11 Oktober 2008

TAHNIAH DATUK SHAH RUKH KHAN!


Faizal Riduan

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran 'Datuk' akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran-gelaran seperti Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra dan Datuk Preeti Zinta.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka 'Bandaraya Bersejarah' dan 'Bandaraya Warisan Dunia' daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Skrin, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran 'Datuk' ini juga turut diberikan kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Univerisiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Universiti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamad Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Md Diah Mohamad, Timbalan Presiden Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; dan Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco.

Tidak kurang hebatnya penerima sebelumnya seperti Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti (SC); Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri UMNO. Dalam senarai panjang penerima yang bukan calang-calang orangnya, adakah mereka boleh berbangga segelaran dengan Datuk Shah Rukh Khan atau Datuk Shah Rukh Khan sebenarnya yang berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran 'Datuk' kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah 'Datuk' diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden UMNO. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri Melaka dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri UMNO akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed pada 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan esoknya Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Borong Mydin!

17 ulasan:

melayuangkat berkata...

Assalamualaikum Faizal,

Lepas ini, kalau berita ini tak ada yang ralatnya...akan ada pula

Datuk James Bond??

Datin Oprah??

Tapi ramai orang kata pulak King Khan layak dapat Dato sebab banyak promosikan Malaysia dalam movie movei Bollywood. Entahlah, Mak Cik sendiri pun tak follow cerita hindustan. Tak berapa minat pun

WaAllahuAlam.

Tanpa Nama berkata...

Ada kemungkinan Ali Rustam tidak di dicalonkan sebagai naib presiden UMNO gara-gara isu ini, lepas ini apa pula suruhanjaya yang pak lah nak buat? suruhanjaya Pemberian Darjah. Banyak betul suruhanjaya kat malaysia ini, adakah ada relevensi dan rasionalnya, masih tak nampak kesannya. Lebih baik darjah ni diberikan pada mereka yang benar-benar memperjuangkan negara Malaysia, dan sepatutnya ada kuota seperti johor dan selangor. Baru nampak nilai ke'datuk'kan itu. apa2pun tahniah datuk shah rukh khan, menjadi berita-berita di mumbai dan sewaktu dengannya, agaknya dengan itu juga dapat memberi imej dan promosi kepada melaka bandar bersejarah.

Tanpa Nama berkata...

Assalammualaikum saudara Faizal,eyaa mungkin selepas ini kita akan melihat tajuk2 akhbar utama dengan headline Datuk Angelina Jolie pula..siapa tahu kan?alasan menganugerahkan datuk kepada Shah Rukh Khan tidak boleh diterima logik akal.Ramai lagi pejuang seni tempatan yang telah mengharumkan nama Malaysia dan mengapa Shah Rukh Khan yang menjadi pilihan?

Adi Nordin berkata...

the last word mmg funny.. "datuk saya bukan datuk melaka".. yeah!

. berkata...

tahniah, ulasan saudara agak komprehensif. menarik suara anak muda spt saudara.

Tanpa Nama berkata...

Har Har. Asal berjasa sahaja dapat Datuk. Kalau orang Malaysia tiadalah kita nak bising. Ini SRK yg ntah apa justifikasi Tuan Rustam beri. Mungkin adalah sebab politik tuh. Mungkin selepas ini, Sean Connery atau Jackie Chan (kedua ini pernah bikin Filem di Malaysia). Kurang membaca sungguh!!

Unknown berkata...

Tuan Syd,

Sebab itu sehingga saat saya sedang menaip ini saya masih tidak berhenti berharap berita tersebut tersalah lapor.

Tuan Adi Nordin,

Benar di Malaysia sesiapa yang memegang gelaran bintang kebesaran dari Melaka memang akan menjadi tanda tanya.

Tuan Nobisha,

Sungguh penat saya menyiapkan artikel ini dalam tempoh tidak sampai 24 selepas berita tersebut diwar-warkan. Seperti biasa saya menghantarnya untuk terbitan akhbar tetapi tidak pasti akan disiarkan kerana mungkin ianya agak sedikit sensitif.

Tuan Munmon,

Mungkin Mohd Ali Rustam ini membaca sebuah buku sahaja iaitu buku bibliografi "Still Reading Khan" eheheheh.

Tanpa Nama berkata...

Salam,

menarik sungguh membaca tulisan saudara..

Nampaknya harapan saudara punah untuk melihat berita itu sebagai ralat.

Tertarik dengan ayat-ayat terakhir, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Borong Mydin! Benarlah kata saudara itu.

Unknown berkata...

Tuan Aizat,

Terima kasih tuan walaupun sebenarnya saat ini hati saya punah ranah, hancur luluh!

Entah kenapa saya malu sendiri apabila teringatkan azimat keramat adiwira Melaka Hang Tuah, "Tak kan Melayu hilang di dunia!".

Tanpa Nama berkata...

Sememangnya anugerah Datuk, Tan Sri dan yang sama waktu dengannya dah takde nilai dah kat Malaysia ni. Setiap kali birthday TYT negeri atau sultan, beratus2 orang dapat anugerah. Yang dapat Datuk tak tau la berapa orang. Kalau dulu anugerah Datuk ni diberikan kepada orang2 yang betul2 layak. Sekarang ni? Haihhh... sedih. Tu jelah yang mampu nak kata.

Tanpa Nama berkata...

Mmg bagus komen saudara Faizal di blog ni.....teruskan...

Unknown berkata...

Tuan Awangku Yusli,

Betul saya setuju dengan pandangan tuan. Jangan terperanjat satu masa nanti permulaan panggilan En/Cik/Puan akan menjadi lebih eksklusif kerana mempunyai pemakaian yang terhad! Waktu itu gelaran 'Datuk' dan sebagainya telah menjadi majoriti eheheh.

Tuan Suhaili,

Terima kasih. Doakan saya akan terus menulis untuk memperkaya ufuk minda kita semua. Anda juga boleh menyumbangkan pandangan melalui komentar tuan semua dalam buku tamu ini.

tepet berkata...

saudara faizal.... izin kan saya meminjam "ralat" di phujung posting anda..

Unknown berkata...

Tuan Tepet,

Sila gunakan. Saya masih melihat berita-berita media arus perdana dan Bernama namun ruangan "Ralat" yang saya harapkan belum kunjung tiba lagi.

wagiman berkata...

isu ni jadi isu yang begitu panas di negara kita ni. Tetapi seperti selalunya ahli politik tidak akan mahu mendengar cakap2 orang spt kita ni.

Tidak ramai Pemimpin Malaysia peka akan isu2 atau apajua perkara yg hendak, akan atau telah mereka lakukan. Selalunya mereka ni akan jadi kelam kabut dan menyalahkan org lain bila apa yg mereka lakukan itu mula disindir atau dipertikai akar umbi.

Sering kali mereka tidak menggunakan akal mereka sebelum mencetus+mencipta sesuatu isu. Pro dan kontra tak mahu dinilai dahulu, bagi mereka akar umbi hanya penting 4-5 tahun sekali.

Perkara dah berlalu dan mereka2 tu buat bodoh ngan jawapan bodoh mereka.

Inilah pemimpin Malaysia yang saya kenal. Wagiman @
http://grenbara.bravejournal.com

Pakngah berkata...

Ali nak jadi Tim Presiden
Ali kata Daim cadangkan Shah dapat Datuk (baca akhbar arus perdana).

Apa kaitan Daim dengan ni?

Ingat siapa cium Shah kat Arena ALL Stars? Siapa ada simapan gambo tu. keluarkan semula.

Daim apa ke hal sibuk?

Ada orang kata dia tengah usaha nak bawa masuk semula duit dalam dominisi RM500 dan RM1000 yang dia bawa lari dulu. Dr M block lupuskan guna duit saiz tu (itu pun orang yang tulis saya baca)

Jadi 2 orang ni sedang kipas siapa....?

Kan dah nampak apa ke halnya Shah diberi Datuk. Cuma jangan panggil orang tu datang takut dipeluk lagi Shah...

malu kita nanti...

Cuma bila Shah tanya Datuk dalam BI apa/ Jawabnya Grandfather... Mungkin dia tak jadi datang ambil... Itu sebab x muncul2

Unknown berkata...

Tuan Wagiman.

Begitulah daifnya pemimpin kita. Di Malaysia mungkin kerana masyarakat kita yang masih konservatif dalam mengangkat pemimpin jika di luar negara sudah tentru pemimpin seperti ini telah lama ditolak!

Tuan Handyman,

Mengenai gosip Mohd Ali dan Daim itu saya kurang pasti. Istilah 'Datuk' yang tuan alihbahasakan sebagai 'Grandfather' benar-benar mengusik hati saya di pagi yang hening ini.

Deklarasi

Ini adalah sebuah jurnal akademik dan ilmiah. Ianya mendukung kesemua prinsip Rukunegara iaitu 'Kepercayaan Kepada Tuhan', 'Kesetiaan Kepada Raja & Negara', 'Keluhuran Perlembagaan', 'Kedaulatan Undang-Undang' dan 'Kesopanan & Kesusilaan'. Segala keterbukaan jurnal ini dalam berpendapat dan berpandangan dijamin dalam Perkara 10, Perlembagaan Malaysia sebagai undang-undang tertinggi negara. Namun ianya masih tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan. Justeru, ia perlu ditunjangi dengan etika dan profesionalisme sebagai penulis dan pengamal media serta tanggungjawab sosial kepada masyarakat, bangsa, agama dan negara.