30 Oktober 2008

MEMELAYUKAN BAHASA DAN MEMBAHASAKAN MELAYU


Faizal Riduan
a
Iklan Deepavali Petronas baru-baru ini benar-benar menyentuh hulu hati saya sehingga menitis syahdu air mata bukan sahaja kerana mesej tersurat atau tersirat yang ingin disampaikan penajanya Petronas tetapi mungkin mesej ‘kebetulan’ tentang gambaran sebenar masalah bahasa di Malaysia. Iklan yang mengisahkan usaha seorang ayah, Macha dari keluarga India yang miskin di Ipoh dalam membesarkan anaknya Mahesh sehingga berjaya menjadi juruterbang.

Yang menyedihkan setelah setengah abad negara merdeka, bahasa yang digunakan antara kaum India dan Cina ini ialah bahasa Inggeris dan bahasa yang digunakan dalam sebuah keluarga India ini juga adalah bahasa Inggeris kecuali ‘appa’ yang jelas dalam sebutan bahasa Tamil. Sementara bahasa Melayu menepati realitinya hanya layak menjadi bahasa latar belakang perbualan ketika membersihkan pesawat itupun hanya 3 saat dari durasi iklan selama 181 saat!

Sayangnya iklan tempatan ini tidak ubah seperti iklan kolonial yang pernah saya lihat di gedung pakaian yang berlatar gambar segak pegawai British dan pembesar India dengan tema “Presenting British Indian – An Era of Racism, Opprenssion, Injustice and Nice Outfits”.

Realiti sebenarnya, di negara India yang mengamalkan sistem pendidikan dalam bahasa Inggeris tidak mampu melahirkan cerdik pandai elit India yang terfikir untuk mencipta periuk nasi automatik, traktor kecil ala-kubota, atau generator kecil atau motosikal kecil yang kesemuanya adalah penyelesaian untuk masalah Asia di mana India adalah penyumbang populasi penduduk ke-2 terbesar di Asia dan dunia. Sebaliknya semuanya dihasilkan oleh cerdik pandai Jepun yang terdidik dalam bahasa ibunda mereka.

Tetapi saya masih tidak faham mengapa sebahagian orang cerdik pandai seperti Datuk Dr S Vijayaratnam, Naib Presiden Gerakan mencadangkan supaya Kementerian Pendidikan mengajar lebih banyak mata pelajaran terutamanya sains dalam bahasa Inggeris. Lainlah kalau cadangan itu dilontarkan oleh ‘orang kurang pandai’ seperti Sharifah Amani yang dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-19 yang boleh memberikan ucapan penghargaan
“I sound like stupid if I speak in Malay”!

Sejujurnya dalam memperkatakan isu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kita tidak perlu lagi bercakap dengan suara perkauman apatahlagi dalam kerangka besar menjadi satu bangsa Malaysia dalam ‘Wawasan 2020’ yang tinggal hanya 11 tahun 1 bulan lagi. Kedudukan bahasa Melayu adalah bersifat supraetnik iaitu mengatasi batas etnik penutur asalnya yang walaupun secara harfiah namanya dikait-rapat dengan orang Melayu, hakikatnya bukan lagi bahasa mutlak orang Melayu sebaliknya adalah bahasa kepunyaan bersama semua rakyat negara ini.

Adalah satu pandangan yang sempit apabila melihat bahasa Melayu sebagai hak istimewa orang Melayu. Ini kerana hak istimewa orang Melayu adalah imbangan kepada penerimaan keturunan lain yang bukan bumiputera untuk menjadi rakyat negara ini sementara peruntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah proses pembinaan sebuah negara bangsa. Oleh yang demikian, kita perlu keluar dari hambatan psikologi dari batas bahasa Melayu sebagai bahasa orang Melayu.

Jika satu masa dahulu, pada tahun 1947 All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) yang diasaskan oleh Tun Tan Cheng Lock yang kemudian turut mengasaskan dan menjadi Presiden pertama MCA boleh memilih nama ‘Melayu’ sebagai nama rupa bangsa dan kewarganegaraan bagi Tanah Melayu termasuk Singapura mengapa tidak pada hari ini setelah kita mendakap nikmat kebebasan dan kemerdekaan dengan orang Melayu sendiri mengetepikan faktor asal usul dan darah keturunan? Dan mengapa hari ini sebilangan daripada orang bukan Melayu mendakwa kemajmukan bahasa sebagai simbol perpaduan?

Tindakan kerajaan DAP di Pulau Pinang yang menokok-tambah penggunaan bahasa Mandarin dan bahasa Tamil ke dalam papan tanda jalan atas nama ‘muhibbah’ sebenarnya akan membawa ‘musibah’ seperti tindakan mentornya PAP di Singapura yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi tiga bahasa lain iaitu Inggeris, Mandarin dan Tamil sebagai bahasa rasmi. Bahasa Melayu akhirnya tertinggal dengan retorik gah sejarahnya sebagai bahasa kebangsaan bersumber dari zaman kerajaan Melayu Temasik!

Tetapi apa bezanya dengan tindakan Presiden MCA dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ketika itu iaitu Dato’ Seri Ong Ka Ting pada 1 Januari 2004 yang membenarkan penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan yang dikatakan tidak lagi diwajibkan pada papan perniagaan dan iklan?

Sebenarnya tiada bezanya baik DAP atau MCA mahupun Gerakan dalam memelayukan bahasa kebangsaan. Yang patut dibahasakan ialah orang Melayu yang terlalu banyak berkorban dari nama negaranya Tanah Melayu menjadi Malaysia. Pengorbanan elit Melayu dapat dilihat dari nama Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang merujuk dirinya sebagai UMNO dalam akronim bahasa Inggeris bahkan dieja dalam tulisan jawi “alif-mim-nun-wau” daripada akronim bahasa Melayunya sendiri – PEKEMBAR.

Jika dahulu Tun Haji Abdul-Rahman Ya’kub ‘menebal muka’ mengadap Presiden Suharto pemerintah Indonesia memohon mengirimkan guru-guru sains dan matematik ke Malaysia yang memulakan episod pertukaran aliran Inggeris kepada aliran kebangsaan dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah dan kemuncaknya penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1970 dan pada tahun 1983 pula kursus tahun pertama di universiti dalam bahasa kebangsaan telah membuktikan bahawasanya bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi maka apakah rasionalnya pemimpin Melayu menongkah arus sejarah dengan memperkenalkan pengajaran Sains dan Matematik ke dalam bahasa Inggeris?

Salahkah Kongres Sejarah Malaysia II yang berakhir dengan 51 resolusi antara salah satunya berbunyi “untuk memantapkan teras pembinaan Malaysia negara bangsa yang merdeka… dihapuskan sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil (I(iv))” sedangkan inilah janji yang belum dibayar semasa pilihanraya pertama bagi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dengan Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam manifesto yang turut menjadi antara kandungan kontrak sosial terawal “menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam masa sepuluh tahun sesudah merdeka”.

Menurut Ibnu Khaldun dalam magnum opus-nya ‘Mukaddimah’, faktor bahasa selain budayalah yang dapat membina peradaban dan tamadun dalam sesebuah negara. Namun seperti kata Malik Bennabi seorang tokoh sejarah dan sosiologi dalam bukunya Masalah Idea Dalam Dunia Islam’ kegagalan negara bekas tanah jajahan Eropah dengan mengekalkan kesan penjajahan linguistik melalui bahasa penjajah sebenarnya telah mewujudkan gejala ‘bilingualisme’.

Kesannya boleh dilihat pada budaya ‘Seksyen’ di Shah Alam dan ‘Presint’ di Putrajaya adalah contoh mentaliti ‘jongkang-jongkit’ yang melonjakkan bahasa Inggeris dengan menekan bahasa Melayu sedangkan kedua makna tersebut terdapat istilah dalam bahasa Melayu sebagai ‘kawasan’. Barangkali mereka ini sebagai orang ‘bandar’ dan golongan elit Melayu merasakan istilah ‘kawasan’ sebagai bahasa bersifat ‘kekampung’ dan ‘kehuluan’.

Sebegitulah hampir sederet projek mega dinamakan dalam bahasa Inggeris yang berbelit dek lidah namun ‘catchy’ pada singkatannya seperti PWTC, KLCC, KL Central, KLIA, SIC, MSC termasuk yang terkini koridor ekonomi NCER, ECER, SDC dan SCORE. Apa yang perlu dihairankan sedangkan pembentangan kewangan negara dinamakan sebagai ‘bajet’ oleh Perdana Menteri sendiri sedangkan istilah yang betul ialah belanjawan.

Malah komplek mahkamah Putrajaya dinamakan sebagai ‘Place of Justice’, inilah warisan daripada legasi Common Law yang dibawa dari Britain sedangkan sebelum era penjajahan 1511 Melaka masih boleh berbangga dengan sejarah yang tidak kurang panjangnya dalam tradisi perundangan melalui Hukum Kanun Melaka yang telah dilaksanakan semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1446-1456).

Sebelumnya, penjajah hanya berjaya merendahkan martabat bahasa Melayu dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas kepada bahasa setempat atau bahasa vernakular dengan ‘Dasar Pecah dan Perintah’ melalui sistem pendidikan berasaskan kaum. Perencanaan jahat kerajaan Inggeris ini dirakam dalam dokumen rasminya yang memetik “Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, ilmu kira-kira, ilmu alam dan rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah” (Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898).

Kita kini tidak boleh lagi terus menyalahkan penjajah kerana setelah lebih 50 tahun kemerdekaan dengan kerajaan sendiri kita masih meneruskan legasi imprealis dan tidak mengidentitikan jati diri dan akar umbi Melayu itu sendiri. Selebihnya bahasa Melayu masih dapat bertahan berbanding dengan bahasa peribumi di Amerika Latin yang hilang melalui penjajahan Sepanyol dan Portugal adalah kerana tiada gangguan dalam sistem pendidikan negara secara total dan mandatori.

Tujuan Penyata Razak yang terkandung dalam perenggan 12 “Kami percaya juga yang tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak dari semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peratoran pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan sa-bagai bahasa penghantar yang besar walaupun perkara ini tidak dapat dilaksanakan dengan serta-merta melainkan hendaklah di-perbuat dengan beransor-ansor”.

Hari ini sejarah telah membuktikan bahawa Penyata Razak bukan diperkasakan secara ‘beransur-ansur’ sebaliknya pemimpin UMNO terlalu ‘bertolak-ansur’ dan akhirnya ‘beransur-ansur’ peranan bahasa Melayu dikembirikan. Sebab itulah Yang Mulia Tengku Razaleigh ketika membahaskan Rang Undang-undang Pendidikan 1995 di dalam Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995 secara beremosi melihatnya sebagai usaha untuk melenyapkan cita-cita Allahyarham Tun Razak, ‘Bapa Pembangunan’ dan arkitek bangsa Malaysia.

Amerika Syarikat sendiri yang mempunyai bahasa Inggeris sebagai bahasa peribuminya menekankan peri pentingnya peranan satu bahasa kebangsaan dalam soal kesetiaan, keperibadian dan keselamatan negara semasa mereka membina negara bangsa melalui dasar bahasa mereka “Americanism, they argue, loses something in the translation, while English offers the only key to the nation’s democracy, history and culture. Language thus becomes a literal shibboleth of nationality, a badge of true Americanism, and anything less than fluency in English – aforeign accent, let alone the maintainence of a minority tongue – is perceived to threaten national security and subvert the national ideal” (Dennis Baron, 1990).

Dasar bahasa terutamanya bagi negara pelbagai bangsa dan bahasa tidak dapat dipisahkan daripada proses pembinaan negara bangsa. Agenda sosiopolitik ini boleh membentuk integrasi politik atau krisis politik jika perjuangan pelbagai bahasa ditakrif dalam kerangka perkauman sempit sebagaimana konflik antara kaum minoriti Tamil dengan kaum minoriti Singhalese di Sri Lanka, ancaman perpisahan antara kaum yang berbahasa Perancis di Quebec, Kanada dan ketidak-stabilan kerajaan Belgium yang silih berganti hanya kerana penggunaan bahasa Walloan atau bahasa Flemish.

Bagi orang bukan Melayu yang masih belum berasimilasi dengan kemerdekaan negara ini, kertas kerja Dr Ong Hok Ching wajib dibaca. Mereka boleh mengambil iktibar bagaimana orang Cina peranakan seperti Baba dan Nyoya yang membina jati diri dengan mengambil alih ciri-ciri budaya tempatan tanpa mengorbankan identiti dan jati diri asal warisan leluhur sebagai etnik Cina. Namun bagi mereka yang tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Melaka, mereka boleh melihat contoh India peranakan seperti Mamak yang kini boleh dilihat bertebar di mana-mana melalui rangkaian kedai Mamak 24 jam!

Bagi orang Melayu yang masih belum beriman dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu maka tulisan Abdullah Munsyi pada tahun 1882 wajib diinsafi, “Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?”

13 ulasan:

khiffunz berkata...

Bahasa Melayu Identiti Malaysia. Bahasa jiwa bangsa. Moto tinggal moto perlaksanaan memartabatkan bahasa melayu hanya titisan air di daun keladi yang tidak berbekas langsung, semua cakap politik yang hanya memartabatkan diri mereka bukan bahasa melayu. Berkisar pada bagaimana memartabatkan bahasa melayu agar menjadi bahasa yang mesti digunapakai dalam kehidupan dan urusan harian adalah satu yang mencabar. Bagi saya semuanya perlu bermula dari sistem pendidikan awal rakyat malaysia. Secara logiknya bagaimana orang berfikir adalah dengan menggunakan bahasa fasih lidah mereka. Maka isi atau percambahan idea akan berlaku dengan cepat dan mantap. jika soalan two plus two equal to four, orang melayu dalam otak mereka akan mengira menggunakan bahasa melayu dua campur dua sama dengan empat, dan akan diterjemahkan semula melalui lidah mereka four. Itu prinsip pembelajaran yang lebih baik. sebab itu kita lihat sistem pembelajaran dalam bahasa ibunda lebih baik berbanding bahasa asing. Satu Bahasa Satu Malaysia. Bagus artikel ini, tahniah buat saudara faizal, pemikiran mu disanjung tinggi dalam memartabatkannya, tapi jangan lupa bahasa inggeris juga perlu sebagai bahasa penjelajahan ilmu, lihat pada kegemilangan islam semua ingin belajar bahasa arab untuk menguasai ilmu. Salam.

melayuangkat berkata...

Assalamualaikum anakku,

Memang sukar untuk kita menghakis kesan penjajahan pada diri kita.
Benar. Contohnya kalau ke Eropah, tiba sahaja di London, kita dah rasa 'sedap dan lega' seolah dari segi psikologi minda, perasaan dan emosi kita ada berkaitan dengan Negara yang pernah menjajah kita suatu waktu dahulu.

Penjajahan juga masih menebal diantara siapa pun antara kita kerana lebih selesa dengan bahasa penjajah kita, inilah hakikatnya. Walau siapa pun.

Usaha memertabatkan Bahasa Melayu mestilah dengan penuh kesungguhan dari semua pihak baik Kerajaan atau pun rakyat negara ini sendiri. Tidak ada gunakan kita laungkan slogan demi slogan supaya ada kecintataan pada Bahsa Ibunda jika realitinya kita sama kita masih cakap guna bahasa orang putih. Memang susah nak berubah.

Faizal Riduan berkata...

Tuan Khiffunz,

Benar begitulah realiti orang Melayu kini. Mereka ingat menukar bahasa Melayu ke bahasa Inglish contohnya semudah menukar selera dari sambal belacan kepada keju! Mereka tidak sedar bahawa implikasi bahasa akan membawa kepada kesan psikologi, jati diri, identiti dan kerangka pemikiran generasi!

Tuan Melayuangkat,

Mak Cik benar memng sukar untuk berubah tetapi kita perlu berubah dengan tindakan sesuai dengan apa yang dilakukan oleh Nabi Allah, Syuib sebagaimana yang dinukilkan dalam Surah Hud ayat 88. Perubahan dengan segala daya upaya perlu kerajaan lakukan dalam bentuk pelaksanaan kata-kata dan penguatkuasaan dengan tangan!

Khapeace Khalead berkata...

Ulasan tuan sungguh menarikjarang ada rakyat kita nak membicarakan benda2x mcm ni, kalau tak sebab duit, publisti, tak ada hal dibangkitkan.

Faizal Riduan berkata...

Tuan Khapeace Khalead,

Begitulah mentaliti 50 tahun kemerdekaan ini. Kita bising dan riuh seluruh negara dengan slogan "Ketuanan Melayu" sedangkan selama ini kita terlalu layu membiarkan bangsa kita sendiri menindas bahasa Melayu yang kita warisi. Sebagai anak muda saya fikir ini adalah tanggungjawab sebagai warganegara yang menyokong pembetukan sebuah negara bangsa Malaysia.

Razali Razman berkata...

Salam Perkenalan Sdr Faizal,

Bahasa yang saudara gunakan memang hebat dan idea saudara memang bernas.

Pada pandangan saya, Bahasa Melayu harus dimartabatkan dengan menggunakannya dalam segenap bidang ilmu. Saya banyak menerima permintaan daripada pelanggan untuk menterjemahkan sama ada surat kerajaan atau atikel Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris. Umumnya mereka tidak faham apa yang hendak disampaikan kerana bahasanya kurang baik. Kepincangan paling serius dilihat dalam bidang teknologi dan perniagaan.

Saya rasa lebih baik tenaga dicurahkan untuk menggalakkan dan memperbaiki penggunaan Bahasa Melayu dalam bidang ilmu daripada cuba memperjuangkan hak eksklusif Bahasa Melayu untuk muncul di papan tanda jalan.

Saya akan meletakkan pautan kepada blog saudara di blog saya.

Faizal Riduan berkata...

Tuan Razali Razman,

Terima kasih atas pujian tuan. Tuan pun tidak kurang hebatnya sebagai penterjemah. Begitulah tuan realitinya badan bahasa bukanlah kurang kuasa tetapi kurang kuatkuasa sementara institusi politik Melayu lebih teruja dengan liberalisasi dan globalisasi bahasa sedangkan hakikatnya bahasa Melayu itu sendiri telah juah ketinggalan sebagai bahasa ilmu, bahasa maklumat, bahasa perhubungan dan bahasa perpaduan.

Erm nampaknya apabila koleksi tulisan saya dibukukan nanti bolehlah saya mendapatkan khidmat tuan untuk proses alih bahasa nanti eheheheh.

Toy berkata...

Ulasan saudara berkenaan topik ini agak menarik dan memberangsangkan. Salah siapa itu sama - sama kita fikirkan.

Agak janggal dan malu dengan diri sendiri melihat penguasaan diri yang lemah dalam penulisan setelah membaca ulasan saudara ini.

Teruskan usaha saudara dalam memartabatkan bahasa ibunda kita ini.

Faizal Riduan berkata...

Tuan Toy,

Setiap daripada kita boleh memberikan nilai pada bahasa kita. Sejujurnya saya tidak mempertahankan bahasa Melayu ini hanya semata-mata kerana sekebetulan saya dilahirkan sebagai Melayu. Bahasa Melayu mempunyai sejarah panjang lebih panjang dari sejarah kedatangan kuasa asing dan pendatang ke negara ini. Tetapi apabila orang Melayu sendiri berfikiran singkat dengan mengamalkan mentaliti 'jongkang-jongkit' dalam 'double standart' bahasa maka inilah jadinya.

Apapun saya suka membaca tulisan pengalaman tuan di Jepun. Saya kira tuan telah menyumbang dalam pengkongsian pengalaman trevelog tuan itu. Diharap anak-anak Melayu yang membaca blog tuan akan berminat untuk menuntut ilmu sejauh itu.

arif awang berkata...

Selain sekolah aliran Cina dan Tamil dihapuskan, wajar juga dihapuskan perkampungan baru Cina. Perkampungan Cina diwujudkan ketika darurat, kini tidak darurat lagi. Maka, kenapa ia dibiarkan sebegitu dengan susunan masyarakat yang tidak tersusun. Isu ini saya rasa amat bererti dalam mencapai hasrat bangsa Malaysia dalam erti sebenarnya. Pendapat sdr Faizal...

Faizal Riduan berkata...

Tuan Arif Awang,

Mengenai perkampungan itu saya rasa tidak menjadi masalah asalkan sekolah iaitu tempat pertama asuhan mendidik kita tentang integrasi dan perpaduan dan bukannya melalui pengasingan dan penyembunyian sistem pendidikan berasaskan kaum.

JAJA berkata...

Salam....

Kagum melihat tulisan anda. Tidak ramai yang bisa menulis dengan kritis seperti tulisan anda. Mahu atau tidak untuk memberi ulasan di sini pun saya perlu melihat penggunaan ayat dan perkataan saya. Demikian terkesanya tulisan anda. Terima kasih dan tahniah.

Faizal Riduan berkata...

Terima kasih Jaja,

Pujian anda menginsafkan saya yang kebelakangan ini agak sibuk bekerja sehingga tidak dapat menyiarkan tulisan terkini saya. Apapun untuk pengetahuan Jaja saya menulis tetap di majalah Milenia Muslim, dapatkan naskah anda hari ini eheheh...

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.