kita baru sahaja faham bagaimana ia bertindak balas pada badan-badan kita dan kenapa orang bertindak secara berbeza untuk makanan yang berbeza.”

Islam sebagai cara hidup telah memberikan panduan pemakanannya malah bulan puasa dikira sebagai satu terapi bagi kelestarian sistem penghadaman yang telah dibuktikan oleh fakta saintifik dan empirikal. Malangnya puasa hanya sempurna dalam mengisi masa 12 hingga 13 jam di siang hari untuk menahan perut, tatkala masa berbuka puasa nafsu selera kembali mengambil tempatnya dengan menjamah segala menu yang terhidang atas meja yang tidak cukup tampungnya. Hikmah puasa untuk merasa lapar dahaga derita orang miskin rupanya hanya untuk masa siang sahaja, ketika malam menjelang semua bertukar mengambil nikmat orang kaya-raya.

Bagai mahkluk karnivor yang menunggu masa meratah ‘rezeki’ di depan mata, akhirnya kita tewas dengan makanan yang tidak bersisa. Di bulan Ramadan yang mulia, sabda baginda hanya dipakai sebahagian iaitu “makan semasa lapar” dan “berhenti sebelum kenyang” seperti tidak pernah kedengaran.

Pakar pemakanan, Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Norimah A Karim hanya mampu menggeleng kepala saat diaju bicara tentang puasa dan pemakanan rakyat Malaysia. Seperti kata pepatah, “Sekali air bah, sekali pantai berubah”
, budaya dan tabiat pemakanan dahulu dan sekarang baginya banyak berbeza.

“Budaya pemakanan rakyat Malaysia telah jauh berubah. Bazar ramadan di kaki lima dan bufet ramadan di hotel bagai berpesta 30 hari 30 malam. Kalau anda tengok mesti rambang mata, semua hendak dicuba rasa sebab hanya sebulan di bulan ramadan boleh ditemui menu istimewa dari seluruh negara,”

“Puasa sepatutnya memberikan manfaat kesihatan dengan menjadikan tubuh badan kita lebih ideal. Tetapi jika anda berbuka puasa dengan makan lebih dari kadar biasa seperti makan tengah hari yang sepatutnya ia tidak memberikan sebarang makna. Ditambah dengan sambungan pesta makan di rumah terbuka semasa hari raya, saya jamin selepas itu anda akan jadi lebih gemuk,” selorohnya selamba.

Baginya perubahan budaya pemakanan mesti bermula dari dalam rumah. Pengguna tidak boleh mengawal keghairahan ruang pamer peniaga sebaliknya mereka boleh mengawal diri sendiri dengan mendisiplinkan diri memakanan makanan yang perlu sahaja. Malah lebih menyihatkan dengan penyediaan ‘air tangan’ sendiri, selain manfaat dari sudut psikologi, kandungan makanan boleh disukat kawal.

“Untuk membekalkan tenaga bagi berpuasa bersahurlah dengan makanan bijiran seperti oat, roti susu penuh dan buah-buahan sementara berbuka dengan menu lebih berat tetapi masih denan diet seimbang,” syornya untuk mengekalkan kesihatan bagi berpuasa di siang hari dan menunaikan ibadah di malam hari.

Ketua Jabatan Perubatan Utama, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Sajaratulnisah Othman pula melihat bahawa puasa adalah terapi kesihatan terbaik untuk keluarga. Puasa bukan sahaja bulan mendidik kerohanian tetapi juga pendidikan kesihatan seisi rumah.

“Bagi bapa yang merokok, Ramadan seolah satu proses terapi anti ketagihan merokok. Jika mereka boleh berhenti merokok untuk 13 jam di siang hari mengapa tidak dilanjutkan untuk malam hari dan hari-hari berikutnya selepas bulan Ramadan?” ujarnya yang mencabar para bapa menjadi contoh tauladan kepada anak-anak.

"Faktor penentu adalah bukan hanya kepada perbuatan semasa berpuasa tetapi kepada apa yang dimakan semasa berbuka dan bersahur," tambahnya sambil mengingatkan bahaya tersalah makan boleh memudaratkan kesihatan.

"Dengan pemakanan yang betul, seseorang dapat menurunkan berat badan, kadar lemak dan gula di dalam darah serta tekanan darah. Berpuasa adalah satu pengalaman fizikal dan spiritual yang memerlukan persediaan. Jika seseorang tidak sihat, mereka boleh berbincang dengan doktor untuk melaraskan pengambilan ubat dengan kegiatan berpuasa."

Begitu juga dengan para ibu, inilah masa yang sesuai bagi menyusun semula pola pemakanan keluarga. Ia juga boleh menjadi contoh tauladan kepada anak-anak sebagai generasi mendatang dalam pengurusan rumah tangga. Dapatan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) III yang dijalankan di seluruh negara pada 2006 yang mendapati satu daripada lima kanak-kanak Malaysia mengalami masalah pemakanan iaitu berat badan dan ketinggian yang tidak sepadan dengan usia mereka.

Rencana “Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence” oleh Dr Janelle Coughlin dari Pusat Penyelidikan Rohani dan Jasmani, Universiti Johns Hopkins, yang menyenaraikan tiga faktor menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

“Pertamanya ibubapa perlu menyediakan pilihan alternatif makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, yogurt dan kismis. Kedua menyediakan sendiri makanan kegemaran anak-anak dengan pilihan bahan dan masakan yang lebih berkhasiat. Ketiga dengan berbuka dengan anak-anak dengan memberikanlah lebih masa berkualiti bersama mereka,”
ujarnya lagi.

Ia selaras dengan dapatan The American Academy of Peadiatrics yang mengesyorkan ibu bapa menyusun atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharia dengan menentukan apa yang dimakan, di mana dan bila.

Presiden Persatuan Dietitian Malaysia (MDA), Tan Yoke Hwa Pengarah Sains Kesihatan Bersekutu, Kementerian Kesihatan Malaysia melihat puasa sebagai satu disiplin bagi pesakit yang memerlukan kawalan makanan harian malah baik untuk pendekataan pencegahan sebagai perlindungan awal daripada penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi, kencing manis dan diabetis.

“20 tahun dahulu kita berhadapan dengan masalah kurang vitamin tetapi hari ini kita berhadapan dengan masalah kegemukan dari lebihan kalori. Orang dahulu makan seperti kita juga cumanya mereka kuat bekerja dengan fizikal jadi lebihan kalori akan terbakar dengan sendiri. Bayangkan dengan kita yang lebih banyak menonton televisyen hanya mampu membakar satu kalori untuk satu minit iaitu sama dengan apa yang berlaku ketika kita tidur,” tegurnya tentang masalah kesihatan rakyat Malaysia.

Hakikatnya tubuh manusia memerlukan kalori untuk berfungsi mengekalkan rentak jantung, mengepam darah dan melancar sistem pernafasan. Namun pengambilan kalori secara berlebihan tanpa membakarnya melalui aktiviti kecergasan fizikal hanya menepukannya dalam bentuk lemak yang akan menambahkan berat badan.

Baginya sebagai pengguna kita perlu lebih prihatin dengan fakta nutrisi setiap pemakanan yang diambil supaya menjadi diet yang sihat. Bukan sahaja nilai kandungannya tetapi juga nilai berubah dalam bentuk lain sepertri satu gram karbohidrat atau protein menghasilkan empat kalori sementara satu gram lemak mempunyai sembilan kalori.

“Ambil contoh telur. Telur rebus menghasilkan 70 kalori sementara telur goreng 205 kalori. Begitu juga dengan kolestrol hanya ada dalam bahagian kuning telur bukan bahagian putih. Tetapi masalahnya orang Melayu suka makanan makanan bergoreng. Jika boleh bulan puasa digunakan untuk mengubah cara penyediaan makanan. Kaedah masak secara rebus dan stim adalah lebih baik,” cadangnya.

“Sebenarnya tanpa puasa, badan masih boleh kekal sihat dengan pengambilan makanan berjadual, diet seimbang dan sihat. Kita makan sedikit mengikut kapasiti keperluan tubuh dan bukan mengikut selera. Bukan untuk bulan puasa sahaja, bulan-bulan berikutnya juga kita perlu lebih mendisiplinkan diri.”

Justeru bulan puasa sebenarnya bukan memerlukan kita berlapar dahaga sahaja pada siangnya tetapi juga perlu meneruskan disiplin dan adap makan untuk malam hari supaya kesan yang diharap dalam ibadah ketiga umat Islam itu mencapai sasarannya. Jadi jika kita sudah arif dengan ilmu berpuasa di siang hari, apa kata kita belajar ‘berpuasa’ ketika berbuka iaitu dengan mengambil makanan seminimum mungkin sekadar yang diperlukan oleh tubuh badan.

KENAPA KURMA?


Oleh: Faizal Riduan

Ingat Ramadan beerti ingat kurma dan ingat kurma beerti ingat Ramadan. Bulan Ramadan dan kurma antara dua elemen yang tidak boleh dipisahkan. Seakan menjadi unsur penyatu, kurma boleh ditemui di mana-mana sepanjang bulan puasa dari pasar-pasar tradisional sampai ke gedung beli-belah mewah. Malah kurma juga terdiri daripada pelbagai rencam jenisnya di seluruh dunia. Yang paling terkenal ialah Aabel dan Haleem dari Libya, Ajwah dan Barakah dari Arab Saudi, Amir Hajj dari Iraq, Hayany dari Mesir, Abid Rahim, Bireir dan Barakawi dari Sudan serta Deglet Noor dari Algeria, Tunisia atau Amerika Syarikat.

Terdapat 21 ayat dalam al-Quran dan tidak kurang dari 263 ayat dalam hadis yang menyebut tentang khasiat manfaat kurma. Maka menglokaliti kurma sebagai sunah Rasulullah SAW yang berbangsa Arab atau nilainya yang telah ketinggalan zaman adalah kurang tepat kerana buah seribu khasiat ini sudah dibuktikan pakar dalam bidang mereka. Keistimewaan kurma difirmankan Allah SWT dalam Surah al-Mukminah ayat 19, “Kemudian kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak dan sebahagiannya kamu makan.”

Riwayat Ahmad dan Tarmizi, “Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji rutab (buah kurma segar dari pokok yang sudah masak tetapi belum dikeringkan) sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji kurma dan sekiranya tiada kurma, maka baginda minum beberapa teguk air.”

Namun sebelum kelahiran Baginda, khasiat kurma telah dirakam Allah SWT dalam bantuannya kepada Siti Maryam AS ketika hendak melahirkan Nabi Isa AS sebagaimana dalam firmannya di dalam Surah Maryam ayat 25 dan 26, “... Dan gegarkanlah ke arahmu batang kurma itu, supaya gugur kepadamu buah kurma yang masak. Maka makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati dari segala yang merunsingkan.”

Kajian saintifik kemudiannya membuktikan bahawa kurma sememangnya baik untuk kaum ibu. Menurut Dr Mahmud Nazim Al-Nasimy dalam bukunya “Tempoh Mengandung Dari Segi Perubatan, Fiqhiyah Dan Perundangannya” menjelaskan jus kurma membantu cengkaman rahim sewaktu proses kelahiran, memperkuat urat-urat rahim pada bulan-bulan terakhir kehamilan dan mempermudah proses kelahiran bayi. Jus kurma juga dapat mengurangkan tumpah darah, menguatkan sistem organ rahim serta berkesan meredakan tekanan darah tinggi. Unsur zat besi dan kalsium di dalam kurma itu juga penting dalam pembentukkan kandungan susu ibu selain berperanan untuk pertumbuhan kanak-kanak damit, pembentukan darah dan sumsum tulang. Bahkan di dalam kurma terdapat semacam hormon (potuchsin) yang boleh menciutkan pembuluh darah dalam rahim sehingga boleh mencegah pendarahan rahim.

“Amalan Rasulullah SAW memakan kurma adalah baik kerana ia mengandungi karbohidrat tinggi dan asid amino seperti triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan,” hujah Dr Suriya Osman menyokong Surah Maryam ayat 26. Menyedari hakikat itu, Rasulullah SAW bersabda, ".... Beri makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil dan barang siapa memakan buah kurma tersebut semasa hamilnya, maka anak yang akan lahir itu akan menjadi seorang yang penyabar dan bersopan-santun, kerana makanan Siti Mariam AS ketika melahirkan nabi Isa AS adalah buah kurma. Sekiranya Allah ada menjadikan sesuatu buah yang lebih baik daripada kurma, sudah tentu Allah SAW telah memberi makan (kepada Siti Mariam A.S)."

Kurma sesungguhnya adalah antara buah terbaik yang diciptakan Allah SWT untuk seluruh umat manusia tanpa mengira bangsa dan negara. Data Organisasi Makanan dan Pertanian Dunia (FAO) pada tahun 2005 menunjukan 10 negara penghasil kurma terbesar dunia ialah Iraq, Arab Saudi, Mesir, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Algeria, Pakistan, Sudan, Libya dan China. Dengan sejarah panjang sebagai makanan ruji masyarakat di Asia Barat sejak ribuan tahun lampau, kurma yang berasal dari tumbuhan liar di Teluk Parsi telah ditanam sejak zaman Mesopotamia ke prasejarah Mesir berkemungkinan seawal tahun 6,000 sebelum masihi dengan penemuan bukti arkaeologi pada penanaman kurma di Arabia Timur. Suku Arab kemudian menyebarkannya ke sekitar Asia Selatan dan Asia Tenggara, Afrika Utara dan Sepanyol. Ia turut diperkenalkan di Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada tahun 1765 iaitu semasa Misi San Ignacio.

Jean Carper dalam bukunya, “Food, Your Miracle Medicine” menyatakan bahawa kurma mempunyai kandungan salisilat atau aspirin semulajadinya yang tinggi. Ia adalah baik sebagai rawatan pencegahan dari mengubat kesan akibat penyakit. Buah kurma dikira sebagai sebahagian daripada makanan yang terkaya dengan gula glukosa. Jadi, ia adalah makanan terbaik yang diberikan kepada tubuh ketika itu. Dr Anwar El Mufti dari Mesir menjelaskan bahawa kurma mengandungi zat gula paling banyak iaitu 70 peratus. Dengan nisbah kandungan gula yang tinggi itu, glukosa membentuk 55 peratus manakala fruktosa sebanyak 45 peratus daripadanya, ditambah pula nisbah daripada protein-protein, lemak, sebahagian vitamin dan mineral. Fruktosa ini kemudian akan bertukar kepada glukosa dengan kadar segera dan kemudian diserap secara langsung daripada sistem penghadaman bagi menghilangkan keadaan terdesak tubuh yang memerlukan tenaga.

Kajian kimia dan fisiologi oleh Dr Ahmad Abdul Ra’ouf dan Dr Ali Ahmad Syahhat menunjukan bahawa kurma ialah makanan berserat tinggi, mengandungi kalsium, potassium, folate, vitamin A, B, B1, B2, B3, C dan E malah ia bebas lemak dan kolestrol. Ia juga amat membantu mencegah penyakit kronik seperti sakit jantung dan kencing manisa selain boleh mengurangkan kesan penyakit anemia dan pucat pada tubuh badan.

Menurut Pengarah Am Yayasan Pemakanan British, Dr David Conning, segelas air yang mengandung glukosa akan menyerap ke dalam tubuh antara 20 hingga 30 minit tetapi gula yang terkandung dalam kurma mengambil masa lebih lama iaitu dalam tempoh 45 hingga 60 minit. Oleh yang demikian, kurma bukan sahaja sesuai untuk berbuka tetapi juga untuk bersahur kerana buh kaya dengan serat ini boleh memberikan daya tahan kepada badan.

Pengambilan kurma sebanyak 65 gram atau lima biji sehari akan membekalkan 400 mg kalium yang boleh mengurangkan 40 peratus risiko serangan penyakit strok . Menurut pakar penyakit darah tinggi, Dr Louis Tobian dari Universiti Minnesota, Amerika Syarikat kandungan kalium ini membantu menurunkan tekanan darah dan membekalkan tenaga untuk mencegah strok secara langsung. Bagi membuktikan hipotesisnya, Dr Louis Tobian melakukan eksperimen kepada dua kelompok tikus yang terkena hipertensi dengan satu kelompok diberikan diet tinggi kalium sementara kelompok satu lagi diberikan diet kalium normal. Hasilnya tiada seekor tikus dalam kelompok tikus yang mendapat kalium tinggi mengalami pendarahan otak manakala 40 peratus kelompok tikus yang mendapat kalium normal mengidapi strok ringan melalui pendarahan otak.

Dengan sebegitu banyaknya manfaat khasiat kurma maka ia tidak wajar lagi dikunyahkan semasa bulan ramadan sahaja. Umat Islam perlu mentradisikan kurma sebagai ‘pencuci mulut’ semasa makan atau menggantikannya sebagai makanan ringan yang rata-rata sedia ada mengandungki karbohidrat, gula, garam, lemak, pewarna dan perasa tiruan yang boleh membawa pelbagai komplikasi penyakit. Peri penting kurma untuk seisi rumah ini diperihalkan oleh Rasulullah SAW, “Rumah yang tidak ada kurmanya seperti rumah yang tiada makanan.”

17 Mei 2010

DUNIA SENYAP DASAR LAUT

Oleh: Faizal Riduan

Kehidupan di dalam laut adalah dunia yang sunyi sepi, tenang di dasar walau permukaannya bergelora ombak dan gelombang yang kejam. Sungguh tepat sekali apabila Jacques Yves Costeau, seorang ahli oseanografi dan ahli selam terkemuka dari Perancis menamakan alam bawah laut itu sebagai “Dunia Senyap” untuk tajuk buku dan dokumentari yang merakam rahsia penemuan pengembaraan dan penerokaannya yang pertama kali dalam rekod dunia, masing-masing diterbitkan pada tahun 1953 dan 1956. Jika tidak sudah tentu dunia dasar laut yang penuh warna-warni ini dilihat sekadar statik berwarna biru yang sedikit berbeza dari ton latar belakang awan.

Walaupun manusia adalah mahkluk ‘daratan’ tetapi tetap tidak dapat dipisahkan dengan lautan. Lihat sahaja habitat 800 spesis terumbu karang yang didiami oleh lebih 4,000 spesis ikan yang menyumbang pendapatan dunia lebih RM1.34 trillion sebagai sumber makanan dan produk pelancongan.

Hari ini warisan dasar laut terbaik boleh ditemui di Taman Laut Terumbu Sawar Besar iaitu Taman Laut terbesar di dunia terletak di Queensland, Australia yang diiktiraf sebagai salah satu dari Tujuh Keajaiban Semulajadi Dunia dan Tapak Warisan Dunia.Gugusan terumbu karang ini adalah struktur terbesar organisma hidup yang terdiri daripada berbilion-bilion polip sehingga boleh dilihat dari angkasa lepas. Ia mengandungi 2,900 batu karang dan sekitar 900 pulau yang terbentang luas sepanjang 2,600 km dengan luas permukaan sekitar 344,400 km².

Sungguh Malaysia bukanlah negara kepulauan sepenuhnya seperti Queensland, setidak-tidaknya kita masih boleh berbangga kerana masih tersenarai dalam 12 buah negara mega biodiversiti dunia. Kira-kira 80 peratus spesis batu karang di dunia dan lebih 4,000 spesis ikan mendiami dasar laut negara dengan bahagia aman sentosa. Tidak hairanlah, Pulau Tioman dipilih sebagai antara 10 buah pulau tercantik di dunia oleh majalah Time pada tahun 1970.

Cabaran menanti pengembara selam skuba ialah untuk menjejaki peta navigasi flora dan fauna marin seperti batu karang, mamalia marin, ikan dan invertebrata yang senyap mendiami wilayah perairan negara di Laut China Selatan dan Laut Sulu-Sulawesi. Panaroma lebih fantasi tetapi alami dari sekadar melihat pameran fotografi “Malaysia In 24Hrs Beautiful Destination - Underwater Sceneries of Malaysia” karya 42 penyelam dan jurugambar bawah laut di Balai Seni Lukis Negara yang akan berakhir 6 April ini. Namun bagi yang mabuk laut, jika anda trauma apabila teringat filem Jaws atau Open Water, ada baiknya anda meneutralkan minda anda dengan menonton Teater Muzikal Gamat di Istana Budaya dan lihatlah betapa ramah mesranya makhluk marin ini.

Apapun jumlah Taman Laut di Malaysia sebenarnya masih satu angka yang kecil untuk keseluruhan khazanah biodiversiti dan ekosistem marin negara. Ini kerana negara mempunyai warisan 882 buah pulau dan hanya 42 buah pulau diwartakan sebagai Taman Laut, dua buah pulau di Sarawak diwartakan sebagai Kawasan Larangan Perikanan sementara 11 buah pulau lagi di Sabah diwarakan sebagai Taman Negeri. Rumusnya hanya 55 buah pulau iaitu sekitar 6.2 peratus sahaja yang dilindungi. Penambahan bakal 32 buah pulau Taman Laut masih tidak mencecah 10 peratus. Begitu juga dengan liputan batu karang di perairan negara sejumlah 614,000 km² tetapi hanya 2,300 km² dipelihara sebagai Taman-Taman Laut iaitu hanya 0.37 peratus.

Sama seperti Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang bermula tahun 2007 yang meliputi Malaysia, Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, Timor Leste dan Kepulauan Solomon yang hanya mewakili dua peratus kawasan laut dunia namun signifikan kerana hampir 75 peratus jenis terumbu karang dan 40 peratus jenis ikan-ikan karang menetap tinggal di sini.

Kini kita hanya tinggal baki sisa karun laut. Pulau Tioman hari ini walau dikatakan masih cantik tetapi tidak secantik yang dilihat oleh editor majalah Time pada tahun 1970 apatah lagi dari kaca mata Dr Kaempfer pada tahun 1690 dan William Jansz pada tahun 1602 yang lebih mengenalinya sebagai Pulo Timao.

Jika khazanah ini tidak dapat diwarisi, ia hanya akan menjadi lagenda dan mitos. Itulah yang mungkin berlaku kepada Pulau Galapagos yang dipilih sebagai Tapak Warisan Dunia pada 1978. Kepulauan volkano itu telah dijejaki oleh Charles Darwin pada 15 September 1835 semasa pelayaran Beagle yang kemudian melalui spesimen-spesimen kajian penyelidikan membawanya kepada penemuan teori evolusi yang kontroversi. Terbaru pada tahun 2007, pulau yang diduduki oleh 23,000 penduduk ini diklasifikasikan sebagai 'Warisan Dunia Dalam Bahaya'!

Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) sebagai penguasa perlu diperkasa. Tidak cukup bagi sebuah jabatan yang dinaik taraf dari satu seksyen di Jabatan Perikanan pada 16 Julai 2007 itu mengekalkan penggunaan Akta Perikanan 1985 yang sekadar membawa hukuman maksimum RM20,000 atau dua tahun penjara. Tanpa peruntukan khas seperti Akta Taman Laut, JTLM tidak ubah seperti jerung tanpa gigi dan rahang yang hanya sesuai di Aquaria, KLCC dari mitologi Hawaii sebagai penjaga samudera. Malah tidak keterlaluan jika JTML dijadikan seperti Pasukan Khas Laut (Paskal), pasukan elit keselamatan kawasan perairan dengan bot laju, motor selam mini dan Subskimmer iaitu kenderaan selam penyusupan dalam air tanpa kesan serta pasukan yang dilengkapi senjata MP5A5 dengan pejera Optik Taktikal CompM2 dan lampu suluh Surefire. Apa bezanya penceroboh hidupan laut dengan lanun?

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.